Categories
AGENDA NASIONAL

Najib tidak tahu SRC rancang pohon pinjaman RM3.95 bilion daripada KWAP

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang memberi keterangan membela diri dalam perbicaraan melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC), memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak tahu syarikat itu merancang untuk memohon pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib, 66, yang merupakan Menteri Kewangan dan Penasihat Emeritus SRC ketika itu berkata beliau tidak menyedari perkara itu dan tidak dimaklumkan bahawa surat bertarikh 3 Jun 2011 daripada SRC untuk memohon kelulusan pinjaman sebanyak daripada KWAP akan dihantar kepadanya.

Beliau yang memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi bagi membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC, berkata beliau telah menemui bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi atau CEO SRC, Nik Faisal Ariff Kamil atau kedua-duanya antara 7 Januari 2011 hingga tarikh surat permohonan itu.

“Surat itu memaklumkan tentang inisiatif yang membawa kepada pinjaman yang dicadangkan SRC.

“Kemungkinan besar saya telah dimaklumkan mengenai perkara ini sebelum saya menerima surat tersebut. Saya tidak boleh mengingati secara khusus apa inisiatif yang telah dicadangkan itu, tetapi sudah semestinya ia adalah sesuatu yang cukup substantif terutama sekali apabila saya memberikan sokongan saya kepada SRC.

“Ini adalah berdasarkan visi SRC yang dijangkakan oleh Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri,” katanya ketika disoal peguamnya Wan Aizuddin Wan Mohammed.

Ketika ditanya Wan Aizuddin mengapa surat permohonan kelulusan tersebut dialamatkan terus kepada beliau dan bukannya KWAP, Najib berkata ia mungkin kerana telah dinyatakan dalam surat permohonan itu, SRC akan beroperasi di bawah nasihat Perdana Menteri.

Najib berkata surat itu kemungkinan telah dihantar ke pejabat beliau dan diterima oleh Ketua Setiausaha Sulitnya, Datuk Azlin Alias, bagaimanapun tiada sebarang perbincangan diadakan mengenainya.

Membacakan penyataan saksinya, Najib juga memberitahu mahkamah bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan tentang resolusi lembaga pengarah dikeluarkan oleh pemegang saham 1MDB yang mencadangkan pemindahan dana kepada Falcon Private Bank Ltd dan Julius Baer Bank bagi pelaburan di Asia Tenggara dan RM1.5 bilion untuk usahasama (JV) antara Aabar Investment PJS Ltd. dan SRC.

“Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) selaku pemegang saham 1MDB hanya akan meluluskan resolusi tersebut jika ia melibatkan nilai yang besar mengikut Akta Syarikat 1965…namun saya hanya mengetahui apabila ia telah diselesaikan,” katanya.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau tidak mengenali individu bernama Zahid Taib dari 1MDB yang mengaturkan pertemuan antara beliau dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar) Kementerian Kewangan, Datuk Mat Noor Nawi di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang.

Pertemuan itu adalah berhubung dokumen draf memorandum pengambilalihan SRC oleh MKD di mana mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa Najib menandatangani dokumen itu atas bonet kereta.

“Saya beranggapan bahawa beliau telah dimaklumkan untuk berjumpa dengan saya di sana oleh Datuk Azlin atau Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Unit Perancang Ekonomi) Tan Sri Nor Mohamed Yakcop,” kata Najib.

Ditanya peguamnya berhubung pemindahan saham SRC kepada 1MDB, Najib berkata: “Saya juga tidak sedar bahawa saham syarikat SRC hanya dipindahkan kepada 1MDB pada akhir 2011 kerana ia tidak konsisten dengan apa yang ditunjukkan kepada saya”.

Pada 11 November, mahkamah memerintahkan Najib membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pinjaman SRC RM3.95 bilion tidak ikut dasar KWAP – Bekas CEO

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Surat permohonan oleh SRC International Sdn Bhd untuk pinjaman RM3.95 bilion tidak memenuhi dasar keperluan prosedur oleh Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), demikian Mahkamah Tinggi di sini diberitahu hari ini.

Bekas CEO KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, ini kerana sebarang permohonan pinjaman perlu dialamatkan kepada KWAP sedangkan permohonan pinjaman oleh SRC dalam sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011, ditandatangani oleh pengarah SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dialamatkan kepada perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pegawai wanita itu menyatakan demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada perbicaraan hari ke-19 Najib yang menghadapi tiga tuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan salah guna kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Ishak : Permohonan ini tidak ikut polisi pinjaman KWAP seperti yang Datuk nyatakan di perenggan 10, dalam pernyataan saksi, sebab datuk kata tadı kena kemukakan kepada KWAP?

Azian : Ya, surat berkenaan (permohonan pinjaman) tidak memenuhi syarat KWAP bagi prosedur ini.

Membacakan pernyataan saksinya, Azian berkata beliau menerima surat asal permohonan SRC itu daripada pegawai Khas Najib, Datuk Azlin Alias (Arwah) dalam bulan Jun 2011.

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Arwah Azlin bahawa Perdana Menteri pada masa itu Datuk Seri Najib Tun Razak telah bersetuju dengan cadangan permohonan dari SRC dan beliau telah dirujuk kepada catitan atas surat itu yang Arwah Azlin memberitahu ianya dibuat oleh Najib sendiri.

“Surat yang saya terima itu merupakan surat permohonan pinjaman yang disediakan oleh SRC dan dialamatkan kepada Datuk Seri Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk mendapatkan pinjaman KWAP sebanyak RM3.95 bilion bagi tujuan modal pusingan dan pelaburan am tanpa had.

“Surat berkenaan ditandatangani oleh Pengarah SRC bernama Nik Faisal Ariff Kamil. SRC pada ketika itu adalah syarikat milik penuh 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang mana 1MDB merupakan syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD),” katanya.

Azian, 66, yang kini telah bersara berkata (pada) surat bertarikh 3 Jun 2011 terdapat catatan tulisan tangan serta tandatangan Najib yang ditujukan kepadanya selaku CEO KWAP dan menyatakan “bersetuju dengan cadangan ini” yang bertarikh 5 Jun 2011.

“Mengikut pemahaman saya, catatan “bersetuju dengan cadangan ini” bermaksud Perdana Menteri bersetuju untuk KWAP memberikan pinjaman kepada SRC. Saya menerima surat permohonan itu dan keesokan hari pada waktu pagi saya berjumpa dengan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah iaitu Pengerusi KWAP dan memaklumkan beliau berkenaan surat itu.

“Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz turut menyatakan bahawa beliau sedia maklum perkara tersebut kerana diberitahu sendiri oleh Datuk Seri Najib sebelum ini. Saya kemudian diarahkan oleh Tan Sri Dr Wan agar KWAP dapat mengkaji permohonan tersebut dan dikemukakan untuk pertimbangan dan keputusan Panel Pelaburan KWAP,” katanya.

Saksi pendakwaan ke-38 itu juga berkata penilaian oleh Jabatan Pendapatan Tetap KWAP telah menentukan bahawa KWAP hanya dapat menyediakan pinjaman berjumlah RM1 bilion sahaja setelah mengambil risiko pembayaran, risiko negara, risiko industri dan risiko “over concentration” yang tinggi berkaitan jumlah pinjaman yang dimohon oleh SRC berjumlah RM3.95 bilion.

Pegawai wanita itu berkata salah seorang ahli panel pelaburan telah memberikan pendapat supaya Najib dimaklumkan yang KWAP mencadangkan pinjaman pembiayaan RM1 bilion sahaja kepada SRC.

“Oleh itu, Tan Sri Dr Wan telah memaklumkan saya untuk mengikut beliau sekali untuk berjumpa Datuk Seri Najib.

“Tidak lama selepas itu, saya dan Tan Sri Dr Wan telah pergi berjumpa dengan Datuk Seri Najib di Pejabat Perdana Menteri. Kami telah memaklumkan tentang hasil keputusan Panel Pelaburan KWAP yang hanya meluluskan pinjaman pembiayaan sejumlah RM1 bilion. Namun, saya tidak ingat tarikh sebenar perjumpaan kami,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun Kertas Panel Pelaburan Khas KWAP disediakan untuk pertimbangan bagi kelulusan pinjaman RM2 bilion kepada SRC untuk tujuan ‘working capital’ dan ‘general investments’.

Kepada satu soalan oleh Ishak, saksi itu berkata adalah mustahil baginya ‘merungkai’ (decipher) kandungan surat itu secara terperinci oleh kerana beliau berjumpa Arwah Azlin waktu malam dan pertemuan berlaku selama 45 minit.

Ishak : Datuk tak dapat ‘decipher’ surat itu walau berjumpa 45 minit?

Azian : Saya baca tapi tidak secara detail mengenai KWAP policy or anything

Ishak : Lepas balik ofis ada Datuk maklumkan Azlin bahawa surat itu tidak ikut prosedur, tidak ikut kriteria polisi KWAP dan tidak dapat dipertimbangkan oleh KWAP?

Azian : Saya tidak maklumkan.

Ishak : Walaupun Datuk sedar, surat tidak ikut prosedur kenapa tak maklumkan?

Azian : I cannot recall why (saya tidak ingat mengapa).

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Baucar RM2 bilion diluluskan kepada SRC – saksi

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Bekas naib presiden Jabatan Perkhidmatan Sokongan Pelaburan (ISSD), Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah meluluskan baucar bayaran kepada SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion pada 2012, yang merupakan pembiayaan tambahan daripada KWAP.

Amirah Muhamad Nor, 61, berkata sebagai naib presiden ISSD, beliau telah diberi kuasa oleh Ketua Pegawai Eksekutif KWAP untuk meluluskan baucar bayaran berkenaan.

“Kemudahan pembiayaan berjangka tambahan kepada SRC adalah bertujuan untuk pembiayaan aktiviti pelaburan am dan modal pusingan,” katanya ketika membaca penyataan saksi pada hari ke-16 perbicaraan kes bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Amirah, yang juga seorang pesara, berkata, pada 2011, KWAP telah meluluskan kemudahan pembiayaan berjangka kepada syarikat SRC sebanyak RM2 bilion dan tahun berikutnya meluluskan tambahan RM2 billion.

“ Oleh itu, jumlah kemudahan pembiayaan berjangka yang diberikan oleh KWAP kepada SRC ialah sebanyak RM4 bilion,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul.

Saksi ke-34 pendakwaan itu turut memaklumkan bahawa bagi pinjaman pertama pada 2011, KWAP telah menerima Borang Notis Penggunaan bertarikh 26 Ogos 2011 iaitu surat permohonan pengeluaran wang kemudahan pembiayaan berjangka oleh SRC kepada KWAP.

“Seingat saya, semasa pembayaran kali pertama pada tahun 2011, saya telah bercuti dan saya tidak menandatangani baucar bayaran berkenaan. Baucar bayaran itu ditandatangani oleh Ketua Jabatan Akaun dan Pengurusan Perkhidmatan, M. Ambalagam yang turut mempunyai kuasa untuk meluluskan pembayaran itu,” katanya.

Saksi itu berkata pada 28 Mac 2012, beliau telah memaklumkan Amirul Imran Ahmat daripada Jabatan Pendapatan Tetap KWAP bahawa kemudahan pembiayaan berjangka tambahan berjumlah RM2 bilion telah dikeluarkan oleh KWAP dan dimasukkan ke dalam akaun SRC.

Menjelas lanjut proses pembayaran wang kepada SRC, Amirah berkata butiran pembayaran yang akan dibuat dimasukkan ke dalam sistem dan kebiasaannya proses ini akan dilakukan oleh kakitangan Jabatan Penjelasan Pelaburan (ISD).

“Setelah dimasukkan ke dalam sistem, butiran pembayaran akan disemak dan disahkan oleh penolong naib presiden sebelum baucar bayaran boleh dicetak. Selepas baucar bayaran dicetak, ia perlu dikepilkan bersama-sama dokumen sokongan seperti salinan perjanjian, memo arahan pembayaran dan kelulusan ahli-ahli Lembaga Pengarah KWAP.

“Kemudian baucar bayaran akan dibawa kepada penolong naib presiden untuk semakan sebelum dibawa kepada naib presiden untuk ​​​​​​​kelulusan. Selepas baucar bayaran diluluskan, ia akan dibawa ke bilik RENTAS untuk proses bayaran dalam talian dan kakitangan ISSD akan masuk maklumat ke dalam sistem RENTAS dan seterusnya proses First RENTAS Approval dan diikuti Second RENTAS Approval,” katanya sambil menambah bahawa selepas kedua-dua proses selesai, pembayaran akan dibuat kepada pelanggan.

Sementara itu, saksi ke-33 pendakwaan, Ambalagam, 62, yang merupakan Ketua Jabatan Caruman, KWAP, berkata beliau ​​​​​​​terlibat dalam proses meluluskan baucar bayaran ISD kepada SRC International bagi kemudahan pembiayaan berjangka daripada KWAP berjumlah RM2 bilion pada 2011.

Beliau menjelaskan bahawa kemudahan pembiayaan ​​​​​​​berjangka kepada SRC adalah bagi membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan.

“KWAP menerima surat permohonan pengeluaran wang kemudahan pembiayaan daripada SRC pada 26 Ogos 2011. Saya telah membantu untuk ​​​​​​​meluluskan baucar bayaran itu kerana Amirah tiada di pejabat kerana bercuti.

Saksi itu berkata, berdasarkan baucar berkenaan, penerima adalah SRC International dengan nombor akaun 2112022009736.

Katanya, di peringkat ISD, peranan dan kuasa beliau hanya untuk membuat pembayaran serta penerimaan bayaran dan tidak mempunyai ​​​​​​​kuasa untuk mempersoal justifikasi pembayaran atau penerimaan yang dilakukan.

‘Selagi proses mengikut prosedur dan telah mendapat kelulusan Panel Pelaburan, ISD akan memproses bayaran mengikut bidang kuasa yang ​​​​​​​ditetapkan,” katanya.

Terdahulu, saksi ke-32 pendakwaan Noor Lina Mahmud, 54, yang merupakan Ketua Unit Treasury Settlement di Maybank Berhad memberi keterangan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung Selasa ini.

— BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi tertekan siapkan kertas kerja pinjaman RM4 bilion kepada SRC

 

KUALA LUMPUR, 6 MEI: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau berada dalam keadaan tertekan ketika menyediakan kertas kerja pelaburan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP), berhubung pinjaman wang berjumlah RM4 bilion kepada Syarikat SRC International Sdn Bhd.

Bekas Penolong Naib Presiden di Jabatan Pendapatan Tetap KWAP, Amirul Imran Ahmat, 39, berkata beliau juga terpaksa menyiapkan kertas kerja itu dalam keadaan terburu-buru.

“Saya diminta oleh pihak pengurusan untuk mempercepatkan permohonan itu.

“Kalau tengok, terdapat beberapa mesyuarat dalam masa terdekat. Kalau ‘miss’ meeting go for next one (kalau terlepas satu mesyuarat, pergilah ke mesyuarat yang berikutnya). Tapi di sini, tergesa-gesa untuk setiap mesyuarat. Terdapat banyak tekanan untuk percepatkan benda ni semua,” katanya pada hari ke-13 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Amirul Imran, saksi ke-29 pendakwaan, berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff mengenai sebab terdapat banyak kesilapan tarikh pada kertas kerja yang disediakan saksi itu dan punca beliau tergesa-gesa.

Amirul Imran, yang kini berkhidmat di SME Bank, pada mulanya dilihat menjawab soalan secara terburu-buru dengan mencampurkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris sehingga kurang difahami menyebabkan Ishak menegur serta meminta saksi itu menyusun ayatnya dengan betul.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi, Amirul Imran berkata terdapat pelanggaran peraturan di bawah Perenggan 5 Polisi dan Garis Panduan KWAP bagi kelulusan pinjaman pertama berjumlah RM2 bilion oleh KWAP kepada SRC.

Beliau berkata ini kerana pinjaman kepada SRC telah melebihi had ekuiti pemegang saham iaitu SRC hanya memiliki ekuiti sebanyak RM1 juta tetapi permohonan pinjaman-pinjaman yang diluluskan berjumlah RM4 bilion.

“Terdapat juga pelanggaran peraturan di bawah Perenggan 2 Polisi dan Garis Panduan KWAP di mana jumlah pelaburan KWAP dalam bentuk pinjaman tidak boleh melebihi 10 peratus peruntukan pelaburan dalam pendapatan tetap domestik.

“Namun, bagi pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion lagi kepada SRC, pengecualian ahli panel pelaburan tidak lagi diperlukan kerana polisi dan garis panduan KWAP tidak lagi memerlukan pengecualian sekiranya pinjaman bersandarkan jaminan kerajaan.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Pendakwaan akan buktikan kes terhadap Najib – Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 3 APR: Pihak pendakwaan akan membuktikan Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk mendapatkan bagi dirinya suapan sebanyak RM42 juta.

Dalam pernyataan pembukaan, Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib terlibat secara langsung dalam keputusan pihak kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kerajaan bagi pinjaman berjumlah RM4 bilion yang diterima oleh SRC International Sdn Bhd daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

“Oleh itu, adalah menjadi tugas dan keistimewaan saya untuk memulakan perbicaraan di mahkamah terhadap bekas seorang perdana menteri yang selama hampir sedekad, menduduki jawatan yang paling berkuasa di negara ini dan mempunyai hampir kuasa mutlak.

“Keistimewaan seperti itu memikul tanggungjawab yang besar, yang pejabat saya berhasrat untuk melaksanakannya bagi membuktikan bahawa tertuduh bersalah atas tujuh pertuduhan yang dihadapinya seperti yang telah dibacakan di hadapan Yang Arif.

“Tertuduh sepanjang tempoh menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri yang kesalahan itu dilakukan juga serentak ketika memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan, dengan itu menggabungkan kuasa politik maksimum dan mengawal kewangan negara,” katanya di Mahkamah Tinggi, di sini hari ini, lapor BERNAMA.

Thomas berkata, selaku memegang jawatan Perdana Menteri dan sebagai pegawai awam tertinggi yang dipilih dan ketua kerajaan, rakyat meletakkan kepercayaan tertinggi kepada tertuduh.

Dalam keadaan sedemikian, undang-undang itu memperuntukkan standard penjagaan bagi tertuduh melaksanakan tugas dan kewajipannya sebagai pemegang amanah perjawatan awam, katanya.

“Tidak cukup dengan memegang jawatan sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tertuduh juga dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Penasihat Emeritus dalam anak syarikatnya, SRC International Sdn Bhd, ” kata beliau.

Najib, 66, menghadapi tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukannya dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 10 Feb 2015

Najib yang merupakan perdana menteri Malaysia keenam, adalah perdana menteri pertama berada dalami kandang tertuduh selepas dia diheret ke mahkamah.

Thomas berkata, perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali adalah yang pertama daripada banyak lagi pendakwaan berkaitan kleptokrasi 1MDB yang akan dijalankan.

Beliau berkata, ciri bersama kedua-dua syarikat (1MDB dan SRC International) adalah bahawa kuasa sebenar untuk mengarah dan mengurus hal ehwal kedua-dua syarikat tidak terletak pada Lembaga Pengarah, sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang dan menjadi amalan universal apabila syarikat menjalankan perniagaan, tetapi dalam kes ini, kuasa tersebut terletak pada Najib memandangkan beliau memegang kedua-dua jawatan itu.

“Pelaksanaan Perkara 8 (1) Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang’ jelas dibuktikan melalui perbicaraan ini. Seorang bekas perdana menteri didakwa di bawah proses sewajarnya di mahkamah di negara ini seperti mana-mana tertuduh yang lain.

“Tertuduh tidak terkecuali daripada undang-undang dan pendakwaan dan perbicaraan ini harus dijadikan duluan bagi semua pemegang jawatan tersebut pada masa depan,” kata beliau.

Bagi membuktikan unsur-unsur pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Thomas berkata, semua bukti iaitu bukti lisan, bukti dokumen dan bukti berdasarkan keadaan akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi membuktikan penubuhan SRC International, penubuhan geran RM3 bilion, permintaan SRC International bagi pinjaman kerajaan sebanyak RM3.95 bilion, pelantikan Lembaga Pengarah SRC International, dan pelantikan Nik Faisal Ariff Kamil sebagai Ketua Pegawai Eksekutif SRC International.

Thomas berkata, pihak pendakwaan juga akan membuktikan perkara yang mendorong kelulusan kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Kewangan, pengeluaran jaminan kerajaan RM2 bilion yang memihak kepada SRC International dan mengeluarkan jaminan kerajaan sebanyak RM2 bilion lagi yang memihak kepada SRC International.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan mengenai wang berjumlah RM42 juta, yang diperoleh daripada SRC International, disalurkan menerusi akaun syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd (anak syarikat milik penuh SRC International) dan Ihsan Perdana Sdn Bhd (yang dikatakan dilantik sebagai rakan kongsi tanggungjawab sosial korporat SRC International).

“Tertuduh, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012, seperti disebutkan di atas, telah menerima sebagai suapan wang tersebut berjumlah RM42 juta ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY menggunakan nombor akaun 211-202-201188-0 dan akaun AmPrivate Banking-MY menggunakan nombor akaun 211-202-201190-6,” kata beliau.

Bagi pertuduhan pecah amanah jenayah, Thomas berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa Najib, sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dan Penasihat Emeritus SRC International, yang diamanahkan dengan wang milik SRC International, telah melakukan pecah amanah jenayah membabitkan RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta milik SRC International.

Bukti akan dikemukakan oleh pihak pendakwaan untuk membuktikan bahawa usul khas telah dilulukan untuk meminda Tataurusan Persatuan Syarikat SRC International untuk melantik tertuduh sebagai Penasihat Emeritus, katanya.

“Sebagai Penasihat Emeritus, tertuduh akan menasihati Lembaga Pengarah mengenai perkara-perkara penting dan perkara kepentingan strategik melibatkan Malaysia, dan bahawa Lembaga hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya dan melaksanakan apa-apa nasihat Penasihat Emeritus demi kepentingan syarikat,” katanya.

Thomas berkata, Najib secara tidak jujur ​​telah menyebabkan dirinya mengaut keuntungan sebanyak RM42 juta secara menyalahi undang-undang dan menyebabkan SRC International kehilangan wang sebanyak RM42 juta secara salah dari segi undang-undang.

Beliau berkata, jumlah wang itu dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking Najib melalui akaun syarikat Gandingan Mentari dan Ihsan Perdana antara 24 dan 29 Disember 2014 dan antara 10 Februari dan 2 Mac 2015.

Beliau berkata, pihak pendakwaan juga akan menampilkan bukti bahawa Najib terbabit dalam pengubahan wang haram dengan menerima RM42 juta sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, ke dalam akaun AmPrivate Banking.

Beliau berkata, bukti juga akan dikemukakan bahawa Najib mengeluarkan sejumlah 15 cek peribadi daripada akaun banknya berjumlah RM10,776,514.00.

“Bukti juga akan menunjukkan bahawa pada Disember 2014, kad kredit tertuduh telah digunakan bagi melunaskan bayaran US$130,625 untuk perbelanjaan di Chanel, butik fesyen eksklusif di Honolulu, Amerika Syarikat” kata Thomas.

Thomas berkata, turut akan dibuktikan bahawa cek peribadi yang digunakan, antara lain, bagi pembayaran kerja pengubahsuaian rumah tertuduh di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, kediaman tertuduh di Pekan, Pahang serta kepada parti komponen Barisan Nasional (BN).

“Tanggungjawab sekarang terletak pada pihak pendakwaan, untuk membuktikan tanpa keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh, Mohd Najib bin Hj Abd Razak bersalah atas pertuduhan jenayah yang dihadapinya pada perbicaraan ini,” kata beliau.

FOTO EHSAN: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Beli Saham FGVH: KWSP dan KWAP Didakwa Alami Kerugian RM75 Juta

Wong Chen

PETALING JAYA, 11 JAN : Dua dana pencen negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) didakwa mengalami kerugian atas kertas dengan anggaran nilai RM75 juta akibat membeli saham Felda Global Ventures Holding (FGVH).

Ini kerana dakwa Pengerusi Biro Pelaburan dan Perladangan PKR, Wong Chen, kedua-dua dana itu didapati terus membeli saham FGVH dari pasaran, walaupun penganalisis mendapati harga saham itu jatuh mendadak seawal 9 Ogos 2012.

Beliau berkata, tingkah laku pembelian saham oleh KWSP dan KWAP adalah amat bertentangan, malah tidak sepatutnya diamalkan oleh sesebuah dana pencen.

“Pada keseluruhannya, pembelian mereka dalam pasaran terbuka dari 29 Jun 2012 hingga 4 Januari 2013 telah menelan anggaran belanja sebanyak RM455 juta (KWSP) dan RM305 juta (KWAP).

“PKR percaya bahawa penyumbang KWSP dan penjawat awam mempunyai hak untuk mengetahui sama ada pembelian saham FGVH (yang sebahagian besar bertentangan dengan pandangan penganalisis dan pasaran) bermotifkan politik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, hari ini.

Menurutnya, harga purata saham penganalisis bagi FGVH adalah RM4.19 dan jika ia jatuh ke tahap itu, maka KWSP dan KWAP masing-masing terus mengamali kerugian kertas bernilai RM146 juta dan RM129 juta.

“Dalam kes senario paling teruk, jika harga turun kepada sasaran Alliance Reserach iaitu pada harga RM3.53 (kedua terendah antara 12 analisis terkini mengenai saham FGVH), KWSP dan KWAP akan menimpa anggaran kerugian kertas RM327 juta dan RM295 juta,” katanya lagi.