Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya abai desakan bantu rakyat, Anwar ubah fikiran sokong keluar wang KWSP

SHAH ALAM, 9 MAC: Ketua pembangkang mendesak kerajaan membenarkan pencarum mengeluar simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah tiada azam untuk membantu rakyat, termasuk mangsa banjir.

“Saya agak keberatan untuk mendukung langkah ini kerana ia pasti memberi kesan kepada simpanan mereka di masa hadapan meski saya tahu pendirian ini sangat tidak popular di kalangan rakyat.

“Saya turut meletakkan syarat kepada kerajaan saat itu untuk menampung kerugian yang dialami rakyat akibat banjir sekiranya kerajaan enggan untuk membenarkan pengeluaran KWSP,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataannya di Facebook hari ini, beliau berkata rungutan rakyat yang terdesak mahu menggunakan wang tersebut makin kerap didengarnya sepanjang kempen ketika pilihan raya Johor kini.

“Justeru, setelah kita melihat bahawa kerajaan seolah-olah tidak ada jalan untuk merungkai kegagalan ini, saya kini mendukung agar pengeluaran ini dibenarkan sesegera mungkin dan tanpa ada apa-apa halangan dan kerenah birokrasi,” katanya lagi.

Anwar melahirkan rasa kecewa terhadap sikap kerajaan khususnya Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwanya ‘tidak mempedulikan’ desakan tersebut.

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP, GoGet perkenal program simpanan saraan bersepadu bagi pekerja gig

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan GoGet Malaysia bekerjasama untuk melindungi kewangan dan menyediakan komuniti pekerja gig yang turut dikenali sebagai ‘GoGetters’ semasa persaraan mereka, melalui pelancaran program simpanan bersepadu.

GoGet, aplikasi kerja atas permintaan akan menjadi yang pertama di Malaysia untuk memasukkan ciri caruman KWSP dalam platformnya yang bersepadu dan boleh disesuaikan sebagai antara usaha menggalakkan GoGetters menyumbang kepada simpanan persaraan melalui program caruman sukarela seperti i-Saraan dan caruman sendiri.

Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka berkata pekerja gig yang mempunyai akaun KWSP sedia ada hanya perlu memberi kebenaran untuk menyertai program ini dan menetapkan kadar caruman mereka.

Katanya bonus yang diterima GoGetters daripada GoGet akan turut menjadi sebahagian daripada pendapatan yang dicarumkan kepada KWSP.

GoGetters yang bekerja secara sambilan dengan majikan formal atau mereka yang berumur 55 tahun ke atas, turut digalakkan menyumbang melalui program caruman sendiri, yang terbuka kepada semua individu yang boleh menyumbang pada bila-bila masa sehingga maksimum RM60,000 setahun.

Ciri ini sangat fleksibel berikutan GoGetters dapat melaraskan kadar sumbangan mereka atau menarik diri daripada program itu pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata GoGetters memberi sumbangan yang besar kepada ekonomi, namun akan memberikan kesan buruk kepada sosioekonomi dalam masa terdekat sekiranya mereka dibiarkan tanpa jaringan keselamatan sosial untuk persaraan.

“Pandemik Covid-19 telah banyak mengubah landskap kerja dan kami melihat peningkatan mendadak bilangan individu yang bekerja sendiri di Malaysia.

“Bagi sesetengah orang, bekerja sendiri boleh menjadi laluan kerjaya yang menarik. Namun, ia tidak disertakan dengan pelan persaraan yang tersendiri. Di sinilah peranan KWSP menjadi penting kerana kami mahu mereka mendapat sokongan pelan persaraan rasmi untuk jaminan persaraan mereka,” katanya.

CEO GoGet Francesca Chia berkata GoGetters akan mendapat manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen dengan memulakan simpanan awal dan konsisten walaupun melibatkan jumlah yang kecil.

Sebagai contoh, individu yang menyimpan RM50 sebulan selama 30 tahun akan dapat mengumpulkan simpanan sebanyak RM47,000 selepas 30 tahun atau lebih dua kali ganda jumlah caruman mereka sebanyak RM18,000.

“Jika GoGetters menjimatkan RM140 sebulan, mereka akan dapat memaksimumkan insentif i-Saraan dan mengumpulkan RM131,000 di sebalik RM50,400 jumlah caruman dalam masa 30 tahun,” kata Chia.

Pada September 2021, KWSP telah menandatangani MoU dengan Grab Malaysia untuk tujuan yang sama.

Pada masa ini, lebih separuh daripada tenaga buruh Malaysia tidak dilindungi untuk jaminan pendapatan persaraan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP tutup sementara 10 cawangan dalam kawasan PKPD

KUALA LUMPUR, 4 JULAI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara beberapa pejabat dan kaunter perkhidmatan pelanggan bermula esok (5 Julai) sehingga dimaklumkan kelak, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang diumumkan kerajaan.

Menurut KWSP dalam kenyataan hari ini, pejabat-pejabat yang terlibat adalah KWSP Rawang, Shah Alam, Petaling Jaya, Puchong, Klang, Kajang dan Gombak di Selangor dan KWSP Kuantan, Jerantut dan Pekan di Pahang.

“Sehubungan itu, kesemua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh ini akan dibatalkan.

“Sekiranya ada keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP, ahli perlu membuat janji temu semula pada tarikh lain selepas tempoh PKPD,” katanya.

Menurut KWSP, keutamaan akan diberikan kepada janji temu yang dibuat untuk pengeluaran bagi umur 50, 55, 60, hilang upaya dan kematian setelah pejabat berkenaan beroperasi semula.

Bagi ahli yang telah membuat permohonan pengeluaran dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran dan cek jurubank, cawangan KWSP berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan Arahan Bayaran atau untuk melengkapkan transaksi pengeluaran di cawangan yang dipilih ahli.

Sepanjang tempoh ini, perkhidmatan lain seperti permohonan pengeluaran perumahan, umur 50, 55 dan 60 boleh dilakukan secara dalam talian melalui i-Akaun.

“KWSP akan terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan ketika berurusan di pejabat bagi memastikan keselamatan ahli dan anggota KWSP adalah terpelihara,” menurut kenyataan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kenyataan lama bayar dividen sehingga umur 75 tahun tidak lagi terpakai

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjelaskan bahawa kenyataan lama mengenai pembayaran dividen KWSP sehingga umur 75 tahun adalah tidak lagi terpakai.

Dana persaraan itu mengesahkan perkara tersebut hari ini selepas satu kenyataan mengenai umur maksimum bagi pembayaran dividen itu tersebar menerusi aplikasi WhatsApp dan platform media sosial yang lain.

“Kami menggesa kepada ahli supaya berwaspada terhadap maklumat tidak sahih yang dihebahkan melalui saluran media sosial, dan sentiasa mengesahkan sumber dan tarikh maklumat tersebut.

“Ahli juga dinasihatkan supaya tidak berkongsi atau menguar-uarkan maklumat yang tidak sahih,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seperti yang diumumkan oleh KWSP pada 3 November 2016, berkuat kuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.

Langkah ini diperkenalkan susulan pindaan ke atas Akta KWSP 1991, yang bertujuan membolehkan ahli yang memilih untuk mengekalkan simpanan di KWSP selepas persaraan untuk terus memanfaatkan gandaan dividen sehingga semua simpanan dikeluarkan oleh ahli.

KWSP berkata ia akan memaklumkan kepada ahli dan hanya akan memindahkan sebarang simpanan yang tidak dituntut apabila ahli berumur 100 tahun.

Sebarang tuntutan selepas pemindahan tersebut boleh dibuat melalui Pendaftar Wang Tidak Dituntut, katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP agih dividen 5.2 peratus bagi 2020

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang mencatatkan prestasi kukuh daripada aspek operasi dan kewangan bagi 2020 mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dana persaraan itu juga mengisytiharkan dividen sebanyak 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Dalam kenyataan pada Sabtu, KWSP menjelaskan jumlah agihan dividen keseluruhan bagi 2020 adalah RM47.64 bilion.

“Berdasarkan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah mengatasi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut,” menurutnya.

KWSP telah berjaya mencatatkan prestasi yang memberangsangkan pada 2020 walaupun mengharungi situasi yang luar jangka iaitu pandemik Covid-19, dan dalam persekitaran unik yang menyaksikan dunia berhadapan dengan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata dana persaraan itu berjaya melindungi simpanan persaraan ahli dengan baik, di samping memenuhi keperluan mendesak untuk mereka menangani cabaran semasa.

“Ada ketikanya, KWSP perlu mengambil keputusan yang sukar bagi memastikan ahlinya mampu bertahan dalam situasi semasa yang mencabar dan pada masa sama mengimbangi keperluan masa depan mereka,” katanya dalam kenyataan yang sama.

Beliau berkata penyebaran dan kebolehjangkitan Covid-19 yang pantas telah menyebabkan ia sukar dibendung dan dikawal.

Bagaimanapun, langkah proaktif KWSP dalam menangani kesan pandemik membantu dana persaraan itu untuk mengatasi pelbagai cabaran, katanya.

“Fokus ke arah digitalisasi telah membolehkan kami membantu ahli dengan lebih cekap dan lancar di samping memastikan KWSP tetap relevan dengan ahli yang kian celik teknologi.

“Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum,” katanya.

Ahmad Badri berkata KWSP juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.

Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian KWSP dengan norma kerja yang baharu, katanya.

“KWSP juga telah mengimbangi semula portfolio pelaburannya berdasarkan pertimbangan teliti yang menyeluruh.

“Ini mengambil kira pelbagai peristiwa global seperti pandemik Covid-19, ketidakpastian pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada November 2020, perang dagangan AS-China yang berterusan serta kesan daripada perundingan Brexit kepada pasaran modal di seluruh dunia,” katanya.

Bagi portfolio pelaburan pada 2020, KWSP menjelaskan susulan caruman yang lebih rendah pada tahun lepas, kemampuan KWSP menyesuaikan dengan keperluan semasa telah memastikan pelaburannya dapat memberikan pulangan mampan jangka panjang dalam keadaan norma baharu.

KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar tertinggi iaitu sebanyak RM60.98 bilion, dengan RM6.15 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah.

Prestasi yang baik ini adalah hasil pendekatan yang berhemat berpandukan Alokasi Aset Strategik (SAA) yang telah memastikan KWSP tetap berdaya tahan walaupun menghadapi krisis yang tidak dijangka, jelasnya.

Dana persaraan itu menekankan berdasarkan kelas aset, instrumen pendapatan tetap merangkumi 46 peratus daripada pelaburan, manakala ekuiti sebanyak 42 peratus.

Di samping itu hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing merangkumi lima peratus dan tujuh peratus daripada pelaburan, menurutnya.

Ahmad Badri berkata KWSP ialah pelabur jangka panjang dan kekal komited dengan program pempelbagaian merentasi kepelbagaian kelas aset, strategi, pengurus, pasaran, negara dan mata wang.

“Pendapatan daripada aset luar negara juga memainkan peranan penting bagi prestasi kami,” katanya.

Setakat Disember 2020, 33 peratus daripada aset pelaburan KWSP berada di luar negara, merangkumi pelbagai kelas aset, seperti ekuiti, khususnya ekuiti asing yang terus menjadi pemacu pulangan pendapatan pelaburan sebanyak RM28.71 bilion.

Sementara itu, portfolio ekuiti persendirian menunjukkan prestasi yang kukuh dengan agihan yang konsisten.

Menurut KWSP walaupun indeks-indeks saham utama mengalami penyusutan sebanyak 40 peratus pada suku tahun pertama, KWSP mengambil peluang mengimbangi portfolio dengan membeli aset yang kukuh pada harga yang berpatutan.

Pemulihan pada separuh kedua berikutan pasaran domestik dan global yang kian baik turut menyumbang kepada portfolio pelaburan KWSP dan ini memberi peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan, terutama pada suku keempat 2020, jelasnya.

KWSP juga mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira turun nilai kos sebanyak RM7.71 bilion daripada ekuiti tersenarainya untuk memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal baik, menurutnya.

Tahun lepas, KWSP juga memperkenalkan beberapa kemudahan pengeluaran, iaitu i-Lestari dan i-Sinar yang memerlukan rancangan kecairan yang mantap.

KWSP telah meningkatkan alokasi kepada portfolio instrumen pasaran wang bagi memenuhi keperluan tersebut. Portfolio instrumen pasaran wang menyumbang sebanyak RM1.19 billion kepada pendapatan KWSP, jelasnya.

“Hampir separuh daripada keseluruhan peruntukan aset KWSP dalam instrumen pendapatan tetap, yang merangkumi Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Bon Sama Taraf serta Bon dan Pinjaman, KWSP dapat mengekalkan pulangan yang stabil dan mengambil peluang untuk meraih keuntungan apabila kadar faedah mengalami penurunan, dengan pendapatan sebanyak RM25.42 bilion atau 42 peratus daripada jumlah keseluruhan pendapatan kasar KWSP,” menurutnya.

Kelas aset hartanah dan infrastruktur merekodkan pendapatan sebanyak RM5.66 bilion dengan kelas ini berhadapan cabaran yang tersendiri.

“Ini apabila Perintah Kawalan Pergerakan dan amalan bekerja dari rumah menjadi norma baharu dan memberi kesan kepada pendapatan yang lebih rendah daripada segmen tertentu dalam sektor hartanah.

“Bagaimanapun, keseluruhan portfolio tersebut terus memainkan peranan penting sebagai pelindung nilai terhadap inflasi dengan pulangan sekitar 50 mata asas melebihi instrumen pendapatan tetap,” jelasnya.

Aset pelaburan keseluruhan KWSP meningkat 7.9 peratus kepada RM998 bilion, dengan nilai pasaran mencecah RM1.02 trilion pada hujung 2020.

Jumlah ahli KWSP turut meningkat sebanyak dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

“KWSP kini memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen bagi Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi 2020,” menurut dana persaraan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPB: KWSP tutup sementara cawangan di Selangor, KL dan Labuan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menutup sementara semua pejabat termasuk kaunternya di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan mulai esok, (22 Oktober) sehingga diberitahu kelak.

KWSP dalam satu kenyataan hari ini berkata langkah itu diambil susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan arahan kerja dari rumah ke rumah yang dibuat baru-baru ini di lokasi berkenaan.

“Oleh itu, semua urusan Janji Temu Online (JTO) di pejabat KWSP di Selangor, Kuala Lumpur dan Labuan akan dibatalkan serta-merta dan anggota yang telah membuat temujanji sepanjang tempoh PKPB perlu menjadualkan semula janji temu mereka selepas perintah kawalan ditarik balik,” katanya.

Sementara itu, KWSP menggesa anggoita dan majikan untuk menggunakan perkhidmatan dalam talian KWSP, i-Akaun (Anggota) dan i-Akaun (Majikan), sambil menambah caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau di kaunter ejen bank yang berdaftar.

Dana ini menasihatkan anggota termasuk majikan untuk mendapatkan maklumat hanya daripada saluran rasmi KWSP dan menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungannya di talian 03-8922 6000 bagi penjelasan.

“KWSP mengambil pendirian untuk sangat berhati-hati berhubung dengan peningkatan jumlah kes COVID-19 di negeri-negeri ini dan di seluruh negara secara keseluruhannya.

“Walaupun kami memahami penutupan ini mungkin menimbulkan sedikit kesulitan kepada orang ramai, kami tetap fokus untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan anggota serta majikan yang melawat kaunter dan pejabat KWSP setiap hari,” tambahnya lagi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Lebih 50 peratus pencarum umur 54 tahun simpan kurang RM50,000

ALOR GAJAH, 26 SEPT: Sebanyak 54 peratus pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berumur 54 tahun mempunyai simpanan yang kurang daripada RM50,000 bagi menampung kehidupan mereka selepas bersara.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Operasi KWSP, Datuk Mohd Naim Daruwish berkata secara keseluruhan hanya 34 peratus pencarum aktif KWSP mencapai tahap simpanan asas mengikut umur.

Untuk rekod, sehingga kini KWSP mempunyai 14.6 juta pencarum aktif dan 530,000 majikan dengan jumlah dana yang diuruskan sebanyak RM940 bilion.

“Simpanan asas yang ditetapkan KWSP adalah RM240,000 kerana purata jangka hayat rakyat negara ini kini meningkat kepada 75 tahun dan secara amnya rakyat akan mengharungi tempoh persaraan yang agak lama iaitu sekitar 20 tahun, berdasarkan umur persaraan kebanyakannya berusia 55 tahun.

Keadaan ini membimbangkan dan berkemungkinan menjadi lebih serius pada masa akan datang sekali gus memberi kesan negatif kepada kesejahteraan hidup rakyat dan membebankan kerajaan,” katanya ketika berucap pada Program ‘Financial Well-Being’ dan Insentif i-Suri Peringkat negeri Melaka di sini semalam.

Program berkenaan dilancarkan Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mohd Naim berkata antara faktor menyebabkan simpanan pencarum masih kurang, disebabkan tahap literasi kewangan dalam kalangan rakyat masih rendah dan agak membimbangkan iaitu sekitar 36 peratus berbanding negara lain seperti Singapura pada kadar 59 peratus dan Myanmar 52 peratus.

Beliau berkata justeru itu, KWSP menggalakkan lebih ramai rakyat khususnya golongan bekerja sendiri, seperti peniaga dalam talian dan pemandu e-hailing berdaftar di bawah Program Caruman Sukarela Insentif Persaraan (i-Saraan) bagi menjamin masa depan terutamanya sepanjang persaraan mereka.

Katanya sehingga Jun lepas, hanya 255,958 individu dari seluruh negara telah berdaftar di bawah i-Saraan.

i-Saraan adalah inisiatif kerajaan untuk memastikan golongan bekerja sendiri mempunyai simpanan apabila mencapai umur persaraan dengan membuat bayaran atau caruman secara sukarela mengikut kemampuan dan tidak melebihi RM60,000 setahun.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP catat pendapatan pelaburan kasar RM15.12 bilion bagi suku kedua

KUALA LUMPUR, 19 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM15.12 bilion bagi tempoh suku kedua (Q2) berakhir 30 Jun 2020.

Menurut dana persaraan itu, ekuiti menyumbang sebanyak 54 peratus atau RM8.11 bilion kepada jumlah pendapatan kasar.

Instrumen pendapatan tetap menyumbang sebanyak RM6.17 bilion manakala sektor hartanah dan infrastruktur serta instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang RM0.47 bilion dan RM0.37 bilion, demikian menurut kenyataan KWSP hari ini.

Pendapatan pelaburan bersih adalah sebanyak RM13.46 bilion selepas mengambil kira penurunan nilai kos di atas ekuiti tersenarai iaitu amalan berhemah KWSP dalam memastikan portfolio pelaburan jangka panjang kekal sihat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tunku Alizakri Alias berkata keadaan mencabar serta tidak menentu bermula awal 2020 lepas juga tidak menunjukkan tanda pemulihan berikutan isu-isu seperti ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China serta penurunan harga minyak, masih berterusan dan Covid-19 terus memburukkan keadaan di negara-negara kurang bersedia menghadapinya.

Pelaksanaan perintah berkurung oleh ekonomi utama dunia serta penutupan sempadan turut menjejaskan rangkaian bekalan, seterusnya mengakibatkan kemerosotan dalam pelbagai sektor dan industri, katanya.

“Alokasi Aset Strategik (SAA) KWSP yang menjadi panduan kami untuk menstruktur pelaburan dan portfolio, telah membantu dalam mengharungi tempoh separuh tahun pertama yang sangat tidak menentu. Sebagai contoh, pendedahan pelaburan dalam instrumen pendapatan tetap telah membolehkan kami untuk kekal teguh semasa tempoh kemerosotan pada permulaan suku kedua.

“Ini diikuti dengan kenaikan indeks FBM KLCI dan pemulihan pasaran global pada penghujung suku berkenaan berikutan pembukaan semula ekonomi secara berperingkat,” katanya.

Bagi masa hadapan, Alizakri menegaskan bahawa KWSP akan kekal berwaspada berikutan kemungkinan berlakunya gelombang kedua Covid-19 yang boleh memburukkan lagi kelemahan ekonomi di negara-negara yang masih bergelut dengan impak gelombang pertama.

SAA KWSP memperuntukkan sebanyak 51 peratus kepada instrumen pendapatan tetap, 36 peratus kepada ekuiti, 10 peratus bagi hartanah dan infrastruktur serta 3 peratus kepada instrumen pasaran wang sebagai satu rangka kerja untuk mengoptimumkan pulangan jangka panjang dalam lingkungan had risiko yang boleh diterima.

KWSP berkata, strategi pelaburan luar negara yang berpandukan SAA juga telah membantu menambah nilai prestasi keseluruhan bagi suku tersebut.

Pada akhir Jun 2020, aset pelaburan KWSP adalah sebanyak RM929.64 bilion dan 30 peratus daripadanya dilaburkan di luar negara.

Setakat Q2 2020, sebanyak 39 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan kasar yang dicatatkan adalah hasil sumbangan pelaburan KWSP di luar negara.

“Pendapatan luar negara itu didorong oleh pemulihan dalam pasaran ekuiti global pada suku kedua tahun ini dan membolehkan KWSP kekal berdaya tahan berikutan kemelesetan pada suku pertama tahun ini.

“Instrumen pendapatan tetap turut menyumbang pendapatan yang lebih tinggi dalam persekitaran kadar faedah rendah yang memberi lebih banyak peluang kepada KWSP untuk meraih keuntungan,” katanya.

Bagi tempoh separuh tahun kedua 2020, Alizakri berkata KWSP masih mengambil langkah berhati-hati kerana walaupun semakin banyak negara melonggarkan perintah kuarantin dan membuka semula pasaran masing-masing, tiada jaminan vaksin Covid-19 dapat disiapkan dalam masa terdekat.

“Melihatkan situasi di luar jangkaan ini, kami berpuas hati kerana berjaya mencatat prestasi yang kukuh di samping mengimbangkan keperluan aliran tunai segera dengan kepentingan jangka panjang untuk memastikan kecukupan simpanan persaraan ahli KWSP serta pulangan pelaburan yang mampan.

“Di masa hadapan, adalah amat penting bagi KWSP untuk terus melabur dalam aset yang kukuh, khususnya dalam syarikat-syarikat yang telah menunjukkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan norma baharu,” katanya.

Beliau berkata ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dana persaraan itu telah menyediakan beberapa langkah bantuan kecemasan untuk membantu meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh ahli dan majikan.

Ini termasuk kemudahan Pengeluaran i-Lestari yang membenarkan ahli membuat pengeluaran bulanan antara RM50 hingga RM500 bermula April 2020 hingga Mac 2021, tertakluk kepada baki Akaun 2 mereka.

Setakat 30 Jun 2020, KWSP telah meluluskan sebanyak 4.35 juta permohonan dengan jumlah pengeluaran kumulatif antara bulan April dan Jun 2020 bernilai RM3.79 bilion.

Selain itu, KWSP juga telah menerima sebanyak 37,888 permohonan (sehingga 3 Julai 2020) untuk Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP) yang membolehkan majikan memohon penangguhan dan menstruktur semula caruman syer majikan yang mana sejumlah 10,528 permohonan berjumlah RM70.4 juta telah diluluskan.

Kemudahan itu adalah berikutan lanjutan tarikh akhir untuk majikan membayar caruman wajib bagi bulan Mac 2020 dan seterusnya untuk Mei hingga Disember 2020, kata KWSP.

Bagi tempoh sama, KWSP juga telah mengurangkan caj jualan yang dikenakan oleh institusi pengurusan dana untuk tempoh 12 bulan sehingga 30 April 2021 yang mana pelaburan melalui ejen menyaksikan kadar caj jualan dikurangkan daripada kadar maksimum 3 peratus kepada kadar maksimum 1.5 peratus manakala tiada sebarang caj jualan dikenakan bagi pelaburan melalui i-Invest dalam i-Akaun (Ahli).

Selain itu, Alizakri berkata, KWSP juga komited dalam penggunaan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) sebagai teras dalam proses membuat keputusan pelaburan.

“Mengambil kira tahap ketidaktentuan dan ketidakpastian yang kian meningkat dan menjadi satu kebiasaan, amalan ESG yang teguh akan menjadi satu keperluan. Kami juga yakin ia akan membolehkan ekonomi, industri, dan syarikat untuk lebih menyesuaikan diri dan lebih berdaya tahan dalam menghadapi krisis,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengeluaran, aktif i-Akaun mudah alih disambung semula 6 Mei- KWSP

KUALA LUMPUR, 4 MEI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menyambung semula perkhidmatan Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun mudah alih bermula Rabu, 6 Mei, di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara.

KWSP berkata perkhidmatan itu boleh didapatkan di cawangan yang terletak di negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) termasuk Selangor dan Negeri Sembilan.

Cawangan yang terletak di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, Pahang, Sabah dan Sarawak akan kekal tutup sehingga dimaklumkan kelak, kata dana pencen itu dalam satu kenyataan hari ini.

“KWSP faham bahawa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac 2020 adalah satu langkah yang perlu tetapi kami juga amat bimbang apabila PKP dilanjutkan kerana ia akan menyebabkan perkhidmatan yang memerlukan transaksi bersemuka seperti pengeluaran dan pengaktifan i-Akaun di cawangan akan terganggu.

“Berikutan pengumuman PKPB baru-baru ini, kami ingin mengumumkan penyambungan semula beberapa perkhidmatan ini di cawangan-cawangan yang diluluskan di seluruh negara,” kata Ketua Pegawai KWSP Tunku Alizakri Alias.

Beliau berkata, bagi menjaga kesihatan dan keselamatan ahli dan kakitangan, KWSP akan mengenakan beberapa syarat yang ketat di cawangannya antara lainnya termasuklah mengehadkan pendedahan ahli dan kakitangan sepanjang masa dengan hanya menyediakan transaksi yang mudah dan cepat yang tidak memerlukan kontak secara fizikal iaitu Pengeluaran Umur 50/ 55/ 60 dan pengaktifan i-Akaun.

Para majikan tidak dibenarkan untuk hadir di cawangan kerana semua perkhidmatan boleh dilakukan dengan menghubungi pegawai Khidmat Nasihat Majikan masing-masing dan semua ahli dikehendaki mematuhi langkah-langkah penjarakan sosial yang ditetapkan ketika hadir di cawangan.

Menurutnya, ahli hanya boleh hadir di cawangan dengan membuat janji temu melalui saluran ‘Janji Temu Online’ di laman sesawang www.kwsp.gov.my bermula Selasa, 5 Mei 2020.

“Saya memohon kemurahan hati dan kesabaran ahli agar KWSP boleh beralih kepada norma baharu ini secepat mungkin. InshaAllah, dalam tempoh yang terdekat, kami akan dapat menyediakan keseluruhan produk kami dengan perkhidmatan yang berkualiti melalui semua saluran fizikal (cawangan, jangkauan dan kios) serta saluran elektronik (pusat perhubungan, laman sesawang dan mudah alih),” kata Tunku Alizakri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1.5 juta permohonan i-Lestari KWSP diluluskan

KUALA LUMPUR, 21 APRIL: Sehingga 17 April, 2020, sebanyak 1.5 juta daripada 2.8 juta permohonan i-Lestari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah diluluskan, melibatkan pengeluaran sebanyak RM702 juta bagi bulan Mei 2020, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Melalui permohonan tersebut yang dianggarkan berjumlah RM40 bilion, pencarum KWSP boleh memilih untuk mengeluarkan RM500 sebulan selama 12 bulan daripada Akaun 2 KWSP mereka bagi meringankan beban yang dihadapi.

Dalam perkongsian laporan kedua Pencapaian Prihatin – Laksana di laman Facebook beliau, Zafrul berkata permohonan tersebut diharap dapat meringankan beban mereka semasa negara menghadapi kesulitan ekonomi disebabkan wabak Covid-19.

Beliau berkata enam daripada 10 langkah utama dalam Pakej Prihatin yang bernilai RM180 bilion telah bermula, iaitu moratorium, i-Lestari, BPN dan subsidi upah.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Perkhidmatan Nasihat Majikan (EAS) di bawah KWSP akan dibuka untuk permohonan mulai 24 April 2020.

“Antara perkhidmatan yang ditawarkan adalah untuk PKS yang layak menangguhkan caruman majikan KWSP. Saya berharap majikan akan mendapat sokongan yang sewajarnya daripada KWSP demi kelangsungan perniagaan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan menjangka nilai kemudahan EAS ini adalah sebanyak RM10 billion dan akan membantu majikan dari segi pengurusan aliran tunai dan pengurangan kos operasi dalam jangka masa PKP dan pasca-PKP untuk kemampanan perniagaan.

Katanya di bawah KWSP juga, caruman bulanan pekerja telah dikurangkan daripada 11 peratus kepada 7 peratus.

Namun, katanya pekerja diberi pilihan untuk mengekalkan kadar carumannya dan sehingga 17 April, 600,000 atau 8 peratus pekerja memilih untuk tidak mengurangkan caruman mereka.

“Manakala bagi pekerja yang meneruskan pengurangan caruman, ia dijangka akan menambah sebanyak RM1.1 bilion pendapatan boleh guna kepada mereka pada April ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: KWSP Jalan Raja Laut ditutup sementara

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut mengambil langkah proaktif menutup pejabat di cawangan itu mulai semalam sehingga 13 Mac bagi proses disinfeksi ruang pejabat dan kawasan persekitaran.

Menurut kenyataan KWSP semalam, pejabat itu akan beroperasi semula pada Isnin depan (16 Mac).

Penutupan pejabat itu adalah susulan seorang ahli KWSP disahkan positif Covid-19 dan dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Ahli itu berurusan di pejabat KWSP Kuala Lumpur, Jalan Raja Laut pada 27 Februari 2020 (2 hingga 2.30 petang) dan disahkan positif pada 3 Mac 2020. Namun, tiada sebarang pengesahan sama ada ahli itu telah dijangkiti Covid-19 sebelum beliau berurusan di pejabat KWSP.

“Kami telah mengenal pasti pegawai KWSP yang berkemungkinan terdedah kepada ahli itu dan telah menghantar mereka untuk menjalani pemeriksaan. Pegawai-pegawai lain dari pejabat itu juga dikuarantin. KWSP sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk sebarang tindakan lanjutan,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, kaunter KWSP di lokasi lain akan beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, ahli digalakkan membuat transaksi secara dalam talian melalui aplikasi i-Akaun kecuali bagi urusan yang memerlukan kehadiran ke kaunter KWSP.

KWSP juga telah menjalankan langkah-langkah awal pencegahan sejak Februari 2020 untuk meminimumkan risiko pendedahan kepada jangkitan Covid-19.

“Semua kaunter dan permukaan yang terdedah di premis KWSP dibersihkan secara berterusan sepanjang hari. Pegawai kaunter juga dikehendaki membersihkan tangan mereka setiap 30 minit.

“Pelawat-pelawat juga perlu menjalani pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis KWSP,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP sambut baik keputusan kekalkan status pemilikan PLUS

KUALA LUMPUR, 17 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyambut baik keputusan kerajaan untuk mengekalkan status pemilikan PLUS Malaysia Berhad.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Tunku Alizakri Raja Muhammad Alias berkata pihaknya menerima baik keputusan yang telah dimuktamadkan dan arahan jelas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan masa depan konsesi lebuh raya itu.

“Keputusan ini akan meredakan spekulasi yang lama berlarutan dan membolehkan semua pihak melangkah hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Awal hari ini Pejabat Perdana Menteri mengumumkan bahawa caj tol bagi pengguna kenderaan persendirian yang memasuki lebuh raya kendalian PLUS akan dikurangkan sebanyak 18 peratus berkuat kuasa 1 Februari dan tidak akan ada kenaikan tol sehingga 2058.

Keputusan berkaitan perkara itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet pada 15 Januari.

“Keputusan ini menunjukkan kerajaan amat peka terhadap keperluan melindungi kepentingan 14.6 juta ahli KWSP.

“Pengurangan kadar tol juga membawa manfaat kepada ahli KWSP yang merupakan sebahagian besar daripada 1.7 juta pengguna harian lebuhraya PLUS,” kata Tunku Alizakri.

Beliau berkata, KWSP yang juga pemegang Sukuk PLUS, akan bekerjasama dengan pemegang-pemegang Sukuk yang lain untuk memastikan kepentingan bersama dilindungi.

Beliau melahirkan keyakinan bahawa kerajaan akan menerima baik input daripada mereka dan “bertindak sewajarnya. ”

Tunku Alizakri berkata KWSP akan bekerjasama rapat dengan PLUS dan pihak-pihak berkaitan untuk melaksanakan pengurangan kadar tol 18 peratus secepat yang mungkin memandangkan tempoh masa yang singkat dan cabaran pelaksanaannya.

-BERNAMA