Categories
PBT SELANGOR

MPK jual buku kupon parkir RM1, ringan beban pascabanjir

SHAH ALAM, 29 JAN: Majlis Perbandaran Klang (MPK) menjual buku kupon parkir serendah RM1 yang boleh digunakan mulai bulan ini sehingga Mac, sebelum beralih ke digital sepenuhnya.

Diskaun 60 peratus berbanding harga asal RM2.50 bagi menyokong inisiatif Bantuan Selangor Bangkit dan meringankan beban masyarakat pascabanjir, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Menurut Norfiza Mahfiz, harga kupon bulanan pula dijual pada kadar RM40 sekeping iaitu diskaun 50 peratus manakala RM100 bagi pembelian tiga keping kupon.

“Orang awam boleh mendapatkan kupon pada harga istimewa di kaunter MPK berhampiran,” katanya.

Sebelum ini, MPK mengambil beberapa inisiatif untuk membantu mangsa banjir antaranya mengubah laluan Bas Smart Selangor selama sebulan sehingga 7 Februari bagi memudahkan pergerakan mereka.

Pada 4 Januari lalu, EXCO kerajaan tempatan memaklumkan orang ramai masih boleh menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan sehingga hujung Mac.

Ng Sze Han berkata keputusan melanjutkan kaedah itu bagi membolehkan masyarakat menghabiskan kupon sedia ada yang tidak digunakan susulan Perintah Kawalan Pergerakan.

 

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Boleh guna kupon parkir gores hingga hujung Mac

SHAH ALAM, 4 JAN: Orang ramai masih dibenar menggunakan kupon parkir bergores di seluruh pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sehingga hujung Mac.

Keputusan melanjutkan kaedah yang sepatutnya berakhir semalam membolehkan masyarakat menghabiskan kupon sedia ada, kata EXCO kerajaan tempatan.

“Mungkin sebelum ini Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai individu duduk di rumah dan kurang menggunakan kupon itu, justeru saya menyeru segera habiskan sebelum 31 Mac.

“Mereka juga perlu bersedia untuk beralih ke arah sistem parkir digital dengan memuat turun aplikasi Smart Selangor Parking (SSP),” kata Ng sze Han ketika dihubungi.

Beliau yakin semua pihak boleh menerima sistem berkenaan yang lebih mudah dan cepat, yang dimuat turun sekitar 1.7 juta pengguna setakat ini.

Kerajaan Selangor memansuhkan penggunaan kupon parkir kertas gores dan menguatkuasakan e-kupon melalui aplikasi SSP, yang boleh dimuat turun di App Store atau Google Play Store.

Sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 1-700-81-9612, atau e-mel [email protected].