Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MBI sedia dana RM5 juta kepada UPM, perkasa penyelidikan

SERDANG, 1 NOV: Sebanyak RM5 juta dana endowmen akan disediakan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI kepada Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi tujuan penyelidikan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyelidikan berkaitan ekonomi dan pengurusan di Malaysia dan dunia itu dilakukan selepas penubuhan Kursi MB Selangor.

“Ini situasi menang-menang di mana kajian-kajian tersebut akan segera kita gunakan dan dijadikan panduan.

“Pada masa sama UPM dapat mengembangkan kajian… sekali gus meningkatkan kualiti dan taraf universiti ini sebagai universiti terkemuka di Malaysia dan juga dunia suatu hari nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penubuhan Kursi MB Selangor antara MBI dan UPM di Bangunan Canselori UPM di sini, hari ini.

Amirudin berkata beliau yakin kerjasama itu mampu memberikan hasil dan impak yang besar kepada kedua-dua pihak sama ada UPM atau Kerajaan Negeri.

“Kita sediakan endowmen RM5 juta…saya percaya endowmen sebagai contoh pelaburan…dan dikembangkan menjadi pinjaman dan biasiswa kepada mereka yang kita akan letak di Kursi ini,” katanya.

Bentuk kajian akan dicadangkan sendiri pengisi Kursi di mana kemudiannya jawatankuasa profesional akan menilai cadangan kajian berkenaan.