Categories
AGENSI SELANGOR

Banjir: Lapan kawasan alami gangguan operasi kutip sampah

SHAH ALAM, 20 DIS: Susulan banjir luar biasa yang melanda negeri ini Sabtu lalu, beberapa kawasan mengalami gangguan pengoperasian kutipan sisa pepejal.

Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata daerah yang terlibat ialah Klang, Shah Alam, Kajang, Ampang Jaya dan Kuala Langat.

“Kerja kutipan sampah domestik dan pukal mengalami sedikit kelewatan dan kesukaran disebabkan
terdapat kawasan yang ditutup serta beberapa lori mengalami kerosakan ekoran bencana ini.

“Kami memohon agar penduduk untuk meletakkan sisa domestik di tong sampah atau kebuk sampah
manakala sampah pukal di hadapan rumah atau di tong roll-on-roll-off (RORO) yang disediakan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, operasi kutipan akan dijalankan secara beransur-ansur dan mungkin mengambil sedikit masa
untuk selesai.

“Untuk makluman, beberapa jalan ke tapak pelupusan masih ditutup menyebabkan proses pelupusan sampah turut mengalami kesukaran dan kelewatan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Fara Fauzana sertai Team Selangor gotong-royong pesisir Pantai Remis

KUALA SELANGOR, 3 OKT: Penyampai radio popular Fara Fauzana menyertai program mengutip sampah sepanjang 500 meter di persisir Pantai Remis anjuran Team Selangor hari ini.

Pengacara dan penyampai radio, Farah Fauzana bercakap kepada media selepas bergotong-royong pada program Clean & Clear Beach Cleanup @ Pantai Remis, Kuala Selangor pada 3 Oktober 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Fara, 39, berkata beliau secara sukarela menyertai aktiviti berkenaan memandangkan manfaatnya yang besar kepada alam sekitar.

“Saya ikut perkembangan Team Selangor di media sosial untuk mengetahui aktiviti dalam negeri. Saya lihat program ini sangat sesuai disamping saya juga merupakan anak Selangor.

“Jadi saya perlu manfaatkan aktiviti berkait negeri. Inisiatif Team Selangor ini juga sesuatu yang bagus dan memberi kesedaran kepada masyarakat,” katanya

Beliau ditemui pada Program Clean & Clear Beach Cleanup @Pantai Remis. Majlis dirasmikan Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Majlis bermula 9 pagi hingga 12.30 tengah hari itu melibatkan kira-kira 100 sukarelawan terdiri dari ahli Team Selangor dan orang awam.

Program berkenaan merupakan siri pertama gotong royong pasukan terbabit di tempat awam dan dijangka sembilan lokasi lagi akan menjalani aktiviti sama sehingga Disember nanti.

Categories
SELANGOR

Masalah Sampah Selangor Hanya Sementara

SHAH ALAM, 2 APRIL: Masalah kutipan sampah yang digembar-gemburkan oleh media-media arus perdana telah beransur pulih dan berjalan seperti sediakala.

Menurut Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN), Azhar Mohd Ali, masalah yang berlaku sebelum ini hanyalah bersifat sementara sebelum kontraktor terbabit dapat mengenal pasti kawasan kutipan sampah.

“Bila kontraktor baru, dia tak tahu kawasan mana nak kutip atau rumah mana nak kutip. Cuma peringkat awalnya kira ada yang tersesat.

“Tetapi sekarang dah balik semula ke normal, berjalan seperti sediakala,” kata beliau ketika dihubungi hari ini.

Menurut beliau lagi, masalah yang berlaku ini bukanlah suatu perkara baru yang berlaku di Selangor tetapi sengaja diperbesarkan oleh pihak tertentu untuk kepentingan politik mereka.

“Dulu pun memang dah ada masalah tapi sebab sekarang kontraktor baru. Jadi bila baru, dia belum tahu kawasan dan sebagainya.

“Tetapi masalah itu sebulan dua sahajalah. Lepas itu, macam sekarang ini dah tak ada masalah lagilah.

“Memang biasalah politik. Tapi sekarang semua Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkerja keras, berkerja kuat dan kalau ikut graf, aduan memang dah nampak trend penurunanlah,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun menurut Azhar, walaupun perkhidmatan pungutan sampah semakin bertambah baik, kerja-kerja yang dijalankan kontraktor yang dilantik terus dipantau dari masa ke semasa.

“Memanglah masalah pungutan sampah dah selesai sekarang. Tetapi kerja-kerja kontraktor yang dilantik tetap dipantau dari masa ke semasa.

“Mana-mana kontraktor yang bermasalah kita gantung dan digantikan dengan kontraktor ‘back-up’ yang tersedia,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

MB Gesa Masyarakat Sokong PBT Kutip Sampah

PETALING JAYA, 5 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa masyarakat setempat supaya bersama-sama berganding bahu dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mewujudkan persekitaran yang bersih dan selamat didiami.
Beliau menyampaikan amanat itu dalam ucapannya di Majlis Mesra Gong Xi Fa Cai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) 2012 yang diadakan di perkarangan parkir Dewan Sivik MBPJ malam tadi.

“Saya mahu semua memberi sokongan tentang usaha membersihkan sampah kerana ia sekarang di bawah bidang kuasa majlis bandaraya.

“Ini kerana kamu semualah pemilik kepada bandaraya ini. Duit yang dibelanjakan bagi usaha ini juga hak rakyat. Maka kita mahu penglibatan semua masyarakat menjayakannya,” tegas Abdul Khalid.

Sebelum ini, kerja-kerja pengutipan sampah dilakukan oleh syarikat Alam Flora Sdn Bhd sebelum diambil alih sepenuhnya oleh kerajaan Selangor melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) pada September tahun lepas.

Usaha ini bagaimanapun diganggu pihak-pihak tertentu yang cuba menggagalkan kerja pembersihan sampah-sampah oleh PBT dengan mengugut kontraktor kutipan sampah dan membuang longgokan sampah di kawasan perumahan.

Pada majlis yang sama, MBPJ merealisasikan konsep hijau selaras dengan hasratnya menjadikan Petaling Jaya sebuah bandaraya hijau berkarbon rendah.

Majlis malam tadi mengaplikasikan penggunaan bekas makanan yang berasaskan bahan bio-degaradable serta kehadiran maskot kitar semula 3R dan pameran hijau.

Disamping kehadiran dua ribu pengunjung, majlis turut diserikan dengan kehadiran EXCO Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Haji Mohamad Roslan Sakiman serta ahli-ahli majlis MBPJ.