Categories
AGENDA NASIONAL

Pengeluaran khas KWSP RM101 bilion manfaatkan 7.34 juta ahli

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Kementerian Kewangan hari ini berkata tiga pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra telah memanfaatkan 7.34 juta ahli atau 58 peratus daripada 12.6 juta ahli berumur di bawah 55 tahun.

Kementerian berkenaan dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini berkata jumlah itu melibatkan amaun pengeluaran bernilai RM101 bilion dan bayaran bagi pengeluaran i-Citra berakhir pada Februari 2022.

Namun begitu, Kementerian Kewangan berkata implikasi pengeluaran khas khususnya daripada Akaun 1 telah memberikan kesan jangka panjang iaitu pengurangan jumlah simpanan persaraan yang ketara kepada ahli terlibat.

“Daripada keseluruhan ahli KWSP di bawah umur 55 tahun, setakat 31 Disember 2021, seramai 6.1 juta ahli atau 48 peratus hanya mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP setelah majoriti ahli mengeluarkan simpanan melalui i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.

“Amaun RM10,000 menunjukkan ahli dijangka hanya mempunyai pendapatan persaraan yang kurang daripada RM42 sebulan untuk tempoh 20 tahun,” kata kementerian itu.

Selain itu, pengeluaran khas tersebut juga telah menyebabkan penurunan ketara dalam peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada 30 peratus pada akhir 2021.

Keadaan ini secara langsung menunjukkan bahawa 70 peratus atau lebih dua pertiga daripada ahli berumur 55 tahun dan ke bawah berada dalam situasi yang serius di mana jumlah dana mereka tidak cukup untuk bersara melebihi paras kemiskinan.

“KWSP menganggarkan ahli perlu bekerja antara 4-6 tahun tambahan untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan semasa pandemik.

“Sehubungan itu, sebarang pengeluaran tambahan i-Citra atau pengeluaran khas baharu akan menjejaskan lagi isu ketidakcukupan simpanan persaraan yang kini telah pun berada pada tahap yang amat membimbangkan,” kata Kementerian Kewangan.

Berdasarkan statistik KWSP, jumlah caruman bagi tahun 2021 menunjukkan peningkatan sebanyak 2.6 peratus iaitu sebanyak RM71.8 bilion berbanding RM70 bilion pada 2020.

Data tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa dengan pembukaan semula ekonomi di mana perniagaan boleh beroperasi sepenuhnya membolehkan pekerja kembali bekerja dan memperoleh pendapatan bagi menampung kehidupan.

Lanjutan itu, kementerian tersebut berkata pelbagai pihak seperti kesatuan pekerja telah menyatakan pendirian bahawa sebarang pengeluaran tambahan akan menjejaskan kecukupan simpanan hari tua ahli, menambah beban kewangan kerajaan pada masa hadapan dan bercanggah dengan objektif penubuhan KWSP.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP umum dividen simpanan konvensional 6.1 peratus, syariah 5.65 peratus

KUALA LUMPUR, 2 MAC: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan kadar dividen 6.10 peratus untuk simpanan konvensional bagi 2021 dengan jumlah pembayaran sebanyak RM50.45 bilion, mengatasi dividen 5.45 peratus yang diisytiharkan semasa sebelum pandemik pada 2019.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Amir Hamzah Azizan juga mengumumkan kadar dividen 5.65 peratus bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah pembayaran sebanyak RM6.27 bilion mengatasi 5.0 peratus yang direkodkan pada 2019.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran bagi 2021 adalah sebanyak RM56.72 bilion.

Beliau berkata dividen tinggi pada 2021 itu adalah sebahagian daripada portfolio kukuh dan yang dipelbagaikan oleh dana pencen tersebut di peringkat global.

“Pengeluaran berkaitan pandemik sebanyak RM101 billon sejak tahun 2020 telah menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai amaun kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Kami berharap dividen ini dan prestasi kukuh berterusan kami akan membantu kami memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahli-ahli kami, seiring dengan pemulihan ekonomi,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi kewangan 2021 KWSP, di sini, hari ini.

Menurutnya, kebimbangan utama terhadap pengeluaran itu adalah impaknya kepada kecukupan persaraan ahli.

Bagaimanapun, katanya, meskipun cabaran menguruskan kecairan dalam menghadapi aliran keluar simpanan ini, KWSP mempunyai keupayaan untuk bertindak balas pantas dengan impak yang minimum kepada pasaran kewangan.

Bagi 2021, Amir Hamzah berkata KWSP telah mengimbangi semula dan menguruskan portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh asasnya pada harga menarik serta memanfaatkan pelaburannya di luar negara yang menyumbang 56 peratus kepada keseluruhan pulangannya.

Setakat 31 Disember 2021, beliau berkata KWSP merekodkan peningkatan 6.0 peratus dalam pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, dipacu daripada pemulihan pasaran ekuiti dan kebanyakan kelas aset di tengah-tengah lantunan semula ekonomi global.

“Bagi 2021,KWSP merekodkan caruman bersih yang negatif buat pertama kalinya (caruman selepas pengeluaran) dalam tempoh 20 tahun sebanyak RM58.2 bilion, tetapi masih kekal berhemat dalam strategi pelaburan jangka panjangnya di samping menyesuaikan diri dengan cabaran untuk memastikan pulangan mampan bagi tempoh jangka panjang.

“KWSP merekodkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM67.06 bilion, dengan RM6.91 bilion diperuntukkan kepada Simpanan Shariah,” katanya.

Amir Hamzah berkata prestasi itu disumbang daripada usaha pendekatan kepelbagaian KWSP mengikut panduan daripada Peruntukan Aset Strategik (SAA), yang menjadikan dana pencen itu mampu bertahan daripada kejutan kewangan dan terus stabil dalam situasi yang belum pernah berlaku.

“Mengikut kelas aset, instrumen Pendapatan Tetap membentuk 45 peratus daripada pelaburan, manakala Ekuiti terdiri daripada 44 peratus. Hartanah dan Infrastruktur serta instrumen Pasaran Wang masing-masing membentuk 6.0 dan 5.0 peratus daripada aset KWSP,” katanya.

Pengkreditan dividen bagi Simpanan Konvensional dan juga Simpanan Shariah dijangka selesai pada 6 Mac, 2022 dan ahli-ahli boleh memeriksa akaun mereka menerusi i-Akaun atau mendapatkan penyata mereka daripada kioks KWSP di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ahli ekonomi unjur dividen KWSP sekitar 5.2 hingga 6.0 peratus

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Beberapa ahli ekonomi menjangkakan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan mengumumkan dividen lebih menarik bagi 2021 iaitu sekitar 5.2 peratus hingga 6.0 peratus, didorong oleh peningkatan pendapatan pelaburan kasar dana tersebut selain prestasi pasaran modal yang positif.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata jumlah pendapatan pelaburan kasar KWSP bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021, meningkat sebanyak 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM48.02 bilion berbanding tempoh sama pada 2020.

“Atas alasan itu, ada kemungkinan kadar dividen akan datang ini jauh lebih baik berbanding 2020. Saya berpendapat, angka tersebut mungkin sekurang-kurangnya menyamai paras 2020 atau jauh lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, beliau mengunjurkan kadar dividen bagi 2021 itu dalam jajaran 5.20 peratus hingga 5.40 peratus.

Pada 2020, dana persaraan itu mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.2 peratus yang membabitkan agihan sebanyak RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan 4.9 peratus bagi Simpanan Syariah yang berjumlah RM4.76 bilion.

Menurut Mohd Afzanizam, terdapat peluang bagi kadar dividen lebih baik sekiranya pendapatan korporat KWSP bagi tempoh suku keempat mencatat kenaikan.

Malah, KWSP juga dilihat mempelbagaikan portfolionya ke pasaran luar negara dengan pendapatan daripada ekuiti asing pula memberi sumbangan besar kepada jumlah pendapatan yang diperolehnya.

“Oleh itu, strategi pempelbagaian portfolio KWSP terbukti membuahkan hasil dan ini boleh disalurkan dalam bentuk pemberian kadar dividen lebih mampan di masa depan,” katanya.

Mengulas pengeluaran khas di bawah skim i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra dana persaraan itu, beliau berkata pengeluaran tersebut berkemungkinan besar tidak memberi impak ketara terhadap prestasi dividen tersebut.

Mohd Afzanizam juga percaya pada masa sama, ekonomi negara berjaya mencatat pertumbuhan pada kadar positif pada 2021 dan kadar pengangguran semakin susut kepada 4.2 peratus pada Disember 2021 daripada paras tinggi sehingga 5.3 peratus dalam pertengahan 2020.

Sehubungan itu, katanya, caruman baharu ahli KWSP berserta pelaburan aset yang matang dapat menampan aliran pengeluaran tersebut.

Sementara itu, Profesor Ekonomi di i-CATS University College Kuching, Datuk Shazali Abu Mansor pula menjangkakan KWSP mengumumkan kadar dividen dalam lingkungan 5.5 peratus hingga 6.0 peratus bagi tahun lepas susulan prestasi pelaburan kasar yang lebih baik.

“Dividen sepatutnya meningkat seiring dengan (prestasi) pendapatan. Oleh itu, bagi 2021, kadar berkenaan seharusnya melebihi 5.2 peratus. Jika kurang daripada itu, ianya dilihat sebagai tidak seimbang,” katanya.

Ketua Ahli Ekonomi dan Penyelidik Ambank Group Anthony Dass berkata biarpun terdapat beberapa cabaran di peringkat domestik, prestasi keseluruhan pasaran modal tempatan adalah menggalakkan dan ini mungkin membawa kepada pembayaran dividen sekitar 5.45 peratus hingga 6.0 peratus.

“Dalam keadaan ekonomi yang mulai pulih, semakin ramai yang mendapat pekerjaan dan turut mewujudkan peluang pekerjaan daripada perniagaan baharu. Ini sekali gus dapat membantu dari segi penambahan semula simpanan KWSP.

“Bagaimanapun, untuk membolehkan paras simpanan itu mencecah sepertimana paras 2019, ia akan turut bergantung kepada jumlah caruman masa depan yang dimasukkan ke dalam KWSP.

“Selain itu, pada masa sama, aspek liputan dan jaminan perlindungan sosial terutama melibatkan kalangan yang bekerja sendiri dan mereka dalam sektor tidak formal juga perlu dipertingkat,” katanya.

Dalam pada itu, menyentuh prospek bagi 2022, Mohd Afzanizam berkata sebarang senario yang menyaksikan kenaikan kadar faedah akan membantu dari segi peningkatan pendapatan tetap KWSP dan instrumen pasaran wang.

Menurutnya, ini berikutan terbitan bon-bon baharu akan berasaskan pada kadar lebih tinggi dan menerusi peningkatan kadar kupon.

“Kemungkinan besar peruntukan aset strategik (SAA) KWSP akan dapat menjadi panduan bagi dana persaraan itu mengharungi masa-masa mencabar,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Zafrul: Jika keluarkan lagi duit KWSP, ramai ahli miskin bila bersara

KOTA BHARU, 15 JAN: Lebih ramai ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) perlu bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata ia berikutan kemerosotan berterusan simpanan persaraan ahli KWSP, kerana ketika ini hampir separuh ahli mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000, dan daripada jumlah ini 55 peratus adalah bumiputera.

“Kalau dibenarkan pengeluaran tambahan, ia akan menyebabkan lebih ramai ahli perlu bersara di bawah paras garis kemiskinan, dan juga menyebabkan beban yang besar kepada seluruh Keluarga Malaysia di masa depan terutama jika kegawatan ekonomi berlaku,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kelantan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kajian awam oleh Pemuda UMNO bahawa lebih 97 peratus ahli mahu kerajaan meluluskan pengeluaran simpanan KWSP i-Citra sebanyak RM10,000 secara ‘sekali bayar’.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan perlu mengimbangkan antara kepentingan rakyat untuk jangka pendek dan juga jangka masa panjang.

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan tetap peka dengan masalah rakyat, dan pelbagai pendekatan diusahakan untuk memelihara kebajikan rakyat termasuk kepada golongan B40 dan M40.

“Di bawah Bajet 2022 ini kalau kita lihat lebih RM31 bilion dikhususkan untuk subsidi, bantuan dan insentif untuk mengurangkan kesan peningkatan kos sara hidup rakyat.

“Bagi terus menjamin kesejahteraan rakyat, (menerusi) Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kerajaan juga memperuntukkan RM8.2 bilion kepada 9.6 juta penerima, ini sebahagian kecil daripada pelbagai bantuan kepada rakyat,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiada lagi pengeluaran KWSP selain persaraan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan sentiasa melindungi keperluan serta kesejahteraan persaraan rakyat Malaysia pada masa hadapan dan dengan itu, tidak mengalakkan lagi pengeluaran dana itu bagi tujuan lain.

KWSP dalam satu kenyataan semalam menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan pendapatan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian pengeluaran simpanan KWSP di bawah skim i-Citra.

“KWSP merupakan sebuah dana persaraan yang diberi mandat bagi melindungi simpanan ahli untuk keperluan dan kesejahteraan masa depan persaraan mereka,” tambahnya.

Ditubuhkan sejak 1951, KWSP adalah tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan bahawa Akaun 1 (70 peratus simpanan) ditetapkan bagi persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) adalah untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan yang lebih cerah.

“Bagaimanapun, tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran untuk bencana alam,” tegas kumpulan wang persaraan itu.

KWSP berbesar hati dengan pendirian beberapa kesatuan negara seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia, Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, yang telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap masa depan persaraan pekerja-pekerja di Malaysia serta mahukan pemberhentian pengeluaran khas simpanan KWSP

Oleh yang demikian, KWSP, yang merupakan sebahagian daripada Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN) telah menawarkan sokongan melalui sumber di bawah keupayaannya termasuk peruntukan RM10 juta yang diperoleh daripada penjimatan melalui perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan oleh KWSP.

KWSP ingin menegaskan bahawa tiada kesan material ke atas dana atau pulangan ahli kerana bantuan tersebut datang daripada perbelanjaan operasi yang telah diperuntukkan. Sokongan itu akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan oleh mereka yang terjejas dan disalurkan melalui pertubuhan amal yang berkredibiliti.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Tiada peruntukan akta benar pengeluaran untuk bencana alam

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Tiada peruntukan dalam akta yang membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk bencana alam, menurut KWSP.

Dalam satu kenyataan, dana persaraan itu memaklumkan organisasi itu tertakluk di bawah Akta KWSP 1991, yang menetapkan Akaun 1 atau 70 peratus simpanan ditetapkan untuk persaraan, manakala Akaun 2 (30 peratus simpanan) untuk pengeluaran lain-lain yang dibenarkan bagi menjamin masa depan persaraan lebih cerah.

“KWSP menegaskan komitmennya untuk membantu ahli membina semula kecukupan simpanan persaraan mereka dan menyokong pemberhentian sebarang pengeluaran khas di bawah skim i-Citra agar masa depan persaraan mereka tidak akan terus dikompromi,” kata organisasi tersebut.

KWSP menjelaskan skim pengeluaran i-Lestari dan i-Sinar pada 2020, diikuti i-Citra pada Julai lepas, bersifat luar biasa kerana inisiatif itu diperkenalkan untuk memenuhi keperluan aliran tunai yang mendesak semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kelembapan ekonomi.

Katanya, skim pengeluaran itu menyebabkan 6.1 juta ahli kini mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun KWSP mereka, yang mana 3.6 juta daripadanya mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Sememangnya tahap yang tidak dapat menjamin persaraan ahli. Majoriti mereka yang telah membuat pengeluaran kecemasan daripada KWSP adalah dalam kalangan bumiputera.

“Hasil daripada pengeluaran itu, sebanyak 4.4 juta atau 54 peratus ahli bumiputera kini mempunyai kurang daripada RM10,000, dan 2.0 juta atau 25 peratus mempunyai kurang daripada RM1,000.

“Ini amat membimbangkan kerana bilangan ini mencerminkan peningkatan peratusan ahli yang tidak mencapai kuantum Simpanan Asas KWSP sebanyak RM240,000, iaitu jumlah minimum yang diperlukan oleh ahli apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Selain itu, KWSP juga menjelaskan kebimbangan lain selain penyusutan pendapatan masa depan individu, ialah ketirisan selanjutnya akan menjejaskan kedudukan KWSP sebagai sebuah organisasi simpanan persaraan dan pemegang amanah masa depan persaraan ahli.

Sebagai pemegang amanah, KWSP berkata organisasi itu mempunyai kewajipan fidusiari dalam menjaga kepentingan saksama untuk semua ahlinya dan masih terdapat berjuta ahli yang tidak menyentuh simpanan mereka dengan harapan mendapatkan pulangan lebih baik demi menjamin kehidupan persaraan mereka.

“Sehingga kini, terdapat lebih daripada RM270 bilion simpanan KWSP yang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa oleh ahli yang telah mencapai umur lebih daripada 55 dan 60 tahun, mahupun yang mempunyai simpanan lebih daripada RM1 juta dalam akaun KWSP mereka.

“Dibimbangi kemelesetan kepercayaan terhadap KWSP akan memaksa golongan ahli ini mengeluarkan simpanan mereka dengan banyak dan memberi impak negatif terhadap pasaran domestik memandangkan KWSP merupakan tunggak utama dalam pegangan aset pelaburan pasaran modal dan kewangan dalam negara,” katanya.

KWSP turut menekankan fokus kini adalah terus melindungi simpanan ahli, selaras dengan mandatnya, dan memastikan ahli turut memulih serta membina semula simpanan persaraan bagi menjamin persaraan yang selesa.

Dalam masa sama, KWSP bersimpati dengan nasib mangsa banjir dan melalui Rangkaian Tindak Balas Bencana GLIC/GLC (GDRN), peruntukan RM10 juta disalurkan hasil penjimatan perbelanjaan operasi.

Bantuan tersebut, katanya akan disalurkan melalui sumbangan berbentuk barangan yang diperlukan dan disalurkan melalui pertubuhan amal berkredibiliti.

“Dengan hampir 15 juta ahli, sebarang bantuan melalui pertubuhan kebajikan dan melalui usaha sukarelawan KWSP sendiri akan memberi manfaat kepada ahli dan keluarga mereka secara langsung dan tidak langsung,” katanya.

Sebelum ini, terdapat desakan daripada pelbagai pihak yang memohon kerajaan meluluskan pengeluaran i-Citra sebanyak RM10,000 wang KWSP untuk memulakan semula kehidupan terjejas akibat banjir teruk yang melanda beberapa negeri di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEF: Hentikan skim keluar simpanan KWSP, cegah miskin hari tua

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata tidak perlu ada lagi skim pengeluaran daripada simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebelum ahlinya mencapai umur persaraan 60 tahun untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi.

Dalam kenyataan semalam, MEF berkata pihaknya amat bimbang bahawa pengeluaran daripada simpanan ahli KWSP baru-baru ini melalui kemudahan i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra dengan jumlah pengeluaran sebanyak RM101.1 bilion mendedahkan ahli kepada risiko tergolong dalam kemiskinan hari tua.

Pada masa ini, sebanyak 48 peratus daripada ahli KWSP di bawah umur 55 tahun mempunyai simpanan yang amat rendah.

“Kerajaan tidak seharusnya membenarkan lagi pengeluaran. Bagi menambah simpanan KWSP, ahli yang membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP mereka perlu bekerja selama empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sepanjang tempoh Covid-19,” kata Presiden MEF Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman.

Beliau berkata berdasarkan umur persaraan yang dijangka tidak dinaikkan, pekerja tersebut tidak akan mempunyai simpanan KWSP yang mencukupi untuk persaraan mereka.

“Dengan Malaysia mencapai jumlah penduduk yang semakin berusia menjelang 2030 dan dalam semangat sebenar Keluarga Malaysia, kerajaan turut bertanggungjawab untuk memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menjalani kehidupan yang normal.

“Kerajaan perlu memikirkan skim lain untuk membantu mereka daripada mengeluarkan simpanan KWSP yang bertujuan untuk keperluan hari tua.

“Tanggungjawab ini tidak boleh diserahkan kepada pekerja individu. Sebagai warganegara, sepanjang hayat dan kerjaya mereka, mereka telah banyak menyumbang kepada negara. Ia adalah peranan negara untuk menjaga mereka apabila mereka bersara,” katanya.

MEF turut mencadangkan dasar semasa yang membenarkan satu pertiga pengeluaran selepas 50 tahun dan pengeluaran semua simpanan KWSP pada umur 55 tahun dikaji semula.

“Berdasarkan umur persaraan dinaikkan daripada 55 kepada 60 tahun, tidak lagi relevan untuk KWSP membenarkan ahli mengeluarkan simpanan KWSP apabila mencapai umur 55 tahun,” katanya.

Beliau berkata berdasarkan situasi semasa amat membimbangkan apabila mendapati bahawa hanya tiga peratus daripada rakyat Malaysia mampu bersara dengan selesa.

“Ini jelas bahawa terdapat keperluan segera untuk penyelesaian yang meluas meliputi program jaringan keselamatan sosial yang berkesan, dasar pasaran buruh yang kukuh, pertumbuhan ekonomi yang mampan, kemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja serta dasar untuk menggalakkan automasi dan pendigitalan untuk membantu meningkatkan produktiviti dan menjadikan penguasaan ekonomi lebih besar supaya pekerja mempunyai peluang yang lebih baik untuk memperoleh lebih pendapatan, seterusnya meningkatkan caruman mereka kepada KWSP,” katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Caruman baharu KWSP dikredit ke Akaun 1 bagi tingkatkan simpanan

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Caruman baharu diterima oleh ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang membuat pengeluaran dana akan dikreditkan dahulu ke Akaun 1 sepenuhnya hingga keseluruhan jumlah pengeluaran diambil dapat diganti semula, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah.

Setelah itu, beliau berkata pecahan caruman akan kembali kepada 70 peratus ke Akaun 1 dan 30 peratus ke Akaun 2.

“Ini adalah usaha kerajaan untuk menambah baik simpanan ahli yang telah membuat pengeluaran melalui skim i-Sinar dan i-Citra untuk meringankan beban ditanggung berikutan impak pandemik Covid-19,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata berdasarkan statistik semasa dan mengambil kira pengeluaran skim i-Sinar dan i-Citra, hanya 27 peratus daripada ahli aktif berumur 18 hingga 55 tahun dijangka mempunyai simpanan dalam Akaun 1 melebihi kuantum simpanan asas yang ditetapkan mengikut umur.

Beliau menjawab pertanyaan soalan tambahan oleh Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) mengenai usaha kerajaan dalam memastikan simpanan KWSP dalam Akaun 1 mencukupi untuk menampung keperluan asas selepas persaraan.

Sebelum itu, Shahar memberitahu Dewan Rakyat bahawa kerajaan juga terus meneliti kaedah-kaedah lain untuk memastikan Jaringan Keselamatan Sosial persaraan rakyat dapat kembali ke tahap sepatutnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KWSP perkenal i-Sayang, pindah dua peratus caruman suami ke akaun isteri

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melancarkan kemudahan i-Sayang pada suku pertama 2022 sebagai sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Pengerusi Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata kemudahan itu akan membolehkan pemindahan sukarela 2.0 peratus caruman KWSP daripada akaun suami ke akaun isteri.

Satu lagi kemudahan dana persaraan yang akan dilancarkan ialah i-Lindung yang membenarkan pengeluaran daripada Akaun 2 untuk membeli insurans hayat dan penyakit kritikal melalui platform KWSP.

“Inisiatif lain yang kami tinjau termasuk pendekatan berperingkat ke arah mewajibkan perlindungan KWSP yang sah kepada pekerja sektor tidak formal bukan pertanian.

“Kami juga akan menyokong skim caruman lebihan sukarela yang mana ahli-ahli boleh memaksa majikan untuk meningkatkan caruman KWSP mereka kepada lebih daripada 11 peratus kadar berkanun,” katanya ketika berucap di majlis perasmian Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2021 yang diadakan secara maya dan fizikal hari ini.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Mengenai persidangan itu, Ahmad Badri berkata ISWC tahun ini bertujuan untuk mengetengahkan pelbagai aspek isu ketaksamaan global.

“Bersama-sama, kami percaya bahawa rangka kerja perlindungan sosial yang lebih baik boleh membantu kami dalam meminimumkan, jika tidak membasmi, kesan negatifnya kepada manusia,” kata beliau.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan awalnya berkata antara perkara yang paling membimbangkan akibat daripada pandemik ini ialah peningkatan isu ketaksamaan.

“Isu ketaksamaan ini telah wujud awal sebelum berlakunya pandemik. Walaupun banyak negara telah cuba mengurangkan impak Covid-19 dengan menggerakkan pelbagai sumber secara intensif dan berjangka pendek, usaha-usaha ini hanyalah untuk sementara waktu dan tidak memberikan penyelesaian jangka panjang yang berupaya memelihara hayat dan kehidupan masyarakat.

“Oleh itu, ISWC tahun ini telah dinaik taraf, menyaksikan para penganjur yang merupakan kuasa- kuasa berpengaruh dalam negara, telah berkumpul bersama-sama barisan penceramah yang ternama bagi menyelami isu-isu berkaitan ketaksamaan, termasuk dari aspek ekonomi, penjagaan kesihatan, dan pendidikan,” tambah Amir Hamzah.

ISWC 2021 ini dianjurkan secara bersama oleh KWSP, Kementerian Kewangan, Unit Penyelarasan Pelaksanaan di bawah Jabatan Perdana Menteri dan Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dijadual menutup persidangan ini esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP kini fokus pulihkan simpanan persaraan ahli

KUALA LUMPUR, 1 NOV: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kini fokus untuk membantu kalangan ahlinya memulihkan semula dana simpanan demi masa depan persaraan mereka berikutan pelaksanaan beberapa kemudahan pengeluaran akibat pandemik Covid-19.

Dalam kenyataannya, dana persaraan itu juga menyifatkan kemudahan pengeluaran itu sebagai bersifat luar biasa dan diperkenalkan berikutan pandemik yang telah memberi impak besar terhadap ekonomi negara.

“Pengeluaran yang dimaksudkan adalah seperti i-Lestari, i-Sinar, dan i-Citra telah mengakibatkan sejumlah RM101 bilion telah dikeluarkan dan dan disalurkan kepada lebih 7.4 juta ahli atau menyamai lebih separuh daripada jumlah ahli KWSP.

“Walaupun pengeluaran itu memberi sedikit kelegaan kewangan ketika pandemik dan pelbagai peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jumlah simpanan yang dikeluarkan itu kini menyebabkan seramai 6.1 juta ahli mempunyai (simpanan) kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“Daripada jumlah itu, seramai 3.6 juta ahli mempunyai kurang RM1,000 dan seterusnya menjadikan mereka lebih rentan serta tanpa perlindungan persaraan,” katanya.

KWSP berkata, kejatuhan jumlah simpanan ini ternyata lebih membimbangkan bagi ahli Bumiputera memandangkan seramai 78 peratus atau lebih tiga perempat orang telah memohon bagi kemudahan pengeluaran tersebut.

“Akibatnya, seramai 4.4 juta atau 54 peratus ahli Bumiputera kini mempunyai (simpanan) kurang daripada RM10,000 manakala dua juta atau 25 peratus dengan simpanan kurang daripada RM1,000.

“Tambahan lagi, pengagihan simpanan telah menjadi semakin tidak saksama. Kumpulan 40 peratus terbawah ahli KWSP iaitu lebih kurang lima juta ahli menyaksikan simpanan mereka jatuh sebanyak 38 peratus kepada hanya RM8 bilion, menjadikan baki simpanan media sebanyak RM1,005,” katanya.

Ia menyebut, kumpulan 40 peratus pertengahan juga mengalami kejatuhan simpanan sebanyak 18 peratus kepada RM155 bilion atau baki median sebanyak RM24,995.

“Hanya kumpulan 20 peratus teratas yang berusia di bawah 55 tahun menyaksikan kenaikan dalam simpanan, namun ini mencapai median berjumlah RM152,043 atau bersamaan dengan hanya RM633 sebulan untuk tempoh 20 tahun.

“Ketiga-tiga pengeluaran luar biasa ini telah menyebabkan 73 peratus atau hampir tiga perempat ahli berada dalam situasi serius yang mana jumlah dana simpanan mereka tidak mencukupi untuk bersara melebihi paras kemiskinan,” katanya.

KWSP turut menganggarkan ahli perlu bekerja tambahan antara 4-6 tahun untuk membina semula simpanan yang telah dikeluarkan sewaktu pandemik.

Ini turut mengakibatkan kejatuhan ketara peratusan ahli yang mencapai Simpanan Asas (RM240,000 pada 55 tahun) daripada 36 peratus pada 2020 kepada anggaran 27 peratus pada hujung tahun ini.

Menurutnya, sebarang pengeluaran luar biasa tambahan pada masa depan juga perlu dipertimbangkan secara teliti berikutan keperluan untuk melindungi masa depan ahli dan membina semula dana persaraan mereka.

Pada masa sama, ia juga berharap pelaksanaan langkah-langkah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan merangsang pekerjaan akan dapat membantu memenuhi keperluan rakyat.

KWSP juga menyifatkan Bajet 2022 dengan peruntukan RM8.2 bilion untuk Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) dan RM4.8 bilion untuk Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja) serta pelbagai langkah membantu rakyat, turut mencerminkan pendirian kerajaan dalam memperkukuh agenda perlindungan sosial untuk rakyat.

“Usaha ini juga dapat dilihat melalui kesinambungan insentif i-Saraan dan Kasih Suri Keluarga Malaysia yang dapat membantu menangani sebarang kepincangan sistem perlindungan sosial negara untuk masyarakat rentan.

“Ini bagi memastikan mereka diberi akses kepada mencapai taraf hidup minimum biarpun dalam persekitaran yang tidak dijangka,” katanya.

Menurutnya, agenda perlindungan sosial yang diterajui oleh Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MySPC) dan dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kini sedang mengkaji pembaharuan asas kepada sistem perlindungan sosial negara.

“KWSP menyokong penuh langkah-langkah ini dan akan bekerjasama erat dengan kerajaan untuk memastikan masa depan yang terjamin dan terpelihara untuk ahli dan rakyat,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Hanya tiga peratus rakyat mampu tampung persaraan

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Pengeluaran berkaitan dengan Covid-19 sejak dua tahun lepas memberi impak besar kepada simpanan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan hanya tiga peratus pencarum mampu menampung kehidupan selepas bersara.

Ketua Pegawai Strategi KWSP, Nurhisham Hussein berkata ramai ahli berumur di bawah 55 tahun mempunyai simpanan KWSP yang amat rendah susulan pengeluaran berkaitan Covid-19, iaitu i-Sinar, i-Lestari dan i-Citra.

“Walaupun dengan pandemik Covid-19, 80 peratus lelaki Malaysia dan 90 peratus wanita Malaysia akan mencapai umur 60 tahun, manakala satu daripada tiga lelaki dan dua daripada tiga wanita akan mencapai umur 80 tahun.

“Kini, kami menganggarkan hanya tiga peratus rakyat Malaysia yang mampu untuk bersara,” katanya pada webinar Siri Penceramah Persatuan Alumni Felow Perdana hari ini.

Beliau merupakan antara ahli panel dalam webinar yang mengupas tajuk ‘Penjagaan Kesihatan dalam Tumpuan’ itu.

Dalam pembentangannya, Nurhisham berkata menjelang akhir tahun ini, 54 peratus ahli KWSP berumur 54 tahun akan mempunyai kurang daripada RM50,000 dalam akaun simpanan mereka.

Majoriti mereka yang mengeluarkan keseluruhan simpanan KWSP apabila mencecah umur 55 tahun akan menggunakannya dalam tempoh dua hingga tiga tahun, katanya.

Namun, beliau mengakui pengeluaran-pengeluaran itu adalah dibenarkan disebabkan keadaan yang luar biasa.

“Kami amat bersimpati dengan nasib ahli kami dan berharap (pengeluaran) itu telah mencapai tujuan yang dimaksudkan untuk membantu mereka dari segi kewangan.

“(Melangkah ke hadapan,) pembukaan semula ekonomi dan langkah-langkah yang diumumkan dalam Bajet 2022 akan membantu melegakan tekanan yang dihadapi ahli kami,” katanya.

Mengulas mengenai kesan sekiranya satu lagi pusingan pengeluaran dibenarkan, Nurhisham berkata bagi yang telah membuat pengeluaran daripada simpanan KWSP, mereka perlu bekerja untuk tambahan empat hingga enam tahun hanya untuk menampung jumlah yang mereka keluarkan sejak dua tahun lepas.

Beliau berkata mereka tidak akan mempunyai simpanan yang cukup untuk bersara memandangkan had umur persaraan dijangka tidak dinaikkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Ahli KWSP boleh langgan sehingga lapan dana unit amanah menerusi i-Invest

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menggunakan kemudahan pelaburan dalam talian layan diri i-Invest kini boleh melanggan sehingga lapan dana unit amanah dengan had maksimum daripada lima institusi pengurusan dana (FMI) untuk satu urus niaga pembelian.

Sebelum ini ahli KWSP hanya boleh melanggan dana unit amanah daripada satu FMI sahaja untuk satu urus niaga sahaja, kata KWSP.

“Ciri-ciri yang dipertingkatkan untuk i-Invest ini membolehkan ahli mengakses lebih baik dengan cekap apabila melabur melalui kemudahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, urus niaga itu hanya dapat dilakukan melalui Penasihat Skim Unit Amanah Institusi (IUTA) dilantik yang menawarkan dana daripada pelbagai FMI.

Ia berkata ahli KWSP masih boleh melanggan dana daripada FMI individu sekiranya mereka memilih untuk berbuat demikian.

Selain itu, pengguna i-Invest kini dikehendaki melakukan penilaian kesesuaian pelaburan sebelum menjalankan sebarang urus niaga dan penilaian itu akan memaparkan toleransi risiko ahli, membolehkan mereka membuat pilihan pelaburan yang sesuai dengan selera risiko pelaburan mereka.

Dana persaraan itu berkata kemudahan i-Invest KWSP, yang dilancarkan pada bulan Ogos 2019 adalah platform dikuasai digital yang memberikan fleksibiliti, fungsi dan kemudahan lebih banyak kepada bagi ahli KWSP untuk melabur, berurus niaga dan memantau pelaburan unit amanah mereka bila-bila masa dan di mana sahaja.

“Menerusi kemudahan itu, ahli KWSP boleh membandingkan dana unit amanah berbeza yang ditawarkan oleh FMI, mendapatkan pandangan mengenai pegangan pelaburan mereka dan maklumat mengenai kos pelaburan, prestasi dana sejarah serta maklumat kewangan yang diperlukan,” katanya.

Sebagai kemudahan layan diri yang memberi kuasa kepada ahli KWSP mengurus masa depan kewangan mereka, KWSP akan memastikan garis panduan tadbir urus dalam i-Invest dipatuhi dengan ketat oleh badan-badan yang mengambil bahagian, kata KWSP.

– BERNAMA