Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP lancar dua inisiatif ringankan beban kewangan majikan

KUALA LUMPUR, 13 SEPT: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melancarkan dua inisiatif baharu untuk majikan bagi meringankan pengurusan aliran kewangan mereka ketika tempoh pandemik, sekali gus membolehkan mereka melaksanakan tanggungjawab statutori ke atas pekerja.

Inisiatif-inisiatif itu adalah pengecualian caj lewat bayar caruman dan Tawaran Insentif Pengurangan Caj Lewat Bayar (e-PaR), katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di bawah inisiatif pertama, majikan diberi kelonggaran untuk tempoh membayar caruman bulan semasa, manakala melalui e-PaR pula, majikan berpeluang mendapatkan pengurangan menyelesaikan baki caj lewat bayar yang tertunggak.

Dana persaraan itu menambah pengecualian caj lewat bayar caruman merujuk kepada caj yang dikenakan ke atas majikan yang gagal membayar caruman wajib KWSP pada atau sebelum 15 hari bulan setiap bulan.

“Walaupun tarikh akhir untuk membayar caruman tersebut tidak berubah, melalui inisiatif ini majikan boleh membayar caruman mereka sehingga akhir setiap bulan tanpa dikenakan caj lewat bayar,” jelasnya.

Pihak majikan tidak perlu membuat sebarang permohonan untuk inisiatif ini yang akan berkuat kuasa secara automatik bermula caruman bulan September 2021 sehingga Disember 2021.

Bagi inisiatif e-PaR pula yang akan dibuka mulai 13 September 2021 hingga 31 Disember 2021, majikan ditawarkan pengurangan sehingga 70 peratus untuk caj lewat bayar yang tertunggak bagi caruman yang lewat dibayar untuk mana-mana tempoh sebelum Ogos 2021.

“Untuk layak mendapatkan pengurangan ini, majikan perlu memastikan caruman dan dividen yang tertunggak untuk pekerja mereka bagi tempoh sebelum Ogos 2021 telah diselesaikan sebelum 31 Disember 2021,” kata KWSP.

Ia menambah pengurangan caj lewat bayar caruman ini bertujuan membantu majikan menguruskan aliran tunai mereka di samping menyediakan peluang dan insentif untuk mereka menyelesaikan sebarang baki pembayaran caruman yang tertunggak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pembayaran i-Citra mulai 2 Ogos depan

SHAH ALAM, 23 JULAI: Pembayaran pengeluaran i-Citra daripada akaun ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan dibuat secara berperingkat mulai 2 Ogos depan.

Berdasarkan infografik dikongsi di Twitter, agensi mengurus dana persaraan pekerja itu memaklumkan bayaran akan dimasukkan ke akaun bank pencarum dalam tempoh satu hingga tiga hari waktu bekerja.

Bagi pembayaran secara arahan bayaran pula, KWSP menjelaskan ahli akan menerima notis atau dihubungi cawangan dipilih untuk urusan pengambilan.

Semakan status bayaran boleh dibuat melalui i-akaun dan hubungi hotline i-Citra di talian 03-8922 4848 untuk pertanyaan.

28 Jun lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan i-Citra yang membenarkan ahli KWSP terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat pengeluaran sehingga RM5,000.

Ia membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

Permohonan dibuka mulai 15 Julai lalu menerusi http://icitra.kwsp.gov.my

KWSP turut memaklumkan bayaran bagi program i-Sinar untuk Ogos diawalkan kepada 26 dan 27 Julai.

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: Permohonan pengeluaran i-Citra bermula esok

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berumur di bawah 55 tahun boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra bermula 12 Julai, 2021, melalui icitra.kwsp.gov.my, tiga hari lebih awal daripada tarikh jangkaan asal.

KWSP berkata, bagi memudahkan untuk mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran tersebut.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula Ogos 2021,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun 2021, sebagai inisiatif jangka masa pendek bagi membantu ahli yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19, serta mengimbangi keperluan hari ini dan masa depan ahli.

Bagi maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk saluran komunikasi rasmi KWSP, laman webnya di www.kwsp.gov.my, atau menghubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan benar pengeluaran KWSP sehingga RM5,000

SHAH ALAM, 28 JUN: Seramai 12.6 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh membuat pengeluaran sehingga RM5,000.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pengeluaran i-Citra membolehkan pengeluaran kadar bayaran tetap RM1,000 sebulan selama lima bulan tertakluk kepada jumlah simpanan ahli.

“Permohonan dibuka mulai 15 Julai ini menerusi http://icitra.kwsp.gov.my dengan bayaran pertama akan dikreditkan ke dalam akaun pada Ogos.

“i-Citra dijangka dapat menyalurkan RM30 bilion kepada rakyat untuk menampung keperluan harian,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Antara bantuan lain:

1. Bantuan khas Covid-19 sehingga hujung tahun

a) Keluarga miskin tegar (RM1,300) / Bujang (RM500)

b) Kaluarga B40 (RM800) / Bujang (RM200)

c) Keluarga M40 (RM250) / Bujang (RM100)

2. Bantuan RM500 kepada pekerja hilang pendapatan berdasarkan data KWSP atau Perkeso pada 2021

3. Elaun mencari kerja diperluas kepada bukan pencarum Perkeso dengan jumlah sekurang-kurangnya RM300.

4. Peruntukkan RM300,000 kepada semua ahli parlimen untuk program bakul makanan.

5. RM10 juta program bakul makanan diperuntuk kepada masyarakat Orang Asli.

6. RM15 juta untuk NGO membantu menangani masalah kesihatan mental, gelandangan, dan sosial di peringkat komuniti.

7. Diskaun bil elektrik lima hingga 40 peratus kepada penggunaan kadar elektrik maksimum 900 kilowatt jam sebulan.

8. Pemberian satu gigabait data harian secara percuma sehingga 31 Disember 2021.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP tutup cawangan seluruh negara 14 hari mulai Selasa

KUALA LUMPUR, 30 MEI: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup pejabat dan kaunter perkhidmatannya di seluruh negara bermula 1 hingga 14 Jun ini selaras dengan pelaksanaan fasa pertama sekatan pergerakan penuh.

Sehubungan itu, KWSP berkata semua sesi janji temu yang dibuat melalui saluran Janji Temu Online (JTO) dalam tempoh berkenaan akan dibatalkan.

“Ahli KWSP perlu membuat janji temu semula pada tarikh selepas tempoh sekatan pergerakan penuh berakhir jika ada keperluan untuk hadir di cawangan KWSP.

“Janji temu bagi pengeluaran umur 50, 55, 60 dan hilang upaya akan diberikan keutamaan apabila pejabat dan kaunter perkhidmatan KWSP beroperasi semula. Ini adalah sebahagian daripada usaha untuk mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka supaya rantaian jangkitan dapat diputuskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi ahli KWSP yang memohon pengeluaran i-Sinar dan sedang menunggu pembayaran melalui Arahan Bayaran, cawangan KWSP berkenaan akan menghubungi ahli untuk urusan pengambilan di cawangan yang mereka pilih.

“Perkhidmatan-perkhidmatan lain seperti permohonan pengeluaran perumahan, umur 50, 55 dan 60, ahli hanya boleh melakukannya secara dalam talian melalui i-Akaun,” katanya sambil memaklumkan ahli boleh merujuk senarai perkhidmatan itu secara dalam talian.

Bagaimanapun, KWSP berkata proses pengesahan cap ibu jari bagi melengkapkan transaksi dalam talian hanya boleh dilaksanakan setelah tamat tempoh sekatan pergerakan penuh dan apabila cawangan dibuka semula.

Terdahulu, dalam kenyataan berasingan, KWSP mengumumkan penutupan sementara pejabat dan kaunternya di Kluang, Johor dan Kuala Terengganu, Terengganu bermula hari ini sehingga dimaklumkan kelak selepas kakitangannya di cawangan terlibat didapati positif Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

BNM: Pengeluaran i-Sinar beri kesan positif ekonomi tempatan

KUALA LUMPUR, 2 APRIL: Pengeluaran di bawah skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat memberi impak langsung yang positif kepada ekonomi sebenar yang menyokong penggunaan domestik.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata dari segi simpanan persaraan, bagaimanapun, penampan perlu diperkukuh dan dibina semula.

“Itu sebabnya pembaharuan pasaran buruh penting untuk memastikan rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang lebih baik supaya mereka boleh menyimpan lagi untuk meningkatkan penampan kewangan mereka dari segi simpanan persaraan,” katanya dalam webinar anjuran Persatuan Ekonomi Malaysia.

Beliau berkata langkah pembaharuan dalam perlindungan sosial juga penting terutamanya berkaitan bahagian insurans sosial dan skim persaraan swasta berikutan ia dapat membantu mengukuhkan lagi faedah persaraan.

Mengenai impak daripada pengeluaran i-Sinar kepada pasaran kewangan, katanya fokus BNM adalah mengurangkan potensi impak daripada kemusnahan pasaran iaitu memastikan kecairan yang mencukupi dalam pesisir untuk menyokong kestabilan kewangan.

“Hutang dan kecairan pasaran kewangan dalam pesisir telah menjadi faktor penting untuk memastikan pelarasan telah dibuat secara meluas dan teratur, disokong oleh jumlah dagangan harian yang baik dari semasa ke semasa dalam pasaran forex dan bon,” katanya.

Ketua Penyelidikan MIDF Imran Yusof berkata beliau turut berpandangan bahawa pengeluaran i-Sinar, terutamanya secara menyeluruh, sebagai positif kepada ekonomi sebenar.

Beliau berkata pengeluaran tersebut tidak akan memberi impak kepada kecairan KWSP yang disifatkannya sebagai antara peserta utama dalam pasaran ekuiti dan mempunyai kecairan yang mencukupi untuk menyokong pasaran.

“Ia (KWSP) juga mempunyai portfolio yang amat pelbagai dari segi pelaburan seperti pendapatan tetap, pasaran saham dan hartanah,” katanya.

Beliau berkata pengeluaran i-Sinar secara menyeluruh juga telah memberi wang tambahan kepada mereka yang tidak benar-benar memerlukan bantuan.

“Satu perkara yang kami dapati pada tahun lepas apabila moratorium pinjaman menyeluruh diberikan adalah wang tambahan kepada mereka yang tidak benar-benar memerlukannya sama ada digunakan atau dilaburkan.

“Kami melihat penyertaan runcit dalam pasaran saham kembali rancak pada tahun lepas. Trend ini dilihat berterusan pada tahun ini setakat ini pada tahun ini, belian bersih daripada peruncit berjumlah kira-kira RM5 bilion,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pelaburan bagi Pendapatan Tetap Amundi Malaysia Eridani Tutiana Jusat berkata walaupun impak daripada pengeluaran i-Sinar positif kepada ekonomi tempatan, beliau terus berhati-hati dengan impaknya kepada pasaran bon domestik.

“Kami agak berhati-hati kerana KWSP adalah pelabur yang besar dalam bon kerajaan Malaysia. Jika terdapat sokongan yang berkurangan daripada KWSP dalam pasaran bon, ini akan mempengaruhi pasaran,” katanya.

Sehingga 14 Mac, sejumlah RM52.48 bilion melibatkan 5.94 juta pemohon untuk skim i-Sinar telah diluluskan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP: 5.16 juta pencarum keluarkan RM18.1 bilion skim i-Lestari

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Sehingga kini, sejumlah RM18.1 bilion telah dikeluarkan oleh 5.16 juta ahli di bawah kemudahan i-Lestari, yang merupakan antara langkah awal yang diambil dalam situasi mencabar sepanjang 2020 ekoran pandemik Covid-19, menurut Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Dalam kenyataan pada Sabtu, dana persaraan itu menjelaskan ia bertindak balas dengan melaksanakan beberapa langkah awal untuk membantu ahli dan majikan menangani masalah aliran tunai berikutan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 hingga 12 Mei 2020 dengan kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup.

“KWSP merupakan antara dana persaraan terawal di dunia yang memberikan bantuan kepada ahli ketika pandemik Covid-19 merebak dengan melancarkan Skim Pengeluaran Akaun 2 i-Lestari untuk memberi bantuan kewangan kepada ahli,” menurutnya.

Ia menekankan langkah lain yang diambil termasuk membenarkan ahli mengurangkan caruman wajib mereka daripada 11 peratus kepada tujuh peratus berkuat kuasa April 2020 hingga Disember 2020.

Bagi memastikan majikan dapat menampung kos dan terus mengekalkan pekerja mereka, KWSP telah menawarkan Program Bantuan Majikan Covid-19 (e-CAP), yang dikhususkan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

e-CAP memberi fleksibiliti kepada PKS yang layak untuk memohon penangguhan dan penstrukturan semula caruman majikan dan sebanyak 13,090 majikan telah memanfaatkan kemudahan ini dengan jumlah kumulatif RM84.95 juta, jelasnya.

“Program ini diperkenalkan untuk membantu PKS menguruskan aliran tunai mereka dan juga untuk memenuhi kewajipan membayar sebahagian caruman KWSP mereka,” menurut dana persaraan itu.

KWSP menjelaskan untuk memastikan keselamatan pekerja dan ahli, KWSP bertindak proaktif bagi menyesuaikan operasi dengan realiti baharu melalui perkhidmatan berlandaskan ‘Kurangkan Sentuhan, Lebihkan Penjarakan’ dengan pengenalan Janji Temu Online (JTO).

Melalui JTO, KWSP memastikan langkah-langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai dipatuhi dengan ketat sementara jumlah pengunjung dikurangkan di setiap cawangan.

Jumlah ahli KWSP meningkat sebanyak dua peratus kepada 14.89 juta, sementara majikan yang berdaftar dengan KWSP adalah sebanyak 534,398.

KWSP yang mencatatkan prestasi kukuh daripada aspek operasi dan kewangan bagi 2020 mengumumkan dividen sebanyak 5.20 peratus dan jumlah agihan RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional.

Dana persaraan itu juga mengisytiharkan dividen sebanyak 4.90 peratus untuk Simpanan Shariah dengan agihan berjumlah RM4.76 bilion.

Dana persaraan itu memerlukan RM8.25 bilion untuk membayar setiap satu peratus dividen bagi Simpanan Konvensional dan RM972 juta untuk membayar setiap satu peratus dividen untuk Simpanan Shariah bagi 2020.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP permudah lulus i-Sinar mulai 8 Mac

KUALA LUMPUR, 18 FEB: Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia di bawah 55 tahun yang membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar akan diberikan kelulusan bermula 8 Mac, 2021.

Menerusi kenyataan pada Khamis, KWSP menjelaskan ia termasuk mana-mana permohonan baharu yang diterima selepas tarikh tersebut, tertakluk kepada baki yang sedia ada dalam Akaun 1 ahli.

“Bagi ahli yang mempunyai simpanan sebanyak RM100,000 dan ke bawah (Akaun 1), mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga RM10,000 dan pembayaran akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh maksimum enam bulan dengan bayaran pertama sehingga jumlah maksimum RM5,000,” menurutnya.

Menurut KWSP manakala bagi ahli yang mempunyai lebih RM100,000 dalam Akaun 1, mereka mempunyai akses kepada jumlah pengeluaran sehingga 10 peratus daripada simpanan Akaun 1.

Bagaimanapun, jumlah pengeluaran maksimum yang dibenarkan adalah sebanyak RM60,000, jelasnya.

Dana persaraan itu juga menjelaskan pemansuhan kriteria i-Sinar juga bermakna pembayaran interim RM1,000 yang dilaksanakan pada bulan lepas akan dihentikan.

KWSP menasihatkan ahli yang belum pernah membuat permohonan bagi kemudahan i-Sinar sebelum ini dan berhasrat untuk memohon pada tempoh peralihan, supaya menangguhkan permohonan mereka sehingga i-Sinar yang telah dikemaskinikan dilancarkan pada 8 Mac.

Ini akan memendekkan masa yang diperlukan untuk proses permohonan mereka dan mempercepat pembayaran wang i-Sinar, jelasnya.

Menurut KWSP pemansuhan kriteria i-Sinar yang diumumkan pada 11 Februari 2021 melibatkan perubahan besar kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online.

Sehingga kini, sejumlah RM18.5 bilion dikeluarkan di bawah kemudahan i-Sinar sejak permohonan dibuka pada Disember 2020, dimanfaatkan oleh 3.3 juta ahli, jelasnya.

Ahli boleh menghubungi talian hotline khas i-Sinar di 03-8922 4848 dan untuk pertanyaan umum, ahli boleh menghubungi Pusat Pengurusan Perhubungan KWSP di 03-8922 6000 atau melayari laman web www.kwsp.gov.my.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP mansuh syarat i-Sinar, lebih ramai pencarum dibenar keluar akaun 1

KUALA LUMPUR, 11 FEB: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengambil maklum pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz hari ini berkenaan pemansuhan kriteria kemudahan i-Sinar bagi memberi lebih ramai ahli bantuan kewangan melalui simpanan Akaun 1 KWSP mereka.

KWSP dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata pemansuhan kriteria i-Sinar ini akan melibatkan perubahan kepada sistem, proses dan tadbir urus i-Sinar Online, ini bagi memastikan permohonan boleh dibuat secara mudah dan selamat bagi membantu ahli bertahan ketika tempoh mencabar ini.

Oleh itu, KWSP amat menghargai kesabaran dan pertimbangan ahli sementara perubahan ini dilaksanakan, katanya.

Maklumat lanjut berkenaan perkara ini akan diumumkan oleh KWSP di saluran komunikasi rasminya. Ahli juga dinasihatkan agar merujuk maklumat sahih daripada KWSP dan sentiasa berwaspada dengan maklumat yang mengelirukan dan tidak sahih.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir separuh T20 keluar i-Sinar beli saham, emas

KUALA LUMPUR, 5 FEB: Hampir separuh daripada golongan T20 yang telah memohon atau merancang untuk memohon pengeluaran i-Sinar menggunakannya untuk membuat pelaburan bagi membeli emas dan saham.

Menurut kajian dilakukan Pusat Penyelidikan Undian UCSI, kebanyakan mereka yang berbuat demikian adalah mereka dalam kategori umur 40 hingga 55 tahun.

Hasil kajian membabitkan 809 responden dari seluruh negara itu mendapati sebanyak 34.9 peratus menggunakan duit i-Sinar untuk tujuan tersebut merangkumi 47.7 peratus daripada pencarum T20, M40 (31.1 peratus) manakala B40 (35.3 peratus).

“Menariknya pelaburan menjadi satu daripada tujuan pengeluaran i-Sinar terutama golongan T20… meskipun dalam keadaan sukar dengan pandemik Covid-19, masih ada yang melihat peluang dan bertindak,” menurut pusat penyelidikan berkenaan dalam kenyataan semalam.

Menurut pusat kajian itu, membayar balik pinjaman menjadi tujuan utama responden membuat pengeluaran i-Sinar bagi golongan B40 dan M40 yang berusia 26 hingga 55 tahun.

Sehubungan itu, UCSI memaklumkan sudah tiba masanya untuk rakyat Malaysia melihat kembali sama ada mereka mempunyai komitmen yang tinggi dan cukup bersedia berdepan dengan masa-masa sukar seperti sekarang.

Daripada keseluruhan koresponden, hanya 48.6 peratus menggunakankan wang itu untuk kegunaan membeli makanan dan barangan dapur, menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KWSP cawangan Shah Alam tutup untuk sanitasi

KUALA LUMPUR, 31 JAN: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menutup sementara pejabat dan kaunter Shah Alam mulai esok sehingga diberitahu kelak, selepas beberapa kakitangan di cawangan itu diuji positif Covid-19.

Ini sebagai mengikuti arahan daripada Kementerian Kesihatan untuk premis yang terlibat dengan pandemik, agar dijalankan pembasmian kuman dan sanitasi.

“Pekerja tersebut kini dalam rawatan manakala pengesanan kontak sedang dijalankan,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Semua kakitangan di cawangan itu akan mengambil ujian swab dan jika didapati positif, akan menjalani kuarantin wajib selama 10 hari.

Semua cawangan lain akan meneruskan langkah penjarakan fizikal dan tatacara operasi piawai pencegahan lain dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.

“Anggota dinasihatkan untuk berurus niaga secara dalam talian melalui i-Akaun bagi perkhidmatan tertentu atau menjadualkan semula lawatan mereka ke satu tarikh yang akan datang melalui kemudahan Janji Temu Online jika terdapat keperluan untuk hadir ke cawangan KWSP secara peribadi,” katanya.

Selain itu, cawangan Lahad Datu akan dibuka semula pada 4 Feb selepas ditutup sejak 20 Jan apabila beberapa kakitangannya diuji positif Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pengeluar i-Lestari, i-Sinar wajib bayar zakat jika pendapatan tidak terjejas

SHAH ALAM, 27 JAN: Inidividu muslim yang layak mengeluarkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui skim i-Lestari atau i-Sinar wajib mengeluarkan zakat sekiranya masih mempunyai sumber pendapatan.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata tuntutan itu perlu disempurnakan kerana pengeluaran dibuat
atas pilihan dan bukannya disebabkan darurat.

“Berdasarkan fatwa Sistem Pengurusan Kutipan Zakat Selangor 2013 (pindaan) berkaitan pengeluaran
KWSP sebelum berusia 55 tahun, zakat wajib ke atas jumlah dikeluarkan.

“Oleh itu tertakluk pada keputusan berkenaan, pengeluaran KWSP melalui dua skim itu, sekiranya
mencukupi syarat wajib mengeluarkan zakat,” kata agensi pada 26 Januari.

LZS bagaimanapun berkata individu yang terjejas pendapatan sehingga memberi kesan kepada keperluan dan tanggungan tidak diwajibkan berbuat demikian.

“Ini kerana pengeluaran simpanan itu dilakukan dalam keadaan terpaksa akibat ketiadaan pendapatan.
Jika pengeluaran dilakukan dalam keadaan begini ia tidak wajib,” katanya.