Categories
NASIONAL

La Nina: Awas peningkatan kes denggi

SHAH ALAM 30 MEI : Fenomena La Nina atau kejadian hujan berlebihan dijangka berlaku di negara ini mulai bulan depan hingga Oktober berkemungkinan meningkatkan lagi kes denggi.

Namun Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya sudah bersiap sedia dengan langkah pencegahan.

Dr Noor Hisham berkata pihaknya mengambil langkah seperti pemusnahan tempat pembiakan Aedes di kawasan hotspot di seluruh negara terutamanya di Lembah Klang sejak April lalu.

AEDES 1Operasi itu dipertingkatkan secara berterusan bagi memastikan nyamuk Aedes tidak dapat membiak terutamanya ketika negara menghadapi musim hujan, lebih-lebih lagi dengan fenomena La Nina yang bakal berlaku.

Dr Noor Hisham berkata kajian dijalankan di Kuala Lumpur, Pahang, Kedah dan Johor pada 2011 menunjukkan fenomena La Nina dan faktor hujan meningkatkan risiko berlaku jangkitan denggi selepas seminggu berlaku hujan.

“Ada juga kajian mengaitkan hubungan antara fenomena La Nina dengan peningkatan kejadian demam denggi di negara lain.

“Sebagai contoh, kajian pada 2016 menunjukkan terdapat peningkatan signifikan kes denggi di Filipina ketika fenomena La Nina berlaku di negara itu,” katanya dipetik BERNAMA.

Fenomena La Nina dikaitkan dengan jumlah hujan melebihi kadar biasa serta episod hujan banyak dan berpanjangan meningkatkan pengumpulan air pada bekas yang boleh menakung air di kawasan sekitar seperti lubang pokok, daun, botol dan tayar, yang sesuai untuk pembiakan Aedes.

Sehingga 23 April lepas, statistik denggi terkini pada minggu ke-16 tahun ini menunjukkan terdapat pengurangan kes sebanyak 13.3 peratus di seluruh negara iaitu 1,607 kes berbanding 1,854 kes pada minggu sebelumnya.

Hanya lima negeri yang menunjukkan peningkatan kes iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya 32 kes (25.2 peratus), Negeri Sembilan 10 kes (55.6 peratus), Kelantan 6 kes (14.6 peratus), Perlis 4 kes (100 peratus) dan Pahang 2 kes (6.5 peratus).

EZY