OLEH: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 30 MAC: Kerajaan Negeri merangkan pelbagai program dan seminar berasaskan pertanian bagi menarik minat golongan muda di Selangor menceburi bidang berkenaan.
Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, berkata salah satu program terbabit telah bermula tahun lalu iaitu Seminar Agro Generasi Muda Selangor (AgroGems) yang mendapat sambutan menggalakkan.
“Seminar diadakan itu berjaya menarik penyertaan ramai dengan dihadiri lebih kurang 200 peserta anak muda.
“Seramai 35 peserta membuat pemohonan dan 13 daripadanya dipilih menerima insentif mengembangkan projek sepeti sayur-sayuran dan buah-buahan membabitkan bantuan RM170,000,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan.
Mengulas lanjut, Zaidy berkata fasa kedua diteruskan dengan fokus menjejaki anak muda berpengetahuan dan berminat tetapi tidak mempunyai tanah untuk dibantu dengan memulakan projek di atas tanah milik Kerajaan Negeri di bawah program ladang Smart Selangor.
“Selain itu Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pertanian Negeri turut merangka porgram latihan pertanian untuk golongan muda di Pusat Latihan Pertanian jabatan itu di mana ia dijalankan ketika RMK11 tahun ini.
“Program kedua ialah Program Latihan Belia Tani dan Usahawan dijalankan satu sesi setahun yang dijangka mampu menarik minat golongan belia mendalami dan mneceburkan diri dalam bidang pertanian,’ katanya.
-nR-