Categories
SELANGOR

Lapan keluarga DUN Sungai Pelek terima sumbangan banjir

OLEH : AFIX REDZUAN

SEPANG, 29 FEB: Sebanyak lapan keluarga mangsa banjir Mukim Salak di DUN Sungai Pelek menerima sumbangan RM200 untuk setiap anak berdaftar dengan Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS).

Sumbangan itu diserahkan sendiri Ahli Dewan Negeri (ADN), Lai Nyuk Lan di pejabatnya di Taman Damai, Sungai Pelek.

_MG_5537Salah seorang penerima sumbangan Rohaizar Abdul Rahman, 41, ketika ditemui SelangorKini mengucapkan terima kasih atas sumbangan diberikan Kerajaan Negeri sebagai tanda prihatin kepada mangsa.

Bapa kepada empat orang anak ini menerima RM600 memandangkan tiga daripada anaknya berdaftar dengan YAWAS.

“Ketika kejadian pulang ke kampung dan selepas pulang sekitar jam 6.30 petang air sudah mula naik. Dalam jam 8.00 malam air naik sepenuhnya.

“Saya hanya sempat selamatkan dokumen penting sementara yang lain mengalami kerosakan,” katanya yang tinggal di Taman Desa Merpati.

Bagi Azmi Basri, 45, dari Kampung Batu Dua Tanjung Emas berkata paras air naik cepat mengakibatkan beliau membuat keputusan segera menyelamatkan keluarga terlebih dahulu meskipun gagal menyelamatkan peralatan rumah.

“Biasanya hujan lebat tidak pernah berlakunya banjir. Tapi pada hari itu air naik dengan cepat pada waktu malam tambahan ketika itu kami sekeluarga sedang menonton televisyen,” katanya yang menerima RM200.

Beliau turut mengakui manfaat besar diberikan skim YAWAS memandangkan sebelum ini anaknya berusia 7 tahun menerima baucar Jom Shopping.

EZY