Categories
NASIONAL SELANGOR

Jom Shopping Ibu Tunggal Agih Kekayaan Negeri

jom shopping ibu tunggal 02

IJOK 3 MAC : Usaha Kerajaan Negeri memperkenalkan program baru ‘Jom Shopping Ibu Tunggal’ dilihat bertepatan sebagai medium membantu meringankan beban golongan tersebut.

Seorang peniaga, Siti Junaidah Ahmad Supaat, 35, memuji dan berterima kasih atas usaha ini yang menurutnya harus diambil peluang oleh semua ibu tunggal.

“Walaupun dilihat kecil oleh sesetengah pihak, dengan perbelanjaan berhemah, banyak yang kita akan perolehi dengan voucher yang diberi,” ujar beliau yang pertama kali menerima bantuan seumpama ini.

jom shopping ibu tunggal 03Sementara itu, seorang lagi ibu tunggal, Norzihan Kaswin 50, berkata program ini antara bukti bahawa perubahan ketara dapat dilihat semenjak lima tahun pemerintahan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

“Kita dapat lihat ini (Kerajaan Negeri sekarang) lebih baik, pelbagai program disediakan untuk rakyat.

“Harap usaha demi kebaikan rakyat ini dapat terus dijalankan supaya rakyat terus beroleh manfaat daripada kekayaan negeri,” ujar ibu kepada dua anak ini.

Kira-kira 80 orang ibu tunggal daripada DUN Ijok dibawa membeli barang keperluan di Pasaraya Econsave Alam Jaya di sini dengan ditemani sendiri Menteri Besar yang juga Adun Ijok, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

jom shopping ibu tunggal 01Setiap mereka menerima voucher membeli belah bernilai RM 100.

“Ini antara usaha kita agar rakyat dapat menikmati hasil yang diperolehi daripada negeri ini dan bukannya hasil hanya diberi kepada golongan tertentu sahaja,” tegas Abdul Khalid dalam ucapannya.

Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Salbiah Tunut, MP Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, Adun Bukit Melawati, M. Muthiah serta Pengarah Eksekutif Econsave Cash & Carry Sdn Bhd, Lai Sia Ling.