Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

Bina laluan basikal 80km di Shah Alam, usaha wujud bandar sukan

SHAH ALAM, 23 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merancang menyediakan laluan berbasikal sepanjang 80 kilometer (km) bagi menyokong aktiviti sihat berkenaan.

Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Zamani Ahmad Mansor berkata setakat ini sepanjang 30km laluan berkenaan disiapkan sejak 2013, bermula sekitar pusat bandar Shah Alam dan terbaharu di Seksyen 7.

Menurutnya, baki 50km dilaksana secara berfasa membabitkan laluan baharu di Seksyen 13, 18, 20 dan 24 selain penyambungan laluan sedia ada di Seksyen 2, 5 dan 7.

“Inisiatif ini selaras matlamat pembangunan mapan di bawah bidang kesihatan untuk menjadikan Shah Alam sebagai bandar sukan serta rekreasi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melepaskan peserta program kayuhan berbasikal sempena pelancaran Hari Sukan MBSA 2021 di Pejabat MBSA Kota Kemuning di sini, hari ini.

Zamani berkata Shah Alam sesuai menjadi bandar sukan kerana mempunyai banyak tasik dan pusat rekreasi yang turut dikunjungi pengunjung dari luar.

“Masyarakat boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti joging, zumba dan senam robik,” katanya.

Categories
SELANGOR

1,000KM laluan basikal seluruh Selangor menjelang 2022

OLEH LIZAWATI MADFA

KAJANG, 7 OGOS: Kerajaan Negeri menetapkan sasaran menyediakan 1,000 kilometer (KM) laluan basikal di seluruh negeri dalam tempoh lima tahun lagi.

Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berstatus Bandaraya perlu menyediakan 20KM laluan basikal setiap tahun.

Katanya, PBT dengan status Perbandaran pula perlu menyediakan 10KM laluan di kawasan pentadbiran masing-masing.

TENG“Bagaimanapun, untuk tahun ini, kita bagi kelonggaran kepada PBT dengan status Bandaraya menyediakan 15KM dahulu.

“Jika mereka gagal sediakan 15KM tahun ini, maka ia akan menjadi tunggakan untuk dibawa ke tahun hadapan, di mana mereka perlu menyediakan 35KM laluan basikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Dewan Komuniti Bandar Bukit Mahkota dan Pelancaran Bas Smart Selangor Laluan KJ02 dan KJ03, di sini, baru-baru ini.

Chang Khim berkata, laluan basikal itu merupakan sebahagian agenda Kerajaan Negeri menyediakan rangkaian pengangkutan awam lengkap untuk rakyat Selangor.

“Saya sendiri akan pantau agar sasaran ini dapat ditepati dan disempurnakan PBT berkaitan.

“Ia memerlukan komitmen semua pihak bagi memastikan Selangor terus unggul dengan rangkaian pengangkutan awam sempurna dari rumah hingga ke destinasi,” katanya.