Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasar Seni Genta berlangsung meriah, lonjak industri kreatif

SHAH ALAM, 26 FEB: Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam dekat sini hari ini, berlangsung meriah mengikut tatacara operasi piawai (SOP).

Program julung kali anjuran Galeri Shah Alam dan Rumah Seni Selangor (RUSSEL) menampilkan 30 pengusaha barangan seperti seni, kraf, buku serta makanan dan minuman.

Pengarah Galeri Shah Alam Alina Abdullah berkata acara dari jam 9 pagi hingga 9 malam turut menyajikan persembahan akustik, baca puisi, bengkel seni dan pelancaran buku.

“Tanpa mengenepikan SOP pandemik Covid-19, program ini tetap dilaksanakan bagi mengisi kelompongan ranah yang sekian lama beku dan bisu di Shah Alam khususnya,” katanya ketika ditemui.

Persembahan puisi menampilkan Aliff Awan, Syahirah Wasabi, Leia Hassan, Jack Malik dan Mosyuki Borhan manakala nyanyian Band Mim, Band Motherwit, Band Wani Ardy serta Band Runs.

Beliau berkata Pasar Seni Genta memberi ruang kepada pengusaha barangan kraf dan seni memasarkan produk masing-masing dengan bayaran tapak serendah RM30.

“Begitu juga dengan peserta seni kreatif yang lain seperti penyanyi, kumpulan muzik dan sastera.

“Dengan cara ini akan melonjakkan ekonomi seni kreatif tempatan yang kini sedang dalam pacuan untuk bangkit kembali,” katanya lagi.

Orang ramai boleh melayari laman sesawang Galeri Shah Alam melalui pautan https://galerishahalam.com/ untuk maklumat lanjut.

Pengunjung melihat lukisan pelukis ilustrasi, Mohd Norazmi Mohd Mokhtar, 42, sempena Pasar Seni Genta di perkarangan Laman Budaya Shah Alam pada 26 Februari 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Pasar Seni Genta bantu pulih industri kreatif, sasar 500 pengunjung

SHAH ALAM, 22 FEB: Pasar Seni Genta di Laman Budaya Tasik Shah Alam pada Sabtu depan menyasarkan kehadiran 500 pengunjung dalam usaha membantu pemulihan industri kreatif yang malap akibat Covid-19.

Pengarah Galeri Shah Alam berkata pasar seni itu sesuai untuk semua peringkat umur kerana ia menawarkan pelbagai barangan dan hiburan untuk semua.

“Matlamat utama program ini adalah untuk melonjakkan kembali ekonomi kreatif setempat. Program ini istimewa kerana bukan sahaja menjual barang dagang seni halus dan kraf, tetapi juga jualan buku serta makanan oleh peniaga kecil.

“Terdapat juga persembahan puisi dan akustika, selain pemuzik jalanan yang bakal menyerikan lagi program pasar seni ini. Semua ini adalah hasil jaringan industri kreatif dan Galeri Shah Alam mahu membantu melonjakkan kembali ekonomi seni yang suram kerana wabak,” kata Alina Abdullah kepada SelangorKini.

Terdapat 30 vendor seni dan kraf, buku dan e-majalah serta makanan dan minuman dijangka menyertai program anjuran bersama Galeri Shah Alam dan Rumah Seni Selangor itu.

Pengunjung diwajibkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) iaitu sentiasa memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan sosial sepanjang program yang bermula dari jam 9 pagi hingga 9 malam itu nanti.