Categories
SELANGOR

Bantuan susu, lampin pakai buang ringan beban suri rumah anak lima

PUCHONG, 16 DIS: Pemberian susu dan lampin pakai buang daripada Kerajaan Selangor meringankan beban seorang suri rumah dal am membesarkan lima anaknya yang masih kecil.

Siti Nor Aisyah Nasir, 30, berkata meskipun bantuan itu diterima hanya sekali tetapi ia sedikit sebanyak menjimatkan perbelanjaan kelengkapan tersebut pada bulan ini.

Siti Nor Aisyah Nasir

“Anak saya masing-masing berusia lapan hingga tujuh bulan dan yang masih pakai lampin, menyusu ada dua orang.

“Dalam sebulan sebanyak RM300 perlu kami sediakan untuk membeli semua ini. Alhamdulillah syukur sangat Kerajaan Negeri berikan bantuan, harap diteruskan,” katanya.

Beliau antara 100 penerima bantuan susu dan lampin pakai buang yang diserahkan EXCO Pembangunan Wanita dan Keluarga Dr Siti Mariah Mahmud di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman semalam.

Sementara itu, Siti Nor Shafina Muhamad, 31, menyifatkan bantuan itu amat membantu dan merupakan keperluan penting bagi keluarga yang ada anak kecil.

“Dengan sumbangan ini amat melegakan kami. Makan minum boleh lagi diusahakan atau makan dulu apa yang ada, tetapi untuk anak kecil memang susu sahaja boleh isi perut mereka,” kata suri rumah itu.

Semalam, Dr Siti Mariah merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang yang menyasar 5,600 penerima dengan dana RM336,000, yang akan diagihkan oleh Wanita Berdaya Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Agihan susu, lampin pakai buang bantu ribuan penduduk susah

PUCHONG, 15 DIS: Lebih 7,000 keluarga berpendapatan rendah (B40) di seluruh negeri bakal menerima bantuan susu dan lampin pakai buang sumbangan Kerajaan Selangor.

Inisiatif secara berfasa mulai Julai lalu selesai diagihkan kepada 1,510 penerima dengan peruntukan RM200,000, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Sementara itu, fasa kedua pula menyasar seramai 5,600 orang dengan dana RM336,000 yang akan diagihkan oleh Wanita Berdaya Selangor, jelas Dr Siti Mariah Mahmud.

“Program ini bagi membantu meringankan beban wanita yang rata-ratanya terjejas akibat pandemik Covid-19 di samping memberi sokongan dalam memenuhi keperluan tumbesaran kanak-kanak,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas merasmikan program pemberian bantuan susu dan lampin pakai buang kepada penerima B40 di Dewan Serbaguna MPSJ Kampung Seri Aman di sini hari ini.

Dr Siti Mariah turut mengalu-alukan individu yang terjejas untuk segera memohon bantuan melalui pusat khidmat masyarakat berhampiran.

“Kita juga sentiasa terbuka menjalin kerjasama pintar bersama syarikat korporat untuk melaksanakan program pemberian bantuan kepada rakyat negeri ini,” katanya.