Categories
AGENDA NASIONAL

Polis siasat majlis kahwin pasangan selebriti langgar SOP

KUANTAN, 28 DIS: Polis membuka kertas siasatan melibatkan majlis perkahwinan pasangan selebriti susulan penularan sebuah video yang memaparkan pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) pada majlis itu.

Ketua Polis Daerah Bentong Supt Zaiham Mohd Kahar berkata semalam pihaknya menerima laporan berkaitan satu video berdurasi 41 saat yang dimuat naik di laman Facebook, mengandungi rakaman majlis berkenaan yang diadakan di sebuah vila di Genting Highlands, dekat sini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati ada tetamu di majlis yang berlangsung pada 15 Dis lepas sekitar 8.30 malam itu tidak memakai pelitup muka serta tidak mengamalkan penjarakan sosial, sekali gus melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara fasa empat.

“Polis akan mengesan dan mengenal pasti kesemua individu yang hadir dalam majlis perkahwinan itu bagi membantu siasatan mengikut Perkara 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPDPPB) 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zaiham seterusnya meminta orang ramai untuk tidak membuat spekulasi mengenai insiden berkenaan dan terus mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada tolak ansur, tindakan tegas kilang dan premis niaga langgar SOP

KUALA LUMPUR, 11 JULAI: Kilang dan premis perniagaan yang melanggar peraturan dan tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan akan berhadapan tindakan tegas termasuk diarah tutup serta-merta sebagai usaha menangani pandemik Covid-19.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan tidak akan bertolak ansur lagi terhadap kilang dan premis perniagaan berkenaan yang gagal mematuhi peraturan.

“Kita akan melakukan ‘perang’ habis-habisan dalam melawan (penularan pandemik) Covid-19 dan mengambil tindakan tegas kepada kilang dan premis perniagaan yang berdegil,” katanya menerusi catatan di Facebook rasminya hari ini.

Semalam, Ismail Sabri dalam catatan di Facebook memaklumkan terdapat 108 kilang dan premis perniagaan yang gagal mengikut SOP telah diarah tutup serta-merta dalam tempoh dua hari.

Ia melibatkan 56 kilang dan premis perniagaan yang diarah tutup pada Khamis manakala baki 52 pada Jumaat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mustapa langgar SOP kawalan pergerakan, polis buka kertas siasatan

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed memohon maaf atas pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara dan menyerahkan kepada pihak polis untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kenyataan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) hari ini menyebut berikutan tersebarnya gambar mengenai kehadiran Mustapa di Alfath Cafe di Jeli semalam, beliau telah dihubungi Ketua Polis Daerah Jeli DSP Ahmad Arifin tengah hari tadi yang memaklumkan bahawa kertas siasatan telah dibuka mengenai perkara itu.

“Datuk Seri Mustapa mengaku berada dan dihidangkan makanan di Alfath Cafe, Kampung Kalai, Jeli pada 5.30 petang Sabtu 26 Jun,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Mustapa singgah di kafe berkenaan untuk melihat bagaimana seorang pemilik kafe berjaya meneruskan perniagaannya walaupun berdepan dengan Kawalan Pergerakan di dalam Pelan Pemulihan Negara.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kilang plastik operasi lebih masa, sembilan individu dikompaun

SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah kilang pembuatan plastik di Taman Medan, Petaling Jaya dikenakan kompaun RM10,000 kerana beroperasi lebih masa semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya berkata pemeriksaan pada jam 10.45 malam di kilang berkenaan dilakukan selepas didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Satu kompaun RM10,000 dikeluarkan terhadap seorang wanita berusia 41 tahun yang juga penyelia kilang berkenaan.

“Tujuh wanita dan seorang lelaki yang juga pekerja dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang,” kata Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid dalam kenyataan hari ini.

Tindakan itu dikenakan mengikut Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPB) (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Categories
AGENDA NASIONAL

Sambut hari lahir, sembilan individu dikompaun

KUALA LUMPUR, 29 MEI: Akibat meraikan sambutan hari lahir di sebuah pejabat di Pusat Dagangan NZX, Ara Damansara, di sini semalam, sembilan kakitangan pejabat berkenaan dikenakan kompaun RM65,000 keseluruhannya kerana melanggar prosedur operasi standarad (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lapan individu dikenakan kompaun RM5,000 setiap seorang manakala penganjur majlis itu dikenakan kompaun RM25,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata kesemua individu berkenaan dikompaun pada 2.15 petang oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang membuat pemeriksaan mengejut.

Beliau berkata dalam pemeriksaan itu, pasukan pematuhan PKP IPD Petaling Jaya mendapati majlis itu diadakan di dalam sebuah bilik yang di dalamnya terdapat sembilan individu terdiri daripada lima wanita dan empat lelaki berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati majlis sambutan hari lahir itu merupakan aktiviti yang terlarang sebagaimana di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

“Kesemua individu yang diperiksa dikenakan kompaun di bawah Peraturan 9 iaitu aktiviti terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa peka dan mematuhi SOP agar dapat bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19 bagi kesejahteraan bersama.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri agama, ustaz popular kena kompaun langgar SOP

SHAH ALAM, 27 MEI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dikompaun RM2,000 kerana melanggar tatacara operasi piawai (SOP) dalam majlis tahnik anak kedua Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin bulan lalu.

Ketua Polis Selangor Dato’ Arjunaidi Mohamed berkata selain Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, penceramah Ustaz Azhar Idrus, Ustaz Don Daniyal dan Ustaz Iqbal Zain Al Jauhari yang turut hadir ke majlis itu dikompaun kadar sama.

Tindakan dibuat atas arahan Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan berhubung majlis diadakan di Ampang itu.

“Siti Nurhaliza dan suaminya Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa dikenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang selain tiga anak Khalid dikompaun RM2,000,” katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Sebelum ini beberapa gambar berkaitan majlis mengundang pelbagai reaksi warga maya termasuk komen negatif mendakwa berlaku aktiviti rentas negeri oleh tetamu yang hadir.

Bagaimanapun Siti Nurhaliza dan Khalid memohon maaf sekiranya menyentuh sensitiviti seluruh masyarakat namun menafikan majlis berkenaan melanggar SOP.

Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa, suami mengaku tidak bersalah langgar SOP

SEREMBAN, 20 MEI: Usahawan dan selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suami, Muhammad Haris Mohd Ismail mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet, di Nilai, awal bulan ini.

Noor Neelofa atau lebih dikenali sebagai Neelofa, 32, dan Muhammad Haris atau dikenali sebagai PU Riz, 26, yang tiba di mahkamah pada 8.50 pagi, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Mahyun Yusoff.

Muhammad Haris didakwa atas dua kesalahan gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual dan tidak memakai pelitup muka di Kedai Naeem Carpet Sdn Bhd, Kawasan Perindustrian Nilai 3, Nilai, pada 4 petang 2 Mei lepas.

Neelofa pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

Mahkamah membenarkan Muhammad Haris diikat jamin RM10,000 untuk kedua-dua kesalahan manakala Neelofa diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 4 Jun untuk sebutan semula kes.

Pasangan itu didakwa mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.4) (Pindaan) (No.12) 2021.

Mereka boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling manakala kedua-dua pasangan berkenaan diwakili peguam Haresh Mahadevan.

Terdahulu Nor Azizah menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Muhammad Haris manakala RM10,000 kepada Neelofa.

Sementara itu, Haresh berkata pihaknya membantah terhadap jaminan yang ditawarkan pendakwaan atas alasan anak guamnya hanya berdepan dengan kes saman bukan kes jenayah.

“Tiada peruntukan untuk jaminan kerana ia adalah kes saman tetapi mahkamah membenarkan ikat jamin iaitu RM10,000 bagi Haris dan RM5,000 terhadap Neelofa,” katanya kepada pemberita selepas prosiding itu.

Beliau berkata anak guamnya telah membayar wang jaminan tersebut.

– BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

Polis Klang siasat sambut raya beramai-ramai di Telok Gong

SHAH ALAM, 18 MEI: Polis sedang menyiasat dakwaan kejadian pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sambutan Hari Raya Aidilfitri di sebuah rumah di Telok Gong, Pelabuhan Klang, berdasarkan satu klip video yang tular dalam laman sosial.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Shamsul Amar Ramli berkata rakaman video itu yang tular dua hari lepas, memaparkan sambutan Hari Raya Aidilfitri diraikan beramai-ramai di dalam rumah terbabit.

“Siasatan dijalankan mengikut Peraturan 17 P.U (A) 225/2021 kerana melanggar SOP PKP,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan kes tersebut akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dalam masa terdekat.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jais kesan jemaah langgar SOP, dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 17 MEI: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesan beberapa pengurusan masjid dan surau di negeri ini yang melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya berkata pelanggaran SOP seperti bilangan jemaah melebihi had, tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan dikesan menerusi pemantauan pasukan pegawai penguat kuasa agama bermula 12 Mei lalu.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata terdapat juga aduan jemaah mendirikan solat Jumaat di premis tidak dibenarkan yang melanggar Seksyen 97, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 Pindaan 2018.

“Jais mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya.

“Tindakan ini demi kemaslahatan dan kesejahteraan umat Islam serta seluruh masyarakat di Selangor,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau mengingatkan umat Islam di Selangor tidak membandingkan langkah diambil Jais dengan negeri lain memandangkan situasi dan latar penularan Covid-19 sangat berbeza.

Katanya, keputusan dibuat mendapat nasihat pihak berwajib terlebih dahulu dan selepas diperkenankan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Jais amat memahami keperluan serta keutamaan masjid dan surau untuk terus bergiat aktif sebagai pusat ibadah umat Islam setempat.

“Namun dalam menggerakkan masjid sebagai fungsi kesatuan ummah, ahli jemaah diminta janganlah menunjukkan tindakan tidak bijak apabila menentang penguatkuasaan SOP pentadbir masjid dan surau.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP di restoran, Najib dikompaun RM3,000

SHAH ALAM, 7 MEI: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dikompaun RM3,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang pada Mac.

Ketua polis Dang Wangi berkata Najib dikompaun RM1,500 bagi setiap kesalahan di bawah Peraturan 19 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempat Penyakit Berjangkit) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021, lapor Berita Harian.

“Kesalahan pertama adalah gagal mengimbas suhu badan ketika memasuki premis Nasi Ayam Hainan Chee Meng dan kesalahan kedua, gagal mendaftar kehadiran di premis itu melalui aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual.

“Pengurus restoran, Yeok Wei Hao dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mengarahkan Datuk Seri Najib membuat imbasan MySejahtera atau menulis nama di dalam buku daftar sebagaimana disyaratkan dalam SOP,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal.

Tambah beliau, semua yang terbabit akan dikenakan kompaun dalam masa terdekat dengan nilai kompaun keseluruhan RM13,000.

Pada 19 Mac, polis mengambil keterangan Najib susulan tular video yang memaparkan beliau tidak mematuhi SOP ketika berada di sebuah restoran di Jalan Bukit Bintang.

Video tular selama satu minit 39 saat memaparkan ahli parlimen Pekan bersama beberapa individu hadir di sebuah restoran untuk makan tanpa membuat imbasan suhu dan mendaftar MySejahtera yang diperlukan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Polis buka 12 kertas siasatan VIP didakwa langgar SOP

NILAI, 31 MAC: Polis membuka 12 kertas siasatan berhubung isu pelanggaran tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membabitkan golongan kenamaan atau VIP setakat ini, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed.

Beliau berkata daripada jumlah itu, tiga kes masih dalam siasatan manakala dua dikategori sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) atas alasan melakukan tugas rasmi selain mengikut SOP.

“Selebihnya telah dikompaun dan (mereka yang terlibat) telah membayarnya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai di sini hari ini.

Huzir berkata antara dakwaan pelanggaran SOP melibatkan program berbasikal yang dirasmikan Menteri Perumahan Kerajaan Tempatan, rentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan dan lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) ke kem tentera di Sendayan.

Turut disiasat kes Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa tidak mengimbas kod MySejahtera dan merekodkan suhu badan di sebuah restoran pada 19 Mac lepas dan kertas siasatan masih berada dengan Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang JSJ Bukit Aman.

Huzir berkata bagi program berbasikal dirasmikan Datuk Zuraida Kamaruddin yang didakwa melanggar SOP, Ketua Polis Daerah Brickfields mengesahkan aktiviti itu dianjurkan mengikut kebenaran dan mematuhi SOP.

“Berhubung kes lawatan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke sebuah kem tentera di Sendayan, kami akan merakam (percakapan) penganjur majlis itu… itu adalah lawatan rasmi tapi kerana sudah ada laporan, kami akan rakam (percakapan),” katanya.

Bagi kes beberapa VIP merentas negeri dari Lembah Klang untuk menghadiri majlis perkahwinan pada 14 Mac lepas, beliau berkata polis merakam percakapan pengurusan hotel yang menjadi lokasi majlis itu semalam selain akan turut merakam kenyataan pihak lain dalam waktu terdekat.

Huzir juga berkata kadar jenayah indeks di negara ini tahun lepas menunjukkan penurunan sebanyak 24 peratus iaitu 65,623 kes berbanding 83,475 kes pada 2019 dan antara faktor penurunannya ialah pelaksanaan PKP.

“Semasa PKP, pergerakan terhad selain kehadiran ramai anggota penguatkuasa termasuk polis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berada di merata-rata tempat serta operasi tidak henti-henti,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP: Polis panggil pengurus acara, saksi majlis nikah Neelofa

SHAH ALAM, 29 MAC: Polis akan memanggil pengurus acara majlis pernikahan pelakon, Neelofa hari ini yang didakwa melanggar tatacara operasi piawai (SOP).

Ketua polis Daerah Dang Wangi berkata turut dipanggil ialah beberapa saksi lain termasuk pekerja hotel untuk memberi keterangan, lapor Sinar Harian.

“Kita sudah mengambil keterangan pihak hotel dan hari ini dijangka pengurus acara majlis berkenaan tampil untuk memberi keterangan manakala saksi lain akan dipanggil dalam masa terdekat,” kata Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Beliau juga memberi jaminan pihaknya tidak memilih bulu dalam pelaksanaan SOP serta mengambil tindakan sewajarnya selepas kertas siasatan lengkap seterusnya diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Semalam, polis membuka kertas siasatan berhubung majlis pernikahan Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor dengan pendakwah bebas, PU Riz.

Siasatan awal mendapati majlis di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur gagal mematuhi SOP ditetapkan dan tiada penjarakan fizikal.