Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 33,000 daftar SELangkah, mahu dapatkan dos penggalak

SHAH ALAM, 14 DIS: Seramai 33,358 individu melakukan pra daftar di aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi menyertai program Vaksin Selangor (Selvax) Booster setakat semalam.

EXCO kesihatan awam berkata pendaftaran perlu dilakukan awal bagi mengelak kesesakan di 13 Klinik Selcare malah bermula semalam pihaknya tidak lagi menerima individu tidak berdaftar.

“Kita hadkan setiap klinik beri 150 dos sehari dengan dua doktor penyuntik. Bagaimanapun ada klinik yang ambil lebih sehingga 200 dos kerana menjadi tumpuan ramai seperti di Selcare Puchong dan Skypark.

“Sambutan hari pertama di luar jangkaan. Rupanya ramai individu mahukan Sinovac sebab mahu vaksin campuran selepas baca info ketahanannya lebih kuat,” kata Dr Siti Mariah Mahmud.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Dos Penggalak Langkah Lindungi Diri yang disiarkan di YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam ini.

Dr Siti Mariah berkata Kerajaan Negeri memutuskan pelaksanaan inisiatif berkenaan di Klinik Selcare sahaja selepas dimaklumkan pemberian dos penggalak menerusi MySejahtera kurang mendapat sambutan.

“Memadailah di Klinik Selcare dan panel. Kalau tak kita rugi macam Selvax Remaja. Kita siapkan (pusat pemberian vaksin) tapi yang datang sikit.

“Klinik yang sesak boleh minta bantuan Suka (Sukarelawan Komuniti Kesihatan Selangor) untuk bantu. Ini memudahkan urusan suntikan,” katanya.

Kerajaan Negeri mengumumkan sebanyak 157,000 dos penggalak akan diberikan secara percuma menerusi program Selvax Booster mulai 8 Disember.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata individu berusia 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos vaksin boleh mendapatkannya di Klinik Selcare berdekatan.

Senarai klinik yang terlibat boleh didapati di laman sesawang https://selcareclinic.com/our-clinics/ atau melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
AGENDA NASIONAL

SELangkah perkenal e-dompet, mudahkan transaksi tanpa tunai

SHAH ALAM, 19 NOV: Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) memperkenal e-dompet sebagai fungsi terbaharu aplikasi itu, hari ini.

Berdasarkan perkongsian video di Facebook, fungsi dinamakan SELangkah Wallet itu boleh diaktifkan selepas pengguna mengemas kini aplikasi SELangkah.

“Aktifkan SELangkah Wallet sekarang untuk menikmati kemudahan pembayaran dan ciri-ciri lain,” katanya.

Video berdurasi kurang satu minit itu juga menunjukkan langkah-langkah yang perlu diikuti pengguna untuk menikmati kemudahan yang disediakan.

Antaranya, pengguna wajib mengisi maklumat peribadi dan membuat pengesahan identiti.

Sementara itu berdasarkan notifikasi di aplikasi antara kelebihan menggunakan SELangkah Wallet ialah transaksi pembayaran melalui kod QR, tambah nilai dompet, pemindahan wang, tambah nilai telefon pintar dan pembayaran bil.

Pada 9 Februari, Duta SELangkah, Adibah Noor berkata aplikasi itu bakal menawarkan fungsi komersial bagi membantu pengguna menyesuaikan diri ke arah pendigitalan.

Katanya ia bakal dilengkapi SELangkah Biz yang membolehkan peniaga menerima bayaran dari mana-mana platform e-dompet.

Turut diperkenalkan, ciri dompet iaitu SELangkah Wallet dan SELangkah Pay untuk memudahkan pengguna melakukan transaksi tanpa tunai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Mohon CITF benarkan sijil digital SELangkah jadi dokumen pengesahan sementara

SHAH ALAM, 8 SEPT: Kerajaan Selangor memohon Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) membenarkan sijil digital Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) digunakan sebagai dokumen pengesahan buat sementara waktu.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia susulan aduan peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang belum memperoleh sijil pengesahan di aplikasi MySejahtera walaupun sudah mendapat dos lengkap vaksin Covid-19.

Menurutnya setakat semalam, SELangkah menghantar 159,919 rekod peserta Selvax kepada MySejahtera namun 3,632 individu masih belum menerima sijil digital.

Dr Siti Mariah Mahmud. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Dikhuatiri angka sebenar lebih ramai. CITF menjelaskan MIMOS Berhad (MIMOS) menghadapi masalah teknikal untuk mengintegrasi data peserta Selvax ke sistem MySejahtera.

“MIMOS juga perlukan masa mengatasi masalah itu namun tidak dapat memberi kepastian bila isu ini dapat diselesaikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Siti Mariah berkata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin akan membawa saranan itu ke Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini.

“Kita masih menunggu maklum balas dan berharap cadangan diluluskan segera demi kepentingan rakyat Selangor,” katanya.

Pada Mac kerajaan memaklumkan individu lengkap vaksinasi diberikan sijil digital di MySejahtera sebagai bukti pengambilan vaksin dan ia menjadi keperluan pada masa depan.

Ketika ini kerajaan memberi kelonggaran kepada individu lengkap pelalian antaranya boleh berjemaah di masjid serta makan di kedai.

Categories
EXCO SELANGOR

Syarikat caj pekerja suntik vaksin boleh dikena tindakan – EXCO

SERI KEMBANGAN, 25 JUN: Majikan berdaftar boleh dikenakan tindakan sekiranya didapati mengenakan caj bagi suntikan vaksin Covid-19 untuk pekerja, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata mengikut syarat perjanjian, syarikat yang mendaftar mendapatkan vaksin tersebut melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) perlu menanggung segala kos.

“Pekerja dikenakan bayaran secara sekali gus atau potong gaji diminta buat aduan supaya kita tahu syarikat apa dan tarikh vaksinasi. Kita akan cari (majikan) berdasarkan rekod.

“Jika berlaku (caj pekerja), kita akan serah kepada Selgate Corporation Sdn Bhd untuk ambil tindakan,” katanya selepas program saringan Covid-19 anjuran Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar ketika mengumumkan Pakej Kita Selangor 2.0 memaklumkan peruntukan berjumlah RM200 juta untuk menjayakan Program Suntikan Vaksin Covid-19 Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perbincangan dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) memuktamadkan bekalan vaksin berfasa bermula akhir bulan ini.

Program itu memfokus penerima vaksin dalam kalangan warga emas, pekerja industri dan kilang.

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

SELangkah terbukti berkesan, wajar dimanfaat KKM – Dr Dzulkefly

Berikut perkongsian Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC), Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung kecaman terhadap sistem SELangkah bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor:

 

Perkongsian ini bukan sekadar untuk menonjol perbezaan antara SELangkah dan MySejahtera sebagai platform ‘Contact Tracing’ semata-mata, tetapi bagaimana keupayaan SELangkah wajar dimanfaatkan oleh KKM dan Kerajaan PN, yang sedang bergelut dan ternyata gagal menangani cabaran gelombang ke-3 ini.

Tulisan saya ini adalah respon kepada artikel yang ditulis oleh Fazreen Kamal bertajuk “Di Sebalik aplikas SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” yang telah diterbitkan pada 3 Februari 2021 jam 8 pagi di laman sesawang MalaysiaNow.

Di saat-saat getir negara berdepan dengan pandemik Covid-19, wujud pula sesetengah pihak yang cuba menakut-nakutkan khalayak umum dengan menyebarkan maklumat yang tidak benar, sekali gus membantutkan usaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membendung keluk gelombang ke-3 pandemik Covid-19.

Sejak diperkenalkan pada 4 Mei 2020, SELangkah terbukti efisien. Dengan kepintaran jejak kontak rapat berasaskan kod QR, aplikasi ini mampu mengumpul data maklum balas daripada rakyat, meninjau situasi terkini, dan menyediakan informasi semasa kepada penggunanya. SELangkah maju sebagai aplikasi digital yang memanfaatkan sains data (Data Science) dan teknologi mesin (Machine Learning) bagi mengawal Covid-19.

MySejahtera pula, yang dilancarkan pada 20 April 2020 untuk kegunaan rakyat Malaysia, sekadar mengikuti jejak kontak rapat yang dipelopori oleh SELangkah.

Walaubagaimanapun, pertikaian siapa yang berjaya buat sesuatu terlebih dahulu bukan persoalan utamanya.

Sebaliknya, kita mahu memastikan kebolehhantaran kedua-dua sistem ini. Aplikasi SELangkah direka khas untuk membenarkan sebanyak mungkin data dianalisis. Aplikasi ini bukan sahaja bertindak sebagai platform pendaftaran selepas mengesan kod QR di telefon bimbit, bahkan ia memaklumkan penggunanya mengenai kawasan berisiko tinggi dan mengemaskini pangkalan data (berdasarkan data yang dihantar oleh individu) berkenaan kemungkinan peletusan kluster baharu dan lokasi yang mungkin terbabit.

Aplikasi SELangkah ini dibangunkan dengan begitu mapan sehinggakan jejak kontak rapat hanya memerlukan tenaga kerja yang minimum dan membenarkan pengecaman inidividu yang terdedah dengan pantas supaya langkah pencegahan dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Kesemua data ini disimpan di Malaysia dan terjaga rapi di mana hanya data-data nama pengguna, nombor telefon dan lokasi pendafataran sahaja yang direkodkan.

Data-data ini dijamin keselamatannya dan hanya boleh diakses oleh pegawai kesihatan awam dan ejen STFC. Pengguna juga boleh menarik balik data tersebut sekiranya perlu.

SELangkah telah menerima sambutan yang memberangsangkan oleh golongan peniaga. Mereka memuat naik kod QR SELangkah di premis perniagaan masingmasing. Pasukan SELangkah pula sentiasa bersedia untuk membantu mereka.

Bukan itu sahaja, SELangkah juga telah memanjangkan fungsi kod QR ini kepada pengguna yang berada di rumah supaya jejak kontak dapat dilaksanakan terutamanya pada musim perayaan.

MySejahtera pula merupakan pangkalan data yang dibangunkan oleh MKN dan pernah dilihat sebagai saingan kepada SELangkah.

Dalam usahanya untuk melaksanakan jejak kontak rapat, sistem MySejahtera tidak bergerak secara automatik sepenuhnya bahkan ia masih memerlukan penaikan taraf untuk menandingi SELangkah.

Sehingga hari ini, lokasi penyimpanan data MySejahtera masih tidak dapat dikenal pasti. Bukan itu sahaja, pihak yang mempunyai akses terhadap data MySejahtera juga masih menjadi satu misteri.

Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Terdapat dakwaan bahawa berlaku penyalahgunaan data dengan penggunaan aplikasi MySejahtera.

Selain itu, kita juga risau sekiranya data-data ini dijual kepada pihak ketiga dengan tujuan keuntungan.

Walaubagaimanapun, sehingga ke hari ini kerajaan Malaysia masih sambil lewa menangani isu kebocoran data ini. Memandangkan terdapat 2 aplikasi yang wujud – di mana salah satu dilihat sebagai lebih baik daripada lagi satu lagi, amat malang sekali apabila kedua-dua aplikasi ini tidak diintegrasi untuk melahirkan potensi sebenar, sebaliknya pada 3 Ogos 2020, Menteri Kanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob telah mengumumkan di kaca televisyen nasional bahawa setiap premis perniagaan wajib mempunyai kod QR MySejahtera.

Walaupun setelah beberapa lama diumumkan juga bahawa mana-mana aplikasi untuk jejak kontak rapat berasaskan QR boleh digunakan, nasi sudah menjadi bubur. Ramai pengguna yang pada awalnya telah selesa dengan SELangkah diarahkan untuk beralih ke MySejahtera.

Malang sekali apabila terdapat banyak pihak yang disaman oleh penguatkuasa kerana tidak menggunakan MySejahtera. Arahan MKN ini, yang jelas sengaja dirancang untuk meminggirkan SELangkah, telah menyusahkan orang ramai.

Dalam pada itu pengesanan aktif oleh SELangkah telah memudahkan STFC untuk memanfaatkan data yang ada bagi menyasarkan dan memberi amaran berkenaan lokasi-lokasi berbahaya supaya rakyat lebih bersedia untuk memerangi wabak ini bersama.

Dua minggu selepas pengumuman daripada menteri kanan, ramai yang terpaksa menggunakan aplikasi MySejahtera kerana takut disaman oleh penguatkuasa kalau melakukan sebaliknya.

Situasi ini menyebabkan usaha memerangi Covid-19 terbantut kerana STFC terpaksa bekerja keras untuk memulihkan epidemik di Selangor tanpa sebarang bantuan data daripada Kementerian Kesihatan Malaysia ataupun Kerajaan Malaysia.

Kerajaan Selangor bergantung sepenuhnya pada data luas SELangkah. Walaupun terdapat aral yang melintang, Kerajaan Selangor kekal efisien bagi mengawal situasi di Selangor dengan baik semasa gelombang kedua.

Untuk rakaman sejarah, seperti yang ditunjukkan oleh graf yang disertakan ini, SELangkah secara aktif telah digunakan di Selangor pada minggu 3 Mei 2020 hingga pertengahan Ogos 2020. Kami berjaya mengekalkan kes positif (garis merah) pada paras yang rendah, bukan sifar (O) tetapi rendah.

Dengan perkongsian data, STFC berjaya mengenal pasti (Tracing) dan mencari (Finding) daerah-daerah yang berisiko tinggi (high risk districts) dengan segera melakukan TTIS (Test, Trace, Isolate & Support) semasa dalam tahap isolasi.

Namun, usia kejayaan SELangkah tidak panjang kerana pada 18 Ogos dan kemudian 2hb September, MySejahtera telah diwajibkan untuk digunakan oleh semua pihak, sekali gus menamatkan segala perkongsian data dengan Kerajaan Negeri Selangor. Amat malang!

Keengganan Kerajaan Malaysia untuk berkongsi data dengan Kerajaan Negeri Selangor menyebabkan kerja kami menjadi sukar, seperti teraba-raba di dalam bilik yang gelap atau bertinju dengan mata kami ditutup.

Kebergantungan Kerajaan Selangor kepada data yang sudah lapuk ini menyukarkan sebarang usaha untuk merangka strategi pengawalan wabak mengikut situasi semasa.

Laporan STFC adalah benar mengikut bekalan dan sumber data. Namun demikian, pendirian ini tidak boleh disamakan dengan situasi baru-baru ini di mana pasukan STFC telah menyiasat dan mengenal pasti punca utama di sebalik lonjakan mengejut kes di Selangor.

Kes-kes ini merupakan kes pada tahun 2020 dan juga Januari 2021 yang baru sahaja dilaporkan dan tidak mewakili nombor semasa sepertimana yang diakui oleh pengarah kesihatan sendiri.

Tunggakan ini adalah disebabkan kelemahan sistem jejak kontak rapat MySejahtera yang mengambil masa terlalu lama untuk mewajibkan pegawai kesihatan awam untuk melaksanakan jejak kontak sehingga mengakibatkan tunggakan kes yang berbulan-bulan lamanya.

Ramai professional kesihatan dan staf kesihatan awam yang mengakui lebih cenderung untuk menggunakan aplikasi SELangkah untuk membantu sistem pengawalan wabak yang sedia ada, tetapi mereka tidak mempunyai pilihan lain selain dengan daripada menggunakan data mentah sebagai rujukan kepada usaha jejak kontak.

Apa yang berlaku kepada data Selangor pada beberapa hari lepas ialah situasi tepat bagi menggambarkan pengalaman hitam STFC semasa 3 Ogos 2020.

Data-data yang diperoleh sudahpun bercampur aduk sehingga menyebabkan data-data ini tidak lagi berguna untuk mencegah penularan wabak.

Kami menyeru Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pengarah kesihatan untuk berlaku jujur dalam isu ini. Laporan mestilah dilaporkan dengan telus, bukan sahaja mengenai status tunggakan kes yang lepas dan semasa, bahkan rakyat juga berhak dimaklumkan berkenaan status semasa kes di Malaysia.

Kerajaan Malaysia boleh mengambil contoh pengumuman kes harian mengikut sistem laporan di UK yang mampu melaporkan situasi Covid-19 di setiap wilayah, majlis bandaraya dan daerah di UK dengan tepat. Hal ini hanya boleh direalisasikan dengan ukuran insiden kes pada setiap 100,000 bilangan populasi, BUKAN berasaskan bilangan yang mutlak atau kumulatif (absolute or cumulative numbers).

Dengan ukuran yang diguna pakai secara ‘benchmark’ dalam disiplin epidemiologi ini, anda akan dapati negeri Selangor didahului oleh WP Labuan, WP Kuala Lumpur dan Sabah.

Pun begitu ketika kedudukan ‘Ranking’ yang sama diperhatikan dalam ukuran kadar kematian per 100,000 penduduk. Selangor tetap di posisi ke-4.

Sementara kami amat insaf menangani cabaran melandaikan keluk epidemic di negeri Selangor, izinkan saya menegur supaya anda berpada-padalah untuk membuat kesimpulan atau kecaman terhadap prestasi di negeri Selangor.

STFC kini mempunyai sebuah entity untuk Operasi dan Implementasi yang dinamakan STFO atau Selangor Task Force Operation, yang terlibat langsung dalam pengopersian program dan kerja seperti Saringan Komuniti Bersasar.

STFO dibantu oleh badan-badan NGO dan buat masa ini IMARET memainkan peranan yang agak menonjol. STFC menggunakan sumber dan kepakaran serta pengalaman yang ada pada ahli-ahli lMARET dengan mereka tidak dibayar imbuhan yang sepatutnya, bahkan sebahagian kerja dilakukan secara pro bono atau sukarela.

Pun demikian, kami selaku Task Force Covid-19 di negeri Selangor, akan terus melipatkan-gandakan usaha-usaha kami untuk membendung perebakan Gelombang ke-3 ini di negeri Selangor khsususnya dan bersedia berkongsi pengalaman dan sedikit kepakaran yang ada pada STFC, untuk kepimpinan di negeri-negeri dalam Persekutuan Malaysia ini.

DS Dr Dzulkefly Ahmad,
Pengerusi STFC,
6hb Februari 2021.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

SELangkah ditambah baik, premis terdedah Covid-19 boleh dikesan

SHAH ALAM, 2 OKT: Kerajaan Negeri menambah baik aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) bagi kemudahan orang ramai mengesan premis terdedah dengan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar berkata pengesanan menerusi ciri ‘peta dan semakan premis’ itu turut membolehkan pengguna mengetahui tarikh sanitasi premis bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Beliau berkata ciri kedua yang ditambah ialah ‘semakan kendiri’ iaitu boleh membuat semakan silang ‘cross check’ bagi mengetahui status premis dikunjungi mereka berisiko dalam tempoh kuaratin.

“Dalam masa terdekat, pengguna boleh memeriksa sama ada terdedah kepada individu lain yang telah disahkan menghidap Covid-19 menerusi SELangkah,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, beliau turut menggesa semua peniaga di negeri ini mempamerkan poster aplikasi itu secara jelas supaya pengguna dapat mengimbas masuk menggunakannya.

“Sebagaimana yang kita sedia maklum, penggunaan SELangkah diwajibkan bagi premis kerajaan dan perniagaan, ia sebagai Syarat Tambahan Pembukaan Semula Ekonomi Selangor melalui pekeliling Kerajaan Negeri bertarikh 3 Mei lalu,” katanya.

SELangkah mula diperkenalkan 4 Mei lalu bagi menjejak jangkitan virus di premis perniagaan atau pejabat bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan.

Pemilik premis hanya perlu mencetak kod QR melalui portal selangkah.mbiselangor.com.my atau selangkah.my dan mempamerkannya untuk diimbas pengunjung.

Ia hanya memerlukan maklumat nama dan nombor telefon tanpa mendedahkan data peribadi individu.