Categories
AGENDA NASIONAL

14 pemancing, empat kru hilang bot dipercayai karam di Langkawi

ALOR SETAR, 26 FEB: Sebuah bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Gelembung pelancongan antarabangsa Langkawi dibuka kepada semua negara

KUALA LUMPUR, 25 OKT: Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dibuka kepada semua pelancong tanpa dihadkan kepada mana-mana negara, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata langkah itu diambil susulan terdapat prosedur ketat yang akan dilaksanakan bagi mengelakkan penularan jangkitan Covid-19 di pulau pelancongan itu.

“Prosedur ini termasuklah memastikan dia (pelancong) mesti datang menggunakan khidmat ejen pelancongan yang berdaftar dengan kementerian.

“Ejen ini yang akan mengatur semua perjalanan dan mereka tidak datang terus ke Langkawi secara peribadi. Ini mekanisme yang kita gunakan kerana kalau ada apa-apa terjadi seperti berlakunya kes, ejen itu yang akan bertanggungjawab,” kata beliau.

Nancy berkata demikian bagi menjawab pertanyaan media mengenai sama ada kerajaan akan mengambil langkah sama seperti Singapura dan Thailand dalam mengehadkan kemasukan pelancong luar untuk ke negara mereka.

Beliau ditemui di Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan dan Sumbangan kepada 15 Badan Bukan Kerajaan dan 20 Penggiat Seni di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), di sini hari ini.

Nancy berkata gelembung pelancongan antarabangsa itu diperkenalkan bagi membantu memulihkan ekonomi rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, kerajaan tidak boleh menunggu untuk tempoh lama bagi membuka sektor pelancongan kepada pelancong luar kerana ini akan menyebabkan ramai penduduk tempatan kehilangan pekerjaan perlu berfikir secara berilmiah dan munasabah supaya langkah yang diambil membawa kebaikan kepada semua.

“Pada masa sama, perkembangan di Langkawi ini akan menjadi model kepada kita untuk meneliti kelakuan (behaviour) pelancong dalam membantu membendung penularan Covid,” katanya.

Beliau berkata sejak pengumuman gelembung pelancongan itu baru-baru ini, banyak rumah inap desa di Langkawi telah menerima tempahan pelancong terutama dari Eropah.

Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan Gelembung Pelancongan Antarabangsa bagi Projek Rintis Pulau Langkawi akan dimulakan pada 15 Nov ini dengan pematuhan beberapa tatacara operasi piawai (SOP).

Kumpulan sasaran bagi gelembung pelancongan itu ialah pelancong berkualiti dan individu yang telah lengkap vaksinasi Covid-19.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Selami keindahan alam semula jadi Pulau Tuba

Oleh Muhammad Basir Roslan

LANGKAWI, 21 OKT: Siapa sangka tidak jauh dari Pulau Langkawi iaitu sekitar 5 kilometer dari Jeti Pelancongan Pekan Rabu, terdapat sebuah pulau yang berpotensi menjadi destinasi pelancongan dan dianugerahi dengan pelbagai keindahan alam semula jadi.

Pulau Tuba, nama yang mungkin janggal kedengarannya buat pelancong adalah sebuah perkampungan nelayan pesisir pantai seluas kira-kira 17 kilometer persegi dengan sekitar 5,000 orang penduduk.

Penulis baru-baru ini berkesempatan berkunjung ke pulau ini bersama 10 pengamal media dari pelbagai organisasi yang lain, pada hari pertama program Ekspresi Media anjuran Tourism Malaysia, untuk melihat sendiri kehidupan masyarakat tempatan serta aktiviti harian mereka.

Untuk sampai ke pulau ini, pelancong perlu menaiki bot atau feri yang tersedia dengan harga sekitar RM10 seorang, untuk perjalanan pergi dan balik. Setibanya di pulau ini, pengunjung boleh menaiki van atau motorsikal sewa untuk bersiar-siar menikmati keindahan panorama perkampungan di pulau ini.

Tawar percutian bermakna

Pemandu pelancong kami, Zamri Anuar, mengakui memang benar pelancong lebih mengenali Pulau Langkawi berbanding Pulau Tuba dan keadaan itu membuatkan ia agak kurang popular.

“Sebenarnya Pulau Tuba mampu menawarkan pengalaman percutian tidak kurang hebatnya. Ada pelbagai jenis motel dan vila untuk pelancong menginap dengan harga penginapan bermula serendah RM60 satu malam.

“Malahan paling menarik ada juga ditawarkan pakej percutian bersama keluarga angkat nelayan di rumah inap desa di sini ” tambah anak kelahiran Pulau Langkawi ini.

Menerusi pakej percutian bersama keluarga angkat, pelancong berpeluang mempelajari cara menangkap hasil laut seperti bronok (sejenis hidupan laut seakan gamat), udang, ketam dan ikan seperti kebasi dan jenahak serta bersawah padi.

“Mereka juga boleh melakukan aktiviti harian penduduk seperti menganyam beg dan tikar mengkuang. Harga pakej ini pula sekitar RM150-300 sehari bergantung kepada jumlah pelancong yang terlibat,” katanya.

Selain pakej aktiviti bersama keluarga angkat, pengunjung yang inginkan aktiviti lasak seperti pendakian boleh melakukannya di Gua Wang Buloh dan Gua Kelawar yang turut dilengkapi trek pendakian yang menarik dan mencabar.

Untuk mereka yang ingin melakukan aktiviti pendakian di Bukit Batu Licin, bagaimanapun, dinasihatkan untuk pergi bersama jurupandu hutan berlesen kerana trek masih belum tersedia di sana.

Pulau menakjubkan

Pulau Tuba dikelilingi bukit-bukau jenis batu kapur yang terbentuk lebih 350 juta tahun dahulu dan pengunjung boleh singgah ke Bukit Kecik untuk melihat sendiri bagaimana formasi batu kapur terbentuk.

Menurut Zamri, formasi batuan yang terbentuk di Bukit Kecik adalah sejenis batuan enapan yang terdiri daripada mineral kalsit dan arogenit.

“Terdapat tiga jenis batu kapur berlainan warna di sini, antara yang mudah didapati ialah berwarna putih yang biasa terdapat di bukit batu kapur lain. Selain itu, terdapat warna seakan lumut kerana tidak terdedah kepada cahaya matahari, dan yang terakhir berwarna oren atau kekuningan. Uniknya batu kapur di sini terdapat ketiga-tiga warna ini pada satu batuan yang tidak terdapat di bukit batu kapur yang lain.

“Terdapat juga batu berjalur di Bukit Kecik yang terbentuk akibat fenomena tekanan dan pergerakan muka bumi sejak ribuan tahun dahulu. Batuan ini berwarna hitam dan hijau seakan warna lumut. Terdapat juga beberapa batu kapur yang mempunyai bintik-bintik putih disebabkan kulit siput. Dipercayai kawasan ini pernah ditenggelami air laut yang sangat tinggi ribuan tahun dahulu sehingga menyebabkan terbentuknya formasi batuan ini,” jelasnya.

Foto Facebook Pulau Tuba

Selain itu, Zamri turut berkata, beberapa pantai peranginan yang popular di sini antaranya pantai Tanjung Pandan yang terkenal dengan kejernihan airnya dan terdapat pelbagai kedai makan mi udang, serta pantai Bagan Asam yang dikelilingi hutan paya bakau dan formasi batuan batu kapur yang memukau mata.

Tidak cukup dengan itu, Pulau Tuba yang mendapat nama jolokannya dari Pokok Tuba yang tumbuh melata di sini juga turut dihiasi pelbagai tumbuhan eksotik yang tidak mungkin terdapat di tempat lain seperti tumbuhan Pandan Laut, Orkid Harimau serta pokok Bogok yang hanya tumbuh di batu kapur, manakala di dada langit pula gagah berterbangan burung helang jenis Lang Merah dan Lang Siput.

Zamri menjelaskan, mungkin ada pengunjung yang beranggapan bahawa Pulau Tuba tidak terdapat kemudahan yang lengkap dek kerana rata-rata penduduknya menjalani kehidupan ala desa.

Namun sebenarnya, penduduk di pulau ini turut sama menikmati kemudahan asas seperti sekolah dan klinik, malahan turut dilengkapi kemudahan capaian internet yang pastinya bermanfaat buat pengunjung.

Mula bernafas kembali

Sementara itu, salah seorang penyedia servis van sewa di Pulau Tuba Mohd Senafi Ishak, 63, berkata, beliau kini mampu menarik nafas lega selepas kerajaan mengumumkan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis gelembung pelancongan baru-baru ini.

Menurut beliau, selepas pengumuman itu, semakin ramai pelancong mula datang ke pulau berkenaan.

Beliau menambah, rata-rata penduduk di pulau itu amat bergantung kepada pelancong kerana tanpa mereka, ekonomi ekopelancongan dan pelancongan desa terjejas teruk.

“Seperti saya, antara penyedia servis van sewa di sini, memang terasa pendapatan saya berkurangan terutama ketika pelaksanaan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Namun kini jumlah pelancong kini mula beransur-ansur pulih dan semakin ramai.

“Servis yang saya tawarkan buat pelancong juga berbaloi, iaitu perjalanan mengelilingi Pulau Tuba selama empat jam pada harga RM100 menaiki van besar yang boleh memuatkan sekitar 10 orang. Setakat sekarang, saya sudah mula mendapat satu atau dua trip sehari namun saya tetap berasa lega dan bersyukur,” katanya yang juga dikenali sebagai Pak Ali.

Beliau menambah, antara destinasi popular yang sering diminta untuk dikunjungi pelancong ialah jeti lama Pulau Tuba yang panjangnya sekitar 800 meter, dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan seperti Ombak Rindu dan Langit Cinta.

Destinasi popular ialah jeti lama Pulau Tuba yang dahulunya pernah menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem tempatan. Foto Facebook Pulau Tuba

Program ekspresi media

Program Ekspresi Media ini yang diadakan buat julung-julung kalinya dengan kerjasama bersama syarikat penerbangan AirAsia, berlangsung selama empat hari bermula 11 hingga 14 Oktober 2021.

Menurut Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat, Tourism Malaysia, Datin Rafidah Idris, program berkenaan berlangsung serentak dengan hari pertama kebenaran rentas negeri serta pembukaan semula sektor pelancongan domestik di seluruh negara.

Antara lain, ia bertujuan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong serta menguar-uarkan jaminan produk pelancongan yang bersih dan selamat di Langkawi dalam amalan norma baharu.

“Memasuki edisi kelima, program Ekspresi Media pada kali ini masih mengekalkan konsep lawatan suai kenal interaktif dengan mengetengahkan produk berasaskan pengalaman pelancongan.

“Diharapkan, impak perkongsian pengalaman oleh peserta media ini dapat merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan domestik melalui perencanaan kempen Cuti-Cuti Malaysia,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kementerian Pelancongan cadang buka Langkawi kepada pengunjung luar negara

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya projek rintis gelembung pelancongan di Langkawi, dibuka kepada pengunjung daripada beberapa negara luar.

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata langkah itu bagi membolehkan Malaysia mengembangkan ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

“Saya cadangkan dibuka (sempadan) kepada (pelancong) beberapa negara untuk Langkawi sahaja dahulu, (iaitu) projek rintis Langkawi, kita dengarlah dahulu pengumuman daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) sebab kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar.

“Ini salah satu cara kita mengembangkan ekonomi kita,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahaya, yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuka ruang pelancongan bagi projek berkenaan kepada negara luar, khususnya negara ASEAN.

Terdahulu, Nancy berkata dari 16 Sept hingga 12 Okt, seramai 85,921 pengunjung telah mengembara ke Langkawi menerusi gelembung pelancongan tersebut melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan pintu masuk laut.

Katanya berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis penginapan pelancong ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama bulan ini adalah 45 peratus bagi premis penginapan pelancong bertaraf empat hingga lima bintang, manakala 21 peratus premis bertaraf tiga bintang dan ke bawah.

Nancy berkata demikian bagi menjawab soalan asal Ahmad yang mahu tahu sejauh manakah sambutan pelancong tempatan ke Pulau Langkawi, selepas dibuka semula pada 16 Sept lepas serta masalah berbangkit sejak hari pembukaan sehingga kini.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Menteri: Pelancong ke Langkawi tidak perlu lagi buat ujian Covid-19

SHAH ALAM 12 OKT: Semua pelancong ke Langkawi tidak perlu lagi menjalani ujian Covid-19 mulai hari ini, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata,  kementerian membuat keputusan menyemak semula keperluan pengujian status jangkitan Covid-19 sebelum melancong ke pulau peranginan itu susulan kebenaran rentas negeri yang diumum Perdana Menteri pada 10 Oktober lalu.

“KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) memutuskan  untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19. Pemberhentian keperluan menjalani ujian oleh pengembara ke Langkawi ini berkuatkuasa mulai 12 Oktober 2021,” katanya.

Bagaimanapun tegas Khairy, syarat wajib  vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal  dan mesti dipatuhi.

“Bagi individu yang disahkan positif  dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau individu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin  mereka tidak dibenarkan melancong.

‘Bagi mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan,” katanya.

Tambahnya, sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, para pelancong digalakkan melakukan sendiri ujian Covid-19 sebelum memulakan perjalanan ke Langkawi bagi mengurangkan jangkitan kepada pengunjung lain.

Kata Khairy sehingga 10 Oktober lalu, seramai 54,341 pelancong telah menjalani ujian pengesanan Covid-19  dan hanya 216 (0.4 peratus) daripada mereka dikesan positif.

“Hanya seorang pelancong mengalami gejala demam semasa di Langkawi dan didapati positif melalui ujian RT-PCR.

“Siasatan mendapati punca  jangkitan bukan di Langkawi  dan tiada kluster Covid-19 yang berpunca daripada Gelembung Pelancongan Langkawi,” katanya.

Projek Gelembung Pelancongan Langkawi telah dilaksanakan mulai 16 September lalu. Bagi memastikan  setiap pelancong  yang bercuti di pulau peranginan itu bukan kes positif Covid-19 dan kontak rapat, kerajaan telah mewajibkan mereka menjalani ujian pengesanan Covid-19.

Ujian tersebut boleh dilakukan di mana-mana fasiliti dan makmal kesihatan swasta atau ujian kendiri air liur di tempat saringan di lapangan terbang atau jeti terminal feri.

Ahad lepas, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengumumkan kebenaran rentas negeri bermula 11 Oktober 2021 kepada semua individu yang lengkap dua dos vaksin tanpa memerlukan kebenaran pihak polis.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

149 kes positif dikesan di pintu masuk Langkawi

KUALA LUMPUR, 4 OKT: Sejumlah 149 kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi sejak Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik bermula pada 16 Sept lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu direkodkan sehingga 12 tengah hari tadi melibatkan saringan seramai 40,458 orang merangkumi 34,038 orang di tujuh pintu masuk lapangan terbang dan 6,420 orang melalui feri di Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

“Seramai 36,842 orang telah menjalani saringan menggunakan Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen dan daripada jumlah ini, sebanyak 149 kes positif Covid-19 dikesan dan 186 individu lagi merupakan kontak rapat kepada 149 kes tersebut.

“Mereka telah diasingkan dan diberi Perintah Pemerhatian dan Pengawasan (HSO),” menurutnya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 hari ini.

Beliau memaklumkan 641 orang telah menjalani ujian RT-PCR sendiri sebelum bertolak ke Pulau Langkawi dan kesemua keputusan adalah negatif manakala baki 2,975 kanak-kanak di bawah enam tahun tidak menjalani ujian Covid-19 dan dibenarkan berlepas bersama keluarga masing-masing.

Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi yang bermula pada 16 Sept lepas, kerajaan menetapkan semakan ujian saringan Covid-19 dan juga ujian saringan Covid-19 bagi pelancong yang belum menjalani ujian sebelum mereka berlepas ke pulau itu di pintu masuk udara dan laut.

Mengenai Kluster Dah Teluk Nibung yang dilapor di Langkawi pada 1 Okt, Dr Noor Hisham berkata sehingga hari ini, seramai 254 orang telah disaring dengan 59 kes adalah positif Covid-19, 187 negatif dan tiga individu masih menunggu keputusan.

“Kluster itu dikategori sebagai kluster tempat kerja melibatkan penduduk tempatan Langkawi iaitu pekerja dan kontak rapat ahli keluarga.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya sambil menambah semua kontak rapat telah dikenal pasti, disaring serta diberi arahan HSO selama 10 hari.

Memaklumkan penularan jangkitan adalah terkawal sehingga kini, beliau berkata semua kes melibatkan kluster ini adalah kategori satu dan dua sahaja serta pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Kesihatan Negeri Kedah dan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi akan terus memantau perkembangan penularan jangkitan Covid-19 seterusnya memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

Susulan pengumuman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengenai lebih banyak kawasan gelembung pelancongan dijangka akan dibuka bermula bulan ini, Dr Noor Hisham berkata KKM akan terus menjalankan kerjasama dengan MOTAC.

Ini khususnya bagi menjalankan penilaian risiko untuk membolehkan lebih banyak tempat pelancongan dibuka dari semasa ke semasa.

Mengulas mengenai perkembangan kes harian Covid-19, Dr Noor Hisham berkata kes sembuh yang direkodkan hari ini adalah 15,456 iaitu mengatasi jumlah kes baharu sebanyak 8,075 kes.

Menurutnya daripada jumlah kes baharu itu, 7,917 kes (98 peratus) adalah kategori satu dan dua manakala 160 kes (dua peratus) merupakan kategori tiga, empat dan lima.

“Kes yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 867 dengan 461 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 15 lagi kluster baharu dikenal pasti melibatkan tujuh kluster tempat kerja, enam kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi dan institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Langgar SOP punca lebih 50 pekerja hotel Langkawi positif Covid-19

SHAH ALAM, 4 OKT: Tidak patuh tatacara operasi piawai (SOP) di tempat kerja dan asrama penginapan menjadi punca lebih 50 pekerja sebuah hotel di Langkawi, Kedah dijangkiti Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata kluster Dah Teluk Nibung tiada kaitan dengan kes pertama wabak melibatkan pelancong kanak-kanak di pulau itu minggu lalu.

“Siasatan awal mendapati penularan jangkitan disyaki dari komuniti dan seterusnya merebak di tempat kerja akibat tidak patuh SOP di tempat kerja dan asrama penginapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata setakat ini seramai 254 orang disaring dengan 59 kes positif, 187 individu negatif manakala tiga lagi masih menunggu keputusan.

“Kesemua kes jangkitan adalah kategori satu dan dua sahaja, semua pekerja telah menerima suntikan dos lengkap vaksin Covid-19,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan sebuah hotel terkemuka di Langkawi yang dikaitkan kluster Dah Teluk Nibung diarah tutup susulan lebih 50 kakitangannya dikesan positif sejak 1 Oktober lalu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 50 kakitangan positif Covid-19, hotel di Langkawi diarah tutup

SHAH ALAM, 4 OKT: Sebuah hotel terkemuka di Langkawi diarah tutup sementara susulan lebih 50 kakitangannya dikesan positif Covid-19.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata mereka yang terlibat merupakan kluster tempat kerja iaitu kluster Dah Teluk Nibung, lapor The Star.

“Hasil siasatan kami mendapati jangkitan berasal dari komuniti dan merebak ke hotel.

“Setakat ini kami berjaya mengawal dan membendung penularan wabak,” katanya.

Beliau menjelaskan seramai 249 individu melibatkan kakitangan hotel dan ahli keluarga disaring yang mana 59 daripadanya dikesan positif Covid-19.

Tambahnya, semua kontak rapat kes juga diarah menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari.

Pada 30 September, Jabatan Kesihatan Negeri Kedah mengesahkan terdapat kes pertama positif Covid-19 melibatkan pelancong di Langkawi bagi gelembung pelancongan iaitu kanak-kanak berumur tiga tahun.

Dr Othman berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba bersama ibu bapanya di Langkawi 24 Sept dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Categories
AGENDA NASIONAL

Langkawi terima lebih 38,000 pelancong sejak dibuka – menteri

KUCHING, 3 OKT: Projek rintis gelembung pelancongan di Pulau Langkawi, Kedah, mencapai kejayaan membanggakan selepas merekodkan ketibaan 38,748 pelancong dan menjana pendapatan lebih RM15 juta sejak dibuka pada 16 Sept lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata jumlah tersebut lebih tinggi daripada sasaran awal sebanyak 30,000 orang dan disifatkan sangat memberangsangkan.

“Kami berharap dapat mengumumkan kebenaran rentas negeri sedikit masa lagi dan menjelang pengumuman itu, kami boleh buka gelembung pelancongan di tempat lain,” katanya dalam sidang akhbar selepas lawatan kerja ke Kampung Budaya Sarawak hari ini.

Nancy berkata kerajaan juga sedang menimbangkan untuk menjadikan Langkawi sebagai destinasi gelembung pelancongan antarabangsa pertama di negara ini.

“Minggu depan saya akan berbincang dengan rakan sejawat dari negara-negara lain dan kami akan mengaturkannya (gelembung pelancongan). Langkawi merupakan model terbaik untuk inisiatif ini kerana kita ada Qatar Airways dan beberapa penerbangan antarabangsa lain yang akan tiba di pulau itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) Nasaruddin Abdul Muttalib berkata daripada 38,748 pelancong yang tiba di pulau peranginan itu, seramai 26,377 orang tiba melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala 7,480 orang lagi melalui Jeti Kuah.

“Satu lagi pintu masuk utama iaitu Dermaga Tanjung Lembung (Langkawi Port) merekodkan kemasukan kira-kira 4,891 pelancong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nasaruddin berkata sekiranya jumlah kemasukan pelancong itu dapat dikekalkan tidak mustahil sasaran kerajaan untuk menerima sekitar 400,000 pelancong sehingga Disember ini mampu dicapai.

Dalam pada itu, Nasaruddin berkata Lada berharap Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) dan Majlis Keselamatan Negara membuka semula sektor pelancongan pulau itu kepada pasaran antarabangsa seawal bulan depan atau Disember sekiranya bersesuaian.

“Ketika ini, usaha pembentukan tatacara operasi piawai (SOP) gelembung pelancongan antarabangsa sudah mula digerakkan dengan kerjasama Motac, tertakluk kepada kelulusan kerajaan Persekutuan,” katanya.

Nasaruddin berkata rundingan bersama beberapa syarikat penerbangan tempatan dan antarabangsa seperti Qatar Airways, AirAsia Bhd dan Scoot Tigerair Pte Ltd juga telah dimulakan bagi merancang aturan perjalanan penerbangan berjadual dan dari negara-negara tertentu.

Dalam perkembangan lain, Nancy berkata kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM5 juta kepada Kampung Budaya Sarawak bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan itu.

“Kerja-kerja penambahbaikan fizikal di Kampung Budaya Sarawak akan bermula pada pertengahan bulan ini dan mengambil masa lebih kurang lapan bulan untuk disiapkan iaitu pada Jun 2022,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak tiga tahun kes pertama pelancong Langkawi positif Covid-19

ALOR SETAR, 30 SEPT: Jabatan Kesihatan Negeri Kedah hari ini mengesahkan terdapat kes pertama positif Covid-19 melibatkan pelancong di Langkawi bagi gelembung pelancongan iaitu kanak-kanak berumur tiga tahun.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata hasil siasatan Pejabat Kesihatan Daerah Langkawi, kanak-kanak berasal dari Nilai, Negeri Sembilan itu tiba bersama ibu bapanya di Langkawi pada 7.30 malam, 24 Sept lepas dengan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Beliau berkata pada keesokannya (25 Sept), kanak-kanak itu mula mengalami demam dan dibawa mendapatkan rawatan pada 26 Sept, kemudian disahkan positif Covid-19.

“Sehingga hari ini, hanya satu kes positif dilaporkan melibatkan pelancong ke Langkawi dan tidak ada penularan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk setempat.

“Keadaan pesakit adalah bergejala ringan dan diletakkan di bawah pemantauan CAC (Pusat Penilaian Covid-19) Daerah Langkawi manakala kontak rapat yang lain adalah tidak bergejala dan semuanya telah lengkap vaksinasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Othman berkata hasil siasatan mendapati selain ibu bapanya, terdapat tiga saudara yang merupakan penduduk tempatan di pulau pelancongan itu menjadi kontak rapat kepada kanak-kanak berkenaan.

“Kesemua lima kontak rapat telah diambil swab dan diberikan arahan kuarantin selama 10 hari. Hasil keputusan swab kesemua kontak rapat adalah negatif,” katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati kemungkinan jangkitan ke atas kanak-kanak itu berlaku sebelum melancong ke Langkawi lagi dan siasatan lanjut serta pengesanan kontak rapat masih diteruskan.

Katanya, ibu bapa kanak-kanak itu mendapat vaksinasi lengkap dan bukannya kes positif Covid-19 ataupun kontak rapat kepada kes positif virus berkenaan serta tidak bergejala.

“Saringan RTK-Antigen menggunakan air liur ke atas ibu bapa kanak-kanak ini telah dijalankan di KLIA2 iaitu sebelum berlepas ke Langkawi dan disahkan negatif. Dimaklumkan, kanak-kanak ini tidak mengalami gejala sebelum perjalanan dan semasa saringan kesihatan di KLIA2 sebelum berlepas ke Langkawi,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat lagi kes positif Covid-19 dikesan sebelum ke Langkawi

SHAH ALAM, 17 SEPT: Hari kedua gelembung pelancongan Langkawi merekodkan empat kes positif Covid-19 hasil saringan di pintu masuk udara dan laut pada hari ini.

Ketua pengarah kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata jumlah itu adalah daripada 3,454 pelancong yang disaring.

“Empat kes positif Covid-19 dikesan hasil saringan di pintu masuk udara dan laut ke Pulau Langkawi. Sejumlah 3,454 orang pelancong telah berjaya disaring,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata empat kes itu masing-masing dikesan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang (satu), Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (satu) dan Jeti Kuala Perlis (dua).

Semalam, sebanyak lima kes Covid-19 dikesan menerusi saringan sebelum berlepas ke Pulau Langkawi melalui pintu masuk udara dan laut.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes dikesan melalui ujian RTK-Ag dan berada pada tahap satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lima dikesan positif Covid-19 ketika saringan ke Langkawi

SHAH ALAM, 16 SEPT: Sebanyak lima kes Covid-19 dikesan menerusi saringan melalui pintu masuk udara dan laut sebelum berlepas ke Pulau Langkawi hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kesemua kes dikesan melalui ujian RTK-Ag dan berada pada tahap satu iaitu tidak bergejala.

“Kes-kes ini telah diberikan perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) untuk diisolasi bagi tempoh 10 hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seramai 2,546 individu disaring merangkumi 1,250 orang di empat pintu masuk lapangan terbang dan baki melalui feri di Kuala Perlis.

Dr Noor Hisham berkata sejumlah 2,528 orang menjalani ujian RTK-Ag, enam ujian polimeras masa nyata (RT-PCR) manakala 12 kanak-kanak dibenarkan berlepas bersama keluarga tanpa saringan.

Dalam lampiran dikongsikan, lima kes itu dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Lima kontak rapat bagi kes berkenaan juga tidak dibenarkan meneruskan perjalanan.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata setiap pelancong yang akan bercuti ke Pulau Langkawi diwajibkan menjalani saringan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Beliau berkata ujian itu membabitkan individu berusia 18 tahun ke atas, remaja dan kanak-kanak tujuh tahun ke atas manakala enam tahun dan ke bawah hanya saringan gejala.