Categories
AGENDA NASIONAL

ERL gantung sementara khidmat ke lapangan terbang

SHAH ALAM, 3 JUN: Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) menggantung semua perkhidmatan tren mulai Jumaat (esok) sehingga notis lanjut susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

Syarikat itu berkata keputusan diambil berikutan hampir tidak ada perjalanan udara serta bilangan pengguna perkhidmatan tren terhad sejak lebih setahun lepas.

“Purata pengguna harian ERL merosot sebanyak 69 peratus pada 2020 berbanding 2019. Dengan pelaksanaan PKP penuh, purata penumpang terus menjunam sebanyak 89 peratus pada tahun ini.

“Bagi memastikan ERL mampu meneruskan perkhidmatan sebaik sahaja PKP ditamatkan dan kekal mampan dari segi kewangan, syarikat dengan penuh rasa kesal terpaksa menggantung sementara perkhidmatannya sehingga notis lanjut,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Kenyataan itu meminta mereka yang terpaksa melakukan perjalanan kerana perkara mustahak sepanjang tempoh PKP penuh mengambil langkah alternatif untuk pengangkutan.

“Maklumat berhubung opsyen pengangkutan dari setiap stesen ERL dan kemas kini perkhidmatan boleh didapati menerusi www.KLIAekspres.com, Facebook serta Twitter KLIA Ekspres.

“Bagi mereka yang memerlukan bantuan lanjut sila hubungi pertanyaan pelanggan di talian 03-2267 8000 (Isnin hingga Jumaat, 8.30 pagi hingga 6 petang),” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Video memasak di KLIA hanya gimik

SEPANG, 20 APRIL: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjelaskan bahawa video memasak di tempat terbuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hanyalah gimik atau sekadar usaha promosi oleh salah satu gerai makanan dan minuman, Eraman Mini Cafe.

Dalam kenyataan hari ini, MAHB menegaskan bahawa memasak adalah dilarang di kawasan terbuka bangunan terminal seperti mana peraturan dalam Manual Keselamatan Perkhidmatan Bomba dan Penyelamat Lapangan Terbang yang tidak membenarkan dapur api terbuka atau plat panas elektrik digunakan selain di dapur yang ditetapkan di dalam bangunan terminal.

“Kafe itu mengadakan gimik yang mensimulasikan memasak hidangan tradisional Melayu ‘gulai kawah’ dengan meletakkan kuali di atas dapur tanpa pembakar gas tetapi hanya dengan alat pemanasan menggunakan bahan bakar pemanasan hidangan yang dikenali sebagai gel Sterno.

“Semua hidangan dimasak dan disediakan di lokasi berasingan dan dibawa ke Eraman Mini Cafe menjelang waktu gerai dibuka,” menurut MAHB bagi mengulas video tular mengenai Bazar Ramadan yang memaparkan pengusaha gerai memasak di kawasan terbuka dalam bangunan terminal.

Pengendali lapangan terbang itu menjelaskan Eraman Mini Cafe telah beroperasi di Terminal 1 KLIA sejak Oktober tahun lepas dan kini menawarkan pengalaman seperti Bazar Ramadan untuk menarik lebih banyak pelanggan ke gerai tersebut.

Hidangan bufet itu ditempatkan di kawasan seluas 50 kaki x 50 kaki dan makanan yang dibeli dari Eraman Mini Cafe itu juga boleh dimakan dalam gerai itu sendiri, yang kini menawarkan kapasiti maksimum 55 orang pada satu masa.

Menurut MAHB, Eraman Mini Cafe mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan.

“Pemakaian pelitup muka diwajibkan dan setiap pelanggan diberi nombor untuk memastikan kapasiti maksimum kafe tidak dilanggar,” katanya.

MAHB mengurus dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia dan satu lapangan terbang antarabangsa di Istanbul, Turki.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL PELANCONGAN

Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi antara tujuh terbaik dunia

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) merupakan antara hanya tujuh lapangan terbang di dunia yang diiktiraf oleh Majlis Lapangan Terbang Antarabangsa (ACI) atas prestasinya yang terus cemerlang dalam memberikan perkhidmatan dan kemudahan yang terbaik kepada pelanggan.

Maklum balas daripada penumpang mengenai LGK diperoleh melalui Kaji Selidik Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku tahun yang dijalankan setiap tahun oleh ACI sebagai penanda aras global untuk lapangan terbang dunia.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata pengiktirafan daripada penumpang akan memberi motivasi kepada komuniti lapangan terbang dan rakan kongsi untuk terus memberikan yang terbaik walaupun menghadapi tempoh mencabar.

“Kami mengucapkan terima kasih atas sokongan mereka yang berterusan dan berada di barisan hadapan.

“Kami berharap orang ramai akan mendapat semula keyakinan mereka terhadap perjalanan udara berikutan kami terus melaksanakan langkah-langkah keselamatan pada tahap tertinggi di lapangan terbang dan memastikan pengalaman penumpang tidak terjejas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LGK akan menyertai ACI Director-General’s Roll of Excellence yang diwujudkan pada 2011 untuk memberikan pengiktirafan tambahan kepada lapangan terbang yang memberikan perkhidmatan terbaik kepada penumpang.

LGK telah disenaraikan dalam ACI Director-General’s Roll of Excellence berdasarkan pencapaiannya yang memenangi pelbagai anugerah ASQ dalam tempoh lima tahun sejak 10 tahun lepas.

Lapangan terbang itu sentiasa mendapat markah yang tinggi untuk perkhidmatan pelanggan dan memenangi anugerah ACI seperti Lapangan Terbang Terbaik Mengikut Wilayah dan Lapangan Terbang Terbaik bagi saiz (dua – lima juta penumpang setahun).

“Pengiktirafan ini juga menjadi bukti kepada komitmen dan usaha kami untuk terus meningkatkan kualiti dan tahap perkhidmatan.

“Pasukan dipacu oleh janji kami untuk mewujudkan hubungan yang ceria, justeru, kami sentiasa berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan dan kemudahan kami,” kata Mohd Shukrie.

Sebagai pintu masuk ke salah satu destinasi percutian paling popular di negara ini, LGK dinaik taraf dan diperluaskan pada 2018 untuk menampung 4.0 juta penumpang setahun.

Lapangan terbang itu mencatatkan sebanyak 2.9 juta pergerakan penumpang pada 2019, meningkat lapan peratus daripada 2018.

Lapangan terbang itu juga telah melalui penambahbaikan yang berjaya dari segi komersial pada tahun lepas yang meningkatkan pengalaman runcit dan sajian makanan supaya penumpang dapat menikmati pengalaman unik di lapangan terbang.

Penambahbaikan itu telah menghasilkan beberapa pencapaian untuk pulau itu, yang membawa masuk jenama baharu seperti Charles & Keith, Costa dan Burger King.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Tiga penerbangan, beratus penumpang terkandas di LTSAS akibat jerebu

IPOH, 13 SEPT: Seramai 549 penumpang terkandas di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS), di sini berikutan tiga penerbangan tergendala akibat jerebu, kata Pengurus LTSAS Mohd Ali Osman.

Beliau berkata penerbangan yang tergendala setakat 3 petang tadi melibatkan laluan Singapura-Ipoh-Johor Bahru daripada syarikat AirAsia Bhd; laluan Ipoh-Johor Bahru-Ipoh (Malindo) dan syarikat penerbangan tambang murah Singapura, FlyScoot iaitu laluan Singapura-Ipoh-Singapura.

Katanya semua penerbangan tersebut perlu ditunda masa sehingga cuaca lebih baik.

“Mengikut pada bacaan penglihatan kita adalah 3,000 meter (m) yang masih dalam kawalan sistem penerbangan dan setakat pukul 2 petang tadi menurun kepada 2,500m. Ia menyebabkan banyak operasi penerbangan di sini tergendala.

“Beberapa penerbangan yang dijadualkan tiba ke LTSAS juga telah membuat lencongan ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ​(KLIA),” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Ali berkata, penerbangan pertama yang telah ditunda masa adalah pada pukul 9.40 pagi tadi iaitu penerbangan ke Singapura.

Dalam pada itu, rata-rata penumpang yang ditemui Bernama berkata mereka tidak menyangka akan berlaku situasi tersebut.

Seorang penumpang, M.Sundram, 52, berkata beliau sepatutnya berlepas ke Johor Bahru menaiki penerbangan Malindo pada pukul 3.40 petang.

“Saya tidak jangka penerbangan akan ditunda sebab pada pandangan saya keadaan jerebu di Perak tidaklah begitu teruk tetapi tidak mengapa ini juga untuk keselamatan kami,” katanya.

Lily Ho, 45, yang berasal dari Ipoh berkata beliau sedikit terkejut selepas diberitahu penerbangannya ke Johor Bahru perlu ditunda.

“Saya faham kenapa perlu ditunda cuma LTSAS ini tidak begitu besar dan keadaan sedikit sesak kerana ratusan penumpang semua berkumpul di sini,” katanya.

Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), sehingga 4 petang tadi, tiga kawasan di Perak mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat iaitu Tasek Ipoh (134), Pegoh Ipoh (112) dan Seri Manjung (140).

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tidak tahu cadangan lapangan terbang baharu

 

KUALA LUMPUR, 10 Jun : Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan serta kerajaan negeri Kedah dan Pulau Pinang, sama sekali tidak tahu menahu mengenai cadangan pembinaan dua lapangan terbang baharu bernilai belasan bilion ringgit di Pulau Pinang, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan hari ini berkata, laporan akhbar milik MCA itu, hanya menyebabkan kekeliruan di kalangan industri komunikasi dan pengangkutan, kerana mereka tidak menyatakan siapa yang menghadiri atau menerima cadangan-cadangan itu.

“Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir kedua-duanya telah memberitahu saya, bahawa mereka juga tidak tahu langsung tentang kedua-dua cadangan lapangan terbang seperti yang diuar-uarkan,” katanya.

Akhbar itu hari ini melaporkan terdapat dua syarikat yang merancang untuk membina lapangan terbang baharu, masing-masing dinamakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Utara Malaysia (NMIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Wilayah Utara (NORIA), di dua lokasi berbeza di selatan Seberang Perai di bahagian tanah besar Pulau Pinang.

Laporan itu menyebut, dua lapangan terbang baharu yang dicadangkan itu akan menggantikan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) di Bayan Lepas selain menyebabkan cadangan membina Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim melalui Inisiaitf Pembiayaan Swasta (PFI) tidak lagi perlu.

Lim berkata, spekulasi tidak berasas itu juga sangat tidak adil, apabila ia memberi tanggapan negatif bahawa kerajaan persekutuan bertindak secara melulu tanpa memikirkan kerajaan negeri atau rakyat, dengan mempertimbangkan projek sebesar itu yang melibatkan ribuan hektar tanah sawah.

Melalui Belanjawan 2019, Lim berkata kerajaan secara jelas telah menyatakan mengenai hasrat untuk memperbesarkan PIA sedia ada kepada kapasiti 16 juta penumpang setahun, daripada 6.5 juta sekarang ini.

Sementara itu, Kementerian Pengangkutan juga menegaskan bahawa ia tidak pernah menerima sebarang kertas cadangan, untuk membina dua lapangan terbang baharu di Pulau Pinang oleh syarikat swasta seperti yang dilaporkan akhbar bahasa Inggeris itu, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan kementerian itu hari ini, pihak kementerian tidak pernah dimaklumkan mengenai cadangan berkenaan, malah turut tidak terlibat dalam sebarang perbincangan mengenainya.

Kenyataan itu menjelaskan kuasa untuk menubuhkan, menyenggara atau membenarkan mana-mana syarikat yang mempunyai lesen, untuk membina dan mengendalikan sesuatu aerodrom, adalah merupakan kuasa yang diperuntukkan kepada Menteri Pengangkutan di bawah Akta Penerbangan Awam 1969 [Akta 3].

“Kementerian Pengangkutan menggesa pihak media, supaya tidak membuat sebarang laporan spekulasi berhubung pembinaan lapangan terbang, tanpa pengesahan daripada pihak kementerian.

“Kementerian Pengangkutan pada masa ini sedang merancang untuk menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang sedia ada di Bayan Lepas,” menurut kenyataan itu. -BERNAMA