Categories
AGENDA NASIONAL

Audit: Sekolah perlu mohon bantuan senggara melalui Jabatan Pendidikan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Penyaluran dan penggunaan sumbangan bantuan penyelenggaraan kepada Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) perlu melalui Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Daerah (JPD) dan tidak boleh dikemukakan secara terus oleh pihak sekolah bagi memastikan penilaian teknikal dan kos munasabah.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2020 permohonan pada tahun tersebut tidak dibuat melalui JPN bertujuan untuk mempercepatkan proses kelulusan dan penyaluran sumbangan bantuan yang menyebabkan kerugian kepada kerajaan kerana kos perolehan melebihi kos yang sepatutnya.

“Semakan Audit terhadap 43 sampel mendapati kesemua permohonan sumbangan bantuan penyelenggaraan yang dikemukakan oleh sekolah tidak melalui JPN dan proses penilaian teknikal tidak dilaksanakan oleh JPN.

“Penilaian teknikal dan kajian pasaran tidak dibuat menyebabkan berlaku perbezaan harga berjumlah RM1.25 juta antara harga perolehan berbanding anggaran harga semasa,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Selain itu, laporan itu juga mendapati sejumlah RM130,000 dibayar bagi kerja yang tidak dilaksanakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Kampung Baru, RM390,000 bagi skop kerja yang tidak diluluskan di tiga SBK serta sejumlah RM410,000 bagi kerja yang tidak sempurna atau tidak menepati spesifikasi di dua SBK.

Laporan itu turut mengesyorkan Kementerian Pendidikan (KPM) menyemak dengan teliti permohonan bagi memastikan hanya skop kerja penyelenggaraan yang dibenarkan dalam garis panduan sahaja yang boleh diluluskan selain mendapat kelulusan khas Bahagian Pengurusan Aset KPM.

Syor lain termasuk menambah baik garis panduan sedia ada dan meningkatkan pemahaman pegawai yang terlibat dan pihak berkepentingan bagi menjamin pengurusan sumbangan yang lebih teratur bagi memudahkan pemantauan dan mendapatkan nilai terbaik.

Audit juga mengesyorkan agar KPM memastikan mekanisme pemantauan yang ditetapkan, dikemukakan oleh pihak sekolah bagi tujuan penilaian berterusan terhadap pelaksanaan projek.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara rugi RM620.07 juta akibat kementerian tidak patuh urus kewangan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Ketidakpatuhan kementerian dan jabatan Persekutuan terhadap pengurusan kewangan telah menyebabkan isu pembayaran tidak teratur, kerugian wang awam dan pembaziran kepada kerajaan berjumlah RM620.07 juta pada 2020.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata daripada RM510.49 juta pembayaran tidak teratur, RM499.19 juta melibatkan bayaran tuntutan perkhidmatan penyenggaraan tanpa pengesahan di Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Sementara itu, daripada RM104.79 juta kerugian wang awam, RM81.69 juta merupakan penalti belum tuntut dan tidak dikenakan Jabatan Imigresen manakala pembaziran RM4.79 juta melibatkan peralatan lewat diterima dan tidak dipasang di Istana Budaya.

“Bagi membolehkan tindakan pembetulan dan penambahbaikan diambil, Ketua Audit Negara telah mengemukakan 29 syor, iaitu empat syor untuk pengesahan penyata kewangan dan 25 syor untuk pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan untuk dipertimbangkan pelaksanaannya oleh kementerian dan jabatan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama berhubung Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan serta Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini.

Nik Azman berkata pengauditan pematuhan melibatkan sejumlah RM899.44 juta telah dilaksanakan terhadap tiga kementerian dan lima jabatan Persekutuan meliputi aspek pengurusan kontrak berjumlah RM772.40 juta, perolehan kerajaan (RM54.8 juta ) dan kutipan hasil (RM72.24 juta).

Sementara itu, dalam Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) mengenai Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan, Ketua Audit Negara menyatakan hutang Kerajaan Persekutuan pada 2020 berjumlah RM879.560 bilion atau 62.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Hutang Persekutuan meningkat sebanyak RM86.562 bilion atau 10.9 peratus berbanding RM792.998 bilion atau 52.4 peratus pada tahun 2019.

Menurut Ketua Audit Negara, sebanyak 50.4 peratus atau RM98.058 bilion daripada RM194.555 billion pinjaman baharu pada 2020 digunakan untuk membiayai bayaran balik prinsipal pinjaman yang telah matang.

“Ini menunjukkan kerajaan bergantung kepada pinjaman baharu untuk membayar pinjaman matang dan penggunaan dana Kumpulan Wang Pembangunan berjumlah RM8.265 bilion bagi pelunasan Liabiliti Inisiatif Pembiayaan Swasta dan Komitmen Jaminan,” katanya.

Selain itu, sejumlah RM2.65 bilion digunakan untuk membayar perbelanjaan perkhidmatan sokongan hospital dan klinik di Kementerian Kesihatan serta penyenggaraan fasiliti di Kementerian Pendidikan yang sebelum ini dibayar menggunakan peruntukan belanja mengurus.

“Dana Kumpulan Wang Pembangunan yang dibiayai melalui pinjaman sepatutnya digunakan untuk membiayai projek pembangunan fizikal yang menyumbang kepada pembentukan modal baharu yang boleh meningkatkan pembangunan Negara serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi untuk menjana aktiviti ekonomi,” katanya.

Sementara itu, hasil kerajaan Persekutuan merosot 14.9 peratus kepada RM225.075 bilion pada 2020 berbanding RM264.415 bilion tahun sebelumnya manakala perbelanjaan COVID-19 berjumlah RM38.019 bilion.

Perbelanjaan mengurus pula merosot 14.7 peratus kepada RM224.6 bilion, iaitu penurunan sebanyak RM38.743 bilion berbanding tahun 2019 manakala perbelanjaan pembangunan pula berjumlah RM51.36 bilion, iaitu pengurangan sebanyak RM2.813 bilion atau 5.2 peratus berbanding RM54.173 bilion pada 2019.

Nik Azman berkata secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan mengalami defisit berjumlah RM87.645 bilion dengan nisbah defisit kepada KDNK pada kadar 6.2 peratus, berbanding 3.4 peratus atau RM51.37 bilion pada 2019.

Menurut kenyataan itu LKAN ini mengandungi tiga komponen utama iaitu pengesahan penyata kewangan Kerajaan Persekutuan bagi Tahun berakhir 31 Dis 2020, analisis kewangan Kerajaan Persekutuan dan pengauditan pematuhan kementerian dan jabatan Persekutuan.

Nik Azman berkata secara keseluruhannya, penyata kewangan Kerajaan Persekutuan menunjukkan gambaran yang benar dan saksama tentang kedudukan kewangan kerajaan bagi tahun berakhir 31 Disember 2020 dan rekod perakaunannya telah diselenggarakan dengan teratur dan kemas kini.

Ia merupakan pembentangan LKAN kedua di Dewan Rakyat tahun ini selepas LKAN Tahun 2019 Siri 2 dibentangkan pada 28 Sept lepas dan hari ini juga, Jabatan Audit Negara memberi taklimat kepada ahli-ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Parlimen berhubung isu-isu utama penemuan Audit.

LKAN ini boleh diakses oleh orang awam di laman sesawang http://www.audit.gov.my mulai 10.10 pagi ini manakala isu-isu dalam LKAN Pengauditan Pematuhan Kementerian dan Jabatan Persekutuan Tahun 2020 pula akan dimuat naik di Portal Auditor General’s Dashboard (AGD) mulai pukul 11 pagi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jabatan Kastam diminta siasat terlebih bayar tuntutan GST RM4.38 juta

KUALA LUMPUR, 24 OGOS: Pengauditan Jabatan Audit Negara terhadap Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mendapati jabatan itu membuat lebihan bayaran balik terhadap tuntutan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta.

Susulan itu, Jabatan Audit Negara mengesyorkan supaya JKDM menjalankan siasatan ke atas syarikat yang membuat tuntutan dan pegawai yang bertanggungjawab.

Menurut laporan itu, semakan audit mendapati sebanyak 75 daripada 100,736 tuntutan bayaran balik GST berjumlah RM4.38 juta dibayar walaupun permohonan diterima selepas tempoh ditetapkan.

“Pihak audit mendapati perkara ini berlaku kerana pegawai yang bertanggungjawab tidak menyemak tarikh terimaan Penyata GST-03 sebaliknya melaksanakan proses pembayaran balik mengikut fail tugasan yang diserahkan.

“Kesilapan ini pembayaran ini menyebabkan ketirisan hasil kepada kerajaan sekiranya tidak dikutip semula. JKDM juga disyorkan agar membuat kutipan balik bayaran terkhilaf daripada Orang Kena Cukai (OKC) itu pada kadar segera,” demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2019 Siri 1 yang dikeluarkan hari ini.

Bagaimanapun, berdasarkan maklum balas yang diterima pihak audit pada 29 Mei 2020, JKDM mengambil tindakan menuntut semula tuntutan terkhilaf bayar itu yang melibatkan 75 transaksi bagi penyata yang diterima pada Jan-Mei 2019.

Hasil tindakan JKDM menyaksikan sejumlah 48 transaksi dikeluarkan membabitkan bil tuntutan berjumlah RM3.98 juta setakat 28 Mei 2020 manakala 27 transaksi dalam tindakan tuntutan semula.

Dalam maklum balas diterima pada 4 Ogos 2020, JKDM memaklumkan 42 transaksi bil tuntutan selesai dipungut berjumlah RM798,453.64 sehingga 3 Ogos 2020.

Seksyen 8 Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan (Pemansuhan) 2018 menetapkan OKC dikehendaki mengemukakan penyata terakhir dan mengakaunkan semua pembekalan yang dibuat.

Penyata akhir dan bayaran GST hendaklah dikemukakan tidak lewat daripada 120 hari iaitu pada 31 Dis 2018 (dari tarikh yang ditetapkan iaitu 1 Sept 2018). Selain itu, Seksyen 8(1), menyatakan sebarang tuntutan cukai hendaklah dibuat dalam penyata akhir yang ditetapkan pada 31 Dis 2018.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Laporan akhir 1MDB tangguh Februari 2016

SHAH ALAM, 18 DIS: Laporan akhir Ketua Audit Negara berkenaan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang sepatutnya dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini akan hanya siap, pada Februari tahun depan.

Ahli PAC, Tony Pua, berkata punca kelewatan itu adalah kerana Ketua Audit Negara masih belum menerima beberapa dokumen tertentu.

“Kami diberitahu bahawa mereka (Jabatan Audit Negara) baru sahaja menerima beberapa dokumen tetapi masih belum mendapatkan dokumen lain yang dijanjikan kepada mereka,” katanya memetik laporan Malaysia Kini.

PJ Utara MP Tony Pua

Bagaimanapun, katanya PAC tidak diberitahu apa dokumen yang masih hilang untuk melengkapkan laporan audit ke atas 1MDB itu.

“Kami dimaklumkan bahawa laporan itu akan siap, pada Februari,” katanya.

Beliau enggan mendedahkan jika Presiden dan Pegawai Eksekutif Kumpulan 1MDB, Arul Kanda Kandasamy yang hadir pada pendengaran PAC hari ini ada menjelaskan sebab ketidakupayaan syarikat milik kerajaan itu mengemukakan dokumen terbabit.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Datuk Hasan Arifin, berkata laporan akhir Ketua Audit Negara dijangka dibentangkan kepada PAC, semalam.

KUALA LUMPUR 13 February 2015. Interview with President & Group Executive Director 1MDB, Arul Kanda. NSTP/Yazit Razali

Katanya, terdapat beberapa individu lain dalam senarai PAC untuk dipanggil semula termasuk bekas Presiden 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

“Tan Sri Lodin dan Tan Sri Bakke Salleh akan datang jumpa PAC, pada 19 dan 20 Januari (2016) , dua pengerusi dan bekas pengerusi 1MDB ini akan dipanggil secara berasingan,” katanya.

Ditanya bila Shahrol akan dipanggil, Pua berkata, tarikh berkenaan belum ditetapkan lagi.

“Pengerusi (Datuk Hassan Ariffin) belum tetapkan, hanya dua nama sudah ditetapkan tarikh. Ahli PAC yang lain turut minta Shahrol dan bekas CEO Hazeem (Abdul Rahman) dipanggil lagi,” katanya.

-NFN-

Kartun Rakyat : 19 – 26 Oktober, 2012