Categories
AGENDA NASIONAL

TH catat untung bersih selepas zakat RM1.6 bilion bagi 2018

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Setelah dua tahun lewat mengemukakan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan bagi tahun 2018, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun tersebut.

Penyusutan sebanyak 53 peratus berbanding tahun sebelumnya itu adalah berikutan perbelanjaan bukan operasi yang besar iaitu rosot nilai, hapus kira dan pelarasan nilai saksama serta kerugian kredit dijangka ke atas aset-aset TH berjumlah RM1.5 bilion berbanding hanya RM140 juta pada 2017.

Menurut TH, ini setelah mengambil kira rosot nilai yang ketara ke atas pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan entiti usaha sama berdasarkan piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 136 (MFRS 136) dan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah di bawah MFRS 140.

“Keputusan kewangan tahun ini (2018) sebenarnya menggalakkan apabila diambil kira kesemua faktor yang ada ketika tempoh penilaian dan keputusan sukar yang telah diambil bagi mempamerkan kedudukan TH yang lebih berdaya tahan,” kata TH dalam laporan itu.

Menjelang akhir 2018, ia juga telah berjaya memindahkan kesemua aset kurang berdaya saingnya kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan nilai pindahan sebanyak RM19.9 bilion susulan daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH.

Setakat 27 Disember 2018, TH telah memindahkan sejumlah 106 ekuiti tersenarai domestik, satu syarikat perladangan tidak tersenarai dan 29 hartanah dan tanah kepada SPV berkenaan.

“Sebagai balasan kepada pemindahan aset-aset tersebut, SPV itu telah menerbitkan sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan baki pertimbangan jualan sebanyak RM300 juta dibayar secara tunai kepada TH.”

Menurut TH, kerajaan turut menunjukkan komitmen menerusi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi 2020 dan selanjutnya RM1.73 bilion setiap tahun sehingga keseluruhan sukuk berkenaan ditebus.

Selain itu, TH juga diberi Hak Penolakan Pertama untuk mengambil alih sebarang aset yang telah dipindahkan kepada SPV sekiranya syarikat tujuan khas itu berhasrat untuk menjual aset-aset tersebut pada masa akan datang.

“Ini bagi melindungi kepentingan TH sekiranya terdapat potensi peningkatan nilai pada aset-aset yang telah pulih di masa depan. Balasan untuk pengambilalihan aset-aset ini boleh dilakukan melalui bayaran tunai atau setara tunai.

“TH hanya akan mengambil alih aset yang boleh dipulihkan serta berdaya maju yang dapat menghasilkan jangkaan pulangan lebih tinggi daripada sasaran pulangan pelaburan TH,” kata TH.

Dalam pada itu, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menerusi Laporan Ketua Audit Negara yang dilampirkan bersama Laporan Tahunan TH itu berkata selepas pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan berkenaan, kedudukan aset TH pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM76.79 bilion manakala liabiliti sebanyak RM76.44 bilion.

TH turut merekodkan lebihan aset berjumlah RM357.34 juta setelah mengambil kira bayaran hibah.

Keuntungan bagi tahun kewangan 2018 itu terdiri daripada keuntungan nyata dan tidak nyata berjumlah RM1.6 bilion termasuk keuntungan tidak nyata daripada pindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd berjumlah RM1.39 bilion.

“Daripada keuntungan berjumlah RM1.6 bilion tersebut, TH telah membayar hibah kepada pendeposit berjumlah RM922.96 juta bagi tahun kewangan 2018,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan sebelumnya, TH berkata kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018 itu antara lainnya disebabkan oleh Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu merupakan perkara kompleks dan tidak pernah dijalankan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara mengambil masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan laporan berkenaan, kata TH.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

1,000 pegawai kena tindakan hasil laporan ketua audit sejak 2012

PUTRAJAYA, 14 JULAI: Seramai 1,000 pegawai diambil tindakan susulan bagi pelbagai kesalahan berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2012 hingga 2018.

Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid berkata dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3 itu, daripada jumlah itu, 255 pegawai dihukum, 604 lagi bebas dan 141 masih dalam prosiding.

Antara tindakan diambil adalah amaran (141), tangguh pergerakan gaji (26), denda (11), turun gaji (10), denda dan amaran (sembilan), surcaj dan amaran (sembilan), turun gaji dan amaran (tujuh), buang kerja (tiga) dan turun pangkat (satu).

Selain itu, katanya 29 pegawai dikenakan surcaj, dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (dua), denda dan surcaj (dua), turun gaji dan denda (satu) serta turun pangkat dan amaran (satu).

“Kadang-kadang kita merasakan bahawa jabatan agak berlembut yang mana hukuman agak ringan tetapi jabatan audit tidak boleh campur tangan kerana kita cuma buat audit dan menemukan ketidakpatuhan sahaja,” katanya pada sidang media Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2018 Siri 3, di sini, hari ini.

Nik Azman berkata Jabatan Audit Negara (JAN) menghormati keputusan yang diambil jawatankuasa di setiap jabatan yang melakukan siasatan mungkin turut mengambil kira faktor lain dalam membuat penilaian.

“Mungkin JAN nampak hukuman itu ringan tetapi jabatan itu mungkin mengambil faktor-faktor tertentu atau faktor mitigasi lain yang boleh mengurangkan hukuman tersebut,” katanya.

Nik Azman berkata setiap kali pengauditan dilakukan, JAN akan melaksanakan audit susulan bagi mengetahui lebih mendalam sebab dan punca sesuatu perkara berlaku.

“Sebagai contoh kalau terbayar lebih, kita akan buat audit susulan lebih mendalam dan akan lihat apa ia, kenapa berlaku dan siapa bertanggungjawab dan siapa yang memberi kelulusan,” katanya.

JAN seterusnya akan bermesyuarat dengan polis , Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan dalaman di peringkat jabatan atau kementerian untuk mengenal pasti sama ada berlaku kesilapan, salah guna kuasa atau kecuaian dan mengambil tindakan sewajarnya, katanya.

Nik Azman berkata setiap proses tindakan akan direkodkan dan dimuat naik di portal Auditor-General’s Dashboard.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KTMB catat kerugian hampir RM3 bilion hingga Disember 2018

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 2018 mendapati kerugian terkumpul Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) sehingga 31 Disember 2018 berjumlah RM2.829 bilion.

Ia penemuan Audit yang mendapati kerugian itu antaranya kerana KTMB masih belum bebas sepenuhnya untuk membuat keputusan terutamanya berkaitan operasi syarikat dan penggunaan aset.

Ia masih terikat dengan empat entiti (Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan, Perbadanan Aset Keretapi & Agensi Pengangkutan Awam Darat) dalam model pengurusannya.

“Ini secara tidak langsung menyumbang kepada kedudukan kewangan yang kurang stabil kerana kebergantungan KTMB sepenuhnya hanya kepada hasil tambang rel.

“Selain itu, KTMB terikat dengan dasar semasa kerajaan terutama dalam penentuan kadar tambang rel,” menurut laporan yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Prestasi Aktiviti Perkhidmatan Tren pula, laporan Audit mendapati dua aktiviti utama iaitu tren antarabandar dan komuter merekodkan kerugian berjumlah antara RM39.82 juta hingga RM77.76 juta bagi tempoh tahun 2016 hingga Julai 2019.

Aktiviti perkhidmatan tren komuter menyumbang pendapatan tertinggi KTMB dari tahun 2015 hingga 2017, namun masih merekodkan kerugian selepas mengambil kira belanja operasinya, menurut laporan itu.

Selain itu, Audit mendapati wujud kelemahan dalam prestasi dan pelaksanaan aktiviti perkhidmatan tren komuter seperti prestasi bilangan penumpang dan hasil tren komuter belum mencapai tahap kecekapan yang disasarkan.

“Pencapaian sebenar bilangan penumpang serta hasil menunjukkan penurunan sejak tahun 2016 hingga bulan Julai 2019. Kelemahan lain berpunca daripada projek Klang Valley Electrified Double Track (KVDT) yang lewat disiapkan.

“Ini mengganggu urusan harian penumpang (74.2 peratus) dan ada penumpang yang bertukar kepada mod pengangkutan lain (62.6 peratus).

“Selain itu, tempoh menunggu tren komuter paling lama direkodkan adalah sehingga 256 minit (4 jam 16 minit) berbanding 45 minit yang ditetapkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

“Penyenggaraan set tren komuter kurang cekap bagi kategori tiga dan enam gerabak kerana tidak disenggara mengikut jadual serta kontrak penyenggaraan yang belum dimuktamadkan,” menurut laporan itu.

Audit juga mendapati wujud kelemahan signifikan dalam sistem tiket baharu kerana terdapat 36,860 aduan mulai bulan Disember 2016 hingga Julai 2019 yang mana sistem tiket baharu ini juga didapati tidak cekap kerana melaporkan terimaan hasil yang berbeza.

Laporan Audit juga mendapati secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan, dapat dirumuskan bahawa objektif penubuhan KTMB melalui pengkorporatan KTM belum dapat dicapai sepenuhnya.

Bagaimanapun, laporan itu mendapati, amalan tadbir urus korporat KTMB adalah memuaskan namun penambahbaikan perlu dilaksanakan dalam aspek Setiausaha Syarikat, SOP serta Pelan Strategik Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama selaras dengan amalan terbaik.

Justeru, Audit telah memberikan beberapa syor antaranya model pengurusan KTMB sebagai syarikat korporat dikaji semula supaya tidak terhad untuk membuat keputusan operasi selaras dengan objektif penswastaan KTM.

Syor lain adalah KTMB perlu memastikan projek KVDT dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan bagi memastikan tiada lagi berlaku kelewatan dan mengelakkan kerugian yang berterusan bagi aktiviti perkhidmatan tren komuter.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SPRM akan siasat kes punitif berdasar Laporan Ketua Audit Negara

KUALA LUMPUR, 22 JUL: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menubuhkan satu pasukan petugas untuk menyiasat kes-kes yang menggesa tindakan punitif berhubung kelemahan yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berkata SPRM telah bertemu dengan Ketua Audit Negara untuk mengkaji kes-kes yang memerlukan tindakan punitif.

“Jadi dari segi Laporan Ketua Audit Negara, kita akan mengkajinya sekali lagi dan melihat sama ada ia melibatkan wang dan situasi yang membolehkan kita membuka kertas siasatan.

Oleh itu, berdasarkan maklumat tersebut, kita sekarang telah menubuhkan pasukan petugas untuk memulakan siasatan,” kata beliau selepas merasmikan Bengkel Serantau mempromosi Ketelusan Pemunya Benifisiari di Selatan Asia, di sini hari ini.

Bagaimanapun, Latheefa, berkata tiada tempoh ditetapkan tentang bila siasatan akan bermula.

Laporan Ketua Audit Negara 2018 Siri 1, yang dikeluarkan pada 15 Jun, mendedahkan beberapa isu termasuk elemen manipulasi dan penipuan dalam Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs) untuk kuota pekerja asing sehingga menyebabkan kehilangan hasil kepada negara. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tadbir urus lemah, jutaan wang rakyat Johor ‘hilang’ – Salahudin

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 18 OGOS: Puluhan juta wang rakyat Johor boleh diselamatkan sekiranya budaya amanah dan akauntabiliti diamalkan di setiap peringkat pentadbiran negeri itu, kata Salahudin Ayub.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) itu  berkata, ini kerana Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2016 siri 1 bagi negeri Johor mendedahkan pelbagai kelemahan tadbir urus dan penyelewengan dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Johor.

“Keyakinan ini semakin kuat apabila saya meneliti dengan tekun kedudukan Johor menerusi Laporan itu dalam seksyen Pengurusan Aktiviti/Kewangan/Jabatan/Agensi dan pengurusan Syarikat Kerajaan.

Salahudin Ayub“Audit secara khusus dan keras menegaskan Johor berhadapan kelemahan pematuhan prosedur serta dasar kerajaan dalam menguruskan projek,”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Salahuddin, laporan itu juga memperincikan amalan tender terus diamalkan Majlis Daerah Kota Tinggi melebihi RM0.5 juta pada tahun 2015 dan 2016.

Selain ketiadaan tender terbuka, beliau berkata, perolehan sebanyak RM4.17 juta dikatakan dipecah-pecahkan kepada jumlah yang lebih kecil.

“Ini menyebabkan kos meningkat, sekaligus mewujudkan budaya kronisme,” katanya.

Dalam pada itu, Salahudin turut memberi contoh lain membabitkan lima perolehan di beberapa pihak berkuasa tempatan melibatkan kos RM0.90 juta masih belum digunakan dan terbiar.

Manakala satu lagi kes membabitkan peralatan gimnasium dibeli pada 2015 yang masih tersimpan dalam kotak serta tidak diagihkan.

“Lebih mendukacitakan, penipuan juga berlaku di mana kontraktor sama tetapi mempunyai nama syarikat yang berbeza-beza demi membolot perolehan ditawarkan kerajaan negeri.

“Audit menyatakan bahawa ‘pemilihan kontraktor adalah tidak memuaskan kerana pemilihan kontraktor di MDP tidak mengikut kriteria yang ditetapkan. Di samping, harga kontraktor yang sama bagi setiap item,” katanya.

Salahudin berkata, Laporan Ketua Audit juga memberikan amaran keras supaya setiap perolehan atau projek tidak lagi dilakukan tanpa melalui tender terbuka serta mestilah memenuhi kriteria yang ketat.

Malah, tiada tindakan manipulasi dalam pemilihan tender dan pengurusan tender.

“Johor berdepan kualiti kerja tidak memuaskan dan kelewatan servis yang menjejaskan kualiti perkhidmatan yang bakal diterima rakyat sedangkan mereka adalah pembayar cukai,”

Categories
SELANGOR

Audit: Lapan Jabatan Selangor cemerlang kawal bajet dan perbelanjaan

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Laporan Ketua Audit Negara menyatakan lapan Jabatan Selangor berjaya mencapai tahap cemerlang bagi Kawalan Bajet dan Kawalan Perbelanjaan berdasarkan analisa Tahap Pematuhan Terhadap Kawalan Utama.

Pengerusinya, Tan Sri Ambrin Buang, berkata lima Jabatan mencatat tahap cemerlang bagi aspek Kawalan Pengurusan sementara satu pada tahap baik dan dua lagi memuaskan.

Tan-Sri-Ambrin-Buang1“Bagi Kawalan Terimaan, enam Jabatan berada pada tahap cemerlang dan dua Jabatan tahap baik.

“Aspek Kawalan Perolehan pula, satu Jabatan memperoleh tahap cemerlang, tiga baik, satu memuaskan dan tiga kurang memuaskan,” katanya.

Audit dalam penemuannya turut menyatakan empat Jabatan berada pada tahap cemerlang, tiga Jabatan baik dan satu kurang memuaskan Bagi Kawalan Pengurusan Aset Dan Stor.

“Antara kelemahan Jabatan yang mendapat tahap kurang memuaskan adalah Jawatankuasa Pengurusan Aset Alih Kerajaan tidak membincangkan agenda yang ditetapkan.

“Pegawai Penerima tidak dilantik untuk menerima dan mengesahkan aset dan barang-barang stor yang diterima.

“Harta modal dan aset bernilai rendah dibeli tidak didaftarkan dalam tempoh dua minggu.

“Daftar Harta Modal (KEW.PA-2) dan Daftar Aset Bernilai Rendah (KEW.PA-3) tidak diselenggarakan dengan kemas kini,” katanya.

Dari segi Pengurusan Wang Amanah atau Kumpulan Wang Amanah Dan Deposit, lima Jabatan berada pada tahap cemerlang, dua Jabatan tahap baik manakala satu Jabatan tidak terlibat dengan pengurusan amanah.

Empat Jabatan memperoleh tahap cemerlang, satu Jabatan tahap baik dan tiga yang lainmemuaskan bagi Kawalan Pengurusan Kenderaan.

-nR-

Categories
SELANGOR

Laporan Audit: Prestasi kewangan Selangor baik, rizab RM2.91 bilion

Oleh: AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUT, 10 NOV: Laporan Ketua Audit Negara memuji kedudukan kewangan Kerajaan Selangor yang disifatkan baik apabila mencatatkan baki Kumpulan Wang Disatukan berjumlah RM2.91 bilion pada 31 Disember 2013.

Jumlah ini merupakan hasil peningkatan sebanyak 11 peratus dengan jumlah RM287.66 juta berbanding RM2.62 billion pada tahun 2012.

LKAN2013 3Selain itu, Selangor turut mencatatkan peningkatan pelaburan berjumlah RM343.88 juta (15.4 peratus) dan kutipan hasil berjumlah RM195.16 juta (10 peratus).

“Kerajaan Negeri disyorkan supaya mengamalkan perbelanjaan berhemat secara berterusan dan hanya berbelanja mengikut keperluan,” katanya.

LKAN 3 1Kerajaan Selangor turut mencatatkan peningkatan dalam baki Pinjaman Boleh Dituntut dengan pencapaian 67.9 peratus berbandin tahun 2012.

Namun, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang menegur penurunan tunggakan bayaran Pinjaman Boleh Dituntut sebanyak 9.6 peratus.

Turut mencatatkan penurunan adalah hutang awam sebanyak 1.6 peratus dan tunggakan bayaran balik hutang dengan 14 peratus pada tahun 2013 berbanding tahun 2012.

“Usaha perlu ditingkatkan untuk mengutip Pinjaman Boleh Dituntut dan tunggakan hasil/bayaran balik pinjaman/hutang lain daripada jabatan dan agensi kerajaan supaya kedudukan kewangan Kerajaan Negeri sentiasa berada dalam keadaan kukuh,” katanya lagi.

Secara keseluruhan Kerajaan Negeri mengakhiri tahun kewangan 2013 dengan defisit berjumlah RM90.45 juta namun lebihan terkumpul Akaun Hasil Disatukan Kerjaan Negeri masih ditahap tinggi iaitu RM1.09 billion pada akhir 2013.

EZY

Categories
NASIONAL

Belanjawan Pakatan: KSN dan KSU perlu sedia pelan atasi pembaziran, ketirisan

Belanjawan-Pakatan-Rakyat-2014KUALA LUMPUR 24 OKT : Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Ketua Setiausaha (KSU) kementerian perlu meneliti serta menyediakan pelan tindakan bagi mengatasi ketirisan juga pembaziran seperti yang diumumkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Belanjawan 2014 Pakatan Rakyat mencadangkan beberapa langkah yang perlu diambil bagi memastikan tindakan susulan kepada penemuan laporan itu dan langkah perlu diambil untuk menangani sebarang isu.

Perkara itu boleh dilakukan pada mesyurat tahunan antara KSN dan KSU dengan menubuhkan satu jawatankuasa atau petugas di peringkat kementerian yang diketuai KSU masing-masing dengan menetapkan sasaran bagi mengelak pembaziran dan ketirisan.

Skop jawatankuasa itu termasuk mengenalpasti dan menutup jurang daripada segi mengurangkan proses berulang, meningkatkan kecekapan sistem yang hasilnya dapat mengurang ruang sistemik bagi sebarang kemungkinan kebocoran.

Jabatan kerajaan harus mengkaji semula tahap pihak berkuasa dan menentukan tahap pengkuasaan serta tanggungjawab di pelbagai peringkat berkenaan.

Garis panduan atau dokumen urus tadbir yang mengawal perjalanan dan proses bagi setiap kementerian perlu dikaji semula untuk merangkumi tahap paling rendah bagi pihak berkuasa dalam usaha memastikan jurang itu ditangani secara berkesan.

Keputusan itu kemudian akan dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan sebelumnya dan dibentangkan di Parlimen oleh menteri yang diamanahkan untuk sasaran itu, sebelum diumumkan kepada orang ramai untuk diteliti.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Pindaan Seksyen 203A ingin tutup isu rasuh dan penyelewangan

rafizi 01SHAH ALAM 23 OKT : Pusat Pemantauan dan Pemberi Maklumat Kebangsaan (NOW) memandang serius tindakan licik Barisan Nasional (BN) memperkenalkan seksyen baru iaitu 203A di dalam pindaan Penal Code yang membawa kesan besar kepada negara.

Pengarah Eksekutif NOW, Rafizi Ramli dalam satu kenyataan media berkatam di bawah Seksyen 203A, kakitangan awam yang memberi sebarang maklumat dan pihak lain yang berurusan dengan maklumat diberikan itu boleh dikenakan hukuman penjara yang berat.

Katanya, paling mendukacitakan apabila undang-undang itu diperkenalkan tidak sampai sebulan selepas Laporan Ketua Audit Negara dikeluarkan.

“Rakyat yang marah dengan pelbagai bukti penyelewengan, ketirisan dan rasuah yang menuntut satu tindakan konkrit melambangkan komitmen BN memerangi rasuah.

“Sebaliknya, BN mengambil tindakan menutup ruang yang membolehkan rasuah dikesan dengan memperkenalkan Seksyen 203A. Ia bertujuan untuk menakutkan kakitangan awam dan orang ramai supaya enggan tampil ke hadapan untuk mendedahkan perlakuan rasuah.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata tindakan dangkal itu bakal melahirkan penjawat awam yang tidak mahu ambil tahu berkenaan penyelewengan di jabatan atau sekeliling mereka kerana berhadapan risiko penjara.

“Seksyen 203A akan memberi kuasa yang melampau kepada ketua jabatan iaitu dengan mudah boleh mendakwa kakitangan yang cuba mendedahkan penyelewengan di bawah Seksyen 203A ini.

“Jika sebelum ini, menteri yang kebal dengan penyelewengan dan amalan rasuah masing-masing. Kini kekebalan itu diperturun dan diinstitusikan pula di peringkat ketua jabatan dan pimpinan bawahan kerana mereka boleh berlindung di sebalik seksyen itu. Kami yakin rakyat akan menghakimi BN yang lebih mengutamakan melindungi perasuah dan penyeleweng daripada menjaga harta rakyat,” katanya.

Rafizi berkata, seksyen berkenaan juga ibarat amaran keras kepada pertubuhan seperti NOW iaitu bakal berdepan risiko penjara jika membuat pendedahan rasuah membabitkan kerajaan.

“NOW sudah memulakan perbincangan dengan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk menubuhkan satu gabungan menentang rasuah termasuk pemansuhan semua undang-undang yang melindungi gejala itu yang diberi nama BENAR iaitu singkatan Bersama NGO Anti Rasuah, yang akan dilancarkan, akhir November ini,” katanya.

– NFN-

Categories
SELANGOR

Pesalah tidak boleh didakwa selagi tiada tindakan daripada SPRM

sprm husin aliSHAH ALAM, 9 OKT : Senator Selangor, Dr Syed Husin Ali bersetuju sekiranya mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan penyelewengan ke atas peruntukan jabatan didakwa di mahkamah.

Namun, beliau tetap mempertikaikan sama ada tindakan itu boleh dilaksanakan memandangkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat lebih selesa berdiam diri setiap kali salah laku dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiap-tiap tahun ada laporan tentang penyelewengan yang berlaku, tetapi biasalah tiada follow up atau tindakan yang akan diambil.

“Disebabkan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa, bagaimana hendak dakwa pesalah ini ke mahkamah? Saya tidak pernah dengar lagi penyelewengan yang dilaporkan audit dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Para senator yang bersidang di Dewan Negara bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2013 menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan peruntukan.

Selain daripada tindakan pecat, kakitangan atau pegawai kerajaan yang melakukan penyelewengan juga perlu didakwa di mahkamah supaya hal sama tidak berulang lagi.

Syed Husin menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit seperti ritual yang dilakukan setiap tahun. Tanpa tindakan tegas keatas pelaku dan pemantauan ketat yang berterusan menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa tanpa timbul rasa takut.

“Amalan dah memang begitu. Tiada tindakan tegas kerana ia juga dilakukan pihak atasan di bahagian lain,” katanya lagi.

Dewan Rakyat mulai bersidang 23 September lepas dan akan berakhir pada 30 Oktober depan.

Categories
NASIONAL

Anwar : Protes seluruh negara jika Pusat laksana GST

Anwar-GSTSHAH ALAM 6 OKT : Protes seluruh negara akan diadakan jika Kerajaan Pusat melaksanakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada Belanjawan 2014 yang diumumkan pada 25 Oktober ini Dewan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Pakatan Rakyat (PR) menentang keras sebarang usaha kerajaan Umno-BN itu untuk pelaksanaan GST yang hanya akan membeban rakyat.

“Kerajaan telah meningkatkan harga petrol, GST akan menambahkan jumlah bebanan kepada rakyat,” kata Anwar dipetik dari The Star Online.

Sebelum ini, pemimpin Pakatan Rakyat menegaskan Kerajaan Pusat berpotensi untuk menjimatkan RM28 bilion sekiranya berjaya menangani ketirisan, ketidakcekapan pengurusan dan rasuah bersandarkan Laporan Ketua Audit Negara.

Kerajaan Pusat tidak perlu melaksanakan GST yang membebankan rakyat jika berupaya mengurangkan ketirisan perbelanjaan wang negara dan membanteras rasuah.

Kira-kira 85 peratus daripada rakyat negara ini tidak memperolehi pendapatan yang layak bagi membolehkan  mereka membayar cukai.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembongkaran audit ‘tersimpan bawah karpet’ kerana tiada pendakwaan

audit(KENYATAAN MEDIA) Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.

Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tiada tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, malah pendedahan dan tindakan yang tahun sebelumnya melibatkan dana awam tiada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.

Sudah pasti Jabatan Audit Negara menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya “gegak gempita” untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salah laku, penyelewengan, pembaziran “tersimpan bawah karpet” tanpa sebarang tindakan.

Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.

Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.

Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.

Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil audit yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang.

Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam ‘hangus’ begitu sahaja.

– Jingga 13 Malaysia