Categories
AGENDA NASIONAL

Aktivis KEADILAN beri keterangan kepada polis kes dua tahun lalu

GOMBAK, 8 FEB: Aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) memberi keterangan kepada polis berhubung dakwaan mengganggu gugat ketenteraman awam pada dua tahun lalu.

Danish Hairudin yang juga Ketua koordinator Khidmat Untuk Malaysia dan Sukarelawan Selangor (SERVE) membuat demikian antara jam 2.45 hingga 3.30 petang di ibu pejabat polis daerah (IPD) Gombak.

Katanya, beliau dan isteri Farhana Rafee dipanggil polis untuk melengkapkan prosedur siasatan berkaitan Langkah Sheraton sebelum kes tersebut ditutup.

Danish Hairudin

“Saya dan isteri memberi kerjasama penuh dengan menjawab semua soalan,” katanya yang juga ketua koordinator Sukarelawan Selangor (SERVE) ketika ditemui di IPD berkenaan hari ini.

Danish yang juga setiausaha politik Ahli Dewan Negeri Sentosa juga menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan polis pada bila-bila masa.

Beliau dihubungi polis pada malam Ahad lalu bagi memberi keterangan tersebut sekalipun barang rampasan kes telah dipulangkan pada tahun lalu.

Categories
SELANGOR

Polis Ampang Jaya terima 117 laporan berkait banjir kilat

SHAH ALAM, 24 NOV: Polis Ampang Jaya menerima 117 laporan berkait kejadian banjir kilat di Lembah Jaya Utara, Ampang, Isnin lalu.

Ketua polisnya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata dua lokasi yang dikenal pasti terjejas ialah Kampung Pinggiran 3 dan Kampung Lembah Utara melibatkan 206 unit rumah dan 1,019 mangsa.

“Mangsa-mangsa yang terlibat telah ditempatkan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Lembah Jaya Utara yang dijadikan pusat penempatan sementara (PPS).

“Sepanjang kejadian banjir tiada kemalangan jiwa berlaku dan setakat ini anggaran kerosakan masih belum diterima,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata pihaknya juga menempatkan balai bergerak di dalam kawasan PPS bagi memudahkan mangsa terlibat membuat laporan.

Isnin lalu, beberapa kawasan di sekitar Ampang dilanda banjir kilat susulan hujan lebat selama lebih satu jam lewat petang tadi.

Kawasan terjejas meliputi Jalan Hillview, Kampung Lembah Jaya Utara dan Kampung Lembah Jaya Selatan, maklum Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.

Norazam Khamis berkata seramai 22 pegawai serta anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pandan dan BBP Ampang dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 7.19 malam.

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM lapor polis antivaksin sebar maklumat palsu ancam kesihatan awam

KUALA LUMPUR, 15 OKT: Kementerian Kesihatan telah membuat beberapa laporan polis terhadap kumpulan antivaksin yang menyebarkan maklumat palsu sehingga mengancam kesihatan awam.

Menterinya Khairy Jamaluddin menerusi ciapan di Twitter rasmi beliau berharap, tindakan susulan termasuk siasatan dan pendakwaan dapat disegerakan.

“Kumpulan ini (antivaksin) terus menyebarkan berita palsu, mengancam kesihatan awam dan menjengkelkan,” kata Khairy sambil menyertakan pautan Twitter seorang pengamal perubatan Dr Sakinah Sulong.

Dr Sakinah dalam Twitter tersebut menulis : “Am I the only one yang rasa antivaccine group kat Malaysia ni kebal-sekebalnya?”.

Beliau turut melampirkan tangkap layar aplikasi Telegram yang didakwa sebagai kumpulan antivaksin.

Dalam satu lagi ciapan, Khairy memaklumkan sehingga semalam sejumlah 5,410 dos penggalak telah diberikan, terutamanya kepada petugas perubatan barisan hadapan.

“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik GP (pengamal perubatan) tidak lama lagi,” katanya.

Pada Rabu Khairy berkata kementeriannya akan mula memberikan dos penggalak vaksin Covid-19 kepada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas barisan hadapan yang telah melengkapkan vaksinasi mereka sekurang-kurangnya enam bulan lepas.

Individu yang layak akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, sementara kepada mereka yang tidak mempunyai MySejahtera, pengumuman akan dibuat menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan telefon daripada pusat vaksinasi.

Pemberian dos penggalak akan dijalankan secara sukarela dan ia percuma di bawah Program Imuniasasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi memastikan tempoh perlindungan yang optimum kepada penerimanya di Malaysia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KBS buat laporan polis siasat video penyokong Indonesia dipukul

BANGI, 22 NOV: Pejabat Menteri Belia dan Sukan hari ini membuat laporan polis bagi menyiasat kesahihan video yang dikatakan memaparkan penyokong bola sepak Indonesia dipukul oleh penyokong Malaysia selepas perlawanan bola sepak antara Malaysia dan Indonesia, Selasa lepas.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pihaknya sedia maklum mengenai video yang tular di media sosial itu, dan laporan polis dibuat bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Bercakap kepada media selepas menghadiri Konvensyen Alumni Malaysia Future Leaders School (MFLS) di sini hari ini, Syed Saddiq berkata, ia adalah komitmen kerajaan bagi memastikan keadilan ditegakkan meskipun jika pelakunya adalah rakyat Malaysia.

Beliau berkata, isu itu menjadi semakin serius apabila terdapat komen rakyat Indonesia di media sosial yang mengugut untuk membunuh pemain dan penyokong Malaysia yang datang ke negara itu untuk perlawanan bola sepak malam ini.

“Untuk makluman, pasukan bawah 18 tahun Malaysia bermain melawan pasukan Indonesia bawah 18 tahun, malam ini di Indonesia,” katanya.

Malaysia mengalahkan Indonesia 2-0 pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa lepas.

Mengulas mengenai undian dalam talian yang menunjukkan beliau menduduki tempat ketiga menteri kabinet paling tidak popular, Syed Saddiq berkata: “Biarlah rakyat yang tentukan”.

Mengenai rombakan kabinet yang akan dilaksanakan, beliau berkata, ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan beliau akan menghormati “biar apapun yang terjadi”.

Mengulas mengenai cadangan UMNO untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, Syed Saddiq berkata, ia satu perkara yang tidak masuk akal untuk menubuhkan kerajaan perpaduan bersama Umno dan PAS.

“Kita adalah sebahagian daripada Pakatan Harapan. Itu adalah gabungan yang telah memenangi Pilihan Raya Umum ke-14,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan kini akan memberi tumpuan untuk mengatasi pelbagai isu yang melingkari rakyat ketika ini seperti pekerjaan, perumahan serta kos sara hidup; dan perebutan kuasa hanya akan mengecewakan rakyat.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Larangan baca doa ikut agama Islam: 10 laporan diterima

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Sepuluh laporan polis diterima di seluruh negara berhubung dakwaan tindakan sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang yang tidak membenarkan bacaan doa mengikut agama Islam pada satu majlis di sekolah itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid ketika dihubungi berkata, polis setakat ini telah memanggil lima individu untuk diambil keterangan.

Kesemua laporan itu diterima di tiga negeri iaitu lapan di Pulau Pinang dan masing-masing satu di Selangor dan Kedah, katanya ketika dihubungi di sini.

Terdahulu pada sidang akhbar di Bukit Aman pagi ini, Mior Faridalatrash berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat, beberapa individu dikatakan hadir pada satu majlis penyampaian anugerah di sekolah itu dan didakwa melarang pelajar Islam membaca doa mengikut agama Islam, sebaliknya dibaca mengikut agama Kristian.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Laporan polis dibuat susulan poster fitnah babit Mujahid

PUTRAJAYA, 29 JUL: Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim, Perak Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib serta laman Facebook yang menggunakan nama MyNewsHub kerana memuat naik poster kenyataan fitnah melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa laporan polis itu dibuat oleh Setiausaha Akhbar menteri, Siti Zulaikha Zulkifli di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini kira-kira jam 11 pagi.

Menurut kenyataan itu laporan polis itu dibuat ekoran penyalahgunaan gambar dan nama Mujahid di poster yang bertulis, “Wendy Loong hina nabi adalah kes terpencil.. Orang Islam jangan terasa hati.. Mujahid”.

Menurutnya, Mohd Khusairi turut memuat naik poster sama dengan menulis status di Facebook beliau dengan tulisan berbaur perkauman dan hasutan iaitu: “Selepas ini sesiapa saja individu boleh hina apa saja agama, kerana perbuatan itu sudah diklasifikasikan oleh Menteri Agama sebagai kes terpencil dan tidak perlu diambil sebarang tindakan. Jangan ada mana-mana pihak terasa hati”.

Kenyataan pejabat menteri turut menegaskan bahawa Mujahid tidak pernah mengeluarkan kenyataan sedemikian.

Menurutnya, Mujahid dengan tegas telah mengarahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia untuk bekerjasama dengan pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi mengesan mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan menghina Nabi Muhammad atau agama Islam. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

91 laporan polis kerana hina Agong – Fuzi

KUALA LUMPUR, 13 APR: Sebanyak 91 laporan polis telah diterima setakat semalam berhubung status dimuatnaik oleh pemilik Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ yang menghina dan mencerca Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam satu kenyataan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan.

“Jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM 5,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Fuzi menambah, orang ramai dinasihatkan agar tidak menyalahgunakan media sosial atau mana-mana rangkaian komunikasi, untuk membuat sebarang bentuk provokasi yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam dan juga kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, satu status dimuat naik di laman Facebook ‘Sabah-Sarawak Merdeka’ tular di media sosial sejak beberapa hari lalu memaparkan gambar Yang di-Pertuan Agong diubah suai yang menghina dan mencerca baginda.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rafizi, Surendran buat laporan polis Papa Gomo tipu mahkamah

Oleh: NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA 8 APRIL: Satu laporan polis dibuat hari ini terhadap pengendali blog pro Umno, Papa Gomo iaitu Wan Muhammad Azri Wan Deris kerana memberikan keterangan palsu di mahkamah pada 27 Januari lalu.

Keterangan palsu itu dilakukan Wan Muhammad Azri ketika beliau menjawan soalan peguam, Latheefa Koya dengan mendakwa kononnya beliau tidak pernah menaiki kapal selam Scorpene bagi mengelakkan indentiti beliau sebagai Papa Gomo terbongkar.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata laporan polis itu dibuat oleh Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan beliau sendiri di balai polis Dataran Prima di sini.

laporan1“Wan Muhammad Azri menipu dalam keterangan kepada mahkamah pada 27 Januari 2014 dalam kes saman Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap blogger Papa Gomo di mana beliau menyatakan dalam satu soalan bahawa beliau tidak pernah menaiki kapal selam Scorpene.

“Selepas itu soalan Rafizi kepada Menteri Pertahanan, sah menyatakan memang Wan Muhammad Azri ada menaiki kapal selam Scorpene.

“Maknanya memang dia menipu di mahkamah bagi mengelak indentiti beliau terbongkar yang sebenarnya dia adalah Papa Gomo,” kata Surendran ketika ditemui Selangor Kini di perkarangan Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Papa Gomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, merupakah pengendali blog pro Umno yang tegar dan gemar menyerang peribadi musuh Umno dengan dakwaan fitnah berunsur seks.

Gara-gara fitnah beliau, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 kepada Anwar kerana menyiarkan tulisan dan gambar fitnah pada Mac tahun lalu tahun lalu.

EZY

Categories
NASIONAL

AMK gesa Polis ambil tindakan terhadap JMM

Rozan-balai-polis

KUALA LUMPUR 13 SEPTEMBER : Angkatan Muda Keadilan (AMK) menggesa pihak Polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana -mana pihak yang cuba mengganggu Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan keluarganya.

Timbalan Ketua Penerangan AMK, Rozan Azen Mat Rasip berkata, tindakan itu perlu bagi menjaga keselamatan Anwar dan keluarganya.

Ini berikutan kenyataan Presiden JMM, Azwanddin Hamzah, yang berikrar akan mengekori Anwar ke mana sahaja termasuk termasuk ke kediaman Anwar di Bukit Segambut Kuala Lumpur mulai semalam.

Rozan menyatakan perkara demikian dalam laporan polisnya di Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur terhadap NGO, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) yang merancang mengganggu ketenteraman Anwar.

Rozan berkata, kenyataan Azwanddin itu dilihat mengganggu ketenteraman dan ugutan terhadap Anwar sekeluarga.

“Selain itu ianya menimbulkan kecurigaan orang awam terutama jiran tetangga kawasan perumahan Anwar di Bukit Segambut terhadap motif sebenar NGO berkenaan.

“Apatah lagi mengambil kira status Anwar sebagai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Rafizi : PR Kumpul Laporan Dakwat Tak Kekal

rafizi ramli

PETALING JAYA 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) menggerakkan kempen  mengumpulkan laporan polis dari seluruh negara mengenai dakwat tidak kekal yang didakwa berlaku dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu sebagai bahan bukti wujudnya penipuan dalam pilihan raya.

Sehubungan itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menjelaskan #siasatpru13 menggesa rakyat turut serta dalam kempen tersebut dengan membuat laporan polis.

Menurutnya, #siasatpru13 mensasarkan sekurang-kurangnya 100,000 laporan polis dibuat di seluruh negara mengenai dakwat kekal sebagai bukti kemarahan rakyat terhadap kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengendalikan PRU13 dengan telus dan bersih.

“Satu salinan laporan polis itu boleh diemailkan ke [email protected] atau serahkan kepada mana-mana wakil rakyat PR atau di pejabat PKR, PAS serta DAP atau ibu pejabat PKR di A-1-09, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, 47410 Petaling Jaya atau faks : 03 – 7885 0531.

“Dakwat kekal yang tidak kekal bakal menjadi petanda bahawa PRU13 dikendalikan SPR adalah tidak telus dan dipenuhi penipuan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, hakikatnya SPR tidak dapat menunaikan janjinya bahawa dakwat tersebut akan kekal sekurang-kurangnya lima hari dari tempoh pengundian melunturkan keyakinan rakyat terhadap SPR di bawah pimpinan sedia ada berwibawa untuk mengendalikan pilihanraya yang bersih dan adil.

“Kegagalan pelaksanaan dakwat kekal adalah satu simbolisme kegagalan SPR yang perlu ada pertanggungjawaban,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

PKNS Ambil Tindakan Undang-undang Kepada Pengedar Surat

SHAH ALAM 27 SEPT : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama anak syarikatnya, Selangor Industrial Corporation Sdn Bhd (SIC) mengutuk pengedaran surat permohonan mengambilalih hutang perumahan di kalangan pembeli rumah PKNS.

Surat berkenaan yang diedarkan di Taman Dagang, Ampang mengandungi kepala surat Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) dan ditandatangani oleh Presidennya, Azwanddin Hamzah.

Kandungan surat itu menyeru pembeli rumah PKNS atau SIC untuk memohon Kerajaan Negeri melupuskan semua hutang mereka yang masih tertunggak.

Tindakan itu kononnya mengikut dasar sama yang diambil Kerajaan Negeri dalam melupuskan hutang Talam Corporation Berhad (Talam).

Sehubungan pengedaran surat tersebut, dua laporan polis turut dibuat hari ini di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam tadi oleh wakil PKNS dan SIC yang turut ditemani peguam mereka, S.N Nair & Partners.

Menurut , selain mengandungi kenyataan tidak tepat, surat tersebut juga berniat jahat dan berunsur fitnah.

“PKNS mahupun SIC tidak mengeluarkan sesen pun seperti didakwa dan digembar-gemburkan.

“PKNS melihat pengedaran surat ini sebagai satu tindakan menghasut dan cuba memberi tanggapan salah kepada PKNS, anak syarikatnya dan Kerajaan Negeri,” tegas Ishak.

Tambahnya lagi, PKNS bersedia mengambil tindakan undang-undang ke atas mana-mana pihak yang mengaitkan PKNS dengan isu Talam sepertimana yang sering ditimbulkan media arus perdana.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jual Dokumen Rasmi : AMK Lapor Polis Terhadap Najib

 

AMK bersama laporan polis yang dibuat

SHAH ALAM, 18 JUN : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak polis menjalankan siasatan segera dan telus berhubung dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam skandal penjualan dokumen rasmi pertahanan negara ketika urusan pembelian kapal selam Scorpene.

Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Md Akin dalam kenyataan medianya berkata, sewajarnya pendedahan terbaru Suara Rakyat Malaysia (Suaram) diberi perhatian serius oleh pihak berkuasa kerana kes berprofil tinggi itu melibatkan kepentingan negara.

Menurutnya, AMK Pusat menerusi jentera AMK negeri akan terus membuat desakan ini dengan siri laporan polis yang dijalankan di seluruh negara dan sekiranya tiada respon dari polis maka laporan susulan akan dipanjangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Polis perlu menjalankan siasatan biarpun ia melibatkan Perdana Menteri yang ketika itu Menteri Pertahanan kerana adalah jelas adanya elemen rasuah dalam perkara ini. AMK juga menyifatkan perkembangan terbaru skandal ini sebagai pengkhianatan tertinggi dan amat tidak bertanggungjawab dalam membocorkan akses dokumen keselamatan negara.

“AMK telah dan akan meneruskan gerakan membuat laporan polis dan SPRM di seluruh negara dalam memastikan tuntutan kita supaya siasatan dilakukan terhadap Perdana Menteri termasuk pihak berkaitan dengan kes penyelewengan paling korup dalam sejarah politik negara tidak ditutup dan tidak terlepas daripada muka pengadilan akibat kesalahan penggunaan kuasa dan pengaruh politik sewenang-wenangnya,” katanya.

Shamsul selanjutnya menyelar Najib dan pihak terlibat sebagai melakukan perbuatan jenayah dagangan yang melibatkan jumlah transaksi melampau bagi kepentingan peribadi selain menjual kedaulatan negara.

Sehingga kini AMK telah membuat laporan polis di Selangor pada 6 Jun, Sabah (11 Jun), Melaka, Pulau Pinang, Perlis dan Perak (14 Jun),Johor dan Negeri Sembilan (15 Jun) serta Kelantan (17 Jun).

AMK akan meneruskan siri jelajah laporan polis itu ke Kuala Lumpur dan Pahang pada esok diikuti Terengganu (20 Jun); Kedah (21 Jun) diakhiri Sarawak (22 Jun).