Categories
ADN SELANGOR

Masyarakat diseru sumbang komputer riba, bantu mahasiswa belajar dalam talian

SHAH ALAM, 8 SEPT: Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing menyeru orang ramai menyumbang komputer riba kepada mahasiswa bagi memudahkan pembelajaran secara dalam talian golongan itu ekoran penangguhan kuliah secara bersemuka.

Rajiv Rishyakaran berkata pihaknya dengan kerjasama badan bukan kerajaan StandUpMalaysia melancarkan program ‘Laptop4siswa’ bagi membantu pelajar mendapat akses pendidikan dengan sempurna ketika peningkatan kes Covid-19.

“Kelas ketika ini bermula secara dalam talian, ada antara mereka yang tidak mempunyai komputer riba, bahkan ada terpaksa berkongsi dengan adik beradik yang lain.

“Permulaan ini kita mengharapkan sumbangan komputer riba daripada orang ramai untuk membantu mereka, komputer riba terpakai pun kita terima,” katanya memetik laporan MalaysiaKini.

Wakil StandUpMalaysia, Rheanne Wong Li An pula berkata setakat ini, pihaknya menerima lebih 50 permohonan dan menyeru mereka yang ingin menyumbang menghubungi Pejabat Khidmat Masyarakat Bukit Gasing di talian 03-79547490/[email protected] atau StandUpMalaysia 014-6691320/[email protected].

Pada 2 Oktober, Kementerian Pengajian Tinggi mencadangkan semua institusi pengajian menangguhkan pendaftaran secara fizikal atau bersemuka bagi penuntut baharu dan lama untuk kemasukan ke kampus bulan ini susulan peningkatan kes pandemik.