Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tingkat kuat kuasa larangan merokok di premis makanan

KUALA LUMPUR, 21 OKT: Penguatkuasaan larangan merokok di premis makanan akan ditingkatkan selaras dengan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi ciapan dalam Twitternya hari ini berkata beliau telah mengarahkan pasukan penguat kuasa untuk berbuat demikian semalam.

“Semalam saya telah minta penguatkuasaan terhadap larangan merokok ini ditingkatkan lagi.

“Sambil memantau pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pandemik, boleh denda perokok yang langgar larangan tersebut. Sekali harung,” katanya.

Penguatkuasaan penuh Peraturan 11(1)(d) PPKHT 2004 pindaan 2018 iaitu larangan merokok di semua premis makanan termasuk premis makanan terbuka, telah bermula pada 1 Jan 2020.

– BERNAMA

Categories
ADN SELANGOR

Terus ulang siar di media sosial larangan merokok, minum arak

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan atau pihak berkaitan disaran membuat kempen atau ulang siar di semua platform media sosial berhubung kompaun ke atas individu yang menghisap rokok dan meminum arak di tempat awam.

Ahli dewan negeri (ADN) Dusun Tua mencadangkan ia sebagai peringatan kepada si pelaku agar tidak melakukan kesalahan sama berulang kali dan menghormati ketenteraman awam.

“Kerajaan perlu terus ulang siar larangan merokok dan meminum arak di tempat awam menerusi semua platform media sosial bagi memberi kesedaran kepada masyarakat, sehingga mereka yang mahu buat perkara itu berasa janggal,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Sementara itu, orang awam, Rashidah Ismail berkata beliau memuji inisiatif Kerajaan Selangor mewujudkan syarat itu sekali gus dapat mencerminkan negeri bersifat sifar pencemaran.

“Larangan ini boleh menghasilkan bandar yang nyaman tanpa udara kotor ekoran asap rokok. Malah, saya harap perokok dan mereka yang gemar meminum arak dapat hormati privasi orang sekeliling ketika berada di tempat awam,” katanya.

Pada 14 Julai lalu, Selangor muncul negeri pertama di Malaysia menguatkuasakan perintah arahan larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainan serta rekreasi.

Jika didapati terdapat individu melakukan kesalahan mereka boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

Mais sokong kuat kuasa larangan merokok di taman awam

SHAH ALAM, 17 JULAI: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menyokong Kerajaan Negeri menguatkuasakan larangan merokok termasuk rokok elektronik dan meminum arak di taman awam.

Pengerusinya, Dato’ Setia Mohammed Khusrin Munawi berkata perbuatan tersebut diharamkan sama ada di tempat awam atau kawasan persendirian.

“Walaupun Kerajaan Negeri Selangor menguatkuasakan larangan bagi perbuatan tersebut di taman awam sahaja, Mais menegaskan umat Islam dilarang melakukan perbuatan tersebut di mana jua mereka berada,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Selangor muncul negeri pertama menguatkuasakan perintah larangan menghisap rokok, rokok elektronik dan meminum minuman keras di taman permainaan serta rekreasi.

EXCO kerajaan tempatan, Ng Sze Han ketika sidang Dewan Negeri Selangor berkata individu yang melakukan kesalahan tersebut boleh dikenakan kompaun sehingga RM1,000 mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Taman 2005 Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor.

Categories
AGENDA NASIONAL

Larangan merokok di premis makanan tidak dihentikan

BAGAN SERAI, 13 JUN: Kementerian Kesihatan tetap meneruskan penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makanan dan menambah baik kempen itu bagi menjamin kesihatan serta kesejahteraan rakyat negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata pandangan orang ramai yang menyatakan larangan itu tidak lagi dilaksanakan adalah tidak tepat, sebaliknya penguatkuasaan berkurangan kerana memberi tumpuan terhadap usaha menangani penularan Covid-19.

“Kempen tersebut masih diteruskan dan ia tidak dihentikan.

“Penguatkuasaan kurang kerana ketika ini, negara memberi fokus terhadap Covid-19 malahan kedai makan tidak dibuka (dan tidak boleh makan dalam premis) sejak tiga bulan lepas disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya di sini hari ini.

Dr Noor Azmi, yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai, ditemui selepas melawat dan menyampaikan sumbangan serta bantuan kepada penduduk terjejas ribut di Kampung Sungai Semambu, Kampung Parit Mentara 3, Kampung Jalan Banjar dan Kampung Jalan Gunung Semanggol dekat sini semalam.

Beliau mengulas rungutan orang ramai yang tidak berpuas hati kerana terdapat individu kembali merokok di premis makanan selepas kedai makan dibenarkan beroperasi dan pelanggan dibenar makan dalam premis berkenaan.

Dr Noor Azmi berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang kawalan tembakau yang sebelum ini diletakkan di bawah Akta Makanan 1983 di Parlimen tidak lama lagi dan draf mengenainya sedang diteliti oleh Pejabat Peguam Negara.

Kerajaan menguatkuasakan larangan merokok di tempat makan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018 yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2019, yang hanya membenarkan perokok merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

– BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Operasi larangan merokok di Selangor, kompaun RM103,850 dikeluarkan

SHAH ALAM, 11 JAN: Sebanyak 432 notis kompaun bernilai RM103,850 dikeluarkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sepanjang tempoh sembilan hari pelaksanaan operasi larangan merokok di 2,638 premis makanan di negeri ini.

Daripada jumlah itu, Pengarahnya, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata 315 notis dengan nilai kompaun RM78,750 dikeluarkan kepada mereka yang merokok di tempat makan.

Manakala 22 notis membabitkan perokok berusia bawah 18 tahun dengan lapan daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Tindakan penguatkuasaan ini diambil di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 (pindaan 2018),” katanya dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya turut mengeluarkan 96 notis bernilai RM24,000 terhadap pemilik premis di bawah Peraturan 12 (1)(a) dan 12 (1)(b) PPKHT 2004.

“Jumlah 90 lagi notis dikeluarkan kerana premis gagal mempamerkan tanda larangan merokok secara jelas dan selebihnya atas kesalahan menyediakan kemudahan untuk merokok,” katanya.

Katanya, mereka yang menerima notis kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 bagi orang dewasa manakala bagi mereka yang belum cukup umur RM50.

“Kesalahan pertama boleh dikurangkan kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh kompau. Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun.

“Kompaun lebih tinggi RM350 dikenakan bagi kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun ini dan tiada tawaran kompaun mulai Julai, sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil,” katanya

Categories
PBT SELANGOR

Dua PBT sedia bina kawasan merokok, tunggu panduan KPKT

SHAH ALAM, 10 JAN: Dua pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini sedia menyediakan kawasan khas merokok seperti yang dicadangkan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Rahilah Rahmat berkata pihaknya akan mengenal pasti kawasan sesuai untuk dijadikan kawasan khas merokok di tempat awam.

Katanya, model dan konsep yang bersesuaian termasuk projek perintis Senario Ampang dan Santai@Ampang oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) juga akan diteliti.

“MDKS menyambut baik penyaluran peruntukan berkenaan dan akan mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk melaksanakannya,” katanya kepada SelangorKini.

Rahilah bagaimanapun berkata sebarang pembinaan struktur kekal ruangan khas merokok yang mahu didirikan oleh pemilik restoran perlu menggunakan modal sendiri dan memohon kelulusan daripada MDKS.

“Sebarang kelulusan akan tertakluk kepada garis panduan yang bakal dikeluarkan oleh KPKT,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat Mohamad Zain A Hamid berkata pihaknya mengalukan cadangan baharu terbabit dan menunggu garis panduan yang ditetapkan KPKT.

“Setakat ini, kita belum ada apa-apa perancangan untuk menyediakan tempat merokok yang khusus tetapi kita bersedia laksanakannya jika garis panduan dikeluarkan nanti,” katanya.

Manakala, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam Shahrin Ahmad pula berkata perkara berkenaan akan dibincangkan terlebih dahulu supaya tindakan selanjutnya dapat dilakukan.

Pada 7 Januari lalu KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM5,000 kepada PBT yang mengemukakan permohonan membina kawasan khas merokok di tempat awam.

Categories
SELANGOR

Selangor keluarkan 247 notis kompaun perokok dalam 96 jam

SHAH ALAM, 5 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mengeluarkan 247 notis kesalahan bernilai RM51,200 terhadap perokok dalam tempoh 96 jam pelaksanaan Operasi Larangan Merokok di premis makanan sejak Rabu lalu.

Pengarahnya, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman berkata, penguatkuasaan melalui operasi itu dijalankan di 1,091 premis seluruh Selangor.

Katanya, lapan notis kesalahan membabitkan Orang Belum Dewasa dengan salah seorang daripadanya didapati bersalah memiliki rokok elektronik.

“Selain itu, 52 notis kesalahan dengan jumlah kompaun bernilai RM13,000 dikeluarkan kepada pemilik premis atas 47 kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok.

“Manakala, lima notis kesalahan kerana menyediakan kemudahan merokok,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, penguatkuasaan serentak di seluruh negeri itu membabitkan 344 pegawai diberi kuasa melalui peruntukan dalam Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

Beliau berkata, mereka yang menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun sebanyak RM250, manakala bagi Orang Belum Dewasa RM50.

“Mereka yang melakukan kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan dari tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan, sebaliknya kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga jika berlaku dalam tempoh Januari hingga Jun.

“Malah, tiada lagi tawaran kompaun mulai Julai, sebaliknya tindakan pendakwaan akan diambil,” katanya.

Dr Sha’ari berharap semua pihak dapat bekerjasama mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

“Bagi perokok yang berhasrat berhenti merokok, mereka dialu-alukan mendapatkan khidmat nasihat di semua perkhidmatan berhenti merokok mQuit disediakan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan seluruh negara atau mana-mana fasiliti perkhidmatan berhenti merokok mQuit swasta yang diberikan akreditasi.

“Mereka juga boleh mendapatkan maklumat dan daftar melalui laman sesawang http://jomquit.moh.gov.my atau menghubungi talian 03-8883 4400 untuk maklumat lanjut,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak 12 tahun dikompaun miliki rokok

KLUANG, 5 JAN: Seorang kanak-kanak berumur 12 tahun dikenakan kompaun sebanyak RM50 setelah didapati memiliki sekotak rokok walaupun memberikan alasan ia milik ayahnya.

Pegawai Kesihatan Daerah Kluang Dr Mohd Nizam Subaher berkata individu bawah umur yang didapati memiliki atau menghisap rokok boleh dikenakan kompaun tanpa mengira tempat sama ada di premis makanan atau pun tempat lain.

Katanya tindakan berkenaan dilakukan bagi memastikan setiap individu di bawah umur khususnya pelajar terhindar daripada gejala menghisap rokok sekali gus mengelak mereka daripada terlibat dengan tabiat yang lebih buruk.

“Walau apa pun alasan yang diberikan termasuklah rokok milik ayah atau individu yang tidak di bawah umur, sesiapa pun tidak terlepas sekiranya melanggar Peraturan 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 ini,” katanya selepas operasi penguatkuasaan di tempat makan di sekitar daerah Kluang, di sini hari ini.

Jelas Mohd Nizam lagi, selain kanak-kanak 12 tahun itu, 33 individu lain turut dikompaun kerana melakukan kesalahan di bawah peraturan yang sama melalui operasi yang dilakukan sejak 1 Januari lepas.

Katanya 47 notis kompaun juga telah dikeluarkan dan 25 daripadanya membabitkan kesalahan merokok di premis-premis makanan yang melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM6,250.

“Kesalahan lain yang diberikan notis adalah menjual rokok di bawah harga minimum serta menjual rokok tanpa lesen. Jumlah kompaun keseluruhan adalah RM11,250.

“Kami juga ingin memaklumkan mereka yang tidak mempamerkan tanda larangan merokok di premis makanan turut membuat kesalahan mengikut Peraturan 12(1) (a) 5,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS catat nilai kompaun RM30,750 larangan merokok

SHAH ALAM, 3 JAN: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengeluarkan 150 notis kesalahan merokok di premis makanan dengan nilai kompaun RM30,750 sepanjang penguatkuasaan larangan merokok sehingga semalam.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Khalid Ibrahim berkata, penguatkuasaan telah dijalankan di 562 premis mengikut Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018.

“Penguatkuasaan serentak telah berjalan di seluruh negeri melibatkan seramai 147 pegawai diberikuasa.

“Daripada jumlah tersebut, tujuh notis kesalahan itu melibatkan orang belum dewasa dan salah seorang daripadanya didapati bersalah kerana memiliki rokok elektronik.

“Bagi mereka yang telah menerima notis kesalahan kerana merokok di tempat makan dikenakan kompaun RM250 dan bagi orang belum dewasa adalah RM50,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebanyak 20 notis kesalahan dengan jumlah kompaun RM5,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis dengan 18 notis kesalahan kerana gagal mempamerkan tanda larangan merokok dan dua notis kerana menyediakan kemudahan merokok.

Dr Khalid berkata, JKNS memohon kerjasama semua pihak agar mematuhi larangan merokok bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Larangan merokok: Ramai beri alasan ‘tidak tahu’

KUALA LUMPUR, 2 JAN: Masih ada yang ingkar dengan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan pada hari pertama penguatkuasaan penuh di seluruh negara, semalam.

Menerusi operasi Penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Op PPKHT) yang dijalankan di beberapa negeri, masih ramai yang berdegil dengan memberi alasan tidak tahu mengenai larangan tersebut, walaupun penguatkuasaan pendidikan selama 12 bulan telah dijalankan.

Bagi mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250.

Di KUALA LUMPUR, empat notis kompaun dikeluarkan dalam operasi penguatkuasaan yang dilakukan di tiga lokasi bermula kira-kira 11.30 pagi semalam.

Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Titiwangsa Nordayana Musa yang mengetuai operasi itu berkata, ada perokok yang merayu supaya hanya diberikan amaran dengan memberi alasan tidak tahu mengenai penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

Di PAHANG, 51 individu menjadi kumpulan pertama dikenakan kompaun kerana ingkar larangan tidak merokok dalam premis makanan di seluruh negeri itu, setakat 2 petang.

Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata empat premis makanan juga dikenakan kompaun masing-masing dua atas kesalahan membenarkan pelanggan merokok dan tidak menampal notis larangan merokok.

Pegawai Penguat kuasa Kesihatan mengeluarkan notis kesalahan kepada perokok yang didapati merokok di kawasan larangan merokok di sebuah restoran di Meru Raya. Foto BERNAMA

“Sehingga kini, sebanyak 656 premis perniagaan makanan telah diperiksa dan kita akan meneruskan operasi ini sehingga tengah malam dengan sasaran utama medan selera dan restoran 24 jam,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau memaklumkan pelaksanaan Op PPKHT yang bermula 9 pagi, melibatkan 186 kakitangan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kesihatan Pahang.

Di NEGERI SEMBILAN, operasi yang dijalankan secara serentak oleh 95 pegawai penguat kuasa dari tujuh Pejabat Kesihatan Daerah di seluruh negeri itu merekodkan 42 notis dikeluarkan menerusi pemeriksaan ke atas 379 premis makanan.

Ketika ditemui pemberita, Pengarah Kesihatan Negeri Sembilan Datuk Dr Zainuddin Mohd Ali berkata tujuh daripada notis itu dikeluarkan kepada pemilik premis berkaitan kesalahan tidak mempamerkan tanda larangan merokok.

Lapan notis pula dikeluarkan berkaitan tanggungjawab pemilik dalam memastikan bahawa tiada individu merokok di dalam premis mereka.

Di PERAK, lima premis makanan di sekitar Jelapang, Ipoh ​​​​​​​diperiksa dalam operasi selama dua jam bermula 10 pagi membabitkan 16 kakitangan Pejabat Kesihatan daerah Kinta.

Sepanjang operasi berkenaan, tinjauan Bernama mendapati rata-rata pengusaha makanan terkejut dengan kehadiran kakitangan itu ke premis makanan mereka seolah-olah tidak peka dengan penguatkuasaan larangan merokok yang bermula semalam.

Bagaimanapun, tiada kompaun dikeluarkan dengan pelanggan akur dengan mematuhi arahan selain pengusaha makanan turut meletakkan tanda larangan merokok di premis masing-masing.

Di KELANTAN, tinjauan Bernama di premis-premis makanan terutamanya di kawasan kampung mendapati masih terdapat individu yang tidak mengendahkan penguatkuasaan larangan merokok tersebut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Penguatkuasaan penuh larangan merokok bermula 1 Januari 2020

SHAH ALAM, 30 DIS: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan penguatkuasaan penuh larangan merokok di tempat makan bermula 1 Januari 2020 dengan kompaun maksimum sehingga RM350.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pemilik premis turut bertanggungjawab memastikan tempat makan bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok atau berdepan kompaun jika gagal berbuat demikian.

“Mereka yang didapati merokok di kawasan larangan termasuk di semua tempat makan akan dikenakan kompaun sebanyak RM250. Kesalahan pertama boleh dikurangkan kompaun kepada RM150 jika pembayaran dijelaskan di mana-mana Pejabat Kesihatan Daerah dalam tempoh sebulan daripada tarikh izin kompaun diterima.

“Bagi kesalahan kedua, tiada pengurangan kompaun diberikan dan bayaran penuh kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan. Kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350 akan dikenakan bagi mereka yang melakukan kesalahan kali ketiga dan seterusnya.

“Bagi tujuan penguatkuasaan penuh bermula tempoh sama, pemilik premis boleh dikenakan kompaun sebanyak RM250 bagi kesalahan pertama dan kedua manakala bagi kesalahan kali ketiga dan seterusnya, kompaun lebih tinggi iaitu sebanyak RM350,” katanya.

Beliau berkata pemilik premis juga perlu memastikan tanda larangan merokok yang mencukupi serta jelas dipamerkan di bahagian yang mudah dilihat di tempat makan.

Katanya pelaksanaan itu merupakan perluasan pewartaan di tempat makan di bawah Peraturan 11(1)(d) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004 pindaan 2018 dengan penguatkuasaan pendidikan selama setahun.

“Kerjasama dan sokongan daripada semua pihak terutama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan amat diperlukan bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan PPKHT 2004 sepenuhnya bermula 1 Januari 2020 berjalan lancar demi kesihatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Larangan merokok: Premis makanan sedia patuhi peraturan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Tinggal 48 jam sahaja lagi sebelum larangan merokok di premis makan terbuka bakal berkuatkuasa dengan tinjauan menunjukkan pelekat dan papan tanda larangan merokok sudahpun dipasang di premis berkenaan.

Tinjauan Bernama sekitar ibu kota selama tiga hari mengenai kesediaan premis perniagaan terhadap penguatkuasaan larangan itu di beberapa kawasan menjamu selera tumpuan ramai seperti restoran mamak dan medan selera rata-rata menunjukkan kesedaran tinggi akan larangan itu.

Menurut seorang pekerja restoran nasi kandar yang ditemui, Abdul Kareem Ismail, 32, berkata, papan tanda larangan merokok sudah lama dilekatkan dan tidak mempunyai masalah dengan penguatkuasaan larangan merokok di premis mereka.

“Dekat sini, pelekat dan papan tanda memang dah lama ada, cuma tak ramai yang hiraukan. Baru-baru ini pun, kami ada tambah dan besarkan pelekat larangan.

“Mungkin selepas ini mereka (perokok) akan guna meja yang diletakkan di luar dengan jarak yang telah ditetapkan,” katanya yang bekerja di sebuah restoran nasi kandar di Ampang, di sini.

Bagi Rahman Iskandar, 25, yang menjual makanan di sebuah medan selera di Cheras, beliau mengakui ada perubahan selepas peraturan larangan merokok di uar-uarkan sejak beberapa bulan lalu.

“Rasanya ramai yang dah sedar dengan peraturan itu sebab ada pelanggan tetap yang datang, mereka akan merokok di luar malah ada yang pergi hingga ke tempat parking. Malah ada pelanggan, terutama yang ada anak kecil, sudah berani menegur perokok ‘degil’ agar tidak merokok di tempat makan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah memasang papan tanda berkenaan di kebanyakan premis bangunan termasuk premis kerajaan.

“Kita dah banyak pasang papan tanda itu di sekitar Kuala Lumpur, yang paling besar di beberapa lokasi termasuklah pada skrin besar di Dataran Merdeka dan di kawasan Bukit Bintang.

”Setakat ini, lebih kurang 3,000 notis dan poster telah dikeluarkan Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL bersama Jabatan Alam Sekitar Wilayah Persekutuan dan Putrajaya kepada premis makanan terbuka di sekitar Kuala Lumpur yang telah kita edarkan mulai awal Januari lepas,” katanya kepada Bernama.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (tengah) melancarkan Edaran Pelekat Notis Larangan Merokok di Premis Perniagaan sempena Kempen #Ayah Jangan Merokok peringkat kebangsaan di Rumah Kutai Sayong Signature, Meru Raya, Ipoh pada 12 Oktober 2019. – Foto BERNAMA

Nor Hisham dalam pada itu menjangkakan seramai 200 anggota penguatkuasa akan menjalankan pemeriksaan ke atas sekitar 200 premis makanan berkenaan pada bulan pertama ia dikuatkuasakan nanti di sekitar ibu kota.

Jelasnya lagi, tiada keperluan untuk tempoh penguatkuasaan itu dipanjangkan memandangkan tempoh yang lama sudah diberi dan menyeru perokok serta pengusaha atau pemilik premis makanan di negara ini mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Bermula 1 Januari 2020, penguatkuasaan terhadap larangan merokok di premis makan terbuka di bawah Peraturan 11(1)(da) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, akan dilaksanakan sepenuhnya dengan notis perintah hadir ke mahkamah terhadap perokok, akan dikeluarkan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye baru-baru ini berkata, mereka yang melakukan kesalahan itu akan dikenakan denda RM250, namun boleh dikurangkan ke RM150, jika denda itu dibayar dalam tempoh kurang daripada sebulan.

Kegagalan mematuhi peraturan berkenaan merupakan suatu kesalahan boleh didakwa di mahkamah dan boleh didenda sehingga RM10,000 atau penjara dua tahun, sekiranya sabit kesalahan.

– BERNAMA