Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan mahu sektor latihan kemahiran dibenar operasi

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (PKPB) meminta kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan sektor latihan kemahiran di Institusi Latihan Kemahiran Swasta (ILKS) serta program penempatan kerjaya beroperasi termasuk merentas daerah atau negeri sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Setiausaha Agung PKPB Muhammad Rizan Hassan berkata ini kerana pelatih kemahiran hanya boleh diberi latihan 30 peratus secara teori dalam talian manakala selebihnya memerlukan mereka berada di lapangan.

Beliau berkata mereka perlu berada di lapangan kerja bagi pelaksanaan latihan praktikal dan tanpa kehadiran secara bersemuka akan memberi implikasi besar kepada kompetensi mereka untuk diterima bekerja.

“Tambahan pula, mereka adalah golongan belia yang sedang kita persiapkan untuk memasuki pasaran kerja sektor penting negara seperti perkilangan, pembuatan, pertanian dan lain-lain.

“Begitu juga bagi Inisiatif Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA)… beberapa program bersifat teknikal yang memerlukan kehadiran fizikal di tempat latihan perlu diteruskan seperti biasa,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan kursus teknikal di bawah inisiatif itu adalah jangka pendek yang kurang sebulan dan tanpa latihan praktikal, adalah amat sukar bagi peserta memahami ilmu kemahiran yang diajar.

“Di tambah pula, peserta yang menyertai program ini akan terus diserapkan bekerja dengan majikan-majikan yang telah bersedia menerima mereka.

“Manakala, program PenjanaKerjaya Perkeso juga menerima impak apabila halangan merentas daerah dan negeri menyebabkan pencari kerja tidak berpeluang mendapatkan pekerjaan dalam suasana ekonomi mencabar… pencari kerja memerlukan pekerjaan dengan segera dan kelonggaran perlu diberikan kepada kumpulan ini,” katanya.

Muhammad Rizan berkata semua gerak kerja Skim Perantisan Nasional (SPN) dan inisiatif peluang kerjaya oleh badan bukan kerajaan (NGO) seperti pameran dan taklimat kerja serta temuduga terbuka juga perlu dibenarkan dalam skala kecil.

“Usaha membantu golongan Belia NEET (Not in Employment, Education and Training) termasuk belia menganggur, belia lepasan sekolah dan institusi pengajian tinggi atau kemahiran perlu digerakkan dengan serius dan pantas… kumpulan ini boleh menyumbang kepada peningkatan ekonomi atau pun pengangguran,” katanya.

Beliau berkata penangguhan latihan dan halangan-halangan untuk kesemua senario itu hanya akan menyebabkan mereka yang terlibat hilang minat meneruskan latihan dan majikan berdepan tiada tenaga kerja yang diharapkan manakala hasrat kerajaan untuk penggantian pekerja asing juga semakin sukar dicapai.

– BERNAMA