Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ahli sukarelawan Selangor jalani latihan, tingkat kemahiran urus bencana

SHAH ALAM, 23 OKT: Semua ahli Sukarelawan Selangor (SERVE) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) akan menjalani latihan pengurusan bencana dalam masa terdekat, kata EXCO jaringan kemasyarakatan dan kesukarelawan.

Danish Hairudin berkata latihan itu penting bagi melengkapkan sukarelawan dengan ilmu dan kemahiran ketika menjalankan misi bantuan khususnya untuk anak muda yang baharu menceburi aktiviti sedemikian.

“Penubuhan SERVE masih baharu, jadi kita perlu beri pendedahan dan bimbingan lengkap kepada mereka sebelum melangkah lebih jauh pada tahun-tahun mendatang.

“Jadi, hasil perbincangan bersama EXCO Pembangunan Generasi Muda Mohd Khairuddin Othman dan Penggerak Belia Selangor (PeBS), kita setuju untuk adakan latihan kepada mereka sebelum akhir Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata pada program bual bicara “Kenali SERVE: Sukarelawan Selangor” secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Danish berkata ahli SERVE dilindungi insurans bagi menjamin keselamatan ketika bertugas terutama misi bantuan melibatkan bencana besar di luar negeri.

“Misalnya semasa kami ke Yan, Kedah bagi membantu mangsa bencana fenomena kepala air baru-baru ini, semua 50 sukarelawan SERVE terlibat mendapat perlindungan insurans.

“Kalau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) lain mungkin ini (insurans) dianggap remeh, tetapi ia sebenarnya penting kepada sukarelawan sekiranya berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

SERVE adalah kesinambungan Penggerak Belia Selangor (PeBS) dan terbuka kepada individu berusia 36 tahun ke atas berbanding PeBS yang mengehadkan kelayakan umur individu berusia 18 hingga 35 tahun.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada latihan dan kelas di Pulapol, kem tentera sepanjang PKP

KUALA LUMPUR, 5 JUN: Pusat latihan polis atau kem tentera di seluruh negara tidak dibenarkan membuat sebarang aktiviti, latihan atau kelas yang baharu dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ini kerana ia melibatkan kumpulan yang ramai dan besar malah berisiko tinggi dijangkiti wabak Covid-19.

“Latihan di pihak polis dan tentera juga tidak dibenarkan kecuali kepada mereka yang sedang menjalani latihan (sebelum tempoh Sekatan Pergerakan Penuh), kita tidak akan menghentikan latihan mereka.

“Oleh itu, untuk sebarang kelas atau latihan yang baharu (kelas atau latihan yang akan datang) yang dilaksanakan dalam tempoh ini juga tidak dibenarkan,” katanya pada sidang media selepas melawat sekatan jalan raya di Jalan Ampang hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelaksanaan kelas serta latihan oleh pusat latihan polis dan kem tentera.

Ditanya mengenai bilangan keanggotaan pasukan petugas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), Ismail Sabri berkata ia akan ditambah bagi memastikan tiada premis perniagaan dan perkilangan yang beroperasi secara haram dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

“Setakat ini, seramai 13,500 pasukan petugas SOP sedia ada telah diatur gerak di seluruh negara dan kita akan tambah lagi bilangan keanggotaannya.

“Insya-Allah, pihak Angkatan Tentera Malaysia juga bersetuju untuk menambahkan bilangan keanggotaan… kita akan buat lawatan mengejut ke kilang-kilang tertentu untuk memantau (dan) yang tidak dibenarkan beroperasi, kita akan arahkan ditutup,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemain badminton negara kembali berlatih hari ini

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Pemain badminton negara akan kembali turun berlatih di gelanggang hari ini selepas lebih seminggu tidak berbuat demikian sejak 15 individu didapati positif Covid-19 di Akademi Badminton Malaysia (ABM) di Bukit Kiara, di sini.

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan kebenaran latihan itu disambung semula.

Pendekatan latihan berasaskan kuarantin dengan pematuhan ketat tatacara operasi piawai (SOP) akan dilaksanakan di pusat kecemerlangan badminton negara.

Ia akan membenarkan atlet kami kembali ke gelanggang dalam satu persekitaran yang terkawal dan selamat seperti yang diarahkan pihak berkuasa kesihatan,” menurut BAM dalam satu kenyataan semalam.

BAM juga menzahirkan penghargaan kepada KKM, Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang bekerja keras bagi memastikan program latihan badminton negara berjalan semula.

Enam pemain di ABM disahkan positif Covid-19 pada 17 April dan pada 23 April BAM mendapati lapan lagi pemain pelapis disahkan positif jangkitan virus dalam saringan pada 20 April dan seorang lagi positif dalam saringan Sabtu lepas.

Sementara itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh ketika dihubungi berkata enam pemain dalam kumpulan pertama dijangkiti virus itu telah didiscaj daripada Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan kembali ke kediaman masing-masing.

Skuad badminton negara sedang dalam persiapan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo Julai ini, selain beberapa kejohanan seperti Terbuka Malaysia dari 25 hingga 30 Mei dan Terbuka Singapura dari 1 hingga 6 Jun untuk mendapatkan mata kelayakan ke temasya sukan dunia itu

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Pasukan Liga-M teruja boleh kembali berlatih mulai Isnin

KUALA LUMPUR, 10 FEB: Pasukan yang bertanding dalam kempen Liga Malaysia (Liga-M) teruja untuk kembali memulakan sesi latihan berpasukan bermula Isnin depan menjelang sepak mula saingan musim 2021 pada 5 Mac depan.

Majoriti pengendali pasukan bersedia mengikuti tatacara operasi piawai (SOP) bakal dikeluarkan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), dengan ketua jurulatih Universiti Teknologi Mara (UiTM) Frank Bernhardt mengakui lega tidak perlu menunggu lama untuk mempersiapkan pasukan.

Meskipun tidak dapat mengendalikan sesi latihan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lepas, beliau optimis pemainnya masih berada di tahap terbaik selepas mengikuti program latihan secara dalam talian.

“Kami tidak ada masalah untuk mengikut SOP yang ditetapkan iaitu program latihan berpusat mengikut model gelembung sukan kerana kami mempunyai kemudahan mencukupi untuk tempatkan kesemua pemain,” katanya dalam kenyataan MFL hari ini.

Pada masa sama, ketua jurulatih Sabah FC Kurniawan Dwi Yulianto melihat kebenaran kerajaan itu amat penting dalam kelangsungan saingan musim ini sekali gus dapat mengelakkan daripada penganjuran Liga-M ditangguh.

Beliau berkata semua pasukan sudah tentu mempunyai perancangan masing-masing sejak bermula awal tahun ini dan perkembangan itu diharap akan memberi keselesaan kepada jurulatih dalam merangka sistem latihan bersesuaian.

“Apa jua SOP digariskan oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), kami sedia ikutinya kerana tidak mahu sebarang masalah membabitkan kesihatan pemain demi memastikan liga kita mampu berjalan dengan lancar.

“Selain itu, kami betul mahukan Liga Malaysia dapat bermula seperti biasa musim ini dengan semua perlawanan dapat dijalankan tanpa sebarang penangguhan,” katanya.

Sementara itu, ketua jurulatih Petaling Jaya (PJ) City FC P. Maniam menegaskan pemain serta barisan kejurulatihan pasukannya telah bersedia dari segi mental untuk mengikuti latihan secara kuarantin.

“Sememangnya SOP (gelembung sukan) itu antara kaedah baharu yang akan digunakan namun apa jua langkah ditetapkan, demi memastikan Liga-M kembali bersambung, kami sedia ikuti SOP sepertimana diarahkan kerajaan,” jelas beliau.

Jadual Liga-M musim 2021 dijadual bermula 5 Mac ini.

Semalam, kerajaan membenarkan program latihan berpusat dijalankan bagi semua pasukan bertanding dalam Liga-M, Liga Hoki Malaysia (LHM) dan Liga Sepak Takraw (STL) bermula 15 Februari depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet kebangsaan jalani latihan sepenuh masa mulai 4 Januari

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Atlet kebangsaan akhirnya dapat menarik nafas lega apabila boleh memulakan latihan harian seperti biasa secara sepenuh masa dan bukan lagi latihan secara kuarantin, bermula Isnin depan.

Bagaimanapun Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin menegaskan semua atlet membabitkan kira-kira 700 atlet Program Podium dan Pelapis, termasuk atlet para perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

“Atlet di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang yang menjalani latihan secara kuarantin sejak Oktober telah diberikan cuti bermula Khamis lepas hingga 3 Januari.

“Sejurus melapor diri ke pusat latihan pada 3 Januari, kita akan membuat ujian Covid-19 untuk melihat sama ada mereka mematuhi SOP atau tidak ketika bercuti. Mereka kemudiannya boleh berlatih seperti biasa bukan lagi kuarantin,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sebelum ini mengumumkan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi bermula 1 Januari kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Sementara itu, Jefri berkata MSN akan mengadakan bengkel bersama para persatuan sukan kebangsaan (NSA) pada akhir Januari untuk membincangkan perancangan mengenai persiapan ke kejohanan utama seperti Sukan Olimpik, Paralimpik dan Sukan SEA pada 2021 diikuti Sukma, Sukan Komanwel dan Asia pada 2022.

Beliau berkata ketika ini pihaknya masih menunggu jadual kejohanan yang bakal ditentukan persatuan sukan antarabangsa, dengan kejohanan peringkat antarabangsa dijangka kembali rancak secara berperingkat pada 2021 dengan penemuan vaksin, selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

“Buat masa ini apa yang penting adalah bukan sahaja kejohanan yang bakal diserta tetapi perancangan mereka sehingga 2022, termasuk latihan, latihan pendedahan (di luar negara), pendedahan pertandingan, kelayakan ke Olimpik dan sasaran.

“Tahun ini kita sudah membuat perancangan sehingga 2022 tapi pada masa itu kabur dengan Covid-19. Sekarang hala tuju lebih jelas dengan penemuan vaksin,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

MSN: Atlet teruskan latihan, kecuali ragbi, boling padang, tenpin boling

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Kebanyakkan atlet kebangsaan meneruskan latihan mereka seperti biasa, dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat di pusat latihan masing-masing, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini hingga 27 Oktober.

Pengarah Bahagian Persediaan Atlet Majlis Sukan Negara (MSN) Jefri Ngadirin berkata, ia termasuk sukan akuatik iaitu renang dan terjun; serta sukan dalam dewan dan tempur seperti sepak takraw, karate, taekwondo, gimnastik dan wushu.

Namun, katanya beberapa sukan seperti ragbi dan boling padang membuat keputusan untuk menghentikan latihan, manakala tenpin boling masih tidak dapat berlatih, kerana venue latihan berada di pusat komersial.

“Skuad ragbi lelaki dan boling padang memilih untuk berlatih sendiri di rumah, kerana bimbang dengan penularan pandemik Covid-19 dan tidak dapat mematuhi SOP yang ditetapkan. Tenpin boling pula termasuk dalam senarai yang tidak dibenarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerana sukan indoor dan berlatih di Sunway Pyramid.

“Jadi pihak Sunway Pyramid sedang mendapatkan penjelasan daripada MKN sama ada skuad boling negara boleh berlatih atau tidak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata program latihan berpusat bagi atlet yang sedang dilaksana oleh MSN dan Majlis Sukan Negeri, boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal di Kompleks MSN Bukit Jalil dan Keramat; Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara dan Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan, sepanjang tempoh PKPB.

Bagaimanapun, Ismail Sabri menegaskan bahawa semua penganjuran sukan atau kejohanan tidak dibenarkan semasa tempoh PKPB, bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Mengulas lanjut, Jefri berkata semua atlet yang terlibat, menjalani latihan dalam keadaan tertutup dan terkawal dan wajib menetap di asrama MSN bagi mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19.

“Atlet meneruskan latihan seperti biasa dengan mengikuti SOP yang telah diperketatkan, seperti berlatih dalam kumpulan yang kecil, mengamalkan penjarakan fizikal, mengimbas aplikasi MySejahtera di setiap venue, memakai pelitup muka dan hand sanitizers serta tidak berkontak dengan pihak luar.

“Contohnya seperti hoki yang mempunyai bilangan pelatih yang besar, dipecahkan kepada kumpulan kecil. Perkhidmatan MSN dan Institut Sukan Negara seperti pemakanan serta rawatan kepada atlet juga diteruskan,” jelasnya.

Beliau berkata walaupun pihaknya menjangkakan kebanyakan kejohanan hanya bermula Januari 2021, tetapi adalah penting bagi atlet meneruskan momentum latihan, untuk kekal berada pada tahap kecergasan yang optimum.

Menurut Jefri lagi, sekiranya atlet menghentikan fasa latihan kesediaan fizikal khusus atau ‘special physical preparation’ (SPP) untuk beberapa minggu, mereka terpaksa bermula dari fasa kesediaan fizikal umum atau ‘general physical preparation’ (GPP) kerana sudah kehilangan tahap kecergasan.

GPP merujuk kepada latihan untuk membina kecergasan, stamina dan kekuatan otot, manakala SPP merujuk kepada latihan spesifik dalam sesuatu sukan yang melibatkan teknik, skil dan kemahiran yang diperlukan dalam acara itu.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Latihan atlet terus ikut SOP, peka perkembangan Covid-19

SHAH ALAM, 1 SEPT: Semua persatuan sukan dan atlet perlu kekal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) latihan selaras lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hingga 31 Disember.

Pengarah eksekutif Majlis Sukan Negeri (MSN) Selangor berkata semua acara dibenar bersambung tanpa kehadiran penonton manakala penganjuran peringkat antarabangsa masih dilarang.

“Bagi memastikan keselamatan semua, penggiat sukan diharap dapat mengikuti SOP ditetapkan dan peka dengan keadaan serta perkembangan semasa Covid-19,” kata Mohamad Nizam Marjugi ketika dihubungi.

Kementerian Belia dan Sukan menetapkan beberapa SOP antaranya mengimbas kod QR, memeriksa suhu badan sebelum masuk ke pusat latihan, memakai pelitup muka, mengamal penjarakan fizikal satu hingga tiga meter bagi aktiviti statik serta tiga hingga lima meter bagi aktiviti dinamik.

Selain itu, pusat latihan juga perlu beroperasi secara berjadual, pembersihan dan proses nyah kuman mengikut kekerapan penggunaan serta melarang kemudahan tambahan seperti sauna dan jakuzi.

Pada 28 Ogos lalu, kerajaan mengumumkan PKPP yang dilaksana sejak 10 Jun disambung hingga 31 Disember dengan tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih boleh diambil.

Categories
AGENSI SELANGOR

Putra Business School bakal latih kakitangan Air Selangor

SHAH ALAM, 19 OGOS: Air Selangor dan Putra Business School (PBS) Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalinkan kerjasama untuk melahirkan pemimpin lebih cekap pada masa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor, Suhaimi Kamaralzaman berkata menerusi kerjasama itu, kakitangannya akan menerima latihan daripada PBS termasuk berkaitan industri air dan kemahiran pengurusan.

“Program pembangunan kepimpinan Air Selangor telah dirangka sejak 2018 bagi memastikan proses peralihan kepimpinan bagi jawatan-jawatan kritikal dilaksanakan lebih sistematik, serta pada masa sama memberi peluang kerjaya kepada pemimpin muda berkaliber.

“Ini adalah selari dengan seruan kerajaan untuk melahirkan lebih ramai pemimpin yang cekap di masa depan. Kami juga mahu warga kerja meningkatkan kemahiran dan pengetahuan dari masa ke semasa mengikut peredaran terutama pada era Revolusi Industri 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Air Selangor dan PBS di Pusat Konvensyen Setia City hari ini.

Hadir menyaksikan MoU itu ialah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Categories
AGENDA SUKANKINI

KOM sedia lunas bayaran insentif rekod baharu kebangsaan

KUALA LUMPUR, 30 JUN: Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) memberi jaminan untuk menjelaskan bayaran insentif rekod baharu kepada beberapa atlet kebangsaan yang masih belum diselesaikan oleh kepimpinan terdahulu badan sukan itu.

Presiden KOM, Datuk S.M Muthu berkata, badan induk sukan itu sedang mengumpul segala dokumen berhubung catatan rekod baharu kebangsaan yang dilakar oleh atlet kebangsaan sebelum bayaran dapat dijelaskan dalam tempoh terdekat.

“Kami akan bayar dan atlet yang terlibat jangan risau, cuma saya minta mereka kemukakan dokumen secara hitam putih.Mungkin dalam tempoh dua bulan kami akan selesaikan bayaran kepada atlet terlibat,” katanya kepada Bernama.

Baru-baru ini, beberapa atlet olahraga kebangsaan termasuk pemegang rekod kebangsaan acara lompat jauh, Andre Anura Anuar dan jaguh lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin mendakwa KOM masih belum melunaskan bayaran insentif hasil kejayaan mereka memecahkan rekod kebangsaan dalam beberapa kejohanan antarabangsa.

Bernama difahamkan KOM memberi bayaran insentif sebanyak RM1,000 bagi rekod baharu kebangsaan yang berjaya dicipta atlet negara dalam kejohanan tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Muthu mengesahkan beberapa atlet elit kebangsaan akan dibenarkan menjalani latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, esok sebagai persiapan menghadapi beberapa kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Beliau menjelaskan latihan penuh akan dibuka kepada semua atlet kebangsaan pada 5 Julai ini sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) MSN dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Beberapa atlet olahraga kebangsaan sebelum ini melahirkan kebimbangan berhubung persiapan menghadapi kejohanan antarabangsa tahun depan selepas KOM dikatakan gagal mendapat kata putus daripada MSN berhubung tarikh sebenar mereka dibenarkan memulakan latihan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Jadikan TVET pilihan utama lanjut pengajian

SEREMBAN, 24 MAC: Pendidikan, Latihan, Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) yang menekankan pendekatan kemahiran perlu dijadikan pilihan utama pelajar yang ingin melanjutkan pengajian, dalam usaha melahirkan tenaga kerja mahir tempatan.

Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran berkata, ketika ini jumlah tenaga kerja mahir hanya sebanyak 28 peratus berbanding sasaran yang ditetapkan iaitu 35 peratus menjelang 2020.

“Program latihan kemahiran adalah mustahak, pembangunan sesebuah negara berpotensi tergugat kalau tiada tenaga kerja yang mencukupi dalam bidang kemahiran ini dan sekiranya ia mencukupi, kita tidak perlu terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing.

“Harap anak muda boleh jadikan bidang TVET sebagai pilihan utama, ibu bapa jangan hanya tertumpu untuk hantar anak ke universiti semata-mata sedangkan bidang TVET tidak kurang pentingnya,” katanya selepas Program Bersiri Kementerian Sumber Manusia Bersama Rakyat di sini, hari ini.

Kula Segaran berkata, penglibatan kaum Cina dalam bidang TVET ketika ini hanya mencatatkan satu peratus manakala kaum India pula lima peratus.

“Sebab itu kita mahu galakkan lebih ramai pelajar tidak kira kaum menceburi bidang TVET. Bahkan saya ada juga pergi Cameron Highlands sebelum ini untuk menarik Orang Asli menyertai bidang TVET, meskipun terdapat kekangan komunikasi, namun mereka diberi sedikit kelonggaran bagi membolehkan mereka sama-sama mengikut kursus-kursus berkaitan,” katanya.

Tambahnya, dalam usaha menarik lebih ramai pelajar menceburi bidang TVET, kursus jangka pendek yang hanya mengambil masa tiga hingga enam bulan turut ditawarkan di Institusi Latihan Perindustrian (ILP) antaranya kursus membaiki telefon bimbit.

“Setakat ini permohonan kemasukan ke ILP agak menggalakkan tetapi kita masih perlu galakkan pelajar masuk ke bidang ini, jadi kena jalankan kurus-kursus pendek yang hanya ambil masa tiga hingga enam bulan berbanding dahulu yang melibatkan tempoh pengajian lebih lama iaitu antara setahun ke dua tahun.

“Mereka yang terlibat dalam bidang TVET khususnya pelajar-pelajar ILP boleh dikatakan 94 peratus mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian bahkan ketika mereka masih belajar lagi kerja sudah menanti mereka,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kula Segaran berkata, Kementerian Sumber Manusia yang beribu pejabat di Putrajaya mengadakan Hari Bertemu Pelanggan setiap Selasa bermula pukul 8 pagi hingga 10 pagi, yang bukan sahaja dihadiri ketua-ketua jabatan namun beliau sendiri turut serta.

“Saya harap program ini dapat diperluaskan dan sekarang di Sabah pun telah diadakan program ini yang selain untuk mendekati masyarakat ia juga bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih efisien kepada masyarakat,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Ramadan tak halang atlet Selangor teruskan latihan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 JUN: Majoriti atlet Selangor tetap meneruskan latihan walaupun mereka sedang menjalani ibadah puasa sempena Ramadan.

Timbalan Pengarah Pembangunan Sukan Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Mohamad Nizam Marjugi, berkata latihan berterusan penting untuk atlet mengekalkan stamina dan kemahiran.

“Seperti atlet gimnastik, mereka perlu berlatih sepenuh masa secara berterusan bagi kekalkan kelenturan badan.

Sukan Selangor“Bagaimanapun, program latihan untuk atlet tidak begitu intensif, sesuai dengan mereka yang berpuasa,” katanya kepada Selangor Kini.

Pada Sukan SEA lalu, atlet Selangor menyumbang 27 daripada 62 pingat emas untuk Malaysia.

Nizam berkata, program latihan juga tidak menghalang atlet memperbanyakkan ibadah seperti umat Islam lain.

“Asalkan tahu membahagikan masa dan mendahulukan mana yang penting, tiada masalah.

“Contohny,a atlet berbasikal akan meneruskan latihan selepas solat sunat tarawih, itu biasa setiap Ramadan,” katanya.

-NFN-