Categories
AGENDA GLOBAL

Guna pendekatan alternatif tangani isu Laut China Selatan – penganalisis

KUALA LUMPUR, 14 JULAI: Negara anggota Asean perlu segera mencari pendekatan alternatif dalam menangani peningkatan ketegangan di Laut China Selatan berhubung tuntutan wilayah bertindih kerana ia berpotensi menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau itu.

Tatkala masih belum ada penyelesaian jelas, penganalisis kanan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia Thomas Benjamin Danial, berkata Asean mungkin boleh menimbang menggunakan pendekatan ‘minilateralism’, kerana ia dilihat mungkin menjadi lebih berkesan dalam menangani isu di Laut China Selatan.

“Negara yang terbabit langsung (negara Asean yang menuntut) perlu melangkah di atas asas minilateralism, berbanding mengambil sikap menunggu supaya semua negara (anggota) Asean bersetuju atau turut serta,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata: “minilateralism adalah komponen kepada multilateralisme. Dalam konteks Laut China Selatan, negara yang menuntut adalah Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina, seharusnya mengorak langkah menangani isu tertunggak antara mereka, dan antara mereka dengan China tanpa terlalu banyak bergantung kepada seluruh negara anggota Asean yang lain.”

“Hakikatnya, Asean sebagai sebuah pertubuhan, perlu berperanan sebagai penyokong. Bukan selaku pihak yang menggerak dan menerajui rundingan,” katanya.

Ujar Thomas, ini kerana asas Asean itu sendiri berdasarkan permuafakatan, semua masalah dilihat dengan cara yang berbeza-beza.

“Dengan 10 negara, kami mempunyai 10 kepentingan nasional dan 10 cara untuk melihat masalah yang berbeza. Contohnya, Laut China Selatan. Ia tidak dipandang dengan kepentingan yang sama oleh semua 10 negara anggota, sama juga dengan isu Rohingya atau Mekong. Saya merasakan minilateralism mungkin kaedah paling berkesan,” katanya.

Asean dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Beliau berkata rondaan tiga pihak Sulu-Laut Celebes boleh dijadikan sebagai model kerjasama.

Dikenali Rondaan Maritim Tiga Pihak, inisiatif ini dimulakan pada Jun 2017 antara Malaysia, Indonesia dan Filipina sebagai tindak balas terhadap penculikan dan serangan di kawasan itu oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 2016.

Thomas berkata walaupun mempunyai beberapa perselisihan termasuk isu perbatasan, ketiga-tiga negara tetap bersepakat menangani ancaman keselamatan oleh militan.

“Begitu juga dalam isu Laut China Selatan, negara-negara yang mempunyai kepentingan harus melakukan lebih banyak perkara secara bersama. Banyak yang boleh dilakukan dengan cara ini (minilateralism),” tambah Thomas.

Negara Asean yang terlibat dalam pertikaian wilayah di Laut China Selatan terdiri Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam. China dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan.

Bagaimanapun, peningkatan aktiviti ketenteraan di Laut China Selatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menimbulkan kebimbangan Asean dan beberapa pihak terbabit serta pemerhati di seluruh dunia.

-BERNAMA

Categories
GLOBAL

ASEAN perlu bersatu tangani isu Laut China Selatan

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Kaedah terbaik bagi ASEAN menangani isu Laut China Selatan dan menyempurnakan Kod Tata Laku (COC) adalah dengan bersatu dalam satu suara, kata bekas Menteri Luar Indonesia, Dr Marty Natalegawa.

Beliau yang berkhidmat dari 2009 hingga 2014 turut memuji kedudukan Malaysia dalam perkara berkenaan, sambil menambah adalah penting agar badan serantau 10 negara itu senada, meskipun setiap negara anggota mungkin mempunyai kepentingan berbeza.

“Sangat penting bagi negara Asia Tenggara apabila berdepan masalah seperti isu Laut China Selatan, kita tidak boleh berpecah’, sebaliknya bersatu padu walaupun pihak yang menuntut hanya sebahagian daripada kita.

“Pada masa sama perkara itu memberikan kesan kepada kita semua. Kita perlu mengukuhkan pendirian kita dalam perbincangan dengan China mengenai COC,” katanya kepada Bernama dan RTM, selepas pelancaran buku tulisannya “Does ASEAN Matter? A View from Within” di sini pada Rabu.

Buku itu dilancarkan di luar Persidangan Meja Bulat Asia-Pasifik ke-33 yang berakhir hari ini.

Antara negara anggota ASEAN hanya Malaysia, Vietnam, Filipina dan Brunei yang menuntut kawasan Laut China Selatan.

Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-34 baru-baru ini di Bangkok telah menggesa negara anggota bersama-sama dalam merangka COC supaya pertikaian mengenai isu terbabit dapat diselesaikan dengan baik.

Pendirian Malaysia mengenai pertikaian itu ialah, ia tidak sepatutnya dibincangkan secara berasingan di kalangan negara anggota yang membuat tuntutan.

Bekas wakil tetap Indonesia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dari tahun 2007-2009 itu, turut mengingatkan ASEAN perlu teguh bersatu yang mana ia menuntut banyak pengorbanan.

Beliau berkata untuk ASEAN terus kekal relevan, satu perkara paling utama ialah mengekalkan perpaduan.

“Kita semua (perlu) sentiasa bercakap mengenai perpaduan. Ia perlu bukan sekadar mantra semata-mata. Ia perlu dibuktikan, perlu ditunjukkan. Dan apabila berlaku pergeseran, perlu ada usaha serius untuk mengembalikan perpaduan,” katanya.

“Malah ASEAN hanya akan kuat apabila kita bersatu. Tetapi bila berpecah kita cenderung untuk mencegah dan malah cenderung untuk mengendurkannya.”

Mengenai buku hasil nurkilannya setebal 258 muka surat itu, Natalegawa berkata beliau berkongsi pemikirannya sendiri, mengenai apa yang masih perlu dilakukan ASEAN selain meraikan pencapaian masa lalu blok itu.

Buku itu diterbitkan pada akhir 2018 di Singapura oleh ISEAS. Sebelum ini ia telah dilancarkan di beberapa negara Asean seperti Singapura dan Thailand.

Berharga RM124, diedarkan di Malaysia oleh GERAKBUDAYA Enterprise. Maklumat lanjut boleh didapati di www.gerakbudaya.com.

– BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Malaysia terus desak Laut China Selatan kekal bebas

SINGAPURA 21 OKT: Malaysia akan terus mendesak supaya Laut China Selatan dikekalkan sebagai zon yang bebas daripada sebarang persaingan dan peningkatan ketenteraan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, desakan itu akan terus dilakukan walaupun kuasa-kuasa besar Amerika Syarikat dan China memberi jaminan akan menjadikan laluan antarabangsa itu kawasan yang selamat.

Kebimbangan tercetus semula berikutan hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang kedua-dua negara itu di Laut China Selatan pada 30 September lalu.

Katanya saranan untuk mengekalkan Laut China Selatan sebagai kawasan yang aman telah dilakukan sejak daripada kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kedua Tun Abdul Razak Hussein sehinggalah sekarang di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita mahu negara-negara kuasa besar menghormati Laut China Selatan adalah kawasan aman dan berkecuali,” katanya.

Mohamad yang berada di sini sejak 18 Oktober, mengulangi penegasan hubungan pertahanan yang baik dengan Singapura dalam lawatan pengenalan diri ke republik ini.

Beliau juga menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) ke-12 dan ADMM-Plus ke-5 yang dihoskan Singapura selama dua hari mulai 19 Oktober.

Mohamad berkata di forum terbuka, kuasa-kuasa besar ini sentiasa menyatakan mereka menghormati undang-undang perairan antarabangsa namun realiti adalah sebaliknya.

“Itu pengakuan mereka tetapi dalam realitinya kita lihat baru-baru ini hampir berlaku perlanggaran dua kapal perang di Laut China Selatan di kawasan Spratly Island.

“Semua negara Asean termasuk Pengerusinya Singapura mengatakan kalau berlaku perlanggaran pada hari itu mesyuarat Menteri Pertahanan (ADMM) mungkin berlainan berlaku. Adakah jadi mesyuarat atau tidak atau mesyuarat nak bincang hal apa,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kebebasan navigasi Laut China Selatan perlu kekal tanpa halangan

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Kebebasan navigasi di Laut China Selatan perlu dikekalkan di Malaysia tanpa wujudnya sebarang halangan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, rantau ini mesti kekal sebagai zon keamanan, kebebasan dan berkecuali serta tidak boleh dibenarkan menjadi militari.

“Asia Tenggara melihat China sebagai ‘raksasa’ ekonomi baharu, namun timbulnya keraguan kerana kekuatan ketenteraannya.

“Dalam hal ini, komitmen China terhadap pembangunan damai sangat penting bagi kemakmuran berterusan di rantau ini,” katanya semasa sesi ucaptama penutup pada Persidangan China 2018, di sini, semalam.

Mohamed Azmin berkata, pada masa lalu, tentera mungkin digunakan oleh kuasa tertentu bertujuan mengenakan ke atas negara-negara lemah tetapi China berdagang di Melaka selama dua abad dengan damai.

“Sekiranya terdapat sebarang niat imperialis, China boleh menjajah Melaka pada masa itu, tetapi kuasa-kuasa Barat yang melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, hubungan dua hala antara China dan Malaysia harus dilihat daripada sudut sejarah panjang itu, bukan dengan perang atau kolonisasi, namun oleh perdagangan dan pertukaran budaya yang kuat.

“Hari ini, kita mengharapkan China untuk menyediakan kepimpinan global bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi dengan kuasa lembut untuk memajukan nilai sejagat seperti kebebasan bersuara, saling menghormati dan keadilan.

“Menjadi hampir dengan China, perkembangan geopolitik di Asia Tenggara dilihat sebagai pengaruh terhadap perdagangan, diplomasi dan keselamatan yang China mungkin ada di seluruh dunia,” katanya.

Ketika Malaysia menyusun semula ekonomi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang dan mengutamakan semula projek dan programnya, Mohamed Azmin berkata, beliau perlu menekankan bahawa walaupun nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) besar, kerajaan tetap komited melakukan semua yang diperlukan demi menjana pertumbuhan ekonomi dan mengeksploitasi semua peluang yang akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya tidak boleh menafikan betapa pentingnya pertumbuhan, saya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus melabur dalam infrastruktur, pendidikan dan teknologi yang produktif.

“Daripada melihat Malaysia Baharu dengan kebimbangan, saya mendesak perniagaan China untuk melihat kita menerusi harapan dan peluang.

“Sekarang, lebih daripada sebelumnya, Malaysia adalah salah satu tempat yang paling menarik di Asia Tenggara untuk melakukan perniagaan,” katanya.

China kekal sebagai rakan dagang tunggal terbesar Malaysia, menyumbang 16.4 peratus kepada jumlah eksport dan import gabungan negara, pada 2017.

Tahun lalu, nilai perdagangan dua hala antara kedua negara meningkat sebanyak 20.6 peratus untuk mencapai RM290.7 bilion.

Categories
GLOBAL

Kapal selam Jepun berlatih di Laut China Selatan

TOKYO 17 SEPT: Jepun melakukan latihan taktikal perang membabitkan kapal selam buat kali pertama di Laut China Selatan, lapor akhbar hari ini.

Langkah itu dijangka mencetuskan kemarahan China yang menuntut sebahagian besar kawasan berkenaan.

Kapal selam Kuroshio menyertai tiga lagi kapal perang Jepun di perairan barat daya Terumbu Scarborough yang dikawal China, lapor akhbar Asahi Shimbun

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan yang menjadi laluan perkapalan dunia dengan nilai AS$5 trilion (RM20.69 trilion) dan turut dituntut Brunei, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam.

Ketegangan meningkat mengenai Terumbu Scarborough sejak ia ditawan Beijing dari Manila pada 2012.

Tentera maritim Jepun melakukan latihan praktikal anti kapal selam termasuk mengesan kapal selam musuh dengan alat sonar, kata Asahi yang memetik sumber kerajaan Jepun.

Sumber itu berkata, ia adalah latihan tentera laut yang sah kerana bertempat di perairan antarabangsa yang memberi hak ases mengikut undang-undang antarabangsa.

Selepas itu, kapal selam berkenaan akan berlabuh di pelabuhan Cam Ranh, tengah Vietnam, sebagai tanda kerjasama pertahanan di antara Tokyo dan Hanoi, kata Asahi.

SUMBER: AFP

Categories
GLOBAL

China kerah jet pejuang, kapal perang elak AS hampiri Laut China Selatan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 12 OKT: China mengerahkan dua jet pejuang, helikopter dan kapal frigat dilengkapi peluru berpandu untuk menghalang kapal perang frigat milik Amerika Syarikat (AS) daripada menghampiri Laut China Selatan di pertindihan wilayah di Kepulauan Paracel.

Jurucakap Kementerian Luar China Hua Chunying berkata tindakan kapal pemusnah AS melanggar undang-undang China dan antarabangsa apabila merosakkan kepentingan kedaulatan dan keselamatan China, dan mengancam kehidupan petugas barisan hadapan kedua pihak.

Kenyataan itu dibuat selepas pemusnah peluru berpandu berpandu USS Chafee belayar kira-kira 16 batu nautika daripada Kepulauan Paracel yang dipertikaikan.

Beliau menambah bahawa Beijing telah membuat “pernyataan tegas” kepada Washington, sambil menyeru Amerika Syarikat untuk menghormati kedaulatan China.

USS Cafee milik Amerika Syarikat

Sementara itu, Kementerian Pertahanan China mengumumkan bahawa tindakan AS akan menjejaskan kepercayaan antara tentera kedua-dua negara dan boleh mencetuskan “insiden yang tidak diingini”.

“Dalam menghadapi provokasi diulangi tentera AS, tentera China akan terus memperkuat persiapan untuk pertempuran di laut dan di udara dan meningkatkan pertahanan untuk tegas mempertahankan kedaulatan negara dan kepentingan keselamatan, “kata kenyataan dikeluarkan kementerian itu.

Ia menambah bahawa kapal frigit berpandu-peluru berpandu Huangshan, jet pejuang J-11B dan satu helikopter Z-8 telah dihantar untuk menghalang kapal Amerika Syarikat dari rantau itu.

Helikopter Z-8 milik China

Terdahulu, tiga pegawai AS mengatakan pemusnah USS Chafee telah berlayar berhampiran Kepulauan yang dipertikaikan di Laut China Selatan dalam operasi yang dipanggil “kebebasan navigasi”.

Pegawai-pegawai, yang bercakap dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan, memberitahu Reuters bahawa kapal pemusnah peluru berpandu melakukan operasi manuver yang normal “sangat dekat” dengan sempadan wilayah 12 batu nautikal pulau berkenaan.

Mereka juga berkata misi itu dilakukan untuk mencabar “tuntutan maritim yang berlebihan” berhampiran Paracel Islands, di mana China mempunyai pertikaian wilayah dengan jirannya.

Wilayah itu berhadapan tuntutan daripada beberapa negara seperti Vietnam, Taiwan, Filipina, Malaysia, dan Brunei.

=EZY=

Categories
GLOBAL

China dikritik tingkat ketegangan di Laut China Selatan

OLEH: MOHD EZLI MASHUT

GLOBAL 6 SEPT: Vietnam memberikan kritikan keras terhadap China berhubung latihan ketenteraan di Laut China Selatan, amaran kedua dalam satu minggu apabila peningkatan ketegangan antara negara-negara terhadap perairan dipertikaikan.

Portal Agensi Berita India New Delhi Television (NDTV), melaporkan, China dan Vietnam telah lama berkonflik di sepanjang wilayah Laut China Selatan yang strategik dan kaya sumber, yang mana Beijing mendakwa kebanyakan miliknya.

Ketegangan meletus sejak beberapa bulan kebelakangan ini, dengan Vietnam menggantung projek penerokaan minyak dikendalikan Repsol Sepanyol di kawasan luar pesisirnya yang dituntut Beijing.

Pada Jun lalu, satu pertemuan antara jeneral tertinggi Vietnam dan China bagi berbincang mengenai isu sempadan dibatalkan secara tiba-tiba, dengan kedua-dua pihak mendakwa konflik secara tiba-tiba.

south-china-sea_650x400_61476240434China berkata minggu lepas ia menjalankan latihan ketenteraan di kawasan maritim di barat laut Laut China Selatan, di kawasan Paracels, dengan China mendakwa bidang kuasa ke atas zon itu.

Kedua-dua negara itu berperang melancarkan satu pertempuran singkat tetapi berdarah ke atas Paracels pada 1974. Lebih 70 tentera Vietnam terbunuh dan China mempunyai kawalan de facto ke atas pulau sejak itu.

Minggu lalu, Vietnam mengulangi panggilan Beijing untuk menghentikan kegiatannya di kawasan itu, dan pegawai urusan asing di Hanoi bertemu dengan kakitangan kedutaan China untuk menjelaskan kedudukan Vietnam.

LAUT CHINA SELATAN - 1Sementara itu Bloomberg News melaporkan, bulan lalu seorang penggubal undang-undang Filipina mengeluarkan gambar menunjukkan nelayan China diiringi bot milik tentera laut Beijing mengepung pulau dalam rangkaian kepulauan Spratly didiami Filipina – sekali gus menghalang kerja pembaikan dirancang.

Kedua-dua insiden itu dilihat sebagai langkah China mengambil kesempatan terhadap ‘pengabaian’ Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Donald Trump terhadap Asia Tenggara.

Ia ekoran Amerika kini memberi seluruh tumpuan ke arah ketegangan perdagangan dengan China dan serta ujian peluru berpandu dan nuklear Korea Utara.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Azmin: Putrajaya gagal tangani isu pertindihan laut China Selatan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Putrajaya disifatkan gagal menangani isu pertikaian pertindihan Laut China Selatan membabitkan beberapa negara di rantau ini.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada sebarang spesifikasi atau pendekatan secara efektif diambil Kerajaan Malaysia mengenainya.

“Apa pendirian Malaysia? Pastinya, permasalahan dan isu pertindihan ini akan mewujudkan ketegangan serta pertikaian masyarakat terhadap peranan Kerajaan Malaysia.

AZMIN“Mengapa Kerajaan Malaysia tidak menggunakan pendekatan yang diambil Tun Abdul Razak ketika menjadi Perdana Menteri dulu, beliau mewujudkan zon aman di rantau pasifik ini?

“Mengapa pendirian itu tidak digunakan Perdana Menteri kini sebagai jaminan keamanan dan kestabilan persisiran laut itu?” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengulas tindakan Kerajaan Amerika Syarikat yang mengerahkan kekuatan tenteranya di kawasan perairan Laut China Selatan.

Tindakan sama turut dibuat Kerajaan China sebelum ini bagi tujuan pemantauan persempadanan kawasan perairan Laut China Selatan.

Mohamed Azmin turut menyatakan kebimbangannya jika kegagalan pentadbiran Putrajaya mengambil pendirian secara efektif bagi menangani kemelut itu.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam kenyataan balas Mohamed Azmin berkata, tumpuan mengenainya akan dibuat menerusi rundingan dan kerjasama serantau melibatkan negara terlibat.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Isu Laut China Selatan: Malaysia gesa COC berkesan

SHAH ALAM, 13 JUL: Malaysia komited dan meminta semua pihak memastikan pelaksanaan berkesan terhadap Deklarasi Tatalaku (DOC) Pihak-pihak di Laut China Selatan secara keseluruhannya, serta kesimpulan awal mengenai Kod Tatalaku (COC) seperti yang dipersetujui antara China dan negara ASEAN.

Wisma Putra dalam kenyataannya, berkata Malaysia percaya semua pihak berkaitan mampu menyelesaikan pertikaian secara aman dengan menghormati sepenuhnya proses diplomatik dan perundangan serta undang-undang antarabangsa dan Konvensyen Undang-Undang Laut Antarabangsa (UNCLOS) 1982.

LAUT CHINA SELATAN - 1“Malaysia percaya ia adalah penting untuk mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan menerusi kawalan diri daripada menjalankan aktiviti yang mampu menambahkan kesulitan atau meningkatkan ketegangan, serta mengelakkan ancaman atau menggunakan kekerasan di Laut China Selatan,” lapor BERNAMA.

Kenyataan itu menambah bahawa Malaysia juga sedar Tribunal Timbang Tara di bawah Lampiran VII UNCLOS 1982 telah membuat keputusannya semalam.

Malaysia mahukan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan percaya China dan semua pihak berkaitan boleh mencari cara terbaik mengadakan sesi dialog sihat dan rundingan sambil menegakkan kedaulatan undang-undang untuk keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Dalam keputusan bersejarah, Mahkamah Tetap Timbang Tara di The Hague semalam membuat keputusan yang tidak memihak kepada China dalam pertikaian maritimnya dengan Filipina.

Ia memutuskan China tiada hak mengikut sejarah ke atas perairan yang kaya dengan sumber di Laut China Selatan itu serta mendapati China juga tiada alasan mengikut undang-undang untuk menuntut hak ke atas sumber di sana atas alasan ia berada dalam garisan ‘nine-dash’.

China yang tidak mengambil bahagian atau mengiktiraf perbicaraan itu sejak ia bermula tahun lepas, menganggap keputusan itu sebagai ‘satu pihak’ sahaja.

Berikutan keputusan itu, China dalam kenyataannya berkata, ia tidak menerima atau mengiktiraf keputusan tribunal berkenaan yang diadakan atas permintaan Filipina.

-nR-

Categories
NASIONAL

Malaysia perlu cermat, elak hubungan diplomatik retak

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 13 JUL: Malaysia perlu berhati-hati sebelum mengalu-alukan keputusan Mahkamah Timbang Tara Tetap (PCA) mengenai tuntutan beberapa kawasan di Laut China Selatan antara Filipina dan China.

Ahli Parlimen Serdang, Ong Kian Ming, berkata sebarang risiko antara kesemua negara itu perlu dikurangkan demi menjaga hubungan perdagangan dan diplomatik yang terjalin sejak sekian lama.

LAUT CHINA SELATAN“Memandangkan kepentingan China sebagai rakan perdagangan dan ekonomi, Malaysia perlu mengurangkan risiko campurtangan China dengan meneruskan rundingan dua hala dalam bidang pertikaian serta berunding untuk penubuhan Kod Teguh Tatalaku (COC) dalam Laut China Selatan antara ASEAN dan China.

“Pilihan menggunakan (mahkamah) timbang tara antarabangsa sebagai satu cara mendapatkan keputusan mengenai bidang pertikaian antara Malaysia dan China di Laut China Selatan perlu digunakan secara strategik dan apabila pilihan lain telah dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan.

Keputusan Mahkamah Tetap Timbang Tara pada semalam (12 Julai 2016) menetapkan beberapa penemuan penting yang berbangkit daripada kawasan dituntut Malaysia dan China di Laut China Selatan.

Antara penemuan itu mendapati bahawa China tidak ada asas undang-undang menuntut hak bersejarah kepada sumber di dalam kawasan laut yang termasuk dalam ‘sembilan garis-dash’.

Sementara memetik laporan BERNAMA, Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata ASEAN perlu berbincang dengan China bagi mempercepat pencapaian Kod Tata Cara (CoC) mengenai Laut China Selatan ketika meningkatnya ketegangan dan kebimbangan keselamatan.

Katanya, keputusan itu sewajarnya menjadi pendorong bagi ASEAN, terutama empat negara pembuat tuntutan yang mendesak China menerima CoC.

Selain Filipina, negara-negara penuntut ASEAN yang lain ialah Brunei, Malaysia dan Vietnam.

-nR-