Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerjasama Shopee, Lazada bantu peniaga kompleks PKNS

SHAH ALAM, 3 SEPT: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan bekerjasama dengan Shopee dan Lazada bagi mempromosikan produk peniaga di Kompleks PKNS Kuala Selangor.

Dato’ Menteri Besar berkata kerjasama itu dicadangkan berikutan penyedia platform e-dagang itu menjadi trend pembelian pada masa kini.

Dato’ Seri Amirudin Shari turut menjelaskan penganjuran jualan penghabisan stok juga boleh dirancang sebagai langkah membantu peniaga berkenaan.

“Kursus-kursus perniagaan secara dalam talian juga boleh diberikan kepada peniaga sebagai persediaan bagi menjalankan perniagaan di waktu pendemik ini,” katanya.

Amirudin menjawab soalan wakil rakyat Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berhubung perancangan Kerajaan Negeri untuk membantu peniaga dapat terus menjalankan perniagaan pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada 23 Jun lalu, Amirudin mengumumkan empat kempen e-dagang Kerajaan Negeri menghasilkan kesan ekonomi RM2.95 bilion kepada negeri serta RM144.7 juta jualan terus.

Kempen dengan kerjasama Shopee dan Lazada yang membabitkan pelaburan RM7 juta turut menarik 294,119 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk 74,837 peniaga baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

e-Bazar Tahun Baharu Cina mulai 1 Februari, sasar 25,000 peniaga kecil

SHAH ALAM, 26 JAN: Selangor e-Bazar Tahun Baharu Cina menyasarkan penyertaan 25,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro termasuk 12,500 penjual baharu.

EXCO industri dan perdagangan berkata kempen jualan dalam talian itu akan berlangsung dari 1 Februari hingga 7 Mac dengan baucar bernilai RM2 juta disalur kepada laman dagang Shopee dan Lazada.

“Shopee dan Lazada akan terus merancakkan promosi untuk program ini. Justeru, kita berharap pendaftaran usahawan mendapat sambutan menggalakkan,” kata Dato’ Teng Chang Khim pada sidang media hari ini.

Beliau menambah inisiatif tersebut membantu PKS dan usahawan mikro menerapkan pendigitalan dalam perniagaan terutama mendepani cabaran pasca Covid-19.

Menurutnya, kempen itu menyediakan platform yang selamat untuk pengguna mendapatkan pelbagai jenis barangan dengan harga berpatutan.

“Kita berharap kempen ini memberi semangat dalam meraikan Tahun Baharu Cina walaupun dalam situasi tidak mengizinkan,” katanya.

Chang Khim menambah kempen Selangor E-Bazar Raya dan Selangor E-bazar 11.11 Jualan Mega tahun lalu yang mencatat jualan jutaan ringgit membuktikan agenda ekonomi digital membantu ramai peniaga.

Menurutnya, kedua-dua inisiatif tersebut menghasilkan kesan riak sebanyak RM1.39 bilion melalui jualan terus sebanyak RM43.76 juta.

Perolehan itu berdasarkan pemberian RM3 juta baucar oleh Kerajaan Negeri kepada Shopee dan Lazada.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kempen 11.11 Jualan Mega Shopee, Lazada rekod jualan RM30 juta

SHAH ALAM, 4 DIS: Kempen beli-belah dalam talian, e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega merekod hasil jualan sebanyak RM30 juta, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata inisiatif tersebut berjaya membantu peniaga menjana semula pendapatan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Nilai jualan ini menunjukkan perniagaan dalam talian semakin berkembang serta mempunyai potensi besar untuk menjana pendapatan, jadi peniaga perlu memanfaatkan peluang.

“Kerajaan Negeri komited membantu peniaga meneroka ruang e-dagang kerana digitalisasi memberi harapan kepada kita untuk memulihkan ekonomi lebih cepat,” katanya dalam ucapan secara maya pada Majlis Penyampaian Hadiah Malaysia Top E-Commerce Merchant Award 2020 semalam.

Beliau berkata program beli-belah dalam talian bersama Shopee dan Lazada itu mencatat kesan limpahan ekonomi bernilai RM700 juta.

Selangor menganjurkan kempen e-Bazar Selangor 11.11 Jualan Mega selama sebulan bermula 26 Oktober dengan peruntukan RM2 juta.

Program itu bertujuan mendorong sektor perusahaan kecil dan sederhana memanfaat pendigitalan dalam perniagaan, sementara kedua-dua syarikat e-dagang terbabit menerima subsidi baucar RM1 juta.

Categories
AGENDA AGENSI NASIONAL SELANGOR

Lazada catat aliran penjual 300 peratus sejak PKP

KLANG, 22 OGOS: Platform e-dagang terkemuka Malaysia, Lazada merekodkan peningkatan 300 peratus aliran penjual sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana Mac lalu.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy berkata penutupan banyak sektor ketika itu memberi kesan terhadap ekonomi dan menjadi faktor peningkatan berganda kemasukan penjual baharu.

“Ketika PKP dikuatkuasakan Lazada sudah kenal pasti masalah yang timbul dan kita ambil langkah menawarkan Pakej Kedai Pintar untuk menarik penjual baharu.

“Tindakan kami mendapat sambutan kerana ketika itu ramai terkesan termsuk dibuang kerja. Jadi kami sasarkan perniagaan secara dalam talian boleh berjalan dan membantu ramai pihak,” katanya ketika ditemui di program Jelajah Usahawan Digital Selangor 2020 hari ini.

Pengurus Universiti Lazada Malaysia, Hansini Thedchanamoorthy. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Menurut Hansini, pihaknya turut menjangkakan kenaikan untung direkodkan penjual Lazada berikutan penerapan normal baharu susulan penularan pandemik Covid-19.

“Sekarang orang ramai memilih pembelian secara maya atas faktor keselamatan dan kesihatan. Harga dalam talian juga lebih murah kerana banyak potongan harga ditawarkan. Jadi ini membawa keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Hansini berkata penjual baharu yang menyertai Lazada melalui program anjuran Kerajaan Selangor hari ini mendapat lebih nilai tambah apabila dibekalkan informasi terkini dan lengkap.

Melalui program berkenaan, peserta akan didedahkan dunia e-dagang termasuk platform perniagaan, urus tadbir dan penghantaran barang.

Selain Lazada, program di bawah Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) memasuki tahun keenam itu turut mendapat kerjasama Shopee, Boost, Avana, Ninja Van, Bungkusit, Hijrah Selangor dan Youbeli.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penggiat e-dagang perkenal insentif rangsang ekonomi, bantu 320,000 PKS

KUALA LUMPUR, 17 JUN: Penggiat e-dagang, Lazada Malaysia dan TNG Digital Sdn Bhd memperkenalkan program insentif bernilai RM6 juta dinamakan #KitaBantuKita untuk merangsang ekonomi negara selepas Covid-19 dan melindungi lebih 320,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta netpreneur.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Leo Chow berkata ekonomi digital akan menjadi faktor penting dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

“Kita telah menyaksikan perubahan yang ketara dalam landskap perniagaan, dengan lebih banyak PKS tempatan mendigitalkan perniagaan mereka dengan memilih dalam talian.

“Sejak lima bulan lepas, jumlah penjual baharu di Lazada naik lebih 200 peratus berikutan rakyat Malaysia semakin ke arah penyelesaian dalam talian untuk keperluan harian mereka,” katanya dalam kenyataan bersama semalam.

Dengan satu pertiga daripada rakyat Malaysia yang membeli-belah di Lazada setiap bulan, inisiatif #KitaBantuKita menyasarkan untuk membantu PKS kembali bangkit dan mempercepatkan pemulihan mereka, katanya.

Sebagai tambahan kepada Pakej Kedai Pintar melibatkan dana tunai sebanyak RM10 juta sebelum ini, program itu merupakan yang pertama daripada beberapa langkah dalam perancangan mereka.

“Ini termasuk pembiayaan bersama kempen Shop Malaysia Online yang akan datang sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kami untuk menyokong PKS tempatan.

“Dengan pendekatan digital diterajui kerajaan ke arah penjanaan semula ekonomi negara daripada kelembapan baru-baru ini, Lazada bersama komuniti kami terdiri daripada pelanggan, penjual, jenama dan rakan kongsi akan mempercepatkan pemulihan ekonomi negara melalui ekosistem e-dagang kami,” kata Leo.

Rakyat Malaysia akan dapat menikmati penjimatan sehingga RM36 setiap satu melalui baucar dan rebat #KitaBantuKita semasa membeli-belah di Lazada.

Program insentif itu, bekerjasama dengan TNG Digital, akan mempercepatkan penggunaan platform digital dan pembayaran dalam kalangan pengguna dan peniaga, terutamanya perusahaan kecil dan perniagaan runcit, serta membantu mereka kembali bangkit dan berkembang dalam norma baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif TNG Ignatius Ong berkata melalui program insentif #KitaBantuKita dengan Lazada Malaysia, syarikat akan terus membantu meningkatkan pemulihan ekonomi negara dan menggalakkan penyelesaian pembayaran yang mampan melalui Touch ‘n Go eWallet.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Lazada sasar bantu 50,000 PKS menerusi Pakej Kedai Pintar

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Penggiat e-dagang Lazada Malaysia menyasarkan untuk membantu kira-kira 50,000 perusahaan kecil dan sederhana (SME) menerusi pakej rangsangan sendiri dikenali Pakej Kedai Pintar yang dilancarkannya, baru-baru ini.

Menurutnya, dana tunai pakej itu yang disediakan bagi tempoh April hingga Jun 2020, membabitkan peruntukan sebanyak RM10 juta dan bermatlamat membantu PKS melakukan aktiviti jualan secara dalam talian, sekali gus turut menstabilkan kerja selain menyokong ekonomi negara ketika tempoh pandemik Covid-19.

Inisiatif bagi membantu PKS itu disasarkan menerusi beberapa siri manfaat khusus, terutamanya yang terbabit dalam kategori makanan dan segar dan keperluan makanan, peniaga baharu atau lama termasuk mereka yang berhasrat membuka gerai di Pasar Ramadan.

Malah, PKS yang layak akan menikmati perkhidmatan penghantaran percuma, akses kemudahan pinjaman mikro dan pembayaran mingguan secara tetap serta perkhidmatan pasukan sokongan khusus untuk melatih dan mengembangkan kempen penjualan yang disesuaikan untuk mereka melalui Lazada University.

“Kami mahu menjangkaui sesiapa yang berniaga. Tanpa sebarang pembayaran atau caj, mereka dapat meneruskan perniagaan sambil menikmati manfaat kepakaran e-dagang Lazada serta infrastruktur logistik yang mantap,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Leo Chow kepada Bernama.

Beliau turut menyifatkan PKS sebagai penting kepada pertumbuhan ekonomi negara serta kehidupan rakyat dan sebarang usaha membantu mereka dapat meningkatkan keyakinan rakyat di tengah-tengah situasi semasa membabitkan penularan virus tersebut.

“Kami percaya adalah menjadi tanggung jawab semua pengendali platform untuk menyalurkan bantuan pada masa-masa seperti sekarang kepada peniaga yang turut menyumbang kepada kejayaan kami,” katanya.

Menerusi inisiatif itu, Chow berkata peruncit PKS baharu atau mempunyai sedikit pengalaman dalam e-dagang boleh menjangkakan 100 peratus kos jualan secara dalam talian ditampung dan mempelbagaikan sumber pendapatan melangkaui model perniagaan tradisional menerusi satu platform yang digunakan setiap seorang daripada tiga rakyat negara ini.

Sementara itu, ketika mengulas inisiatif tersebut, CEO Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Surina Shukri berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut mendorong sebahagian besar PKS dan perniagaan beralih untuk menerapkan dan menerima e-dagang tersebut.

“Saya yakin inisiatif ini akan melengkapi program MDEC dalam usaha melonjakkan penerapan e-dagang dalam kalangan PKS tempatan menerusi program eUsahawan dan ‘Go-eCommerce’ serta pada masa sama berperanan sebagai pemangkin bagi mewujudkan lebih banyak pekerjaan digital bernilai tinggi untuk negara,” katanya.

Dalam pada itu, CEO SME Corporation Malaysia (SME Corp) Noor Azmi Mat Said berkata ketika PKS menangani ketidaktentuan itu, mereka berupaya melonjakkan perniagaan masing-masing dengan lebih pantas menerusi saluran digital.

Beliau menggesa PKS yang berhasrat mewujudkan gerai di bazar atau pasar Ramadan atau mahu mempelbagaikan cabang pendapatan masing-masing untuk meninjau prospek e-dagang pada kos sifar menerusi program Pakej Kedai Pintar Lazada tersebut.

Bagi tempoh April sehingga Jun ini, PKS boleh mendaftar di www.lazada.com.my/sell-on-lazada dan menikmati peluang pengecualian 100 peratus kos modal.

Lazada Malaysia mengumpulkan lebih 160 jenama pelbagai kategori seperti fesyen, kecantikan, barangan runcit, gaya hidup dan hiasan rumah dan sejak bulan lepas turut dipertingkatkan dengan penyertaan kalangan peruncit perniagaan seperti Senheng, Bata, Fujifilm, Triumph dan Din Tai Fung.

Selain itu, Lazada Malaysia juga dijangka melancarkan laman pameran kerja atau kerjaya secara digital pada awal Mei ini.

Malah, sehingga kini hampir 50 syarikat akan memanfaatkan trafik Lazada untuk menjangkaui rakyat Malaysia yang sedang berusaha mendapatkan peluang pekerjaan.

-BERNAMA