Categories
NASIONAL

Diskaun tol Aidilfitri: LDP 30 peratus, KESAS 10 peratus

PETALING JAYA, 28 MEI: Diskaun tol sebanyak 30 peratus diberikan kepada setiap pengguna kenderaan Kelas 1 (satu) Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), manakala, 10 peratus untuk pengguna jenis kenderaan sama bagi Lebuhraya Shah Alam (KESAS) sempena Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK) Sazally Saidi berkata, potongan harga tol itu bermula pukul 12 tengah malam sehingga pukul 11.59 malam pada hari pertama Syawal yang dijangka disambut 5 Jun ini.

Kenderaan Kelas 1 merupakan kenderaan dengan 2 gandar dan 3 atau 4 roda kecuali teksi.

“Dianggarkan hampir 516,000 pengguna LDP dan KESAS akan menerima manfaat daripada jumlah RM256,000 subsidi tol yang diberikan pada Aidilfitri tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra dan Iftar Ramadhan LITRAK dan SPRINT 2019, di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Aziz Abdullah.

Sazally berkata, sejak 2010 hingga 2018, LITRAK telah memberikan lebih RM14 juta subsidi tol kepada jutaan pengguna lebuh raya ketika musim perayaan.

“Kami (LITRAK) berharap menerusi langkah kali ini, kita dapat bersama-sama dengan pengguna lebuh raya untuk berkongsi kegembiraan menyambut dan menyemarakkan Syawal,” tambahnya.

Sementara itu, pada majlis itu, LITRAK menyantuni dan memberi sumbangan duit raya serta cenderahati kepada 50 kanak-kanak dari Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Kota Damansara.

LITRAK turut mengagihkan sumbangan berbentuk keperluan barangan masakan antaranya ketupat segera, kepada 30 keluarga yang terdiri daripada penduduk Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di sekitar jajaran LDP.

Dalam pada itu, LITRAK turut melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya LDP 2019 untuk penunggang motosikal dan seramai 30 pelajar Pusat Giat Mara, Puchong telah melafazkan ikrar janji untuk mematuhi undang-undang jalan raya.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kenapa tol di Puchong tidak boleh mansuh?

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mempersoalkan tindakan Kerajaan Persekutuan yang enggan memansuhkan tol di Puchong sedangkan ia sudah dibangkitkan sekian lama.

Menurutnya, alasan perjanjian sudah ditandatangani sering digunakan setiap kali ia dibangkitkan sedangkan dalam Bajet 2018, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri mengumumkan pemansuhan dua buah tol di Selangor.

“Kenapa tol di Puchong tidak boleh dimansuhkan? Sudah 10 tahun saya bangun di sini meminta ia dihapuskan.

“Alasan yang diberikan perjanjian sudah ditandatangai. Kalau kita tengok kesesakan trafik teruk berlaku setiap hari,” katanya.

Katanya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya membuat kajian mengenai masalah trafik yang melanda Puchong selain dikelilingi jajaran tol.

Pada Bajet 2018, Najib mengumumkan pemansuhan dua tol di Selangor sepanjang Lebuhraya Persekutuan di Batu Tiga dan Sungai Rasau bermula 1 Januari 2018.

Pemansuhan dua lagi tol akan turut berkuatkuasa di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Persimpangan bertingkat LDP ke Bandar Puteri ditutup sementara

SHAH ALAM, 25 SEPT: Persimpangan bertingkat dari Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) ke Bandar Puteri akan ditutup sementara hingga Disember tahun depan bagi memberi laluan kerja menaik taraf di laluan itu.

Ketua Pegawai Operasi IOI Properties Group Berhad (IOI Properties) Teh Chin Guan berkata, penutupan laluan masuk ke persimpangan bertingkat membabitkan kenderaan dari arah USJ, Shah Alam, Putra Height dan Putrajaya.

Katanya, pihaknya mengumumkan pelan pelebaran dan kerja naiktaraf persimpangan bertingkat yang memberi manfaat kepada kira-kira 12,000 penduduk di sekitar Bandar Puteri pada 20 Oktober tahun lalu.

“Projek membabitkan kos sebanyak RM20 juta itu dibahagikan kepada dua peringkat dibina dan dibiayai sepenuhnya IOI Properties untuk kemudahan perhubungan di kawasan sekitar.

“Pelan kerja peringkat pertama bagi pelebaran jalan di Lebuh Puteri sudah siap pada April lalu dan kini kerja-kerja peringkat kedua dimulakan. Ia bagi menambah baik aliran trafik di antara LDP dengan Bandar Puteri Puchong,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pusingan U di bawah persimpangan bertingkat Bandar Puteri dan aliran trafik keluar sedia ada dari jalan TPP 1/1ke LDP juga akan ditutup buat sementara.

“Bagi melancarkan aliran trafik, pengguna boleh masuk ke Bandar Puteri menggunakan laluan dari persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana atau membuat pusingan U di LDP di depan kawasan komersil di Pusat Bandar Puchong,” katanya.

Selain itu, pengguna dari arah Shah Alam, Putra Height, USJ ke Bandar Puteri Puchong boleh melalui laluan keluar 1119 persimpangan bertingkat Puchong Intan di LDP terus ke persimpangan lampu isyarat Puchong Perdana.

Manakala pengguna dari Taman Perindustrian Puchong boleh menggunakan laluan alternatif sementara yang baru dibina berhampiran jajaran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Castlefield untuk keluar ke LDP.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung penutupan persimpangan boleh melayari laman sesawang www.myioi.com atau ww.ioipropertes.com.my.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sumbang RM18 juta bina persimpangan bertingkat LDP-Puchong Utama

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUCHONG, 23 SEPT: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM18 juta menerusi pinjaman kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) bagi membiayai sebahagian kos bagi membina persimpangan bertingkat dari Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) ke Jalan Utama 2, Puchong Utama.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kos projek menelan perbelanjaan RM28.99 juta itu turut ditanggung syarikat pemaju yang terlibat dengan pembangunan di sekitar lebuh raya terbabit.

“Kita sedia maklum di mana-mana perbandaran sekalipun isu utamanya bagaimana Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan serta pihak swasta dapat berkerjasama untuk membentuk satu sinergi bagi mengatasi masalah trafik di kawasan berkenaan.

cp2a5195-800x533“Kawasan ini amat memerlukan persimpangan bertingkat supaya ada perhubungan antara LDP dengan perumahan yang sedang rancak membangun khususnya Puchong Utama, Puchong Perdana dan Batu 14,” katanya pada sidang media Majlis Perasmian Persimpangan Bertingkat Dari LDP ke Jalan Utama 2, Puchong Utama di sini, hari ini.

Katanya, projek itu dimulakan 17 Febuari 2014 dan berjaya disiapkan pada 24 Ogos lalu sebelum dibuka secara rasmi kepada pengguna jalan raya bagi mengatasi isu kesesakan teruk di kawasan berkenaan, bermula 1 Oktober ini.

Katanya, projek yang melibatkan pembinaan persimpangan bertingkat sepanjang 1500 meter itu merupakan hasil inisiatif dan kerjasama MPSJ, pihak swasta, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sri Serdang, Noor Hanim Ismail dan ADN Kinrara, Ng Sze Han.

Turut hadir pada majlis itu, Noor Hanim, Sze Han dan Yang Dipertua MPSJ, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MTES Bincang Cara Atasi Banjir Di Puchong

MB Banjir di Puchong 01

SHAH ALAM 20 FEB : Kerajaan Negeri akan membuat keputusan bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di Puchong semalam selepas berakhir mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) petang ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata antara tindakan dijangka akan diambil adalah merangka dan membetulkan semula pembangunan infrastruktur di kawasan berkenaan.

Bagaimana, katanya keputusan akan dibuat berdasarkan penerangan yang akan diberikan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya, Datuk Asmawi Kasbi dalam mesyuarat itu.

“Kita akan meminta Yang Dipertua MPSJ memberikan penerangan mengenai pembangunan di situ dan mengapa banjir berlaku.

“Dari situ keputusan akan dibuat secara profesional dan akan diumumkan sama ada merangka semula pembangunan infrastruktur di kawasan itu,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat exco di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri telah mengarahkan Jabatan Kejuruteraan MPSJ bagi menjalankan siasatan dan menyiapkan laporan mengenainya.

Semalam banjir kilat berlaku di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) yang menyebabkan laluan ke Bandar Puteri ditutup selama beberapa jam.

Kawasan di Bandar Puchong Jaya juga tenggelam akibat hujan lebat pada kira-kira jam 4.45 petang.

Banjir Kilat Di Puchong : MPSJ Arah Kontraktor LRT Bina Saliran Air Baru Ke Sungai Klang

Banjir di puchong

SHAH ALAM 19 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) mengarahkan kontraktor yang terlibat bagi projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) berhampiran pusat membeli belah IOI Mall Puchong supaya membina saliran air baru yang dapat mengalirkan air ke sungai Klang.

Yang Dipertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, kontraktor berkenaan iaitu Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB) juga diminta mempercepatkan memperbesarkan longkang yang lebih luas untuk menampung peningkatan kuantiti air hujan.

Katanya, punca banjir kilat yang berlaku petang semalam berkemungkinan disebabkan oleh hujan yang lebat dan kapasiti air yang melalui saluran air di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) terlalu tinggi yang menyebabkan limpahan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan saluran ‘kalbet’ longkang di bawah LDP itu tidak berfungsi dan semakan sedang dilakukan bersama syarikat konsesi LDP iaitu Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (LITRAK).

“Kita sudah minta kontraktor LRT, MRCB supaya mempercepatkan laluan air dan akan ambil masa lebih kurang satu bulan setengah untuk disiapkan dan berharap banjir seperti semalam tidak berulang kembali,” katanya.

Satu mesyuarat teknikal berkenaan banjir kilat itu juga dilakukan MPSJ bersama Litrak dan MRCB petang tadi.

Menurut Asmawi lagi, punca sebenar banjir tersebut akan dimaklumkan selepas semua semakan dan perbincangan menyeluruh dilakukan.

“Daripada semakan menyeluruh, baru kita dapat kenal pasti punca dan ramai yang mengatakan projek pembinaan LRT itu merupakan punca dan kita tidak akan kata ya atau tidak selagi hasil laporan menyeluruh tidak diperolehi,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, banjir kilat yang berlaku kira-kira pukul 4 petang semalam menyebabkan kesesakan lalulintas di kedua-dua arah iaitu ke Sunway serta Subang Jaya dan Puchong Perdana.

 

Categories
SELANGOR

MPSJ Buat 5 Cadangan Kepada SPAD

SUBANG JAYA 26 SEPT : Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) berjaya mengenalpasti lima laluan sosial untuk dipertimbangkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi merancang lebih laluan kepada syarikat bas.

Yang Di Pertua MPSJ, Datuk Asmawi Kasbi berkata, laluan cadangan itu dibuat sebagai menyahut seruan Kerajaan Negeri sebelum ini untuk memberi cadangan mengenai laluan pengangkutan awam, khususnya bas.

“Kita beri lima cadangan laluan berdasarkan kepada pemerhatian kita serta permintaan penduduk.

“SPAD mungkin mempunyai laluan cadangannya sendiri, jadi segala keputusan pada SPAD.

“Kita sudah hantar cadangan tersebut sebulan lalu kepada SPAD,” jelasnya dalam sidang media sejurus menyampaikan hadiah cabutan bertuah di sini tengah hari tadi.

Laluan pertama meliputi Zon Bandar Putra Permai iaitu daripada Bandar Kinrara Seksyen 6 ke Taman Puncak Jalil ke Taman Lestari Putra ke Pusat Bandar Putra Permai ke Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Laluan kedua pula di Zon Subang Jaya meliputi kawasan USJ 1 daripada Pasaraya Mydin dan Pusat Membeli Belah Summit ke Lebuhraya Baru Pantai (NPE) ke LDP (Kawasan Komersial PJS 9) ke Lebuhraya Persekutuan (Kuala Lumpur).

Sementara itu, laluan ketiga juga di Zon Subang Jaya bermula dari LDP (Subang Jaya dan Puchong) ke Kampung Tengah A ke Kampung Kuala Sungai Baru.

Laluan seterusnya di Zon Subang Jaya USJ 14, Subang Jaya ke Putra Height dan laluan terakhir pula bermula di Batu 3 ke Persiaran Setia (USJ 3A) ke USJ 14, Subang Jaya.

Kerajaan Negeri sebelum ini bercadang memberi subsidi tiket bas kepada syarikat bas yang menjalankan perkhidmatan di kawasan yang kurang menguntungkan.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tumpuan akan diberikan di kawasan perumahan pangsapuri kos rendah supaya penghuni boleh mengurangkan penggunaan kereta dan menjimatkan kos perbelanjaan keluarga.