Categories
AGENDA NASIONAL

Aliran trafik di lebuh raya utama bergerak perlahan petang ini

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama menuju Lembah Klang mulai perlahan dan sesak menjelang petang ini susulan orang ramai mula pulang ke ibu kota selepas cuti Tahun Baharu Cina.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) ketika dihubungi Bernama berkata kesesakan berlaku di laluan menghala ke selatan iaitu sebelum masuk Plaza Tol Juru di Pulau Pinang dan laluan dari Tapah ke Bidor di Perak.

Selain itu, kesesakan juga dilaporkan di laluan sebelum keluar Plaza Tol Gombak menghala ke ibu kota.

“Terdapat kereta terbakar di KM41.3 Bukit Tinggi-Genting Sempah menghala ke Kuala Lumpur yang menyebabkan lorong kecemasan turut terhalang,” katanya.

Menurut jurucakap itu, trafik di kedua-dua arah sepanjang lebuh raya termasuk di sekitar plaza tol utama seperti Karak dan Kuala Terengganu masih lancar dan terkawal, begitu juga di selatan seperti Sungai Besi dan Skudai.

Katanya aliran trafik di semua lebuh raya utama lancar pada sebelah pagi namun bergerak perlahan bermula tengah hari ini dan dijangka berlarutan sehingga lewat petang.

– BERNAMA