Categories
AGENDA NASIONAL

Surau di semua lebuh raya kendalian Plus dibuka semula

KUALA LUMPUR, 16 NOV: Semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R), hentian sebelah dan plaza tol di lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) termasuk di Negeri Sembilan dibuka semula hari ini.

Plus dalam kenyataan hari ini memaklumkan ia selari dengan keputusan Jabatan Agama Islam di kawasan dan negeri yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Sehubungan itu, pengguna lebuh raya yang berhenti untuk menunaikan solat di kawasan berkenaan dinasihatkan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan keselamatan semua pihak.

“Plus turut mengingatkan pelanggan yang menggunakan surau di lebuh raya, supaya mendaftar diri dengan menggunakan aplikasi MySejahtera atau menulis secara manual bagi urusan pengesanan kontak rapat sekiranya perlu.

“Pengguna juga diingatkan untuk membawa kelengkapan solat sendiri seperti telekung dan sejadah bagi memastikan kebersihan diri terjaga ketika solat kerana kelengkapan tersebut tidak disediakan buat masa ini,” maklum kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu penandaan bagi penjarakan fizikal juga disediakan di setiap ruang solat dan kawasan mengambil wuduk untuk memastikan jarak fizikal satu meter.

Selain itu, Plus juga memastikan surau dan kemudahan awam lain sentiasa disanitasi secara berjadual.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Plus: Laluan Putra Heights – USJ ke Utara ditutup sementara

SHAH ALAM, 8 OGOS: Semua lorong ke Utara laluan antara Putra Heights – USJ di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) ditutup mulai 10 malam ini hingga 6 pagi esok.

Plus Malaysia Berhad (Plus) dalam kenyataan berkata ia bagi membolehkan kerja pengalihan dan pembersihan kawasan kemalangan yang berlaku di kilometer 12.6 (arah Utara) pagi tadi.

“Pelanggan lebuh raya disaran merancang perjalanan bagi mengelak kesesakan ekoran penutupan semua lorong ke utara laluan tersebut,” katanya.

Plus bagaimanapun memaklumkan pembukaan laluan kontra di KM13.5 hingga KM11.4 bagi melancarkan pergerakan kenderaan yang menggunakan laluan terbabit.

“Pelanggan juga boleh menggunakan laluan alternatif dengan masuk Persimpangan Bertingkat Putra Heights dan menuju ke Lebuhraya ELITE menerusi Persimpangan Bertingkat USJ atau Seafield untuk meneruskan perjalanan.

“Maklumat terkini keadaan trafik di laluan terbabit turut disalurkan menerusi papan tanda elektronik dan Twitter @PLUSTrafik,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PLUS tutup sementara R&R, hentian sebelah jika keadaan sesak

KUALA LUMPUR, 30 JULAI: Pengendali Lebuhraya Utara-Selatan, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup sementara kawasan Rehat dan Rawat (R&R) dan hentian sebelah tertentu sekiranya berlaku kesesakan berikutan aliran trafik dijangka meningkat menjelang sambutan Aidiladha esok.

Ketua Kecemerlangan Operasi PLUS Mohd Yusoff Abdul Aziz berkata keputusan itu diambil setelah berbincang dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah keselamatan bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

“Kawasan rehat yang ditutup sementara akibat kesesakan akan dibuka secepat mungkin setelah pemantauan dan pemeriksaan dilakukan bagi memastikan semuanya selamat untuk digunakan oleh pengguna yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata pengumuman mengenai kawasan rehat yang ditutup sementara akan dipaparkan di papan tanda elektronik yang disediakan di lebuh raya termasuk menerusi akaun Twitter rasmi dan aplikasi PLUS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Trafik harian dijangka naik 15 peratus mulai esok – PLUS

KUALA LUMPUR, 9 JUN: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan jumlah trafik harian melonjak sehingga 15 peratus mulai esok, susulan keputusan kerajaan membuka lebih banyak sektor ekonomi dan membenarkan pergerakan rentas negeri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), bermula 10 Jun.

Pengarah Urusan Plus Datuk Azman Ismail berkata, unjuran itu berdasarkan catatan jumlah trafik harian sejak 4 Mei sehingga minggu terakhir Ramadan, yang menjangkau lebih sejuta kenderaan pada hari bekerja biasa dan meningkat dengan stabil ketika negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Dengan kenaikan yang stabil sejak 1 Jun, PLUS menjangkakan jumlah trafik melonjak antara 10 hingga 15 peratus setiap hari, bermula pada minggu pertama PKPP pada 12, 13, dan 14 Jun ini. PLUS yakin berupaya mengendalikan jumlah trafik sepanjang tempoh PKPP.

“Di bawah PKPP, kebanyakan gerai makanan (termasuk tempat makan) di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) akan beroperasi mulai 15 Jun dan pelanggan berpeluang untuk menjamu selera di R&R, sambil mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semua perkhidmatan Food Truck akan turut beroperasi di R&R dan hentian sebelah terpilih mulai 15 Jun. Bagaimanapun, kemudahan bersolat di surau masih tidak dibuka sehingga satu tarikh yang akan diumumkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman turut menyatakan sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas, kadar trafik harian PLUS adalah sebanyak 1.6 juta kenderaan sehari, dan jumlah itu meningkat kepada dua juta sehari pada musim-musim perayaan.

Selain itu beliau berkata, bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19, pengendali lebuh raya itu memperkenalkan tatacara operasi piawai (SOP) sejak pelaksanaan PKP, iaitu sentiasa membersih dan menyelenggara kawasan R&R, hentian sebelah dan plaza tol.

PLUS turut menyediakan penanda jarak sosial bagi laluan menghala ke tandas awam, untuk memberi peringatan keselamatan kepada pelanggan lebuh raya termasuk peringatan mengelak aktiviti berkumpul di R&R.

Untuk maklumat lanjut, pengguna boleh melayari laman sesawang PLUS di www.plus.com.my atau menghubungi talian PLUSLine 1800 88 0000.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna lebuh raya meningkat sewaktu PKPB – Plus

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Pengguna lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Berhad (Plus) kembali meningkat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lepas berbanding ketika pelaksanaan PKP namun ia jauh lebih rendah daripada jumlah sebelum penguatkuasaan PKP.

Ketua Kecemerlangan Operasi Plus Mohd Yusuf Abdul Aziz berkata sebelum penguatkuasaan PKP pada 18 Mac lepas, kira-kira 1.7 juta pengguna direkodkan setiap hari dan apabila PKP dikuatkuasakan, jumlah pengguna lebuh raya hanya 500,000 hingga 600,000 sahaja sehari.

“Tapi bila PKPB diperkenalkan dengan beberapa industri dibenarkan untuk beroperasi, maka pengguna lebuh raya di Lebuhraya PLUS mencatatkan peningkatan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata semalam hampir sejuta kenderaan menggunakan lebuh raya di bawah kendalian syarikat itu.

Katanya peningkatan pengguna lebuh raya semasa pelaksanaan PKPB berbanding semasa PKP berikutan terdapat pergerakan ekonomi yang memerlukan penghantaran barang keperluan dari satu negeri ke negeri lain termasuk pekerja sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

Mohd Yusuf berkata kesesakan yang berlaku di beberapa tempat di lebuh raya sejak beberapa hari lepas berikutan terdapat sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terhadap PKPB dan bukannya akibat daripada peningkatan trafik.

Bernama difahamkan, rata-rata pengguna lebuh raya ketika ini merupakan petugas sektor tertentu yang perlu merentas negeri.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Plus tingkat keselesaan pengguna musim perayaan

KUALA LUMPUR, 23 MEI: Syarikat konsesi lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (Plus) memantapkan operasi lebuh raya kendaliannya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna sewaktu musim perayaan Hari Raya Aidilfitri dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika ini.

Pengarah Urusannya Datuk Azman Ismail dalam kenyataan semalam Plus berkolaborasi dengan Pasukan Bantuan Kecemasan (ERT) untuk memastikan keselamatan lebuh raya dan penguatkuasaan undang-undang di beberapa plaza tol utama lebuh raya dipatuhi serta untuk bantuan kecemasan.

Jelasnya bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19, pelanggan lebuh raya dinasihatkan supaya memastikan kad Touch ‘n Go mempunyai baki yang mencukupi sebelum memasuki lebuh raya, dan Plus turut menempatkan kira-kira 2,900 kakitangan dalam eko-sistem Plus di lebuh raya.

“Penggunaan dron untuk membuat pemantauan trafik di lokasi strategik di lebuh raya juga dilakukan selain menutup operasi lorong tambah nilai di plaza tol untuk membendung penularan Covid-19 melalui intervensi terus dalam kalangan kakitangan dan pelanggan lebuh raya,” katanya.

Katanya pihak polis akan mengadakan sekatan jalan raya yang ketat berikutan dalam tempoh PKPB orang ramai dilarang melakukan perjalanan merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman semasa musim perayaan dan hanya perjalanan dalam negeri yang dibenarkan, dan anggota PLUSRonda juga akan mengadakan rondaan di sepanjang lebuh raya.

Azman berkata pihaknya menjangkakan kira-kira sejuta kenderaan akan menggunakan lebuh raya kendalian syarikat sepanjang Syawal tahun ini.

“Kami menyokong sepenuhnya inisiatif daripada pihak berkuasa sebagai langkah untuk membendung penularan Covid-19,” katanya.

Beliau berkata semua surau di kawasan rehat dan rawat (R&R) juga masih ditutup, hanya tandas awam dan kawasan meletak kenderaan di R&R dibuka kepada orang ramai susulan pelaksanaan PKPB.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi Twitter PLUSTrafik, talian bebas tol PLUSLine 1800 88 0000, aplikasi PLUS Mobile, papan tanda elektronik dan laporan trafik menerusi stesen radio utama.

“Orang awam juga boleh menggunakan Aplikasi Waze atau Google Map untuk mengelakkan kesesakan di lebuh raya selain boleh berinteraksi dengan ‘PUTRI’, virtual Plus chatbot untuk maklum balas berkaitan perkhidmatan lebuh raya menerusi laman web PLUS (www.plus.com.my), portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my), dan Aplikasi Plus,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP: Plus pastikan pengguna lebuh raya selamat

KUALA LUMPUR, 25 APRIL: Ketika Malaysia bersiap sedia untuk memasuki fasa keempat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PLUS Malaysia Bhd (PLUS) meneruskan perkhidmatan dan menyediakan persekitaran selamat kepada mereka yang perlu menggunakan lebuh rayanya untuk mengangkut barangan penting atau pulang ke rumah masing-masing seperti ditetapkan kerajaan.

Pengarah Urusan PLUS Datuk Azman Ismail berkata akan ada unit peronda lebuh raya yang beroperasi 24 jam iaitu PLUSRONDA serta pasukan pejabat bahagian dan Pusat Pemantauan Trafik (TMC) bagi memastikan bahawa semua pengguna dalam keadaan selamat dan selesa ketika melakukan perjalanan di sepanjang 1,100 kilometer lebuh raya miliknya.

“PLUS bersetuju dengan semua usaha yang dilakukan bagi menghentikan penularan Covid-19 dan gembira melihat penguatkuasaan amalan jarakan sosial serta penjagaan kebersihan yang betul telah menjadi normal baharu yang ditetapkan oleh pihak berkuasa ke atas semua pengguna lebuh raya.

“Kami akan terus berganding bahu dengan semua pihak berkuasa penting ini dan bersedia sepenuhnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan di lebuh raya kami,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Azman juga berkata sama ada PKP akan berakhir atau dilanjutkan selepas 12 Mei, PLUS sedia membantu dan menyokong semua pengguna lebuh raya kerana petugas barisan hadapannya sentiasa bersiap siaga serta dilengkapi peralatan yang cukup untuk mengambil tindakan sewajarnya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurangan kadar tol beri impak positif kepada rakyat

MELAKA, 4 FEB: Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus di semua lebuh raya kendalian PLUS Malaysia Bhd (PLUS) berkuatkuasa Sabtu lepas memberi impak positif terhadap kos ulang-alik rakyat terutamanya kepada pengguna tegar lebuh itu.

Seorang kerani guaman di Batu Berendam, Nurfasyahida Wahid, 35, berkata diskaun 18 peratus itu sedikit sebanyak membantu mengurangkan bebanan kos sara hidup rakyat yang semakin tinggi apatah lagi setiap hari, ibu tunggal tiga anak itu perlu berulang alik dari Tangkak, Johor ke Melaka.

“Anak bersekolah di Tangkak dan saya tinggal bersama ibu bapa di sana. Sudah sembilan tahun berulang-alik dan sebelum ini, dari Plaza Tol Tangkak ke Ayer Keroh saya perlu membayar RM3.80 bagi perjalanan sehala, namun kini saya hanya perlu membayar RM3.12 sahaja. Secara purata saya dapat jimat kira-kira RM30 sebulan.

“RM30 itu bolehlah saya gunakan untuk perbelanjaan lain dan ia sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban kewangan pengguna lebuh raya terutama pengguna tegar yang bukan sahaja kena bayar tol, malah bagi perjalanan jauh perlu juga memikirkan kos minyak,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Berkongsi pandangan sama, seorang pembantu tadbir pejabat kerajaan di Ayer Keroh, Noor Azmi Hamdan, 56, menyifatkan penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus itu sebagai tindakan tepat dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan pada masa ini.

Katanya, pengurangan kadar itu dapat membantunya menjimatkan perbelanjaan tol sekali gus memudahkannya untuk melancong dalam negara terutamanya ke Kuala Lumpur atau ke tempat menarik dalam negara menaiki kenderaan sendiri menggunakan lebuh raya.

“Saya gemar memandu sendiri ke Kuala Lumpur kerana mudah untuk berhenti di mana-mana sahaja dan suatu ketika dahulu, dari Plaza Tol Ayer Keroh ke Sungai Besi saya perlu membayar tol RM15.70 sehala, namun kini saya hanya membayar RM12.87 sahaja. Pergi dan balik saya boleh jimat RM5.66.

“Namun, saya harap kerajaan dapat meningkatkan lagi pengurangan kadar itu agar golongan isi rumah berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40) berpeluang melancong ke tempat menarik di negara ini sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia bercuti dalam negara,” katanya.

Sementara itu, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata penurunan kadar tol sebanyak 18 peratus membuktikan komitmen kerajaan yang sentiasa berusaha membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

Beliau bagaimanapun berharap Kerajaan Persekutuan mengkaji semula harga barangan keperluan harian rakyat memandangkan penurunan kadar tol sudah mengurangkan kos operasi khususnya kos melibatkan logistik.

“Pengurangan kadar tol sebanyak 18 peratus bukanlah angka kecil bahkan satu jumlah yang agak besar dan pastinya memberi kesan positif yang sangat baik kepada orang ramai. Inilah usaha kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) yang sentiasa mahu meringankan beban rakyat dan meningkatkan pendapatan seisi rumah,” katanya.

Jutaan rakyat Malaysia mula menikmati kadar tol 18 peratus lebih rendah bermula Sabtu lepas, satu penjimatan yang cukup ketara buat semua pengguna.

Bukan sahaja pengguna lebuh raya, malah penstrukturan semula konsesi PLUS itu juga membolehkan kerajaan membuat penjimatan RM42 bilion sepanjang tempoh konsesi baharu sehingga 2058.

Jemaah Menteri bermesyuarat pada 15 Jan lepas memutuskan diskaun kadar tol 18 peratus diberikan kepada kenderaan penumpang, bas dan teksi (iaitu kelas 1, 4 dan 5) di lebuh raya yang terlibat iaitu Lebuhraya Baru Lembah Kelang (NKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (ELITE), Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia – Singapura (LINKEDUA), Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2), Lebuhraya Seremban – Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Butterworth – Kulim (BKE).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kaji semula penutupan khidmat tambah nilai kad Touch ‘n Go – Azmin

KUALA LUMPUR, 7 NOV: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) digesa mengkaji semula keputusan menutup perkhidmatan tambah nilai kad Touch ‘n Go (TnG) di lorong keluar plaza tol milik syarikat itu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, PLUS perlu mengambil kira pandangan pengguna yang kebanyakannya tidak bersetuju dengan tindakan itu.

Katanya, langkah menutup lorong tambah nilai TnG itu mungkin keputusan yang diambil pengurusan syarikat berkenaan.

PLUS menamatkan khidmat tambah nilai TnG berkenaan mulai 5 Nov bagi mengurangkan kesesakan ekoran aktiviti tambah nilai di semua plaza tol di wilayah utara (antara Hutan Kampung dan Ipoh Utara) dan wilayah selatan (antara Seremban dan Skudai).

“Saya berharap pihak pengurusan PLUS dapat meneliti semula keputusan tersebut dengan mengambil kira pandangan pengguna lebuh raya.

“Dan mereka (PLUS) harus menyediakan pilihan bagi kemudahan pengguna,” kata Mohamed Azmin kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Tegas Mohamed Azmin, PLUS perlu memberi perhatian terhadap pandangan yang disuarakan pengguna termasuk badan bukan kerajaan (NGO) memandangkan kemudahan itu selama ini memberi keselesaan kepada mereka selaku pengguna lebuh raya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Inisiatif Ujian SmartLane lancarkan trafik Setia Alam-Shah Alam

SHAH ALAM, 17 OKT: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan memperkenalkan Inisiatif Ujian SmartLane secara manual untuk mengatasi aliran kesesakan trafik di laluan Setia Alam menuju ke laluan keluar di Plaza Tol Shah Alam bermula 23 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, langkah itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan semua laluan bagi membantu melancarkan aliran trafik sekali gus mengurangkan kesesakan di antara Setia Alam ke Shah Alam di Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) pada pagi waktu puncak.

Katanya, PLUS turut merancang melaksanakan teknologi Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) dan memantapkan inisiatif SmartLane secara elektronik seperti yang dipraktikkan di United Kingdom dan Belanda.

“Berdasarkan kajian, pertembungan trafik serta permukaan jalan yang sedikit mendaki telah menyumbang kepada kesesakan di NKVE. Projek pengujian SmartLane ini adalah langkah proaktif bagi membantu pelanggan menikmati perjalanan yang lancar.

“Dalam tempoh waktu puncak tersebut, ruang paling kiri yang sedia ada dibuka sebagai laluan tambahan sementara untuk menambah kapasiti lorong dan membantu melancarkan aliran trafik,” katanya dalam kenyataan.

Pengujian sistem SmartLane ini akan dilaksanakan di Lebuhraya NKVE antara KM3.2 hingga KM9.2 arah utara mulai jam 6.30 pagi hingga 9.30 pagi pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

Pelaksanaan itu terbahagi kepada dua fasa dengan Fasa Pertama akan beroperasi secara manual berdasarkan papan tanda jalan yang dipasang di sepanjang laluan terbabit manakala Fasa Kedua dijangka akan beroperasi pada Suku Kedua 2020 dengan menggunakan teknologi Sistem ITS sepenuhnya.

Zakaria berkata, PLUS telah melakukan persiapan rapi untuk melaksanakan inisiatif ini antaranya menempatkan anggota polis dan PLUSRonda di lokasi, memasang papan tanda trafik, menyediakan trak tunda tambahan di lokasi strategik dan menyediakan hentian kecemasan di KM5.6.

“Berdasarkan rekod PLUS, sebanyak 302,000 kenderaan menggunakan NKVE pada setiap hari dengan 22 peratus daripadanya memasuki lebuh raya berkenaan secara serentak pada waktu puncak di sebelah pagi.

“Bagaimanapun, dengan pelaksanaan SmartLane, ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan pada waktu puncak di laluan Setia Alam-Shah Alam sebanyak sehingga 40 peratus, sekiranya aliran trafik lancar tanpa sebarang insiden seperti kemalangan atau kerosakan kenderaan di laluan tersebut.

“Namun, PLUS turut menyediakan trak tunda untuk bersiap sedia di lokasi untuk menghadapi sebarang kejadian,” katanya.

Jelasnya, teknologi ITS yang digunakan pada Fasa Kedua membolehkan PLUS mengurus penguatkuasaan dan menjalankan penyuraian trafik dengan lebih efisien menerusi pemantauan Pusat Kawalan Trafik PLUS di ibu pejabat, Persada PLUS.

Beliau menambah, inisiatif SmartLane akan diperluaskan di lokasi lain lebuh raya PLUS pada masa akan datang di samping menasihatkan pengguna untuk mematuhi peraturan di laluan tersebut.

Tukar kerajaan, tol PLUS akan dimansuhkan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kutipan tol di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) akan dimansuhkan jika rakyat tukar kerajaan pada PRU akan datang.