Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei terima anugerah Ijazah Kehormat USM

ARAU, 2 DIS: Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains Sukan sempena Istiadat Konvokesyen Ke-58 Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini.

Canselor USM Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan penganugerahan ijazah itu di Istana Arau.

Naib Canselor USM Prof Dr Faisal Rafiq Mahamd Adikan berkata ijazah kehormat dianugerahkan kepada Chong Wei di atas jasa baktinya dalam mengharumkan nama negara sebagai pemenang pingat perak sebanyak tiga kali pada Sukan Olimpik selain merupakan Tokoh Sukan Negara.

“Selain beliau (Chong Wei), empat lagi individu menerima anugerah masing-masing hari ini iaitu Dr David Lacey yang menerima Ijazah Kehormat Doktor Sains. Beliau merupakan tokoh industri yang telah banyak menyumbang ke arah pembangunan ekonomi negara melalui kepakarannya dalam bidang sains.

“Bekas akademia USM, Prof Emeritus Dr Zhari Ismail menerima gelaran Profesor Emeritus, manakala bekas Naib Canselor wanita pertama USM Datuk Dr Asma Ismail menerima gelaran Profesor Emerita,” katanya kepada pemberita selepas istiadat berkenaan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menganugerahkan Pingat Emas Canselor (Pelajar Terbaik Segala Lapangan) kepada Khaw Teng Kang, graduan daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik yang mencapai Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) 3.97.

Sementara itu, Chong Wei ketika ditemui selepas istiadat itu berkata beliau sangat berbesar hati di atas pengiktirafan berkenaan dan sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan USM dalam memajukan bidang Sains Sukan.

“Pertama kali saya mendapat anugerah seperti ini dan saya akan melihat bagaimana saya boleh gunakan pengalaman saya dalam bidang sukan ini untuk membantu pihak universiti pada masa akan datang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan pemain badminton negara supaya mempersiapkan diri bukan sahaja dengan keupayaan dan kekuatan fizikal sebaliknya perlu mempunyai ketahanan mental yang kuat dalam menghadapi cabaran.

Sidang kedua hingga ke-10 Istiadat Konvokesyen USM akan berlangsung di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP) USM, Pulau Pinang pada 13 hingga 21 Dis ini.

Seramai 1,899 individu akan menerima Ijazah Kedoktoran dan Sarjana, Ijazah Sarjana Muda (4,031) dan Diploma Kejururawatan (34).

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Chong Wei tidak ke Olimpik Tokyo atas faktor kesihatan

KUALA LUMPUR, 6 JULAI: Ketua kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo Datuk Lee Chong Wei tidak akan ke Jepun atas faktor kesihatan dan nasihat doktor yang tidak membenarkannya ke luar negara.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang mengesahkan perkara itu berkata Chong Wei akan mengekalkan jawatan CDM berkenaan berdasarkan pendirian dibuat oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Beliau berkata Chong Wei akan memantau perjalanan atlet di Tokyo selain memberi nasihat serta kata-kata semangat secara maya dari sini sehinggalah temasya sukan terbesar dunia yang bermula 23 Julai ini melabuhkan tirainya pada 8 Ogos.

“Kami tetap pendirian dengan MOM untuk mengekalkannya sebagai CDM kerana Chong Wei merupakan nama yang amat besar dan signifikan serta cukup kuat dalam hati, sanubari dan minda rakyat Malaysia.

“Aspek pengurusan atlet di Tokyo pula akan dikelolakan Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan beliau juga akan tinggal bersama mereka di perkampungan sukan di sana nanti,” katanya dalam satu audio dikongsi kepada media hari ini.

Reezal Merican berkata demikian selepas meninjau persediaan dan persiapan akhir kem badminton negara bagi Sukan Olimpik di Akademi Badminton Malaysia, Bukit Kiara di sini.

Beliau berkata ketiadaan Chong Wei di Tokyo bukanlah satu masalah kerana hakikatnya, edisi kali ini berlangsung dalam keadaan yang cukup berbeza ekoran pandemik Covid-19 dan memberi jaminan pemenang tiga pingat perak berturut-turut Olimpik itu akan terus berhubung dengan kem Malaysia tanpa sebarang kekangan.

Beliau pada masa sama menghargai kegigihan dan kesungguhan Chong Wei untuk kekal bersama kontinjen Malaysia dan diharap semangatnya mampu memberi kejayaan kepada atlet membawa pulang pingat di Sukan Olimpik Tokyo.

Sementara itu, Reezal Merican memaklumkan akan membuat pengumuman mengenai sasaran pingat kontinjen negara pada Sukan Olimpik Tokyo kira-kira seminggu sebelum temasya sukan itu bermula.

Mengenai tinjauannya hari ini, beliau dimaklumkan oleh Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann bahawa tahap persediaan kem badminton negara ke Tokyo Olimpik kini berada pada tahap 95 peratus dan pemain dijangka mencapai tahap kemuncak prestasi sebelum berlepas ke Jepun pada 17 Julai.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan selain giat menjalani program latihan yang khusus, para pemain turut mengikuti sesi perkhidmatan psikologi yang menjadi aspek utama dalam fasa akhir ini bagi membantu mereka mengekalkan tahap motivasi dan fokus kepada latihan serta pertandingan.

Seramai lapan pemain badminton bakal menggalas cabaran negara pada Sukan Olimpik Tokyo terdiri daripada Lee Zii Jia (perseorangan lelaki); Soniia Cheah (perseorangan wanita); Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki); Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) dan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran).

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL SUKANKINI

Zii Jia, Chong Wei ada persamaan jadi pemain terbaik dunia – Misbun

KUALA LUMPUR, 7 APRIL: Juara perseorangan lelaki All England 2021 Lee Zii Jia mempunyai persamaan dengan bekas pemain nombor satu dunia dan jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, kata legenda badminton tanah air Datuk Misbun Sidek.

Pengarah Teknikal skuad badminton remaja negara itu berkata persamaan tersebut dapat dilihat dari segi keupayaan serta karisma Zii Jia, 23, selain pembawaan dirinya dalam meniti kerjaya menjadi seorang pemain terbaik di persada dunia.

“Kalau pada usia muda macam ni, dengan pukulan padu dan kuat, cara dia menerima tekanan di pertandingan besar, ini baru dua kali dia bermain di All England. Tahun lepas dia dapat masuk ke separuh akhir dan tahun ini jadi juara.

“Jadi ciri-ciri dan karisma (yang ada pada Chong Wei) itu ada (pada dirinya), cara dia membawa dirinya (seperti Chong Wei) memang ada,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Negara semalam selepas menghadiri jamuan teh bersama skuad All England 2021 negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan meraikan skuad negara ke Kejuaraan All England 2021 dalam Majlis Jamuan Teh di Istana Negara.

Zii Jia mencipta sensasi dalam arena badminton negara selepas merangkul gelaran sulung All England bulan lepas dengan menumbangkan nama besar badminton seperti pemain nombor satu dunia dari Jepun Kento Momota pada suku akhir sebelum menewaskan juara bertahan dari Denmark Viktor Axelsen pada final.

“Tetapi sekarang ini bagaimana nak membentuk dia (Zii Jia) ke arah yang lebih tangkas dan jitu lagi dari keseluruhan aspek. Maksudnya dari segi fizikal, teknik, taktikal, mental dan deria rasanya,” kata Misbun.

Selaku individu bertanggungjawab mencungkil bakat serta membentuk Chong Wei dan Zii Jia, Misbun berpendapat Zii Jia perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan aspek kecergasan fizikal untuk menjadi seorang pemain yang lebih stabil dalam kesemua kejohanan peringkat tertinggi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

“Terima kasih Chong Wei” – Tun M dan isteri

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Tun Dr Mahathir Mohamad menzahirkan rasa terharu dan sedih selepas jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan untuk bersara daripada arena badminton, semalam.

“Saya harap dia dapat rehat dan sembuh daripada penyakit yang dihadapi olehnya.

“Saya ucap terima kasih kepada Lee Chong Wei kerana meletakkan Malaysia dalam sukan dunia sebagai ‘champion’ berkali-kali.

“Kami akan merasa kehilangan champion kita kerana Chong Wei terpaksa bersara,” kata perdana menteri menerusi ucapan berbentuk klip video di laman Twitter, Facebook dan Youtube, hari ini.

Klip video berdurasi 1 minit 58 saat itu turut memaparkan isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, yang mengucapkan selamat maju jaya kepada pemain berusia 37 tahun itu.

“Tak apa Chong Wei, anda tidak beroleh peluang untuk meraih pingat emas Olimpik. Tak apa Chong Wei. Bagi saya, kesihatan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata, Chong Wei membuat keputusan tepat untuk bersara kerana isteri dan dua anak lelakinya akan sentiasa berada di sisinya.

“Seperti yang anda telah nyatakan, anda kini melatih mereka (anak lelaki) untuk bermain badminton. Insya-Allah, anda akan melihat anak lelaki anda bermain badminton dan memenangi pingat emas Olimpik untuk anda apabila mereka berpeluang berbuat demikian.

“Saya ucapkan selamat maju jaya dan usah dikesalkan (walau apa pun), kerana seperti yang anda katakan, anda telah lakukan yang terbaik buat negara, diri sendiri, keluarga anda dan kami semua.

“Jadi, Chong Wei, saya doakan semoga anda dikurniakan kesihatan yang baik, dan kebahagian bersama keluarga dan dua anak lelaki anda. Terima kasih Chong Wei,” kata Dr Siti Hasmah.

Bekas pemain nombor satu dunia itu mengumumkan persaraannya selepas 19 tahun mencurah keringat sebagai pemain badminton negara.

Antara pencapaian terbaik Chong Wei adalah memenangi pingat perak Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, pada edisi Beijing 2008, London 2012 dan Rio de Janeiro 2016.

Kali terakhir beliau merangkul kejuaraan adalah pada saingan Terbuka Malaysia 2018 yang menjadi gelaran ke-12 dalam kerjayanya.

– BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SUKANKINI

Syed Saddiq: Chong Wei hero buat semua

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 13 JUN: “Terima kasih Datuk Lee Chong Wei,” Itu yang diungkapkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika menutup ucapannya pada sidang media khas pengumuman persaraan legenda badminton negara berkenaan.

Syed Saddiq berkata, Chong Wei adalah wira sebenar kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan agama sekalipun, bersatu hati apabila melihat beliau beraksi di pentas antarabangsa.

“Untuk kita mencari satu lagi figura atau idola seperti Chong Wei adalah sukar kerana ia adalah sekali dalam seumur hidup. Seluruh rakyat Malaysia dan saya sendiri sangat beruntung kerana mempunyai Chong Wei.

“Walaupun beliau pilih untuk bersara tetapi roh perjuangannya akan terus meresapi kita semua malah semangat juang tingginya juga nyata membakar semangat seluruh rakyat Malaysia bukan saja bagi sukan badminton.

“Kami sentiasa bagi sokongan padu kepadanya kerana beliau adalah pejuang sejati,” katanya dalam satu keyataan media

PUTRAJAYA, 13 Jun — Pemain badminton negara, Datuk Lee Chong Wei pada sidang media khas di Kementerian Belia dan Sukan hari ini.
Chong Wei kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam sukan bulu tangkis pada usia 37 tahun.
Turut kelihatan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kanan) dan Presiden BAM,Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria (kiri)
–fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Dalam sidang media sama, Syed Saddiq juga dilihat beberapa kali menenangkan Chong Wei yang kelihatan tidak dapat menahan sebak selepas menamatkan karier profesionalnya selama 19 tahun dalam arena badminton.

Pada masa sama, Syed Saddiq berkata, beliau membesar dengan menyaksikan Chong Wei mengibarkan jalur gemilang dengan bangganya di televisyen dan beliau yakin bahawa pelbagai generasi melalui pengalaman yang serupa.

“Selepas bercakap dengan Chong Wei kami juga memutuskan untuk melantiknya sebagai Ketua Kontinjen negara ke Olimpik Tokyo kerana kami tidak menjumpai calon lebih baik daripadanya yang telah menjadi inspirasi kita semua selama ini,” katanya.

Katanya, bagi menghargai jasa Chong Wei berbakti selama 19 tahun untuk negara, Syed Saddiq mengumumkan pelantikan legenda itu sebagai Ketua Kontinjen negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

 

Categories
NASIONAL SUKANKINI

TPM: Semoga Chong Wei cepat sembuh

OLEH HAFIZAN TAIB

PUTRAJAYA, 22 SEPT: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta rakyat mendoakan kesembuhan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei yang kini dirawat di Taiwan, akibat barah hidung.

Wan Azizah yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melahirkan rasa dukacita dengan perkhabaran itu melalui laman media twitternya, @drwanaziah

“Berduka mendengar perkhabaran Datuk Lee Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal.

“DCLW sedang menerima rawatan di Taiwan. Sama-sama kita mendoakan DLCW diberi kesembuhan sempurna,” katanya.

Dalam satu kenyataan, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria mengesahkan Chong Wei menghidap barah hidung peringkat awal dan sedang menjalani rawatan di Taiwan.

Katanya, proses rawatan berjalan lancar dan ketika ini jaguh perseorangan negara itu sedang berehat bersama keluarga dan teman rapatnya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengambil berat dan berdoa untuk dirinya.

“Sokongan anda memberi kekuatan kepada Chong Wei,” katanya.

Categories
SUKANKINI

Chong Wei sanggup bayar denda demi kecergasan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 18 JAN: Datuk Lee Chong Wei sanggup membayar denda kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) untuk tidak menyertai beberapa kejohanan yang ditetapkan kerana mengambil kira faktor usia dan ketahanan fizikalnya.

Jaguh perseorangan negara itu berkata, tumpuannya terarah kepada kejohanan yang mempunyai standard lebih tinggi termasuk persiapan rapi untuk Kejohanan Dunia, Sukan Komanwel, Piala Thomas, Sukan Asia serta All England, pada tahun ini.

“Saya akan berbincang dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) jika perlu bayar denda, saya sanggup bayar. Usia saya bukan 25 tetapi 35 tahun.

“Sepatutnya ketika ini saya dan beberapa pemain lain berehat dan membuat persiapan All England, pada Mac ini. BWF keluarkan peraturan sebegini, kami pemain perlu akur,” katanya dipetik BERNAMA.

Berdasarkan peraturan baharu BWF, semua pemain yang berada dalam kelompok 15 terbaik dunia diwajibkan menyertai 12 kejohanan setahun, iaitu tiga kejohanan tahap dua, lima kejohanan tahap tiga dan empat kejohanan tahap empat.

Ekoran peraturan baharu itu, kebanyakan pemain terkemuka dunia tersingkir awal daripada saingan Perodua Masters Malaysia yang sedang berlangsung minggu ini di Arena Axiata, Bandaraya Sukan Kuala Lumpur, Bukit Jalil.

Chong Wei bersama dua jaguh badminton dunia, Chen Long dan Lin Dan serta Son Wan Ho dari Korea Selatan antara pemain terkemuka dunia yang turut terkeluar, pada saingan pusingan pertama.

 

Categories
SUKANKINI

Chong Wei ke final Terbuka Jepun

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke final selepas menewaskan bintang muda China, Shi Yuqi 21-18, 21-9 dalam aksi separuh akhir kejohanan, di Tokyo.

Pemain berusia 35 tahun itu hanya dipisahkan satu lagi perlawanan dalam usahanya meraih gelaran ketujuh Terbuka Jepun.

Chong Wei dijangkan akan menentang sama ada pemain Korea Selatan, Son Wan Ho atau juara dunia 2017, Viktor Axelsen dari Denmark bagi penentuan gelaran juara, esok.

Sebelum ini, beliau sudah enam kali bergelar juara Terbuka Jepun bermula 2007, 2010, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

Categories
NASIONAL

Chong Wei cedera, harapan beraksi di Komanwel tipis

SHAH ALAM, 5 JUL: Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei mungkin terpaksa melupakan hasrat untuk mengetuai skuad badminton negara ke Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Scotland, bermula 23 Julai ini.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, berkata beliau menerima berita bahawa Chong Wei mengalami kecederaan yang menyebabkannya mungkin tidak dapat menyertai skuad negara ke Scotland.

“Saya ada terima berita dari Institut Sukan Negara (ISN) bahawa kecederaan yang dialami Chong Wei mungkin tidak dapat mengizinkan beliau bermain di Sukan Komanwel ,” katanya yang dipetik daripada Malaysia Kini.

Lee Chong WeiBeliau berkata, jika perkara berkenaan disahkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) perlu memikirkan strategi terbaik bagi mencari pengganti Chong Wei.

“Saya harap BAM akan dapat buat pilihan terbaik untuk menggantikan beliau dan pemain lain harus menunjukkan prestasi baik untuk menampung kehilangan Chong Wei terutama dalam acara berpasukan.

“Jika perkara ini betul dan disahkan, ia adalah kehilangan besar buat kita sebab semua mengharapkan beliau untuk dapat satu atau dua pingat emas,” katanya.

Adalah difahamkan pemain berusia 31 tahun itu mengalami kecederaan pangkal peha ketika beraksi pada Kejohanan Terbuka Indonesia di Jakarta bulan lalu dan kini sedang menjalani rawatan dan pemulihan.

KHAIRYISN juga dikhabarkan sudah memaklumkan kepada pemain itu bahawa penyertaannya dalam Sukan Komanwel kali iniadalah keputusan yang tidak bijak kerana beliau memerlukan rawatan secara terperinci.

Selepas Sukan Komanwel, Chong Wei juga dijadual menyertai Kejohanan Dunia di Denmark pada 25-31 Ogos ini sebelum menyertai Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan, September ini.

JURNAL BERITA – MB cemerlang jana pendapatan ekonomi

1. Abdul Khalid : Rakyat penting demi kelangsungan pentadbiran Selangor –

2.Abdul Khalid penting dalam pentadbiran Selangor selepas PRK Kajang- Anwar –

3.Anwar : Prestasi Abdul Khalid cemerlang, jana pendapatan ekonomi Selangor –

4.Nurul Izzah alu-alukan Abdul Khalid dilantik Pengarah PRK Kajang –

5.Anwar tumpu pelbagai isu termasuk masalah peniaga Melayu di Kajang

6.Anwar ‘mengaku kalah’ jika lawan Lee Chong Wei

7.PRK DUN Kajang: AMK wujud pemantau khas media sosial dekati anak muda

8.UMCEDEL: Anwar dijangka menang majoriti besar PRK DUN Kajang

9.Anwar di DUN Kajang elak rampasan kuasa Perak berulang

10.PRK DUN Kajang: SPR perlu bidas rancangan Umno-BN guna taktik keji, lucah

11.Pengundi alu-alukan Anwar tanding di Kajang

12.Khalid Samad sedia sertai debat kalimah Allah anjuran SAMM

13.Khalid Samad : MAIS patut amal dasar syura bagi selesai isu Islam

14.AKTIVITI YB: 28 waris DUN Dengkil terima Skim Mesra Usia Emas

15.Khalid Samad : Tindakan Chin Cheh jauh beza berbanding fenomena lompat parti 2009

16.Iskandar : Polis perlu serius banteras budaya samseng di Kampung Pandan

17.Rakyat perlu waspada anasir jahat untuk timbul ketegangan

18.Program Pembasmian Kemiskinan Bandar: MBPJ jejak golongan miskin

19.Contract for Service MBPJ bantu ibu tunggal, golongan miskin raih peluang kerja

Categories
SELANGOR

Anwar ‘mengaku kalah’ jika lawan Lee Chong Wei

Oleh : AFIX REDZUAN

KAJANG, 4 FEB: Calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Datuk Seri Anwar Ibrahim ‘mengaku kalah’ jika jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei bertanding dalam pertandingan badminton menentang beliau.

Anwar menegaskan tidak akan menarik diri atau mengaku kalah dalam pertembungan pilihan raya sebagai menjawab tomahan dan cadangan dikemukakan pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya jaguh badminton itu diletakkan sebagai calon menentang beliau.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau adalah antara peminat Chong Wei dalam sukan badminton dan percaya pemain nombor satu dunia itu akan membuat pertimbangan bijak.

“Saya kebetulan minat Chong Wei dan mengaku kalah dalam badminton. Dalam politik beliau ada keyakinan dan saya yakin Chong Wei akan mendoakan kalau saya bertanding,” katanya ketika berucap di Taman Mesra, di sini, semalam.

DSC_9803Beliau yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh turut mengulas berkenaan modus operandi BN yang akan mengitar semula kempen serangan terhadap Anwar melalui video seks dan kes Fitnah II.

“Serangan media hina dan aib, bahkan Umno masih belum menukar cara yang digunakan setiap kali pilihan raya sejak 15 tahun lalu. Fitnah seks bermula daripada bangun tidur dan hingga tidur juga masih fikir seks.

“Setiap kali pilihan raya ini cara yang dijangka iaitu seks belum berakhir. Saya serah kepada Allah dan anda untuk fikir sebaiknya,” katanya.

Anwar berkata, hanya bertemu dengan bekas ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dua jam sebelum beliau menyerahkan surat perletakan jawatan.

DSC_9852“Saya hanya menemui Chin Cheh antara satu hingga dua jam sebelum beliau serah surat jawatan. Ada yang kecam dan bingung, bahkan saya dikatakan tamak tetapi tidak mahu jawab jika berniat buruk.

“Saya tidak tersinggung kalau ada yang tanya. Tidak betul ada pergeseran dua tokoh dan saya tidak perlu masuk campur,” katanya.

Beliau turut memuji ketokohan mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Bentara Setia Nik Abdul Aziz Nik Mat yang cekal menangkis serangan BN berseorangan selama ini dan kini giliran Selangor serta Pulau Pinang untuk berhadapan perkara sama selepas menang, sejak 2008.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Kerajaan P.Pinang Anugerah RM100 Ribu Untuk Chong Wei


SHAH ALAM 7 OGOS : Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menghadiahkan anugerah insentif sebanyak RM 100,000 kepada pemenang pingat Perak dua kali Sukan Olimpik, Datuk Lee Chong Wei yang baru pulang ke tanah air pagi ini.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata, pemberian insentif berkenaan sebagai penghargaan kepada usaha gigih beliau dalam pemburuan emas pertama negara dalam Sukan Olimpik 2012 baru-baru ini.

“Walaupun beliau tewas tipis dua mata di belakang pemain China, Lin Dan, rakyat Malaysia secara keseluruhannya masih sangat berbangga dengan sikap juang yang ditunjukkan beliau.

“Walaupun beliau gagal mendapatkan emas Olimpik pertama untuk Malaysia, hakikatnya beliau berjaya memenangi emas Olimpik dalam hati semua rakyat negara ini,” ujar Guan Eng.

Pemberian wang insentif itu akan diberi melalui program Perbadanan Bekalan Air Holdings Bhd (PBA) yang dianjurkan khusus bagi menghargai atlit-atlit bertaraf dunia kelahiran Pulau Pinang.

“Wang insentif ini juga adalah sebagai penyuntik semangat kepada Chong Wei bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik 2016 nanti.

“Semangat juang dan kemahiran berkelas dunia yang dimiliki beliau ternyata memberi inspirasi kepada kita selain menjadikan semua rakyat Malaysia sebagai satu bangsa, satu semangat dan satu jiwa.

“Sesungguhnya kami sangat berbangga dan berbesar hati dengan pencapaian jaguh badminton dari Bukit Mertajam ini” tambah Guan Eng.

Dalam perlawanan akhir badminton lelaki Sukan Olimpik Ahad lalu, Chong Wei akhirnya tewas 19-21 kepada Pemain Nombor 1 Dunia, Lin Dan dalam set ketiga setelah mendahului terlebih dahulu.