Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

300 kit ujian kendiri percuma untuk penduduk Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Sebanyak 300 kit ujian kendiri Covid-19 menggunakan air liur disediakan secara percuma kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata keutamaan diberi kepada individu yang mana ahli keluarga mereka atau orang berdekatan dijangkiti wabak berkenaan.

“Ini adalah inisiatif kita bagi menggalakkan masyarakat membuat saringan sendiri di samping membendung penularan Covid-19.

“Individu yang mahu kit ujian ini boleh dapatkan di pusat khidmat setiap Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa di sini hari ini.

Program berlangsung sejak jam 9 pagi hingga 3 petang itu menerima sambutan menggalakkan apabila 350 individu hadir secara terus dan mendaftar untuk menerima suntikan vaksin.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu belanja lebih RM95,000 untuk bakul makanan

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Lebih RM95,000 dibelanja bagi program agihan bakul makanan kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu sejak Januari lalu.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata bantuan tersebut diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada masyarakat terputus bekalan keperluan asas.

“Setakat ini kita melihat permintaan kepada bakul makanan semakin berkurang mungkin kerana ramai penduduk kembali bekerja dan sektor ekonomi juga telah banyak dibuka.

“Tetapi program seumpamam ini tetap diteruskan dan masyarakat memerlukan boleh tampil ke pusat khidmat masyarakat Kuala Kubu Bharu untuk mendapatkan bantuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak DUN Kuala Kubu Bharu di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa di sini hari ini.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ialah ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

350 hadir tanpa janji temu di vaksin bergerak Kuala Kubu Bharu

HULU SELANGOR, 24 SEPT: Seramai 350 individu mendaftarkan diri untuk menerima suntikan pelalian pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu hari ini.

Wakil rakyatnya Lee Kee Hiong berkata sambutan amat menggalakkan apabila masih ada segelintir masyarakat hadir secara terus untuk dapatkan dos vaksin negeri.

“Pendaftaran dibuka sejak beberapa hari lalu tetapi masih ada yang hadir tanpa janji temu…kita mungkin tidak dapat tunaikan semua permintaan kerana dos diperuntuk amat terhad dan keutamaan perlu diberi kepada yang berdaftar awal.

“Namun, kita akan beri vaksin kepada mereka yang hadir secara terus sekiranya peserta berdaftar tidak hadir,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Selvax bergerak di Dewan Serbaguna Kampung Chuang Rasa di sini hari ini.

Pada masa sama, beliau mencadangkan agar Kerajaan Negeri meneruskan program memandangkan masih ramai individu belum menerima vaksin meskipun dos pertama.

“Saya melihat ramai belum menerima suntikan sama ada warganegara mahupun warga asing. Diharap inisiatif ini dapat diteruskan,” katanya.

Bermula 13 September program Selvax bergerak dijalankan bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang itu menggunakan bas sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) yang akan bergerak ke seluruh DUN dan Parlimen mengikut jadual.

Pakej Kita Selangor 2.0 diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Kuala Kubu Bharu peruntuk lebih RM100,000 sumbang bakul makanan

SHAH ALAM, 4 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk sebanyak RM141,000 untuk bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sejak awal tahun ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) berkata daripada jumlah itu lebih 2,500 keluarga dibantu yang mana rata-ratanya hilang punca pendapatan kerana terkesan susulan pandemik Covid-19.

“Bantuan ini sentiasa diteruskan dari semasa ke semasa dan fokus kita tidak hanya bakul makanan sebaliknya turut menyumbang komputer riba dan wang tunai bergantung atas permintaan,” kata Lee Kee Hiong kepada SelangorKini.

Penduduk sekitar DUN terbabit yang memerlukan bantuan boleh menghubungi pusat khidmat masyarakat di talian 0111-550 9837.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pakej bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program itu memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

Bantuan makanan lebih RM20,000 untuk penduduk Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 18 OGOS: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memperuntuk lebih RM20,000 untuk bantuan bakul makanan kepada golongan memerlukan sejak 1 Ogos hingga Ahad lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN)nya berkata pusat khidmat menyalurkan bantuan tersebut setiap hari supaya tiada penduduk terputus bekalan makanan.

“Laporan menunjukkan kami telah menghantar sebanyak RM22,974.50 makanan untuk mereka memerlukan pada 1 hingga 15 Ogos,” kata Lee Kee Hiong menerusi Facebook.

Kepada penduduk DUN itu yang memerlukan bantuan boleh menghubungi talian 0111-550 9837.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan setiap DUN menerima bantuan tambahan RM50,000 menerusi Program Bakul Makanan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Turut menerima peruntukan tambahan dalam menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat ahli parlimen Pakatan Harapan berjumlah RM30,000.

Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta meliputi tiga strategi dan 25 program bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta rakyat.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kuala Kubu Bharu beri bantuan di rumah kebajikan

SHAH ALAM, 11 JULAI: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu memberi tumpuan mengagihkan bantuan ke rumah kebajikan selain mereka yang mengibarkan bendera putih.

Wakil rakyatnya, Lee Kee Hiong berkata penghuni rumah berkenaan turut dibantu berikutan kebanyakan bergantung sepenuhnya dengan sumbangan individu dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Ramai terjejas akibat Covid-19 dan kita yakin rumah-rumah kebajikan ini juga berdepan situasi sama serta perlu dibantu supaya tidak terputus bekalan makanan atau keperluan lain.

“Selain makanan, kita juga menyumbang barangan seperti susu, lampin pakai buang mengikut keperluan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, individu di DUN terbabit yang memerlukan pertolongan akan dibantu pusat khidmat masyarakat, ahli majlis, ketua kampung dan NGO dengan bekalan makanan hendak diagih diperoleh di kedai runcit berhampiran kawasan penerima.

“Ini salah satu cara menyokong membangunkan ekonomi tempatan pemilik premis niaga itu yang juga terkesan terutama sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

PKPD dikuat kuasa membabitkan 34 mukim di lapan daerah di negeri ini selama 14 hari bermula 3 hingga 16 Julai.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Hadiah wang tunai untuk calon SPM cemerlang di Kuala Kubu Bharu

SHAH ALAM, 14 JUN: Anak pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dipelawa memohon hadiah wang tunai ditawarkan.

Hadiah disediakan Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan untuk calon mendapat keputusan 5A ke atas dan permohonan dibuka sehingga 30 Jun depan.

Ahli Dewan Negerinya, Lee Kee Hiong berkata calon mendapat 5A menerima RM80, 6A (RM100), 7A (RM150), 8A (RM200), 9A (RM250) dan 10A (RM300 ke atas).

“Syaratnya ibu atau bapa adalah pengundi dalam DUN Kuala Kubu Bharu,” katanya menerusi Facebook hari ini.

Beliau berkata borang permohonan boleh diisi dengan mengimbas kod QR serta pautan khas di media sosial berkenaan.

“Pemohon perlu memuat naik sijil kelahiran serta slip keputusan SPM.

“Sebarang pertanyaan sila hubungi Wong Yoke Hin (019 614 7178) dan Ain Amira (011 1972 8303),” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Majoriti warga emas Kuala Kubu Bharu selesai daftar vaksin

HULU SELANGOR, 8 JUN: Kebanyakan warga emas sekitar Kuala Kubu Baharu selesai mendaftar program suntikan vaksin Covid-19, kata wakil rakyatnya.

Lee Kee Hiong menjelaskan pihaknya bersama ketua kampung dan ahli majlis turun ke kawasan kediaman bagi membantu urusan tersebut.

“Kita lakukan program ini sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh dilaksana. Hampir semua warga emas sudah didaftarkan.

“Kita harap bekalan vaksin sampai secepat mungkin memandangkan terdapat banyak varian virus baharu dikesan,” katanya ditemui pada program Saringan Komuniti di Dewan Merdeka Kuala Kubu Baharu.

Pada 4 April, Kerajaan Negeri melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel)
secara besar-besaran bagi membantu golongan yang berdepan kesukaran mendaftar vaksin.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu dibuat berikutan 37 peratus isi rumah di negeri ini tidak ada capaian kepada telefon pintar berdasarkan Jabatan Perangkaan pada 2019.

Sebelum ini, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan dua hingga lima juta dos vaksin yang mahu dibeli Kerajaan Negeri dijangka diterima sekitar Jun.

Pembelian itu penting bagi membantu mempercepat Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS, wakil rakyat bincang pembangunan isu rakyat

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat di Hulu Selangor berkaitan isu rakyat di samping mengeratkan ukhuwah.

Yang dipertuanya berkata perkara berkenaan menyentuh pembangunan di daerah itu terutama dalam sektor pelaburan, ekonomi, sosial dan pelancongan selain aduan rakyat yang akan ditangani mengikut bidang kuasanya.

“Perbincangan ini diharapkan dapat menghasilkan natijah yang baik kepada rakyat dan MDHS bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN),” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau berkata majlis minum petang pada Rabu lalu dihadiri Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong serta ketua jabatan MDHS.

“Kerjasama yang baik di antara MDHS dan wakil rakyat dapat menghasilkan impak positif demi kemajuan daerah Hulu Selangor,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat gesa penduduk jaga kebersihan, cegah denggi

SHAH ALAM, 14 JUN: Masyarakat digesa menjaga kebersihan kediaman masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk aedes, kata ahli dewan negeri Kuala Kubu Bharu.

Lee Kee Hiong berkata langkah itu dapat membendung penularan kes demam denggi yang meningkat kebelakangan ini.

“Saya harap masyarakat berikan kerjasama dengan kerap bersihkan rumah, pastikan tiada tempat yang boleh menjadi punca air bertakung kerana itu salah satu faktor aedes membiak.

“Jangan tunggu sehingga sesuatu musibah menimpa ahli keluarga baru tindakan dibuat. Ini adalah kediaman kita, maka jagalah kebersihan dan keselamatannya,” katanya kepada SelangorKini.

Hiong menerusi Pusat Khidmat Masyarakat Kuala Kubu Bharu turut menyerahkan sumbangan set peralatan semburan nyamuk kepada Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor pagi tadi.

Serahan itu bertujuan memberi kemudahan kepada kakitangan untuk menjalankan semburan menggunakan sejenis bakteria yang akan membunuh jentik-jentik dalam kawasan takungan air.

Sehingga kini Hiong memaklumkan terdapat lima kes demam denggi di kawasannya iaitu melibatkan lokaliti Bandar Utama Batang Kali bagi tempoh minggu epidemik 7 hingga 13 Jun (semalam).

Categories
ADN SELANGOR

Petugas hadapan MDHS dihargai, ADN agih ikan keli

SHAH ALAM, 24 APRIL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu menyumbang 400 kilogram ikan keli kepada petugas barisan hadapan di Hulu Selangor, sebagai tanda penghargaan kerana menjalankan tugas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Lee Kee Hiong berkata pihaknya mengagihkan barangan itu untuk kumpulan Bilik Gerakan Keselamatan Daerah dan Bilik Gerakan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang terlibat dengan tugasan tanpa henti sejak 18 Mac lalu bagi membasmi wabak Covid-19.

 

“Kita menghantar semua ikan keli itu kepada mereka menjelang Ramadan. Terima kasih atas khidmat bakti dicurahkan,” katanya menerusi Facebook semalam.

Kelmarin, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Bharu juga berbesar hati menyumbangkan 730 kilogram belimbing kepada Orang Asli, MDHS, pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan sukarelawan di kawasan berkenaan.

Lee berkata pemberian tersebut sekali gus membantu pekebun di Ulu Yam yang kini berdepan masalah eksport ketika PKP.

Categories
SELANGOR

Bas Smart Selangor laluan Batang Kali dipinda

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 MAC : Laluan Bas Smart Selangor di Batang Kali dipinda bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik mulai hari ini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, beliau sudah berbincang dengan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) untuk memanjangkan lagi laluan bas berkenaan.

“Selepas saya menaiki Bas Smart Selangor, berita gembira mahu disampaikan kepada penduduk Batang Kali, Ulu Yam dan Antara Gapi.

“Laluan bermula dari Stesen Komuter Batang Kali bertambah dari satu arah ke dua arah iaitu Arah Antara Gapi dan Arah Bandar Utama Batang Kali,” katanya dalam kenyataan.

Kee Hiong berkata, laluan juga bakal dipanjangkan ke Kampung Sungai Masin dan Desa Alam Ria.

Pada 2016, MDHS mula dilengkapi dua Bas Smart Selangor bagi laluan membabitkan jajaran Bukit Sentosa ke Kuala Kubu Bharu dan Jajaran Stesen Komuter Batang Kali ke Ulu Yam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM30 juta bagi meneruskan inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor, pada 2018.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkhidmatan Bas Smart Selangor turut ditingkatkan jumlah laluan.

Katanya, ia turut membabitkan laluan di kawasan perumahan kos rendah dan sederhana serta kawasan awam seperti sekolah, pasar, hospital, pusat pengajian tinggi juga industri.

“Sehingga 30 September lalu, Kerajaan Negeri membiayai kos pelaksanaan RM43 juta untuk menyediakan 100 unit Bas Smart Selangor yang sedang beroperasi, di 30 laluan meliputi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memberi manfaat kepada 22.1 juta ridership dalam tempoh tiga tahun,” katanya.