Categories
ADN SELANGOR

596 mangsa ribut Lekima terima bantuan lebih RM1.73 juta

SABAK BERNAM, 26 SEPT: Lebih RM1.73 juta diperuntukan kepada 596 mangsa yang terkesan ekoran ribut Lekima membabitkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabak, Sungai Air Tawar, Sungai Panjang dan Sekinchan.

Peruntukan berkenaan disumbangkan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Kumpulan Semesta Berhad (KSSB) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Unit Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan, sumbangan fasa pertama itu diserahkan kepada 225 penerima dari DUN Sabak membabitkan sejumlah RM678,600.

Sumbangan itu disampaikan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh dan Ahli Dewan Negeri Sabak, Ahmad Mustain Othman.

Hadir sama, Pengurus Kanan Perhubungan Awam dan Hal Ehwal Korporat KSSB, Abdul Wahab Nordin dan Pengurus Besar Kewangan LZS, Ahmad Nasaruddin Mohd Ali.

“Sementara itu, bagi fasa kedua dan ketiga diserahkan kepada DUN Sungai Air Tawar membabitkan peruntukan RM655,400 (273 penerima); Sungai Panjang berjumlah RM383,180 (93 penerima) dan Sekinchan berjumlah RM13,300 (lima penerima),” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari melawat mangsa ribut dan kediaman mereka di kawasan berkenaan serta meluluskan bantuan kewangan segera berjumlah RM500 bagi setiap rumah serta bantuan baik pulih selepas laporan penilaian kerosakan rumah dibentang.

Bantuan baik pulih rumah itu diberi mengikut kerosakan iaitu kecil, sederhana dan kritikal.

Beliau percaya kejadian ribut di kawasan itu mempunyai kaitan dengan taufan Lekima yang melanda Taiwan ekoran kawasan terbabit berhampiran laut.

Dalam kejadian pada 10 Ogos lalu, hujan lebat dan angin kencang memusnahkan kediaman penduduk dan premis perniagaan di beberapa DUN di negeri ini.