Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja 13 tahun lemas jatuh kolam ketika memancing

SEREMBAN, 3 MAC: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun ditemukan lemas dipercayai terjatuh di sebuah kolam berhampiran Taman Bukit Saga, Mantin, dekat sini lewat malam tadi.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan diketuai Penolong Kanan Penguasa Bomba Saiful Nazri Mohd Nor berkata mayat Danny Izzahagi Muhammad Azrul dari Taman Desa Pelangi, Mantin di sini ditemukan pasukan bomba pada 11.28 malam tadi.

Beliau berkata bomba menerima panggilan daripada bapa mangsa pada pukul 6.52 petang semalam mengenai kejadian tersebut.

“Bapa mangsa telah mencuba menyelam mencari mangsa di kolam tersebut namun tidak berhasil, kemudian telefon bomba untuk bantuan. Mangsa dijumpai di dasar kolam.

“Difahamkan pada 5.30 petang, mangsa bersama empat rakannya memancing di kawasan kolam tersebut dan rakan mangsa memaklumkan mangsa berlari di kawasan tersebut sebelum terjatuh ke dalam kolam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki korban kedua banjir Kelantan

KOTA BHARU, 28 FEB: Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun menjadi korban kedua banjir di Kelantan selepas ditemukan lemas di Kampung Talang dekat Kadok di sini pada 7.15 malam semalam.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata Mohamad Fazli Tamri, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Kiat di sini, dipercayai sedang menunggang basikal bersama rakannya sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam tali air di kampung itu pada 6.20 petang.

“Rakannya cuba menyelamatkan mangsa, bagaimanapun gagal dan telah memanggil penduduk berdekatan untuk meminta pertolongan.

“Operasi mencari berjaya menemukan mangsa kira-kira 50 meter dari tempat dia terjatuh,” katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Muhamad Zaki berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya.

Terdahulu, seorang warga emas lelaki berusia 70 tahun menjadi korban pertama banjir di Kelantan yang turut ditemukan lemas hari ini di Kampung Kuala Gris dekat Dabong, Kuala Krai pada 7 malam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Banjir: 47 maut di tiga negeri, lima masih hilang

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Polis Diraja Malaysia mengesahkan seramai 47 orang menjadi mangsa korban banjir seluruh negara sehingga kini dan lima lagi masih hilang.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Selangor kekal dengan 25 mangsa manakala Pahang seramai 19 mangsa dan di Kelantan tiga mangsa.

“Mangsa di Selangor melibatkan 17 lelaki dan lapan wanita dan di Pahang melibatkan 13 lelaki dan empat wanita serta dua kanak-kanak lelaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Kelantan melibatkan dua lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kanak-kanak lelaki lemas dalam kolam renang buatan sendiri

IPOH, 7 NOV: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia awal pagi ini, selepas dipercayai lemas dalam sebuah kolam renang berhampiran rumahnya di Kampung Balun, Slim River di Tanjung Malim semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Sulizmie Affendy Sulaiman berkata bapa mangsa menyedari anak lelakinya yang berumur setahun sembilan bulan tiada di dalam rumah dan menemukan anaknya lemas di dalam kolam buatan sendiri berhampiran rumahnya pada kira-kira 9 pagi semalam.

“Bapanya telah membawa mangsa ke Hospital Slim River dan semasa itu mangsa didapati masih hidup dan diberi rawatan awal.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk rawatan lanjut kerana keadaannya yang tidak stabil. Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh doktor pada 2.30 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sulizmie Affendy berkata proses bedah siasat mangsa akan dijalankan hari ini untuk mengetahui sebab sebenar kematian kanak-kanak tersebut.

Katanya polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut (SDR) dan siasatan secara menyeluruh sedang dijalankan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lelaki lemas mandi air terjun di Ulu Yam bersama rakan

SHAH ALAM, 30 OKT: Kegembiraan lima remaja lelaki mandi di Air Terjun Ulu Yam dekat Hulu Selangor, hari ini bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka lemas.

Mayat mangsa dikenali sebagai Muhammad Hafiz Khalil, 17, ditemui pasukan penyelamat pada jam 4.42 petang, lapor Berita Harian.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima maklumat kehilangan mangsa pada jam 3.45 petang.

Menurutnya sepasukan tujuh anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dihantar ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang turut disertai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Selangor.

“Berdasarkan maklumat, lima remaja lelaki berusia 13 hingga 17 tahun mandi di tempat kejadian sebelum seorang daripadanya dikatakan tenggelam sebelum dipercayai lemas.

“Mangsa ditemui tidak lama selepas itu dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Hafisham berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda lemas ketika mandi di Sungai Kedondong, Batang Kali

SHAH ALAM, 2 OKT: Seorang pemuda ditemui lemas ketika mandi bersama enam rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali, Hulu Selangor hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Kamal Nordin, 22, ditemukan anggota bomba pada jam 5.15 petang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 3.56 petang.

Norazam Khamis berkata sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi dengan operasi pencarian dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Shah Alam dan BBP Pelabuhan Klang.

“Mangsa ditemui berhampiran tempat dia dipercayai tenggelam dengan kedalaman kira-kira tiga meter,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya tujuh sekawan itu termasuk mangsa terdiri daripada lima lelaki dan dua perempuan datang dari Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Remaja lemas cuba selamat kawan tergelincir ketika berswafoto

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Seorang lelaki ditemukan lemas ketika cuba membantu rakannya yang tergelincir ketika berswafoto berdekatan kawasan empangan di jambatan Kampung Pertak, Kuala Kubu Bahru, Selangor, petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata mayat mangsa berusia 19 tahun itu ditemukan kira-kira 6 petang.

Terdahulu, pihaknya menerima panggilan pada 3.54 petang sebelum anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu bergegas ke lokasi kejadian.

“Ketika kejadian, mangsa cuba menyelamatkan rakannya yang tergelincir dari jambatan ketika sedang berswafoto.

“Rakannya yang berusia 20 tahun itu berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sebelum pihak bomba sampai di lokasi namun mangsa yang bertindak terjun untuk menyelamatkannya pula tidak timbul,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Norazam turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika melakukan aktiviti berkelah atau bercuti di kawasan berair seperti sungai dan empangan, serta beredar sekiranya hujan bagi mengelakkan kejadian banjir kilat, kepala air atau kenaikan paras air secara mendadak.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemancing dikhuatiri lemas di Batu Laut Morib, Banting

SHAH ALAM, 24 JULAI: Seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah terjatuh dari bot semasa dalam perjalanan untuk pergi memancing ikan di Batu Laut Morib, Banting, kira-kira 50 kilometer dari sini, petang semalam.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata pihaknya menerima panggilan pada 7.53 malam dan tiba di lokasi pada 9 malam.

“Tujuh anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting telah ke lokasi dan membuat pencarian di persisir pantai dan membuka pos kawalan bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hafisham berkata sebarang informasi terkini mengenai mangsa berusia 27 tahun itu akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lelaki dikhuatiri lemas selepas dihanyut arus bersama kereta

KLUANG, 3 JAN: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila hilang selepas dihanyutkan arus bersama kereta Proton Waja dipandunya dalam kejadian di Batu 18, Jalan Batu Pahat-Mersing, Kahang dekat Kluang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Low Hang Seng berkata kejadian dilaporkan berlaku pada kira-kira jam 5.30 petang ketika, Md Rajihan Junaidi, 28, sedang melalui jalan berkenaan bersama isterinya, Khairunnisa Ibrahim, 25, dengan memandu kereta.

“Mengikut keterangan dalam laporan polis yang dibuat Khairunnisa pada jam10.35 malam tadi di Balai Polis Kahang, dia dan suaminya (Md Rajihan) membuat keputusan untuk meredah banjir ketika sampai di laluan berkenaan sebelum kereta mereka dihanyut arus ke sebelah kanan jalan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata Md Rajihan sempat memecahkan cermin kereta untuk menyelamatkan Khairunnisa, dan wanita itu berjaya diselamatkan orang awam, sebelum dia sendiri hanyut dibawa arus bersama dengan kenderaannya.

Low berkata pihak bomba melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejurus selepas menerima laporan, namun keadaan air yang semakin deras serta cuaca gelap menyukarkan operasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mayat bakal pengantin ditemukan pagi tadi – polis

MARANG, 27 DIS: Mayat bakal pengantin yang dikhuatiri lemas di Pantai Kelulut Jumaat lepas, ditemukan terdampar di Pantai Alur Tuman di sini pagi tadi.

Mayat Naim Hariri Kamaruddin, 31, dari Kuala Lumpur ditemukan pada 8.55 pagi oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan di pantai itu, kira-kira tiga kilometer dari lokasi beliau dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris berkata ayah mangsa Kamaruddin Abdullah, 59, telah dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah anaknya berpandukan beberapa identiti.

“Mayat dijumpai dalam keadaan yang sempurna tanpa sebarang kecederaan dan akan dihantar ke forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.

“Dengan penemuan ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) di Pantai Kelulut ditamatkan dan tumpuan akan diberi untuk satu lagi operasi mencari lelaki yang masih belum ditemukan di Pantai Jambu Bongkok,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Naim Hariri datang ke Terengganu pada Khamis lepas dijadualkan bernikah dengan tunangnya, Fatin Nabilah Huda Ismail, 27, di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Bakal pengantin dikhuatiri lemas, kenduri tetap diteruskan

MARANG, 26 DIS: Keluarga pihak pengantin perempuan tetap meneruskan kenduri perkahwinan hari ini walaupun bakal pengantin lelaki dikhuatiri lemas dalam kejadian di Pantai D’ Marang Village, Kelulut semalam.

Ismail Awang, 61, berkata anaknya Fatin Nabilah Huda, 27, dijadual bernikah dengan Naim Hariri Kamaruddin, 31, pada 10 pagi tadi di Masjid Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung dan kenduri pula diadakan dari pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

“Namun, detik istimewa buat anak saya tidak berjalan seperti dirancang kerana Naim Hariri dikhuatiri lemas semalam, kami sekeluarga reda dengan takdir yang menimpa namun, kenduri tetap diteruskan hari ini kerana ramai tetamu sudah datang sejak 10 pagi,” katanya ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Surau Haji Mat Zin, Bukit Payung di sini.

Tinjauan Bernama mendapati Ismail dan keluarga kelihatan tenang ketika melayan tetamu yang datang menzahirkan simpati sebaik mengetahui tragedi tersebut.

Semua persiapan seperti pelamin dan barang hantaran telah terhias indah malah kenduri perkahwinan itu juga mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19 seperti membuat pemeriksaan suhu badan dan merekod butiran tetamu yang datang melalui aplikasi MySejahtera.

Ismail berkata mengikut perancangan, setelah majlis pernikahan berlangsung hari ini, kenduri menyambut menantu akan diadakan pihak keluarga lelaki di Kuala Lumpur pada 9 Jan tahun hadapan.

“Saya sempat berjumpa Naim Hariri ketika dia datang ke rumah untuk melihat persiapan terakhir kenduri pada pagi semalam. Tak sangka pula ini yang berlaku.

“Memang sedih sangat dengan apa yang berlaku kerana terjadi hanya sehari sebelum majlis pernikahan berlangsung. Saya harap anak akan terus kuat semangat dan semoga Naim Hariri dapat ditemukan secepat mungkin,” katanya.

Naim Hariri, yang beralamat di Kuala Lumpur dikhuatiri lemas setelah dipercayai hilang ketika mandi laut di pantai itu petang semalam

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa masih gagal menemui petunjuk baharu setakat 10 pagi tadi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Dua lelaki dikhuatiri lemas di Marang

MARANG, 26 DIS: Dua lelaki dikuatiri lemas setelah dipercayai hilang ketika mandi laut, petang semalam, kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang Yahya Hanafi.

Beliau berkata dalam kejadian berasingan itu, pihaknya masih gagal menemui mangsa sehingga malam ini ekoran keadaan ombak bergelora.

Katanya, kejadian pertama berlaku di Pantai Jambu Bongkok dan bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 6.37 petang manakala kejadian kedua di Pantai D’Marang Village, Kelulut, hanya beberapa minit selepas itu.

“Bagi kes di Pantai Jambu Bongkok mangsa ialah Wan Nashaifudin Wan Latif, 48, yang beralamat di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, manakala bagi kes di Pantai D’ Marang Village, Kelulut mangsa dikenali sebagai Naim Hariri Kamaruddin, 31, beralamat di Kuala Lumpur.

“Kedua-dua mangsa disyaki lemas selepas mandi di pantai tersebut,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Yahya berkata meskipun bomba menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat di laut, pihaknya masih giat melakukan rondaan di sepanjang pesisir pantai.

– BERNAMA