Categories
NASIONAL

Harga ikan dijamin stabil – LKIM

KUALA LUMPUR, 5 JAN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan harga makanan laut terutama ikan tidak akan mengalami peningkatan walaupun keadaan cuaca tidak menentu pada masa kini.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya membuat persediaan awal bagi memastikan bekalan ikan mencukupi.

“Kami jamin harga ikan tidak akan naik sebab kami membuat persediaan awal bagi memastikan stok mencukupi dan LKIM menerusi pelbagai pihak di bawah agensi ada menyimpan serta menambah stok ikan dan kami juga ada bekalan ikan sejuk segar dengan harga murah, jadi usaha yang kami buat itu akan dapat menstabilkan harga ikan.

“Kami tidak ada satu punca kuasa untuk menetapkan harga ikan di pasaran jadi kami perlu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan tidak ada kenaikan harga mendadak tetapi di peringkat LKIM apa yang kami mampu lakukan ialah memastikan bekalan ikan mencukupi dan harga ikan stabil terutama pada musim tengkujuh,” katanya, lapor BERNAMA, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga mengambil langkah untuk mengehadkan pengeskportan ke luar negara bagi memastikan bekalan dalam negara mencukupi.

“Sepanjang Januari dan Februari ini, kerajaan telah hadkan pengeksportan beberapa jenis ikan ke luar negara seperti ikan kembong dan bawal. Usaha ini untuk memastikan ikan dalam negara mencukupi, ada juga peniaga yang eksport ke luar tapi kami telah arahkan untuk hadkan eksport ikan berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, beliau menjangkakan harga makanan laut terutamanya ikan akan mengalami kenaikan harga.

“Ya, kami jangkakan harga ikan akan naik terutamanya bekalan ikan segar susulan keadaan cuaca buruk kebelakangan ini, angin kencang, ribut dan sebagainya yang menyukarkan nelayan untuk ke laut, tetapi harga ikan akan turun apabila cuaca kembali seperti biasa.

“Namun harga barang makanan lain tidak akan terjejas, katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan hari ini mengeluarkan penamatan amaran ribut tropika Pabuk setelah kedudukan ribut tropika itu semakin menjauhi perairan Malaysia dan tidak lagi memberi ancaman kepada negara.

Categories
NASIONAL

Siasat Projek ICU Tidak Ikut Peraturan

Pengerusi-Biro-Kepenggunaan-PKR-Mohd-Yahya-Mat-Shari

PETALING JAYA, 11 JAN : PKR mendakwa banyak projek yang dilaksanakan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang dilaksanakan dengan cara salah dan tidak mengikut peraturan.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri berkata, justeru pihak Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk membuat siasatan ke atas projek-projek tersebut yang dibina tanpa mengikut aturan sah.

Katanya, ia melanggar aturan sebagaimana manual membangunkan sesuatu projek seperti yang digariskan JPM serta Kementerian Kewangan.

Dalam aturan itu menyatakan untuk pembangunan tanah, maka tukar syarat hendaklah memperolehi kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta mematuhi syarat kebenaran yang telah diberikan kepadanya namun hal itu tidak dipatuhi.

Ujarnya lagi, beliau memberikan contoh bahawa sebanyak 18 projek kecil oleh ICU di Kuala Selangor yang bernilai setiap satunya sekitar antara RM90,000 dibuat secara gotong royong dengan tidak melantik kontraktor.

“Bagaimana projek sebegini dibuat tanpa spesifikasi jelas, ke manakah pembayaran dibuat dan siapakah pegawai teknikal dan pegawai pemantau bagi mengesahkan perjalanan projek,” soal Yahya semasa sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.

Beliau membuat sidang media itu selepas menerima pelbagai rungutan dan aduan daripada Ketua Kampung dan Ketua Komuniti daripada pelbagai kawasan berkenaan pelaksanaan projek ICU itu.

Jelas beliau, dua projek ICU iaitu jeti pendaratan ikan milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Bagan Pasir Penambang Kuala Selangor dan di Kampung Sungai Yu yang menelan belanja RM24 juta menjadi projek Gajah Putih dan berstatus projek terbengkalai.

Jeti LKIM di Bagan Pasir Penambang itu yang telah siap lebih dua tahun tetapi tidak dapat digunakan kerana pelbagai masalah antaranya belum mendapat kelulusan tukar syarat dan kebenaran merancang daripada PBT.

Manakala projek jeti pendaratan ikan di Kampung Sungai Yu juga mempunyai masalah yang hampir sama dengan tidak dapat digunakan secara keseluruhannya.

“Penduduk dan nelayan merungut kerana projek berjumlah RM5 juta itu tidak dapat digunakan dengan sempurna dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik serta perkhidmatan kutipan sampah tidak dapat dilakukan,” kata Yahya.

Noh Tidak Profesional, Halang Pegawai Pertanian Jumpa Exco Selangor

SHAH ALAM, 26 OKT: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar didakwa menghalang pegawai kementeriannya menghadiri mesyuarat Exco Pemodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor merupakan suatu tindakan tidak profesional.

Tindakan Menteri tersebut menyebabkan pembangunan pertanian di Negeri Selangor tidak dapat diselaraskan dengan baik.

Demikian beritahu Exco terbabit, Dr Yaakob Sapari ketika ditemui TV Selangor selepas sidang Dewan Negeri Selangor ditangguhkan petang ini.

Dr Yaakob juga berkata, salah satu akibat daripada tindakan tersebut akhirnya menyebabkan jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Sungai Yu, Kuala Selangor dibina tanpa kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor.

“Apa yang berlaku contohnya, bila sesuatu pembangunan dijalankan, dia masuk ke hutan atau tanah Kerajaan Negeri tanpa izin.

“Ini bertentangan dengan peraturan iaitu setiap pembangunan tanah mesti melalui Kerajaan Negeri.

“Jeti LKIM dibina tanpa merujuk kepada Kerajaan Negeri sedangkan sepatutnya dia kena rujuk Kerajaan Negeri supaya pembangunan itu dijalankan dengan cara dan prosedur yang betul,” kata Dr Yaakob.

Menyentuh isu jeti LKIM itu juga Dr Yaakob memberitahu satu permohonan kebenaran merancang dibuat oleh pemaju projek tersebut.

Bagaimanapun, permohonan tersebut dikembalikan semula dengan arahan membuat pembetulan dalam beberapa isu pembangunan projek itu.

Kemudian, pihak pemaju didapati tidak mengemukakan permohonan kebenaran merancang itu semula untuk diberikan kelulusan sekaligus menjadikan pembangunannya tidak mendapat kelulusan kebenaran merancang.

Categories
SELANGOR

Yaakob: Kerajaan Negeri Beri Pelbagai Inisiatif Bantu Nelayan

SHAH ALAM 20 NOV: Kerajaan Selangor telah memberikan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan pendapatan nelayan negeri ini seperti bot dan peralatan menangkap ikan.

Exco Pertanian dan Pengurusan Sumber Alam, Yaakob Sapari berkata, pada tahun 2012 Kerajaan Negeri memberikan peruntukan kepada Jabatan Perikanan bernilai RM 300,000 untuk membantu nelayan di Selangor.

Katanya, bantuan yang diberikan adalah sampan ‘fibreglass’, engin serta jaring untuk menangkap ikan.

“Melalui peruntukan dana nelayan oleh Kerajaan Negeri ini yang memberikan pelbagai bantuan peralatan dan alat tangkapan ikan diharap memastikan hasil tangkapan dapat ditingkatkan,” katanya yang merupakan Adun Kota Anggerik.

Yaakob berkata demikian ketika menjawab pertanyaan daripada Dr Shafie Abu Bakar (Pas-Bangi) dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Sehingga kini, terdapat 7,655 orang nelayan di Selangor di dalam enam daerah iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Purata pendapatan mereka sekitar RM 1,000 hingga RM 1,500.

Sementara itu, Lembaga Zakat Selangor (LZS) turut menyediakan program bantuan peralatan menangkap ikan kepada nelayan di negeri ini.

Dalam pada itu, Yaakob berkata, program bantuan menaiktaraf jeti pendaratan ikan diuruskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan.

Categories
NASIONAL

Isu Jeti: Saman Untuk Halang Diketahui Rakyat

SHAH ALAM, 27 MAC : Cadangan supaya Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk menyaman mana-mana pihak yang melaporkan isu pembinaan sebuah jeti di Tanjung Karang yang dibina tanpa kelulusan hanya bertujuan menghalang isu sebenar dari diketahui rakyat.

“Sebenarnya LKIM, (Datuk Seri) Noh Omar pun memang tahu kebenaran isu yang saya sebutkan tempoh hari.

“Cuma mereka ambil tindakan saman semata-mata untuk dapatkan perintah sementara mahkamah menghalang dari isu ini disebarkan sekaligus cuba menyekat rakyat dari mendapat maklumat dalam isu ini.

“Tetapi ini adalah hakikat sebenar apa yang berlaku dalam isu ini, rakyat mesti tahu,” kata Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang, Mohd Yahya Mat Sahri tentang isu jeti itu di Pasir Penambang,

Tambahnya, duit bina jeti itu bukannya duit LKIM, Noh Omar ataupun Umno, tetapi milik dana awam atau rakyat.

“Jadi apa yang tak kenanya jika rakyat tahu kedudukan sebenarnya?” Soal beliau ketika dihubungi petang ini.

Menurut Yahaya, LKIM tidak mempunyai alasan kukuh untuk mengambil tindakan saman dalam isu ini.

“Di bahagian mana cakap saya ada yang salah tentang pembinaan Jeti LKIM ini, dah memang mereka bina tanpa pelan kelulusan.

“Kalau bukan LKIM sekalipun, tak kiralah samada melibatkan pihak pro Pakatan Rakyat pun saya akan dedahkan,” kata beliau.

Yahaya turut memberitahu Noh dan LKIM sepatutnya menghormati undang-udang negara ini.

“Tetapi mereka sendiri tidak hormati undang-undang dengan membelakangkan peraturan untuk bina bangunan, jadi macamana nak didik masyarakat supaya ikut undang-undang,” kata beliau lagi.

Dalam laporan akhbar Sinar Harian Jumaat lalu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar memberitahu, LKIM sebuah agensi di bawah kementeriannya akan mengambil tindakan saman terhadap akhbar Selangor Kini terbitan kerajaan negeri setelah melaporkan ia dibina tanpa pelan kelulusan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Bagaimanapun selain akhbar Selangor Kini, Sinar Harian yang turut memberikan fokus dalam isu yang sama tidak pula disebut sebagai pihak yang akan berhadapan dengan tindakan saman itu.

Categories
NASIONAL

Nelayan Berputih Mata,Hak Diserah Kepada LKIM

TANJUNG KARANG 28 FEB: Persatuan Nelayan dan Komuniti Pengurusan Sumber Perikanan (KPSP) Kampung Sungai Yu terpaksa berputih mata apabila hak pengurusan kemudahan di jeti Kampung Sungai Yu diserahkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Antara kemudahan yang baru siap dibina di jeti kawasan tersebut ialah kedai makan dan chalet yang sepatutnya memberi sumber pendapatan kepada persatuan dan nelayan-nelayan di kampung terbabit.

“Persatuan dan PKSP di sini berusaha keras untuk mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Perhutanan dan membangunkan kawasan ini termasuklah membayar surat perjanjian selama lima tahun berjumlah RM5,800.

“Tetapi apabila mereka melihat potensi kawasan ini boleh dibangunkan, mereka bangunkan kawasan ini tanpa berbincang dengan persatuan.

“kononnya bila dah siap nanti persatuan yang akan dapat seperti sewa chalet dan kedai sebagai sumber pendapatan persatuan tetapi akhirnya diberi kepada LKIM,” beritahu Ketua Kampung Sungai Yu, Muhad Solihi.

Sementara itu, Ketua Biro Pembangunan KPSP, Dimyati Dualo memberitahu pihak persatuan  membuat perancangan rapi untuk membangunkan kawasan terbabit sebelum diambil alih oleh LKIM.

“Persatuan merancang untuk membangunkan kawasan ini dengan aktiviti yang dapat menjana sumber pendapatan seperti aktiviti ekonomi dan pelancongan seperti pasar malam dengan tarikan utamanya ikan bakar.

“Aktiviti pelancongan lain yang telah dirancang oleh persatuan ialah aktiviti meninjau burung helang, melihat kelip-kelip, tuntung bertelur,  pakej memancing, pakej menjaring dan makan di dalam sampan seperti yang kita lihat di Thailand.

“Bayangkan perasaan nelayan di sini yang merancang semenjak dahulu lagi, berkerja keras bangunkan kawasan ini dan usahakan permit dari Jabatan Perhutanan.

“Bila sahaja dah dapat permit dan persatuan dah pun bayar RM5,800 kepada Jabatan Hutan, tiba-tiba usaha kami nelayan di sini dipotong oleh Kerajaan Pusat di bawah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan diberi kepada LKIM,” ujar beliau lagi.