SETIA ALAM, 7 SEPT: Kerajaan Negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) membeli 979 unit Rumah Selangorku untuk melaksanakan program Skim Smart Sewa sejak mula diperkenalkan pada 2017 sehingga kini.
EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamed Talha berkata, sehingga kini Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM150 juta bagi pembelian unit kediaman bagi pelaksanaan skim itu.
Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 515 unit disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450 sehingga RM900 sebulan.

“Pada akhir tahun ini sehingga pertengahan 2020 sebanyak 464 unit lagi dijangka disiapkan dan sedia untuk disewa kepada orang awam.
“Malah, hari ini di Setia Alam sahaja, sebanyak 30 unit untuk projek De Kiara sudah diserahkan kunci untuk mereka sewa, manakala 30 unit lagi bagi projek De Bayu dijangka bakal diserahkan kunci pada Oktober,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kepada Pembeli Rumah Selangorku De Cemara Setia Alam dan Penyerahan Kunci Kepada Penyewa Skim Smart Sewa , De Kiara Setia Alam, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SP Setia Berhad, Dato’ Khor Chap Jen dan Ketua Penolong Pengarah LPHS, Mohd Hafiz Hassan.

Pada masa sama, Haniza berkata, Skim Smart Sewa diperkenalkan Kerajaan Negeri bertujuan membantu golongan sasar untuk menyewa sambil menyimpan.
Katanya, setiap penyewa akan menyewa untuk tempoh sekurang-kurangnya dua tahun dan tempoh maksima sewaan adalah lima tahun.
“Sebanyak 30 peratus daripada jumlah keseluruhan sewaan bersih ini akan dipulangkan semula sebagai insentif dalam membantu mereka menyediakan deposit pembelian Rumah Selangorku kelak.
“Menariknya, ia juga sebagai jalan mudah untuk penyewa membeli Rumah Selangorku kerana Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd akan menyerahkan senarai nama kepada LPHS untuk diberi keutamaan kepada peserta Skim Smart Sewa,” kata Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya itu.

Terdahulu, seramai 30 keluarga menerima manfaat Skim Smart Sewa Pangsapuri De Kiara selepas menerima kunci yang diserahkan sendiri EXCO terbabit, hari ini.
Unit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi itu dilengkapi tiga bilik dan dua tandas selain kemudahan dua parkir bagi setiap unit.