Categories
SELANGOR

Belanjawan selangor 2014 mesra rakyat

bajet 2014

SUBANG JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, mulai hari ini hingga esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu penting supaya perlaksanaan Belanjawan Selangor 2014 selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat. Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan sesi dialog serupa bagi membincangkan perlaksanaan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pakatan Rakyat.

Maklum balas dari sesi dialog itu dimuatkan dalam Pelan Tindakan Lima Tahun.

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, pensyarah dan lain-lain untuk dibincangkan bagi Belanjawan 2014 Selangor.

“Ia ambil kira kehendak rakyat walaupun mereka tahu sekatan belanjawan melalui hasil negeri antara RM1.4 hingga RM1.6 bilion,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di sini.

Abdul Khalid berkata, penekanan kepada belanjawan berimbang masih menjadi keutamaan pentadbiran beliau. Sebarang program dan pelan tindakan hanya akan dirangka berdasarkan kepada had Belanjawan dan mengikut hasil pendapatan Kerajaan Negeri.

“Belanjawan bagi Selangor ialah belanjawan berimbang dengan tiada perbelanjaan defisit. Apa yang kita hasilkan itu sahaja yang boleh kita gunakan,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mahu meneruskan usaha memuktamadkan pengambil-alihan industri air negeri menjelang Disember tahun ini.

Turut diberi penekanan adalah pengagihan saham-saham air kepada rakyat Selangor sekiranya pengambilalihan ini berjaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata skim air percuma 20 meter padu juga dapat diteruskan 10 tahun lagi dengan pengambil-alihan itu.

Menyedari permasalahan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor akan dirancakkan lagi melalui dasar baru Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH), serta peranan semi-otonomi kepada unit bertanggungjawab di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Antara tujuan lain yang diberi penekanan adalah pembinaan Pengkalan Data Bersepadu bagi semua program-program yang dibiayai Kerajaan Negeri termasuk statistik penerima bantuan dan penerima manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), penyenaraian program-program baru dan butiran penambahbaikan program sedia ada.

Bagi membantu menjana ekonomi usahawan, semua aktiviti dan program keusahawanan akan dipusatkan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri yang menjadi agen sehenti pembangunan keusahawanan setempat, serta menambah daya program-program komuniti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kaji selidik menyeluruh sebelum menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor, yang bertujuan membantu menangani isu-isu pensijilan halal bagi produk-produk tempatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Iskandar : Masalah Air Apartment Angsana Akan Selesai

iskandar speech red RMM 02

SHAH ALAM, 28 MAC : Penduduk Apartment Angsana, Pandan Indah boleh menarik nafas lega apabila masalah pemotongan bekalan air akan diselesaikan secepat mungkin setelah campur tangan Exco Perumahan, Iskandar Abdul Samad.

Iskandar dalam satu kenyataan media memaklumkan sebelum ini, menerima aduan daripada Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Abdul Jalil bin Hasan dan Badan Pengurusan Bersama (JMB) apartment tersebut.

Berikutan itu, satu mesyuarat diadakan pada 28 Mac lalu yang dihadiri wakil daripada Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan JMB apartment terlibat.

Hasil mesyuarat itu menyaksikan Syabas bersetuju menyambung bekalan air dengan syarat JMB membayar sebahagian daripada tunggakan terlebih dahulu selain menandatangani akujanji untuk membayar baki tunggakan secara ansuran.

“Saya mencadangkan penduduk membayar RM3,000 daripada jumlah tunggakan RM11,660.42.

“Manakala JMB menandatangani akujanji untuk membayar baki secara ansuran sebanyak 6 kali dari bulan Mei hingga Ogos 2013.

“Diharapkan pihak Syabas mengambilkira bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) ini terdiri daripada ahli jawatankuasa-ahli jawatankuasa yang baru dilantik padan tahun ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

MB : Peluang Saksama Bagi Semua Untuk Memiliki Hartanah

SUBANG JAYA, 29 APR : Kerajaan Selangor akan memastikan semua pihak mendapat peluang yang sama bagi pemilikan hartanah tanpa mengira golongan Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata bagi mementingkan kebajikan rakyat, Kerajaan Negeri akan memastikan penbangunan hartanah dijalankan secara saksama.

“Kita memahami kehendak pemaju dalam hal perniagaan seperti pembangunan hartanah maka peluang kita berikan kepada mereka.

?Tetapi sebagai ahli politik, saya juga perlu memikirkan soal pembeli Bumiputera dan peluang yang sama perlu diberikan kepada mereka.

“Ia perlu diberikan secara sama rata dan tidak terhada kepada golongan tertentu sahaja,” katanya di dalam ucapan perasmian  Pameran Hartanah Bumiputera 2012 di sini semalam.

Turut hadir, Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Datin Alinah Ahmad.

Alinah dalam ucapannya berkata, sebagai peneraju pembangunan perumahan dan hartanah di Selangor, LPHS perlu mengimbangi keperluan dan kepentingan setiap pihak tanpa bias atau
pilih bulu.

Sehubungan usaha itu, LPHS menganjurkan pameran tersebut bagi menghubungkan pemaju dan pembeli.

“Kerajan Selangor sememangnya prihatin terhadap isu yang sering membelenggu pemaju iaitu kesukaran untuk mendapatkan pembeli bagi hartanah yang diperuntukkan di bawah kuota Bumiputera bagi hartanah jenis kos tinggi.

?Pada masa yang sama, rungutan turut didengari dari pembeli Bumiputera yang mendakwa agak sukar untuk membeli hartanah Bumiputera di lokasi strategik seperti Lembah Klang kerana sering diamklumkan oleh pemaju kuota sudah habis,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Projek Terbengkalai 10 Tahun Taman Alam Perdana Akhirnya Siap


KUALA SELANGOR 28 APR : Setelah 10 tahun menanti dan kehilangan punca pendapatan, hari ini lebih 1,000 pembeli rumah di Taman Alam Perdana boleh menarik nafas lega.

Rumah yang dijanjikan tetapi tidak ditunaikan semasa pentadbiran lama Umno-BN, akhirnya disiapkan oleh kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang terpaksa menambah lagi RM200 juta untuk menyiapkan projek tersebut.

Seorang pembeli Abdul Latif Sarif, 63, berkata dia sangat gembira apabila menerima kunci rumah yang dinanti-nantikan selama ini selepas sekian lama menanti.

Latif antara 684 peserta projek tersebut yang menjual tanah kelapa sawit mereka kepada pemaju Alam Perdana pada 2000 untuk pembinaan taman perumahan tersebut.

Latif dan 684 yang lain dijanjikan rumah bernilai RM120,000 sekiranya beliau menjual tanah itu kepada pemaju.

Tetapi walaupun tanah itu sudah diambil, pemaju tersebut tidak berupaya menyiapkan rumah mereka sehingga kerajaan Pakatan terpaksa mengambil alih projek itu pada 2011.

“Pelbagai janji yang ditaburkan oleh pemaju. Macam saya, tanah ladang kelapa sawit sebanyak tiga ekar mereka sudah ambil, sudahlah dibayar secara berperingkat, rumah pula tidak siap-siap sehinggalah sekarang.

“Nasib baik kerajaan negeri sekarang mengambil alih jika tidak saya tidak tahu bila akan siap,” katanya ketika ditemui didalam majlis penyerahan kunci semalam di Ijok. 

Rasa gembira dan syukur penduduk itu turut dikongsi dengan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyerahkan kunci dan hak milik rumah teres satu dan dua tingkat.

Hadir sama, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Setinggan Negeri, Iskandar Abdul Samad, Ketua Pentadbir Menteri Besar Incorporated, Rohany Talib dan Ketua Pengarah Eksekutif, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Datin Paduka Alinah Ahmad.

Perasaan gembira itu turut dikongsi P.Muthu, 66.

“Sebelum ini, kami duduk dirumah kampung sahaja, saya ada enam orang anak, kebun sudah diberi untuk pembinaan rumah ini, walaupun dibayar sebahagiannya, tetapi duit boleh habis.

?Apa yang penting adalah kediaman yang selesa untuk keluarga,” katanya.

“Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang membantu kami peneroka dan pembeli yang teraniaya selama ini.?

Seorang pembeli yang mahu dikenali sebagai Ismail, 40, menceritakan sejarah disebaliki projek sakit itu.

Pada tahun 2000, pembeli menandatangani surat perjanjian jual beli rumah dan sepatutnya rumah itu boleh siap diduduki pada tahun 2002.

Malangnya masalah mula timbul pada pertengahan 2002.

Apabila rumah mereka masih tidak siap pada pertengahan 2005, pembeli mula mengorak langkah secara agresif dan bertemu pemaju.

“Kami dijanjikan bahawa rumah akan disiapkan dalam masa enam bulan bagi rumah teres dan satu tahun setengah bagi rumah kos rendah.


?Kami dimaklumkan bahawa rumah tidak dapat disiapkan kerana masalah kewangan syarikat pemaju. Akhirnya projek itu diambil alih pihak lain dan masalah kami masih tidak selesai,? kata Ismail.

Mereka juga kesal kerana pihak Majlis Daerah, Exco Perumahan Negeri, Kementerian Perumahan dan Menteri Besar zaman Umno-BN seperti tidak ambil kisah tentang masalah mereka.

?Jika ditanya pihak Majlis Daerah, katanya menunggu pihak pengurusan pemaju berjumpanya.

?Setiap kali wakil pembeli pergi berjumpa Exco Perumahan Negeri pula seakan tidak menemui sebarang penyelesaian.

“Semasa di Kementerian Perumahan lebih menyakitkan hati. Pegawai mereka sepatutnya menjadi tempat kami mengadu tetapi dia hanya  memasukkan projek perumahan kami itu dalam senarai projek tergendala sahaja.?

?Kami juga sedih kerana pihak berwajib bertindak secara reaktif dan bukan proaktif.

?Manakala pemaju pula sangat aktif untuk menipu para pembeli. Masing-masing menunjukkan kehebatan merompak duit rakyat yang naif, kerana mereka tahu ada kaedah lain yang boleh menyelamatkan mereka dan sekarang alhamdullilah akhirnya rumah kami siap dengan pimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Kerajaan Selangor mengambil alih projek yang berkeluasan 1,037 ekar itu daripada Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB).

Kerajaan Negeri membelanjakan sebanyak RM200 juta untuk membiayai kos pembinaan rumah, pembayaran pinjaman bank dan menyediakan infrastruktur lain.

ends