Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

RM10,000 bantu Pangsapuri Sri Ayu jaya Laman Hijau Strata 2.0

KLANG, 19 SEPT: Kerajaan Negeri memperuntukkan geran RM10,000 bagi melaksanakan projek perintis Laman Hijau Strata 2.0 di Pangsapuri Sri Ayu, Bandar Putera di sini.

EXCO Kerajaan Negeri Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata pembiayaan menerusi Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) merangkumi peralatan set fertigasi, biji benih termasuk khidmat nasihat dan bimbingan pertanian.

“Projek ini membantu badan pengurusan bersama (JMB) dan perbadanan pengurusan (MC) menjana hasil pendapatan tambahan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk komuniti strata.

“Kita berharap usaha ini menjadi contoh kepada JMB dan MC lain khususnya skim strata baharu dan yang akan dibina di kawasan berstrata di Klang agar selari dengan dasar Kerajaan Negeri dalam menggalakkan pertanian bandar,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, 23 peserta terbabit menjalankan projek penanaman seperti cili bara, pokok kari, sawi, kangkung, serai, bayam dan pegaga di kawasan berkeluasan 4.46 X 8.14 meter persegi.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata projek berkenaan bertujuan menggalakkan komuniti strata untuk menanam dan mengeluarkan hasil tanaman bagi menampung penyenggaraan JMB serta MC.

“Malah, hasil tuaian tanaman boleh dijadikan dalam pelbagai bentuk produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Jadi, saya berterima kasih kepada pihak berkaitan atas bantuan diberikan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2018: Selangor bakal umum dua lagi skim besar perumahan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 SEPT: Kerajaan Negeri dijangka bakal mengumumkan dua lagi skim besar bagi meningkatkan lagi peluang golongan berpendapatan rendah dan sederhana memiliki kediaman sendiri.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata, ini satu lagi bukti kesungguhan Kerajaan Negeri membantu rakyat negeri itu tanpa mengira masa.

“Pada Belanjawan akan datang ada dua program besar yang baru dalam perumahan yang akan kita umumkan. Rakyat tunggulah, kita memang hendak bantu rakyat di mana golongan sasaran adalah mereka berpendapatan rendah dan sederhana.

SELANGOR SOHO - ISKANDAR“Ini bukan gula-gula pilihan raya tetapi seperti yang diketahui memang setiap tahun Kerajaan Negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk Kerajaan Negeri membantu rakyat tak kira bila-bila masa, tidak bermusim,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, sebelum ini Kerajaan Negeri melancarkan skim Selangor Smart Home Buyers bagi membantu golongan kurang berkemampuan di mana Kerajaan Negeri membiayai kos deposit rumah yang dibeli.

Katanya, pembeli kemudiannya hanya mula membayar semula kepada Kerajaan Negeri dalam suatu tempoh selepas mereka menduduki rumah yang dibeli.

Iskandar turut menggesa supaya Kerajaan Persekutuan mengkaji syarat dan peraturan yang dikenakan Bank Negara Malaysia (BNM) ekoran terdapat ramai pembeli rumah Selangorku berhadapan masalah pinjaman perumahan mereka tidak diluluskan bank.

=EZY=

MB terjah dua lokasi hotspot denggi

MB, MBSA, LPHS dan Jabatan Kesihatan turun padang, bersama terjah lokasi hotspot denggi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor tawar 300 rumah mampu milik

Rumah Debbin PKNS 3

SHAH ALAM 30 OKT – Kerajaan Selangor menawarkan Rumah Mampu Milik “Rumah Selangorku” kepada 300 orang pemohon yang layak menduduki mengikut kriteria yang ditetapkan.

Rumah Selangorku yang ditawarkan ini dibina oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen U12 Shah Alam dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Sutera Damansara, Petaling Jaya.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka, Iskandar Abdul Samad, berkata PKNS sedang membina 104 unit pangsapuri sementara PNSB sedang membina 236 unit pangsapuri.

“Dijangkakan pangsapuri itu boleh diduduki pada akhir tahun 2016,” kata Iskandar dalam satu kenyataan.

Iskandar berkata, sebahagian dari unit-unit kediaman itu akan dibeli oleh Kerajaan Negeri untuk dijadikan rumah sewa kepada golongan yang tidak berkemampuan untuk membeli rumah mereka sendiri.

Pemilihan adalah semata-mata berdasarkan merit dan tidak langsung mengambil kira surat sokongan dari mana-mana pihak.

Jelasnya pemohon-pemohon berjaya adalah di antara 2,244 pemohon yang mengisi borang khas yang dikeluarkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk membeli Rumah Mampu Milik.

“Pemilihan dibuat menggunakan sistem merit. Setiap pemohon akan diberikan markah untuk kriteria mereka.

“Contohnya untuk bilangan anak atau tanggungan, lebih ramai anak atau tanggungan maka lebih tinggi markah yang akan diberi.

“Di antara kriteria lain yang dinilai adalah pendapatan isi rumah, lama tinggal di Negeri Selangor dan jarak tempat tinggal sekarang dari lokasi projek.

“Pemohon-pemohon yg mendapat markah tertinggi akan ditawarkan untuk membeli rumah-rumah tersebut,” katanya.

Kata Iskandar, pemohon yang berjaya akan diberitahu melalui surat pada bulan Disember ini dan nama mereka akan dipamerkan di laman web Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) untuk dua minggu.

Kedua-dua projek ini adalah antara 35,000 Rumah Mampu Milik yang akan bina di Selangor menjelang 2018.

Projek Rumah Mampu Milik pertama PKNS adalah di Bandar Baru Bangi dengan 124 unit kediaman dan akan mula diduduki tahun hadapan.

Mereka yang berminat untuk membeli rumah-rumah tersebut boleh memuat turun borang permohonan daripada laman web LPHS – http://lphs.selangor.gov.my mulai bulan Disember ini.

-EZY

Categories
SELANGOR

OKU Gembira Terima Skim Rumah Mampu Milik Selangor Pertama

RMM bangi surat tawaran 01

BANGI, 15 DIS: Seorang warga kurang upaya (OKU), Razali Adnan, meluahkan perasaan gembira dan syukur kerana penantiannya untuk memiliki rumah sendiri kini hampir terlaksana selepas menerima surat tawaran Rumah Mampu Milik (RMM).

Katanya, RMM menawarkan unit rumah dan rekabentuknya mengambil kira keperluan golongan OKU sepertinya seperti tandas yang luas dan unit yang terletak di aras bawah kompleks pangsapuri itu.

“Proses memohon RMM ini mudah dan ianya tidak memerlukan karenah birokrasi seperti yang diamalkan Kerajaan Negeri dahulu,” katanya yang kini bergantung sepenuhnya kepada isterinya yang bekerja sebagai peniaga.

Unit yang bakal siap pada Julai tahun depan merupakan RMM pertama Kerajaan Negeri dan dibina anak syarikat Kerajaan Negeri, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).

Razali ditemui pemberita selepas menerima surat tawaran pemilikan RMM yang disampaikan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad di perkarangan Kompleks PKNS Bangi di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dan Timbalan Pengurus Besar PKNS (Pentadbiran dan Pembangunan), Noraida Mohd Yusof.

RMM bangi surat tawaran 02

Seramai 112 orang menerima surat tawaran RMM selepas disenarai pendek oleh Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) selepas mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Antara syaratnya adalah gaji isi rumah pemohon mestilah diantara RM 2,500 sehingga RM 5,000 sebulan serta tidak pernah memiliki rumah sendiri.

Sebanyak 124 unit pangsapuri enam tingkat yang terletak di Seksyen 3, Bandar Baru Bangi ditawarkan pada harga mulai RM 60,000 sehingga RM1 44,000 seunit.

PKNS telah membelanjakan subsidi sebanyak RM 12 juta bagi projek itu yang mula dibangunkan pada tahun 2011.

Dalam pada itu, seorang lagi penerima, Hazhari Ismail, 33, memuji usaha Kerajaan Negeri yang menyediakan RMM dengan harga berpatutan serta mampu dimiliki golongan berpendapatan sederhana sepertinya.

“Kerajaan Negeri sekarang bagus kerana prihatin mengenai beban dan permasalahan yang ditanggung rakyat dan saya berharap usaha ini diteruskan dan diperluaskan di masa akan datang,” katanya yang bekerja sebagai Pembantu Am Pejabat di Putrajaya.

Sementara itu, Iskandar dalam satu sidang media berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai pemaju swasta terlibat dalam membina RMM di masa akan datang supaya setiap rakyat dapat memiliki rumah sendiri.

“Bagi Fasa 1 dan Fasa 2, PKNS mensasarkan sebanyak 11 ribu unit RMM dan saya galakkan lebih ramai pemaju lain turut membina RMM di masa akan datang,” katanya.

Jesteru itu, terdapat sebuah pemaju swasta turut menyediakan sebanyak 136 unit RMM di Sungai Long, Kajang yang dijadualkan siap pada Julai 2013.

Iskandar berkata, sebuah lagi anak syarikat, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) turut bercadang untuk membina sebanyak 300 unit RMM yang terletak di Sabak Bernam pada masa akan datang.