Categories
AGENDA NASIONAL

TH nasihati orang ramai waspada tajaan dana haji melalui telefon

KUALA LUMPUR, 5 NOV: Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak terperdaya dengan mana-mana pihak yang menawarkan sebarang bentuk dana bagi tujuan mengerjakan ibadat haji menerusi panggilan telefon.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya tidak pernah melantik mana-mana organisasi atau orang perseorangan untuk menjadi perantara, orang tengah atau ejen dalam hal-hal berkaitan tawaran haji mahupun pakej haji.

“Baru-baru ini, TH menerima laporan daripada pendeposit bahawa ada individu tidak bertanggungjawab yang menawarkan dana haji untuk membolehkan mereka menunaikan haji dengan lebih cepat. Pemilihan giliran menunaikan haji adalah berdasarkan sistem pendaftaran iaitu yang dahulu didahulukan.

“TH berharap agar orang ramai lebih berhati-hati apabila menerima sebarang tawaran dana bagi urusan haji daripada pihak yang tidak dikenali,” menurut kenyataan itu.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh berhubung dengan talian khidmat panggilan TH (THCC) di talian 03-6207 1919.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH menang anugerah pilihan graduan Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) menerima pengiktirafan pemenang Tempat Kedua – institusi pilihan graduan Malaysia bagi kategori sektor badan-badan berkanun, baru-baru ini, sekali gus menjadikan kemenangan ketiga sejak 2017 dan 2018.

Ketua Pegawai Modal Insan TH, Rina Sarif berkata tahun ini, TH telah berjaya menduduki tangga 40 teratas majikan terkemuka pilihan para graduan dalam senarai 100 Majikan Pilihan Graduan.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan dan keyakinan para graduan terhadap TH sebagai sebuah organisasi badan berkanun yang dipercayai.

“TH amat berbesar hati dengan pencapaian anugerah yang diiktiraf ini dan berharap TH akan terus menjadi pilihan para graduan di Malaysia untuk berusaha mencapai tahap yang lebih cemerlang demi kemaslahatan ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pelbagai institusi lain turut dicalonkan dan menerima pengiktirafan seperti dalam sektor perbankan, automotif, insurans, kejuruteraan dan telekomunikasi.

Malaysia’s 100 adalah program pengiktirafan anugerah pengambilan siswazah terbesar di Malaysia dan menjadi penanda aras kepada tahap kecemerlangan jenama majikan dengan mengambil kira undian para graduan setiap tahun.

Ia merupakan kajian terbesar dan paling lama dilakukan ke atas pola pengambilan siswazah di Malaysia.

Setiap tahun, kajian yang dilakukan ini memberi peluang kepada para graduan untuk berkongsi keperluan dan kehendak mereka dalam memilih pekerjaan pertama mereka.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH mulakan strategi pelaburan 3R, tumpu peruntukan aset baharu

PETALING JAYA, 22 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) kini memulakan strategi pelaburan 3R — ‘Reshape, Restructure, Reenergise’ atau pembentukan semula, penstrukturan semula serta penjanaan semula dengan menumpukan peruntukan aset baharu bagi membolehkannya meraih pendapatan stabil dan berterusan.

Pengarah Eksekutif Pelaburan TH Hizamuddin Jamalluddin berkata kekuatan TH bergantung kepada peruntukan aset strategik dan selepas langkah penstrukturan semulanya, dana berkenaan telah memberi fokus ke atas empat kelas aset iaitu pasaran wang, instrumen pendapatan tetap, ekuiti dan hartanah.

Pada masa ini, aset-aset di bawah pengurusan TH berjumlah kira-kira RM79 bilion yang mana 54 peratus daripadanya diperuntukkan bagi pendapatan tetap yang meliputi bon serta sukuk.

“Sebanyak 22 peratus lagi atau RM17.26 bilion dilaburkan dalam pasaran ekuiti khususnya saham-saham mampan manakala sembilan peratus dalam hartanah yang berjumlah RM7.09 bilion. Baki 15 peratus atau RM12.7 bilion pula membabitkan pasaran wang.

“Dalam tiga tahun akan datang, kerajaan telah meluluskan peruntukan aset baharu TH meliputi pendapatan tetap pada 58 peratus, hartanah (11 peratus), ekuiti domestik (18 peratus), ekuit global (lima peratus), ekuiti persendirian (tiga peratus) dan pasaran wang sebanyak lima peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pemeteraian perjanjian antara TH dengan anak syarikat milik penuh Johor Corporation (JCorp) membabitkan pembelian bangunan pejabat 20 tingkat, Menara VSQ 1 pada harga RM147 juta di sini, semalam.

Majlis itu telah disaksikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Hadir sama, Pengerusi TH Tan Sri Md Nor Yusof dan Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif JCorp Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelaburan hartanah baharu itu dijangka menjana pulangan sebanyak 5.5 peratus, disokong oleh kadar penghunian penuh serta perjanjian sewaan bagi jangka panjang.

“TH sebagai pemegang amanah para pendeposit, akan terus meninjau peluang bagi mencatat pelaburan baharu sama ada secara langsung atau sebaliknya untuk meningkatkan portfolio hartanah yang dapat menyalurkan pendapatan stabil dan berterusan.

“Ini akan turut memberi pulangan yang mampan untuk sembilan juta pendeposit dengan jumlah deposit setakat November tahun ini mencecah RM75.58 bilion iaitu yang tertinggi pernah dicatatkan,” katanya kepada pemberita.

Nik Hasyudeen turut menyifatkan TH berada di landasan tepat dengan jumlah asetnya mengatasi liabiliti.

Namun, tegasnya, TH akan terus berhati-hati terhadap prospek pelaburan berikutan keadaan ekonomi semasa yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH catat untung bersih selepas zakat RM1.6 bilion bagi 2018

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Setelah dua tahun lewat mengemukakan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan bagi tahun 2018, Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan keuntungan bersih selepas zakat sebanyak RM1.6 bilion bagi tahun tersebut.

Penyusutan sebanyak 53 peratus berbanding tahun sebelumnya itu adalah berikutan perbelanjaan bukan operasi yang besar iaitu rosot nilai, hapus kira dan pelarasan nilai saksama serta kerugian kredit dijangka ke atas aset-aset TH berjumlah RM1.5 bilion berbanding hanya RM140 juta pada 2017.

Menurut TH, ini setelah mengambil kira rosot nilai yang ketara ke atas pelaburan dalam anak syarikat, syarikat bersekutu dan entiti usaha sama berdasarkan piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia 136 (MFRS 136) dan kerugian nilai saksama ke atas pelaburan hartanah di bawah MFRS 140.

“Keputusan kewangan tahun ini (2018) sebenarnya menggalakkan apabila diambil kira kesemua faktor yang ada ketika tempoh penilaian dan keputusan sukar yang telah diambil bagi mempamerkan kedudukan TH yang lebih berdaya tahan,” kata TH dalam laporan itu.

Menjelang akhir 2018, ia juga telah berjaya memindahkan kesemua aset kurang berdaya saingnya kepada Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan dengan nilai pindahan sebanyak RM19.9 bilion susulan daripada Pelan Pemulihan dan Penstrukturan Semula TH.

Setakat 27 Disember 2018, TH telah memindahkan sejumlah 106 ekuiti tersenarai domestik, satu syarikat perladangan tidak tersenarai dan 29 hartanah dan tanah kepada SPV berkenaan.

“Sebagai balasan kepada pemindahan aset-aset tersebut, SPV itu telah menerbitkan sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan baki pertimbangan jualan sebanyak RM300 juta dibayar secara tunai kepada TH.”

Menurut TH, kerajaan turut menunjukkan komitmen menerusi peruntukan sebanyak RM500 juta bagi 2020 dan selanjutnya RM1.73 bilion setiap tahun sehingga keseluruhan sukuk berkenaan ditebus.

Selain itu, TH juga diberi Hak Penolakan Pertama untuk mengambil alih sebarang aset yang telah dipindahkan kepada SPV sekiranya syarikat tujuan khas itu berhasrat untuk menjual aset-aset tersebut pada masa akan datang.

“Ini bagi melindungi kepentingan TH sekiranya terdapat potensi peningkatan nilai pada aset-aset yang telah pulih di masa depan. Balasan untuk pengambilalihan aset-aset ini boleh dilakukan melalui bayaran tunai atau setara tunai.

“TH hanya akan mengambil alih aset yang boleh dipulihkan serta berdaya maju yang dapat menghasilkan jangkaan pulangan lebih tinggi daripada sasaran pulangan pelaburan TH,” kata TH.

Dalam pada itu, Ketua Audit Negara Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid menerusi Laporan Ketua Audit Negara yang dilampirkan bersama Laporan Tahunan TH itu berkata selepas pelaksanaan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan berkenaan, kedudukan aset TH pada 31 Disember 2018 adalah berjumlah RM76.79 bilion manakala liabiliti sebanyak RM76.44 bilion.

TH turut merekodkan lebihan aset berjumlah RM357.34 juta setelah mengambil kira bayaran hibah.

Keuntungan bagi tahun kewangan 2018 itu terdiri daripada keuntungan nyata dan tidak nyata berjumlah RM1.6 bilion termasuk keuntungan tidak nyata daripada pindahan aset TH kepada Urusharta Jamaah Sdn Bhd berjumlah RM1.39 bilion.

“Daripada keuntungan berjumlah RM1.6 bilion tersebut, TH telah membayar hibah kepada pendeposit berjumlah RM922.96 juta bagi tahun kewangan 2018,” katanya.

Dalam kenyataan berasingan sebelumnya, TH berkata kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan 2018 itu antara lainnya disebabkan oleh Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu merupakan perkara kompleks dan tidak pernah dijalankan sebelum ini.

Keadaan itu menyebabkan proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara mengambil masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan pembentangan laporan berkenaan, kata TH.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hati-hati pihak tawar visa urus sendiri tunai haji

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Orang ramai diingatkan untuk berhati-hati dan tidak sesekali berurusan dengan pihak yang menawarkan visa diurus sendiri untuk menunaikan haji berikutan kerajaan menangguhkan penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan ibadah itu pada tahun ini.

Lembaga Tabung Haji (TH) dalam kenyataan hari ini menyatakan penangguhan itu turut melibatkan semua bakal haji termasuk yang bercadang menggunakan visa yang diuruskan sendiri iaitu visa furada.

“Pada masa ini, kerajaan telah mengawal perjalanan ke luar negara kepada semua rakyat Malaysia ekoran wabak Covid-19 yang melanda dunia …wabak ini telah menyebabkan banyak sektor ekonomi dan perniagaan terkesan, bukan hanya kepada mereka yang mengendalikan haji dan umrah.

“Kerajaan telah menangguhkan (penghantaran jemaah haji Malaysia untuk menunaikan) ibadat haji tahun ini kerana mementingkan keselamatan dan kesihatan bakal jemaah khususnya dan rakyat Malaysia amnya,” menurut kenyataan itu yang merujuk kepada dakwaan 51 agensi pengelola haji swasta yang mengalami kerugian besar akibat keputusan penangguhan itu.

Kenyataan itu menyebut untuk musim haji 1441 Hijrah (2020), TH telah meluluskan lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) kepada 24 syarikat agensi pelancongan sahaja dan sehingga kini, seramai 2,200 bakal haji telah memilih untuk menunaikan haji menggunakan perkhidmatan pakej PJH yang dilesenkan oleh TH dan anak syarikatnya iaitu TH Travel & Services (THTS).

Menurut TH, tiada sebarang kuota khas diperuntukkan kepada mana-mana PJH atau mana-mana agensi pelancongan swasta.

“Berikutan nasihat Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi pada 6 Mac 2020 untuk menangguhkan sebarang komitmen kewangan bagi musim haji tahun ini, TH turut memaklumkan perkara yang sama kepada semua 24 syarikat PJH untuk mengambil tindakan sewajarnya.

“Maklum balas yang diterima daripada PJH, mereka semua telah membuat perancangan sewajarnya berkaitan sewaan hotel penginapan manakala urusan penerbangan belum dimuktamadkan,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

TH hanya jual harta yang tidak menguntungkan – Dr Mahathir

PUTRAJAYA, 18 FEB: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menjelaskan Lembaga Tabung Haji (TH) hanya jual beberapa harta miliknya yang tidak menguntungkan sahaja.

Beliau berkata ada cara lain untuk melabur bagi mendapatkan keuntungan yang lebih baik.

“Ada beberapa hartanya yang tidak berguna, tidak memberikan pulangan, oleh itu mereka (TH) perlu keluar daripadanya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kebimbangan sesetengah pihak terhadap kerajaan yang dilihat seolah-olah tidak menjaga kepentingan kaum Muslim susulan timbul laporan bahawa operasi hotel-hotel milik TH telah dipindahkan kepada syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJ).

TH dan UJ dalam satu kenyataan hari ini berkata hotel-hotel berkenaan akan terus berada di bawah pengurusan baharu tanpa pemberhentian pekerja.

Seluruh petugas pengurusan dan pekerja rangkaian hotel itu, yang sebelum ini diuruskan oleh TH Hotel and Residence Sdn Bhd (THHR), akan diambil alih oleh UJ Property Management Sdn Bhd (UJPM), subsidiari milik penuh UJ, mulai 1 April.

Menurut kenyataan itu keempat-empat hotel berkenaan, yakni TH Hotel Kota Kinabalu, TH Hotel Bayan Lepas, TH Hotel and Convention Centre Alor Setar dan TH Hotel and Convention Centre Kuala Terengganu; akan kekal sebagai hotel patuh syariah, dan akan dinamakan sebagai Raia Hotel bermula bulan April.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata kerajaan akan mendapatkan maklumat berkaitan dakwaan rakyat Malaysia memohon suaka di Australia.

“Kita akan dapatkan maklumat lebih sebelum kita bertindak,” katanya ringkas.

Sebuah portal berita yang memetik akhbar Sydney Morning Herald (SMH), melaporkan kira-kira satu perempat daripada pemohon suaka yang terbang ke Australia bulan lepas ialah rakyat Malaysia.

Menurut laporan itu, angka dibentangkan di Parlimen Australia menunjukkan sejumlah 546 rakyat Malaysia adalah antara 1,931 pemohon suaka yang tiba di negara berkenaan menggunakan pengangkutan udara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kerajaan tanggung RM10.3 bilion selamatkan TH

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Kerajaan akan menanggung premium RM10.3 bilion untuk memastikan kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) pulih.

Menurut Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) hari ini langkah itu merupakan sebahagian daripada pelan penyelamat dan penyusunan semula dana haji.

UJSB yang merupakan unit milik penuh Kementerian Kewangan (MOF) menyelesaikan pemindahan aset tidak berbayar bernilai RM9.63 bilion yang dipegang oleh TH pada Disember tahun lepas, susulan kemerosotannya akibat salah pengurusan kewangan dan salah laku pengurusan sebelum ini.

Pemindahan ini dilakukan dari TH kepada UJSB sebagai pertukaran untuk sejumlah RM19.90 bilion, yang terdiri daripada dua peringkat Sukuk berjumlah RM19.60 bilion, iaitu RM10 bilion sukuk tujuh tahun dan saham keutamaan boleh tukar Islam bernilai RM9.9 bilion RCPS-i) serta wang tunai RM300 juta yang perlu dibayar kepada TH.

“Perbezaan sebanyak RM10.3 bilion antara pertimbangan sebanyak RM19.90 bilion dan nilai pasaran ke atas aset sebanyak RM9.63 bilion, akan ditanggung oleh kerajaan bagi memastikan kedudukan kewangan TH dipulihkan,” kata UJSB dalam kenyataan di sini hari ini.

UJSB berkata sekiranya nilai aset menyusut lebih lanjut, kerugian yang perlu ditanggung oleh kerajaan akan lebih tinggi daripada RM10.3 bilion.

Mengulas lanjut mengenai aset yang dipindahkan, UJSB berkata ia terdiri daripada gabungan pegangan ekuiti, hartanah dan aset perladangan yang tidak tersenarai.

Aset harta yang dipindahkan ke UJSB termasuk 0.63ha tanah di Tun Razak Exchange (TRX).

Tanah itu dibeli oleh TH pada harga RM188.5 juta atau RM2,760 satu kaki persegi (psf), jauh lebih tinggi daripada yang dibayar oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) pada harga RM75 psf (atau RM5.1 juta untuk 0.63ha).

UJSB kemudian membeli tanah TRX dari TH pada harga RM400 juta atau RM5,856 psf, yang tidak mencerminkan nilai pasaran sebenar tanah tersebut. Pertimbangan pembelian dilakukan pada premium yang signifikan (112.2 peratus) kepada yang dibayar oleh TH pada April 2015 (RM188.5 juta atau RM2,760 psf), katanya.

Dalam penilaian yang dibuat pada Mac 2019, nilai pasaran tanah TRX itu hanya berjumlah RM205 juta.

Perbezaan besar antara nilai pasaran dan nilai pembelian tanah (95 peratus premium berbanding nilai pasaran), serta semua aset lain yang diperoleh oleh UJSB, diperlukan untuk memastikan pelan penyelamat dan penyusunan semula LTH berjaya.

Secara keseluruhannya, UJSB akan menanggung kerugian ketara akibat caj kemerosotan nilai yang dianggarkan melebihi RM10 bilion untuk aset yang diperoleh dari TH.

Urus niaga tanah TRX itu sahaja akan menyebabkan caj kemerosotan sebanyak RM195 juta.

“Susulan pemindahan aset yang kini selesai, UJSB akan meneruskan mandat dan tujuannya bagi menjalankan pemulihan dan penstrukturan semula aset di bawah jagaannya, memaksimumkan nilai pemulihan aset dan menebus semua instrumen kewangan yang dikeluarkan oleh UJSB dan dilanggan oleh TH tepat pada masanya.”

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelaburan ekuiti TH kekal kukuh sebanyak RM7.48 bilion

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Pelaburan ekuiti Lembaga Tabung Haji (TH) kekal teguh dengan peningkatan nilai ekuiti domestik sebanyak RM1.12 billion kepada RM7.48 bilion setakat 27 September 2019 berbanding RM6.36 bilion pada akhir 2018.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH berkata, ia terus mengambil peluang untuk melabur dalam pasaran ekuiti domestik bagi mengukuhkan portfolio pelaburannya dan tidak melepaskan pegangan ekuiti berjumlah RM2.6 bilion atau secara drastik sejak tiga bulan lalu.

“Pelaburan TH tertumpu kepada syarikat-syarikat utama Bursa Malaysia yang mempunyai prestasi kewangan serta rekod dividen yang baik, menjana pendapatan stabil dan patuh syariah termasuk Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang merupakan antara pegangan terbesar bagi portfolio TH.

“Secara keseluruhannya pegangan TH dalam TNB telah bertambah sebanyak RM304 juta sejak 18 bulan yang lepas.”

Selain itu, TH menjelaskan bagi 2019, lembaga syarikat itu tidak memiliki mahupun melupuskan pegangan saham dalam syarikat-syarikat seperti FGV Holdings Bhd, Lion Industries Corporation Bhd, T7 Global Bhd, Shin Yang Shipping Corporation, Brahim’s Holdings Bhd dan Cheetah Holdings Bhd seperti yang dilaporkan media massa baru-baru ini.

Selain daripada ekuiti, TH juga kini giat dalam mencari peluang pelaburan dalam semua kelas aset seperti hartanah dan instrumen kewangan berpendapatan tetap seperti sukuk.

“TH sentiasa mengutamakan kepentingan para pendeposit dan melabur secara berhemah selaras dengan strategi peruntukan aset yang mengutamakan pendapatan mampan jangka panjang dengan mengambil kira risiko yang bersesuaian.

“Ia akan terus mengekalkan tahap tadbir urus yang tinggi dalam mentadbir dana yang telah dipertanggungjawabkan kepadanya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Data raya bantu rancang operasi haji masa hadapan

MAKKAH, 17 OGOS: Teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) memudahkan perjalanan operasi haji dalam pelbagai sektor, namun ramai yang kurang mengetahui peranan besar ‘big data’ atau data raya dalam melancarkan perjalanan dan merancang operasi haji untuk masa hadapan.

Dengan perkembangan pesat data raya dalam ICT, Lembaga Tabung Haji (TH) tidak ketinggalan mengambil peluang untuk membuat penambahbaikan operasi hajinya setiap tahun terutama melibatkan pengangkutan, kesihatan, kewangan dan kebajikan jemaah.

Pengarah Operasi (Teknologi Maklumat) TH, Za’aba Arpan berkata, sememangnya TH telah mengadaptasi data raya namun dalam kaedah berbeza yang mana data yang diperoleh daripada pelbagai sistem disalurkan untuk kegunaan pihak pembuat keputusan, pengurusan dan petugas haji sendiri.

“Setiap data diperlukan itu dipaparkan supaya boleh buat keputusan pada masa itu, manakala data diperoleh bila tamat musim haji dibawa ke pihak atasan untuk perancangan masa depan, jadi setiap tahun akan jadi lebih baik berbanding tahun sebelumnya,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Data raya menggambarkan jumlah data yang besar digunakan organisasi untuk banyak perkara terutama analisis untuk merancang kepada pengambilan keputusan dan strategi organisasi yang lebih baik serta berkesan.

Za’aba berkata, ICT merupakan tulang belakang operasi haji yang mana ia membolehkan operasi di Madinah, Jeddah dan di sini dipusatkan seterusnya merealisasikan penyaluran data ke hujung jari petugas serta pengurusan untuk membuat keputusan tentang sesuatu perkara.

Beliau berkata, setiap sektor operasi haji mempunyai sistem yang tersendiri seperti sistem Sihat untuk kesihatan dan Sistem Bersepadu untuk pengurusan haji, selain sistem-sistem untuk pengurusan kewangan, pemantauan pergerakan jemaah haji dan pengurusan aduan.

“Tetapi bila pengguna terpaksa buka satu-satu sistem ini (untuk dapatkan maklumat), ia akan bertentangan dengan tujuan maklumat di hujung jari untuk petugas dan pengurusan kita, jadi kita perkenal sebuah sistem iaitu Haj Mobility yang mana mereka hanya perlu akses ini sahaja untuk dapatkan semua maklumat,” katanya.

Katanya, TH setiap tahun akan membuat penambahbaikan terhadap bagaimana ICT itu dapat membantu perjalanan operasi haji dan ini dibuat dengan mengadakan ‘post-mortem’ sebulan selepas semua petugas haji kembali sebelum menyerahkan hasilnya kepada pihak pengurusan.

Za’aba berkata, dalam merancang penambahbaikan itu, pihaknya melihat kepada tiga faktor iaitu proses, manusia dan teknologi yang mana berdasarkan pengalamannya, proses adalah faktor terpenting dalam menentukan perjalanan operasi haji pada masa hadapan.

“Kami ikut keperluan pengguna, kalau nak proses baharu maknanya untuk itu akan ada perubahan pada ICT kita. Kita akan bincang dengan pelbagai pihak terutama Jabatan Haji (TH) dan tahun depan kita tentukan operasi bagaimana,” katanya yang telah melihat perkembangan ICT untuk operasi haji sejak 1988.

Pegawai Teknikal IT TH, Mariam Awaludin berkata, semua sistem yang digunakan oleh TH untuk operasi haji adalah berbentuk platform ‘web-based’ yang mana platform itu tidak memerlukan ‘server’ atau pelayan secara fizikal di Makkah tetapi pelayan yang menyimpan data itu berada di Malaysia dikendalikan petugas TH.

“Melalui platform ini pengguna di sini hanya perlu sambungan internet dan boleh mencapai sistem menggunakan berbilang alat seperti komputer, laptop, tab dan telefon pintar. Ia juga memudahkan proses pemantauan petugas IT di sini dan di lapangan yang mencabar terutama ketika Masyair.

“Persediaan pangkalan data untuk semua sistem ini bermula di Malaysia sebelum operasi haji, yang mana kami akan muatkan pangkalan data jemaah haji serta petugas, kemudian data itu akan dikemas kini oleh sistem berdasarkan input di sini, jadi bila tamat musim itu kita dapat satu set data baharu untuk dibawa ke pihak pengurusan dan pembuat keputusan,” katanya.

Contohnya dalam sistem Sihat, katanya, terdapat modul farmasi yang mana pengguna sistem terdiri daripada ahli farmasi dan doktor mengetahui jumlah ubat digunakan dan ubat tinggal selepas musim haji, maka keputusan akan dibuat untuk jumlah ubat perlu ditambah dan jumlah ubat boleh digunakan lagi untuk musim haji tahun depan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL PILIHAN MINGGUAN

Tabung Haji lancar Aplikasi Jemaah 1440H

MAKKAH, 28 JUL: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini melancarkan Aplikasi Jemaah 1440H dalam usaha membantu jemaah haji Malaysia menjalankan ibadah dan melancarkan urusan haji mereka tahun ini.

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abd Rahman berkata, aplikasi dibangunkan bersama anak syarikat TH iaitu Theta Edge Berhad akan menyampaikan maklumat penting serta terkini buat jemaah haji melalui telefon pintar dengan sistem operasi Android.

“Maklumat disalurkan termasuk berita terkini, maklumat penjadualan setiap jemaah haji juga berkenaan bimbingan ibadah haji yang mana (melalui aplikasi itu) jemaah haji boleh memuat turun semua bahan bimbingan, juga waktu solat, nombor penting dan lokasi melalui Google Maps.

“Jemaah haji boleh memuat turun aplikasi ini di Play Store atau mengimbas QR Code disediakan dan mengimbas kod bar di (kad) lencana mereka supaya maklumat itu khusus untuk mereka seperti jadual perjalanan dan penerbangan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan aplikasi itu di sini, hari ini.

Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan Rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.

Dalam majlis sama, Syed Saleh bagi pihak TH menerima sumbangan daripada jemaah haji Maktab 82 yang telah mengumpulkan dana berjumlah 3,300 riyal (RM3,625) bagi membeli 11 kerusi roda untuk kegunaan jemaah haji yang memerlukan.

Syed Saleh berkata, selain itu aplikasi itu juga mampu menunjukkan gambar satelit lokasi melalui Google Maps yang membolehkan jemaah haji mengetahui sendiri lokasi mereka secara bergambar dan memudahkan proses mereka mencari arah.

“Mereka juga boleh menghantar lokasi kepada pihak Tabung Haji bagi membolehkan Tabung Haji memandu arah mereka pulang ke maktab masing-masing, selain membantu jemaah menuju tempat bersejarah, restoran dan lain-lain lagi,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fahrur Ariffin Amran, 30, jemaah haji dari Johor Bahru, Johor berkata, aplikasi itu memudahkannya menyemak panduan ibadah haji dengan pantas tanpa perlu membawa dan membuka buku.

“Saya mula menggunakan aplikasi ini pada Jumaat lepas (26 Julai) dan ia amat membantu saya di sini dengan pelbagai kegunaannya,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kumpulan pertama, kedua jemaah haji Malaysia selamat tiba

KUALA LUMPUR, 5 JUL: Kumpulan pertama dan kedua jemaah haji Malaysia, iaitu masing-masing 483 jemaah, selamat tiba dengan penerbangan KT01 dan KT02 di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah, semalam.

Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi kenyataan hari ini memberitahu kumpulan pertama jemaah haji itu tiba pada pukul 11.50 pagi waktu tempatan atau 4.50 petang waktu Malaysia, manakala kumpulan kedua tiba pada pukul 5.47 petang waktu tempatan atau 10.47 malam waktu Malaysia.

TH menyediakan lima hotel penempatan iaitu Hotel Al-Haram, Hotel Anwar Al-Madinah Movenpick, Hotel Saja Al-Madinah, Hotel As Saha dan Hotel Rawda Al-Aqiq sekitar antara 100 dan 300 meter dari Masjid An-Nabawi, kata kenyataan itu.

Timbalan Ketua Rombongan Haji (Kebajikan) TH, Nurrinanuwar Shamsuddin berkata beliau berterima kasih kepada kerajaan Arab Saudi kerana meneruskan inisiatif praperlepasan ‘Mecca Route’ bagi semua jemaah haji Malaysia.

“Pelaksanaan program ini telah terbukti mengurangkan masa jemaah yang berada di lapangan terbang dan juga proses imigresen dapat diselesaikan dalam masa 45 minit hingga satu jam berbanding masa menunggu sehingga tiga atau empat jam sebelum program ini diperkenalkan.

“Terima kasih juga kepada pihak Muassasah Adilah Madinah yang telah banyak membantu khususnya dalam aspek pengurusan haji di sini,” katanya.

Nurrinanuwar berkata jemaah haji dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan serta menjaga kesihatan terutama dalam menghadapi cuaca yang agak panas sehingga mencecah 47 darjah Celsius.

Seramai 30,200 jemaah haji Malaysia akan mengerjakan Rukun Islam kelima itu tahun ini dibantu oleh 640 petugas daripada TH. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH tambah baik infrastruktur IT lancarkan operasi haji

MELAKA, 28 JUN: Bahagian Teknologi Maklumat Tabung Haji (TH) akan melaksanakan beberapa penambahbaikan infrastruktur serta kemudahan teknologi maklumat (IT) dalam usaha memastikan kelancaran operasi haji tahun ini, kata Pengarah Operasi Bahagian Teknologi Maklumatnya, Za’aba Arpan.

Beliau berkata, antara usaha itu ialah menaik taraf talian di Hospital TH di Makkah dengan menggunakan gentian optik; menaik taraf Sistem Maklumat Kesihatan (SIHAT) berpandukan maklum balas operasi tahun lepas; dan membangunkan Sistem Kamar bagi membolehkan alokasi bilik jemaah haji dibuat dan dipantau dengan lebih sistematik.

Katanya bahagian itu turut menguji beberapa aplikasi sistem utama iaitu Sistem Haji dan Deposit; SIHAT yang melibatkan pasukan perubatan; Sistem Bersepadu yang akan menyediakan statistik jemaah haji bagi keperluan operasi; dan Sistem Hajj Mobility bagi memastikan pergerakan jemaah haji direkodkan.

“Kami juga kini sedang giat membuat penyelenggaraan lebih 800 peralatan komputer dan memastikan semua infra talian Internet serta talian utama berfungsi serta selamat digunakan bagi tiga sektor utama operasi haji iaitu di Makkah, Madinah dan Jeddah.

“Seramai 10 daripada 17 petugas telah tiba pada 23 Jun lalu, dan pasukan IT TH kini dalam fasa terakhir persiapan sebelum ketibaan 30,200 jemaah haji Malaysia secara berperingkat bermula 4 Julai ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Za’aba berkata bahagian itu telah membuat persiapan operasi haji sejak awal tahun ini dan beliau yakin semua persiapan IT akan siap sepenuhnya sebelum ketibaan jemaah haji Malaysia nanti. – BERNAMA