Categories
NASIONAL

Kedudukan kewangan TH kembali kukuh

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Kedudukan kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) kembali kukuh selepas pelan penstrukturan dan pemulihan berjaya dilaksanakan sejak akhir tahun lalu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato’ Sri Zukri Samat berkata, ia dapat dilihat menerusi prestasi kewangan suku pertama Januari sehingga Mac lalu.

Katanya, pada hujung suku pertama, jumlah lebihan aset berbanding liabiliti yang dimiliki TH telah meningkat kepada RM1.2 bilion.

“Kami juga berjaya memperoleh pendapatan berjumlah RM623 juta dan mencatat keuntungan bersih RM440 juta dalam tempoh tiga bulan.

“Dengan amalan pelaburan lebih berhemah dan disokong oleh langkah penambahbaikan tadbir urus serta kawal selia, pencapaian prestasi kewangan yang lebih baik akan dapat dicapai TH pada tahun ini.

“Ia sekali gus akan membolehkan agihan hibah yang lebih kompetitif dan stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ucap sembahnya pada Majlis Penyempurnaan Kursus Haji Perdana Tahun 1440H/2019M Peringkat Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Turut berangkat, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Sebelum ini, pada April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengumumkan kerajaan akan membuat suntikan dana bersih sebanyak RM17.8 bilion kepada TH dan membiayai agensi itu dalam tempoh 10 tahun dari 2020 hingga 2030 bagi memulihkannya.

Mujahid berkata, kerajaan komited memastikan institusi umat Islam itu terus terbela, justeru membuat pelan pemulihan TH menerusi syarikat tujuan khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB) membeli asetnya yang hanya bernilai RM9.7 bilion dengan harga RM19.9 bilion.

Tindakan pengurusan terdahulu yang tidak mempedulikan amaran Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa agensi itu sudah mengalami kekurangan aset, tetapi terus memberi hibah tinggi menyebabkan agensi itu berdepan masalah kewangan yang teruk.

Katanya, kerugian dialami agensi itu menjangkau RM10.2 bilion sukar ditanggung berbanding nilai aset pelaburan hartanah dan syarikat yang dibeli TH dengan kos RM19.9 bilion hanya bernilai RM9.7 bilion, setakat 31 Disember tahun lalu.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

TH catat keuntungan bersih RM440 juta pada suku pertama 2019

Categories
NASIONAL

Tadbir urus TH lebih telus dan profesional – Pakar Kewangan

KUALA LUMPUR, 16 APR: Pakar kewangan Islam, Dr Zaharuddin Abd Rahman melihat Lembaga Tabung Haji (TH) di bawah pengurusan sedia ada telah meletakkan institusi Islam itu di landasan yang betul dengan tadbir urus korporat lebih telus dan profesional.

Prof Adjung Fakulti Perakaunan dan Kewangan Universiti Selangor itu berkata, hasil proses penstrukturan TH, institusi itu mempunyai pengurusan pelaburan dan risiko lebih mampan.

“Sekarang ini aset dan liabiliti TH sudah stabil dan bukannya berdasarkan ‘creative accounting’ yang mengubah ciri-ciri akaun mengikut kehendak TH tetapi tidak didedahkan dalam laporan kewangan dan tidak diberitahu kepada rakyat.

“Hari ini, TH kembali kepada fungsi berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 dan (laporan kewangan) dimaklumkan kepada Parlimen dan khalayak,” katanya ketika menjadi tetamu program “Ala Carte” terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama di sini.

Pelan penyusunan semula yang selesai pada 31 Disember lepas bagi mengukuhkan semula prestasi kewangan syarikat, telah membuahkan hasil dengan menyaksikan TH menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah).

Aset-aset tersebut telah dipindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd, pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun).

Melalui langkah itu, TH berjaya memperoleh lebihan aset sebanyak RM1 bilion selepas mencatatkan jumlah aset RM76.5 billion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion.

Zaharuddin berkata, melalui perkembangan positif hasil kawal selia oleh Bank Negara Malaysia dan tanpa campur tangan politik juga mampu melonjakkan kembali TH sebagai institusi umat Islam yang disegani.

Beliau berkata, melalui asas kukuh itu akan membolehkan TH melaksanakan pelbagai strategi bagi memberi manfaat kepada pendeposit termasuk kemungkinan cadangan memperkenalkan dua akaun yang masing-masing bagi tujuan mengerjakan ibadah haji dan pelaburan.

“Akaun orang yang betul-betul nak pergi haji tidak akan terdedah kepada risiko untung dan rugi yang tinggi tetapi akan diurus dengan sangat stabil dengan pelaburan ke tempat-tempat yang ‘fix income’.

“Contohnya sukuk kerajaan yang mana risikonya sangat rendah, maka keuntungannya akan bersifat rendah juga,” katanya berhubung langkah yang boleh diambil TH bagi meminimumkan risiko pelaburan bagi manfaat pendeposit.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Keyakinan pendeposit masih kekal utuh – TH

KUALA LUMPUR, 14 APR: Jumlah deposit yang di terima oleh Lembaga Tabung Haji (TH) masih menunjukkan angka yang positif kerana keyakinan pendeposit tetap kekal utuh walaupun institusi itu mengumumkan hibah yang rendah bagi tahun 2018.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, prospek TH yang cerah, tadbir urus lebih baik, tiada lagi aset kurang berdaya saing, serta jaminan kerajaan merupakan antara faktor-faktor yang menyokong keyakinan pendeposit untuk terus kekal melabur dalam TH.

Selain itu, katanya, kawal selia oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang bermula pada tahun ini bagi menambah baik tadbir urus organisasi itu juga dilihat berjaya mendorong pendeposit untuk terus kekal bersama TH di samping dapat menarik minat pendeposit baru.

“Kita mahu meningkatkan tadbir urus dan menerapkan amalan terbaik yang dicadangkan oleh Bank Negara terutamanya dalam bahagian pengurusan risiko dan tadbir urus.

“Semuanya dalam keadaan stabil dan tiada pengeluaran luar biasa. Situasi yang buruk telah berakhir,” katanya kepada Bernama semasa lawatan beliau ke ibu pejabat pertubuhan berita nasional itu, baru-baru ini.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018, TH mencatatkan jurang defisit (jumlah tanggungan melebihi jumlah aset) yang tinggi sebanyak RM10.9 bilion, meningkat dari RM4.1 bilion yang direkodkan pada 31 Disember 2017.

Dalam usaha mengembalikan kedudukan kewangan yang lebih seimbang, TH telah menjalankan satu program pemulihan dan penyusunan semula aset tidak berdaya saing (ekuiti dan hartanah) yang mempunyai jumlah nilai semasa RM9.7 bilion.

Aset-aset tersebut telah dipindahkan ke syarikat tujuan khas milik penuh kerajaan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd, pada harga RM19.9 billion dalam bentuk dua sukuk yang masing-masing bernilai RM10 bilion dan RM9.6 bilion dengan pulangan sebanyak 4.05 peratus dan 4.1 peratus (RM800 juta setahun).

Hasilnya, TH berjaya memperoleh lebihan aset sebanyak RM1 bilion selepas mencatatkan jumlah aset RM76.5 billion berbanding jumlah tanggungan RM75.5 bilion.

Ini sekali gus membolehkan TH memberi agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Zukri berkata, baki sebanyak RM87 juta telah dimasukkan ke dalam satu akaun rizab yang baru diwujudkan, Hibah Equalisation Reserve, sebagai langkah berhati-hati TH dalam menghadapi situasi kecemasan pada masa hadapan.

“Jika kemudian nanti kami kurang keuntungan, (kami boleh menggunakan) akaun ini (kerana ia) boleh diagihkan. Kami akan mengekalkannya dalam bentuk cair.

“Tiada amaun tetap buat masa ini tetapi kami akan membentuk dasar untuknya, di mana kami menyasarkan 2-3 peratus diperuntukkan….biarlah lembaga yang membuat keputusan kemudian nanti,” jelasnya.

Zukri memberi jaminan bahawa tiada pengumuman mengejut akan dilakukan selepas ini kerana semua peruntukan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion terhadap pelaburan telah dibuat tahun lepas.

Katanya, laporan kewangan berkala setiap suku tahun akan dibuat bagi memastikan pendeposit dapat mengetahui prestasi kewangan dan operasi TH dalam memastikan ketelusan dan akauntabiliti.

“Lembaran imbangan yang TH ada sekarang ini terdiri daripada aset yang sangat baik. Masa depan Tabung Haji sudah cerah. (Apa yang kami perlu lakukan adalah) untuk tidak membuat kesilapan sekali lagi.

“Seharusnya kami berkedudukan lebih baik untuk membayar hibah yang kompetitif bagi 2019 dan tahun-tahun seterusnya. Saya optimis ia akan lebih daripada 1.25 peratus,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TH umum agihan hibah 1.25 peratus bagi tahun kewangan 2018

PUTRAJAYA, 5 APR: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan agihan hibah sebanyak 1.25 peratus yang melibatkan pengagihan berjumlah RM913 juta kepada semua pendepositnya bagi tahun kewangan 2018.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pelan penstrukturan semula yang dilaksanakan itu turut membuktikan keprihatinan kerajaan bagi menyelamatkan TH demi kepentingan 9.3 juta pendeposit.

Menurutnya, TH juga telah mencatatkan lebihan aset sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2018.

“Ini menunjukkan kedudukan kewangan yang kembali pulih jika dibandingkan dengan keadaan defisit RM4.1 bilion yang dialaminya berdasarkan laporan kewangan yang diaudit bagi tahun 2017,” katanya pada Majlis Taklimat Prestasi TH dan Pengumuman Hibah bagi tahun 2018 di sini, hari ini.

Mengulas selanjutnya, Mujahid berkata, setakat 31 Disember 2018, TH telah merekodkan aset keseluruhan sebanyak RM76.5 bilion yang lebih tinggi berbanding liabiliti berjumlah RM75.5 bilion.

Mujahid berkata, pendapatan TH bagi 2018 adalah RM4.2 bilion manakala keuntungan boleh agih pula berjumlah RM2 bilion.

“Walaupun (pelan) penstrukturan semula telah dilakukan, TH masih merekodkan rosot nilai sebanyak RM1.5 bilion yang mana sebahagian besar jumlah ini sepatutnya rosot nilai pada tahun kewangan sebelumnya.

“Ini seterusnya telah mengurangkan jumlah keuntungan boleh agih TH,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid berkata, kerajaan juga telah menzahirkan komitmen menerusi peruntukan sebanyak RM500 juta pada 2020 dan seterusnya RM1.73 bilion setahun sehingga semua sukuk dapat ditebus semula.

Malah, peruntukan yang disuntik oleh kerajaan kepada TH adalah selama 10 tahun yang dianggarkan berjumlah RM17.8 bilion.

“Ini adalah kesan daripada kelemahan dan salah guna kuasa pentadbiran lepas yang mana manipulasi akaun telah membolehkan hibah diisytiharkan pada kadar tinggi walaupun jurang defisit terus meningkat,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Zukri Samat berkata, hibah pada kali ini adalah yang terendah dalam sejarah namun yakin kewangan TH akan kembali pulih pada tahun akan datang.

“Perlu diingat bahawa keutamaan TH adalah untuk pengurusan ibadah haji jemaah negara ini dan jika ada keuntungan, ia adalah ok (baik)…kita tidak boleh bandingkan TH dengan (firma) pengurus dana,” katanya.

Zukri turut menyifatkan kejayaan proses pemulihan TH dalam tempoh singkat iaitu enam bulan adalah hasil sokongan penuh kerajaan terhadap pelaksanaan usaha penstrukturan semula kumpulan itu dalam mengimbangi semula kedudukan kewangannya.

“Kerajaan kini komited untuk menyediakan geran kepada SPV (Syarikat Tujuan Khas) bagi menebus sukuk itu setiap tahun iaitu RM500 juta pada 2020 dan 10 tahun berikutnya sebanyak RM1.73 bilion.

“Ini bagi memastikan TH memegang sukuk yang dimiliki SPV atau dikenali sebagai Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB). SPV ini dapat membuat bayaran itu sekarang disebabkan oleh komitmen kerajaan,” katanya.

Ketika ditanya sama ada ini merupakan usaha menyelamat oleh kerajaan, beliau berkata: “Ya, ini merupakan pelan menyelamat TH oleh kerajaan.”

Beliau turut ditanya mengapa usaha suntikan dana tersebut tidak diumumkan lebih awal ketika TH mengumumkan pelan penstrukturan semulanya atau ketika urus niaga dengan UJSB selesai.

“TH telah mematuhi standard perakaunan MFRS 9 yang baharu digunapakai pada 31 Dis, 2018.

“Ini menyaksikan TH menerima lebih daripada sepatutnya kerana mengambil kira kadar faedah masa hadapan,” katanya

Jelas Zukri, aset-aset TH yang mengalami kejatuhan nilai dan kurang berdaya saing juga telah dipindahkan kepada UJSB.

“Aset-aset ini yang mempunyai nilai buku RM9.7 bilion telah dipindahkan kepada UJSB pada harga RM19.9 bilion bagi membolehkan jurang defisit sebanyak RM10.9 bilion diatasi,” katanya.

Menurutnya, usaha pemindahan ini akan dilakukan menerusi sukuk berjumlah RM19.6 bilion dan tunai sebanyak RM300 juta.

“Transaksi pemindahan ini membolehkan TH mencapai dua matlamat iaitu mengatasi jurang defisit dan memulihkan kedudukan kewangan,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

TH kekal di bawah kawalan JPM

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 25 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) kekal di bawah kawalan Jabatan Perdana Menteri (JPM) sekali gus menolak dakwaan bidang kuasa itu dipindahkan kepada Kementerian Kewangan.

Dalam kenyataannya, TH berkata, perkara itu tidak berubah dengan pengenalan Syarikat Tujuan Khas (SPV) seperti yang sudah dipersetujui dalam mesyuarat Kabinet.

“Dakwaan dan tuduhan bahawa TH dipindahkan kepada Kementerian Kewangan adalah palsu dan tidak berasas sama sekali.

“TH juga diletakkan di bawah kawal selia Bank Negara Malaysia (BNM). BNM sebagai badan yang bebas dan di bawah pimpinan Gabenor, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus mengawal selia semua bank dan institusi kewangan di dalam negara termasuk institusi kewangan Islam,” katanya.

Terdahulu, TH dilemparkan dakwaan berhubung isu berkaitan selepas keputusan Jemaah Menteri untuk memindahkan aset yang tidak menguntungkan kepada SPV milik kerajaan.

Kenyataan sama turut menyebut, pemindahan aset berkenaan adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan keadaan kewangan TH kepada normal selain mempercepatkan proses pemulihan kewangan institusi terbabit selepas berlaku salah laku secara besar-besaran.

 

Categories
NASIONAL

TH: Permindahan ekuiti tidak berprestasi baik ke SPV selesai

KUALA LUMPUR, 10 JAN: Lembaga Tabung Haji (TH) selesai memindahkan semua ekuiti tidak berprestasi baik kepada syarikat tujuan khas (SPV), Urusharta Jamaah Sdn Bhd setakat 30 Disember tahun lalu.

​​​Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Zukri Samat berkata, ​​​​​​​satu sidang media khas bagi memaklumkan perkembangan usaha itu akan diadakan minggu depan.

“Satu sidang media akan diadakan minggu depan. Bagi perkara yang membabitkan TH, kita sudah pun memindahkan saham itu,” katanya kepada Bernama ketika diminta mengulas mengenai usaha pemindahan itu kepada SPV yang juga sebahagian daripada langkah penstrukturan semula​​​​​​​ TH.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi sebarang komen bagi pertanyaan menerusi aplikasi Whatsapp jika usaha pemindahan itu turut membabitkan aset hartanah milik TH.

Berdasarkan pemerhatian, sekurang-kurangnya 49 syarikat senaraian awam telah memberi ‘Notis Orang Yang Terhenti Menjadi Pemegang Syer Substansial’ kepada Bursa Malaysia bermula dari 28 Disember tahun lalu sehingga semalam, susulan pengambilalihan saham terbabit oleh Urusharta Jamaah.

Pada sidang media 11 Disember tahun lalu, Zukri berkata, TH menyasarkan untuk menyelesaikan langkah pemindahan itu menjelang akhir Disember bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan dengan aset mengimbangi liabiliti selain membolehkan TH membayar dividen tahunan bagi tahun kewangan 2018.

Secara keseluruhannya, aset bernilai RM19.9 bilion telah dikenal pasti untuk dipindahkan kepada SPV yang merangkumi 80 peratus dalam bentuk ekuiti dengan susut nilai melebihi 20 peratus manakala baki dalam bentuk hartanah dengan hasil di bawah dua peratus.

Sebagai pertukaran terhadap aset itu, SPV itu akan menerbitkan sukuk tujuh tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion Saham Keutamaan Boleh Tebus Islam.

Zukri berkata, TH juga berhasrat mengurangkan dedahan ekuitinya kepada 20 peratus berbanding 40 peratus, sebelum ini.

Antara syarikat terbabit dalam pemindahan saham itu adalah UEM Sunrise Bhd, Boustead Heavy Industries Corporation Bhd, Alam Maritim Resources Bhd, Mah Sing Group Bhd, FGV Holdings Bhd, Brahim’s Holdings Bhd, Puncak Niaga Holdings Bhd, Parkson Holdings Bhd, White Horse Bhd, MCT Bhd MMC Corporation Bhd, Suria Capital Holdings Bhd dan Malaysia Marine & Heavy Engineering Holdings Bhd.

Setakat ini, TH masih kekal memegang saham utama dalam kaunter seperti Tenaga Nasional Bhd, Ranhill Holdings Bhd, Maxis Bhd dan BIMB Holdings Bhd.

Sebagaimana diumumkan sebelum ini, pemindahan aset tidak berprestasi baik kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan, juga bertujuan menstabilkan kedudukan kewangan TH.

TH mencatat liabiliti RM74.4 bilion berbanding jumlah aset RM70.3 bilion yang menunjukkan defisit RM4.1 bilion setakat 31 Disember 2017.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penerbangan pertama haji bermula 14 Julai

OLEH NADIAH ZAMLUS

SEPANG, 22 JUN: Penerbangan pertama jemaah haji tahun ini dijadual berlepas pada 14 Julai, sementara penerbangan terakhir pada 14 Ogos ini.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Johan Abdullah berkata,  ia membabitkan lapan lapangan terbang utama iaitu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang; Alor Star, Kedah; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Senai, Johor; Kuala Terengganu, Terengganu; Kota Bharu, Kelantan; Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak.

“Sebanyak 81 penerbangan sewa khas digunakan membabitkan 40 pesawat Malaysia Airlines Berhad (MAS) dan 41 pesawat Flynas.

“Penerbangan balik bermula 29 Ogos sehingga 25 September ini,” katanya dipetik Berita Harian.

Turut hadir, Pengurus Besar Kanan Jabatan Haji TH merangkap Pengarah Gerakan Operasi Haji Tanah Air, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Johan berkata, kuota haji bagi tahun ini masih kekal seperti tahun lalu iaitu 30,200 jemaah.

Selain itu, katanya buat pertama kalinya bagi tahun ini, jemaah haji dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya akan berlepas dari Kompleks TH Sepang yang sebelum ini dilakukan dari Kompleks TH Kelana Jaya.

Categories
NASIONAL

Irwan Segar bukan lagi ahli lembaga pengarah TH, BNM

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Lembaga Tabung Haji (TH) hari ini mengumumkan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah, tidak lagi menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarahnya.

TH dalam kenyataannya berkata, Irwan menyandang jawatan berkenaan sejak 2011 di atas kapasiti sebagai wakil Perbendaharaan.

“Kekosongan Ahli Lembaga Pengarah TH akan diisi wakil Perbendaharaan yang baharu sebagai mana yang termaktub di bawah Akta Tabung Haji 1995,” katanya.

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) juga memaklumkan Irwan bukan lagi ahli Lembaga Pengarahnya berkuatkuasa 14 Mei 2018.

Bank pusat itu dalam kenyataan berkata, ia susulan Mohd Irwan Serigar tidak lagi memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Pada 14 Mei lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan memutuskan kontrak perkhidmatan Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan dipendekkan kepada 14 Jun daripada 6 Mac 2019.

Categories
NASIONAL

Abdul Azeez letak jawatan Pengerusi TH

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 24 MEI: Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Seri Panglima Abdul Azeez Abdul Rahim dilaporkan sah meletakkan jawatannya di organisasi itu beberapa hari selepas kemenangan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ahli Parlimen Baling berkata, surat perletakkan jawatannya dihantar kepada Jabatan Perundangan Lembaga, pada 14 Mei lalu.

“Saya dilantik oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri, jadi peletakan jawatan saya juga pada menteri yang bertanggungjawab.

“Setakat ini saya sudah letak jawatan, ia bagaimanapun belum dikira rasmi kerana menteri baharu belum dilantik,” katanya dilapor The Star Online.

Tambahnya lagi, Azeez berkata, beliau membuat keputusan itu bagi menghormati keputusan kerajaan PAKATAN bahawa tiada ahli politik dibenarkan memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan.

Difahamkan, TH sebelum ini berada di bawah portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal agama Islam).

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan serbuan kerumah dan pejabat Abdul Azeez di Subang Jaya, Selangor dan Kedah bagi membantu siasatan kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Dalam serbuan di Baling, Kedah SPRM merampas kira-kira RM100,000 manakala RM400,000 di Subang, Selangor.

Categories
NASIONAL

Cip lokasi jemaah haji diuji tahun ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 MEI: Teknologi cip khas mengesan lokasi jemaah haji di Tanah Suci mula diuji penggunaannya pada musim haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, cip berkenaan bakal dipasang pada lencana pengenalan diri 480 jemaah, pada peringkat permulaan.

Beliau berkata, pemantauan penggunaan cip itu dikendalikan 15 kakitangan teknologi maklumat (IT) daripada anak syarikat TH, Theta Edge Bhd.

“Ini merupakan projek perintis menguji keberkesanan penggunaannya pada tahun ini.

TH Syed Saleh“Melalui teknologi itu, kita dapat mengesan mereka sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dipetik Bernama.

Syed Saleh berkata, TH juga bakal menambah jumlah petugas kepada 630 berbanding 600 sebelum ini, bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin bertambah.

“Kuota haji rakyat Malaysia tahun ini juga sudah ditambah kepada 30,200 berbanding 27,900 sebelumnya.

“Kita juga membuat perancangan lain berdepan peningkatan jumlah jemaah, seperti menyediakan bangunan penginapan di Makkah dan Madinah, pesawat dan pembimbing jemaah,” katanya.

Sejak 2012, TH banyak membangunkan penggunaan teknologi termasuk dari segi keselamatan dan pengiraan jumlah jemaah haji yang lebih tepat.