Categories
AGENDA NASIONAL

TH: Pendeposit berusia lebih 18 tahun diminta tukar status akaun

Categories
AGENDA NASIONAL

Tabung Haji agih keuntungan 3.10 peratus

KUALA LUMPUR, 24 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan sebanyak 3.10 peratus selepas zakat, membabitkan nilai RM2.46 bilion bagi tahun kewangan 2021.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata agihan keuntungan itu akan dimanfaatkan kira-kira 8.4 juta pendeposit TH dengan jumlah keuntungan diagih RM219 juta lebih tinggi berbanding RM2.24 bilion bagi tahun kewangan 2020.

Jelasnya agihan keuntungan itu adalah kompetitif, mengambil kira faktor kadarnya lebih tinggi daripada purata kadar deposit tetap perbankan Islam bagi tempoh 12 bulan, iaitu 2.36 peratus.

“Kadar pulangan tahun 2021 adalah berpatutan setelah mengambil kira keadaan persekitaran perniagaan dan pasaran sukuk dan saham yang mencabar pada tahun lepas.

“Kedudukan kewangan TH terus kekal kukuh dengan aset berjumlah RM88.73 bilion melebihi liabiliti berjumlah RM85.51 bilion pada 31 Dis 2021,” katanya pada Majlis Pengumuman Agihan Keuntungan TH Tahun 2021, di Menara Tabung Haji di sini hari ini.

Idris berkata pulangan itu juga mengambil kira zakat yang akan dilunaskan bagi pihak pendeposit sebanyak RM107 juta.

Beliau berkata jumlah simpanan deposit yang dijamin kerajaan mencecah RM83.33 bilion iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah TH sejak 59 tahun penubuhannya.

“Jumlah kos operasi juga menurun sebanyak empat peratus berbanding tahun 2020 hasil daripada langkah pengurusan kewangan yang berhemah,” katanya.

Turut hadir Pengerusi TH Tan Sri Azman Mokhtar dan Pengarah Urusan Kumpulan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif TH Datuk Seri Amrin Awaluddin.

Sementara itu Azman berkata nilai agihan keuntungan itu adalah berpatutan dan menepati jangkaan TH berdasarkan belanjawan insititusi itu selain faktor persekitaran ekonomi.

“Selain itu, kadar itu juga mengambil kira faktor TH sebagai tabungan bakal haji untuk masa depan pendeposit,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Menteri: Bantuan kewangan diumum selepas kerajaan Arab Saudi dedah kos haji

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Bantuan kewangan haji daripada Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah yang akan mengerjakan ibadah itu pada tahun ini akan diumumkan selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos keseluruhan yang dikehendaki.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata perkara itu akan diumumkan selepas prosedur operasi standard (SOP) negara itu dimuktamadkan.

“Tahun ini Arab Saudi telah naikkan VAT (Cukai Nilai Ditambah) daripada lima peratus kepada 15 peratus dan juga bilik hotel dulu boleh duduk enam ke tujuh orang dan kali ini dengan SOP Covid-19 mungkin kurang (boleh menginap),” katanya pada sidang media selepas Majlis Serahan Program Mobiliti Tabung Haji di Menara TH di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan Malaysia hanya boleh memuktamadkan bantuan kewangan haji dan kos keseluruhan mengerjakan haji selepas kerajaan Arab Saudi mengumumkan kos-kos yang terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Tabung Haji Tan Sri Azman Mokhtar berkata agihan keuntungan TH dijangka diumumkan hujung bulan ini atau awal bulan depan.

“InsyaAllah hujung bulan ini kita akan umum selepas mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Insya-Allah akan ada keuntungan,” katanya.

Sementara itu, TH telah menyumbangkan sebanyak 25 buah kenderaan (van serbaguna) kepada rumah kebajikan dan persatuan terpilih menerusi program Mobiliti TH bernilai RM2.3 juta, hari ini.

Program itu adalah antara program zakat TH bertujuan melancarkan urusan pengangkutan dalam menjalankan aktiviti harian yang akan memanfaatkan seramai 1,582 orang di rumah kebajikan dan persatuan tersebut.

Idris berkata sumbangan van serba guna itu bertepatan kerana banyak organisasi dan rumah kebajikan di negara ini yang tidak mempunyai kenderaan selesa dan bersesuaian selain kekurangan dana untuk membeli kenderaan sendiri sejak Covid-19 melanda negara.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usaha PAKATAN pulih Tabung Haji diakui Ketua Audit Negara

SHAH ALAM, 5 OKT: Usaha memulihkan Lembaga Tabung Haji (TH) ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PAKATAN) pada 2018 diperakui Ketua Audit Negara.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata laporan audit 2019 terbabit mengiktiraf usaha kerajaan pada waktu itu yang patuh piawaian kewangan antarabangsa dan tempatan.

“Usaha penstrukturan semula itu mengembalikan pematuhan integriti Tabung Haji dan beroperasi mengikut Akta Tabung Haji 1995.

“Kalau diiktiraf bermaksud piawaian kewangan Tabung Haji ini bersih dan sihat berbanding 2017 apabila disebut ada jurang RM4.1 bilion, nilai rosot tidak konsisten dan kerugian tidak didedah,” katanya yang juga ahli Parlimen Parit Buntar.

Beliau berkata demikian pada program anekdot menjawab isu Tabung Haji secara langsung di Facebook Dialektika malam tadi.

Mujahid turut mempersoalkan mengenai pelan penstrukturan semula Lembaga Tabung Haji (TH) tidak termasuk dalam terma suruhanjaya siasatan diraja (RCI) yang akan ditubuhkan.

“Bila kita tanya mereka cakap hendak semak apa yang berlaku dalam Tabung Haji bermula 2014 sehingga 2020 tetapi tidak termasuk penstrukturan semula.

“Sepatutnya harus dimasukkan kerana itu menjadi asas apa yang kita lakukan betul atau tidak,” katanya.

Categories
AGAMA AGENDA NASIONAL

Tabung Haji perkenal perkhidmatan pindahan dana guna JomPAY

KUALA LUMPUR, 3 FEB: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan kemudahan pemindahan dana dalam talian menerusi JomPAY sebagai sebahagian usaha ke arah pendigitalan dengan menyediakan lebih banyak titik sentuh untuk memudahkan pendeposit.

Pengarah Eksekutif Operasi TH, Mustakim Mohamad berkata pendeposit dapat memindahkan dana daripada akaun simpanan atau semasa bank kepada akaun simpanan TH melalui platform perbankan Internet sedia ada.

“Tambahan pula, pendeposit tidak perlu membuat sebarang pendaftaran untuk menggunakan kemudahan ini dan ia adalah percuma,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut TH jumlah transaksi pendeposit yang menggunakan kemudahan perbankan Internet dan pelbagai saluran dalam talian meningkat kepada hampir 80 peratus berbanding transaksi dilakukan di kaunter.

Ia menjelaskan sebanyak 28 bank di Malaysia menyediakan kemudahan ini menerusi platform perbankan Internet masing-masing.

‘Biller Code’ JomPAY bagi simpanan TH adalah 60228 dengan 15-digit nombor Akaun Simpanan TH perlu dimasukkan sebagai Ref-1.

– BERNAMA

Grafik: Facebook Tabung Haji

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Prof Diraja Ungku Aziz satu dalam sejuta, tiada galang ganti

KUALA LUMPUR, 15 DIS: Tokoh pendidikan dan ekonomi tersohor negara Prof Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang meninggal dunia hari ini ibarat satu dalam sejuta, satu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Allahyarham, yang lebih mesra dipanggil Pak Ungku, menghembuskan nafas terakhir pada kira-kira pukul 4.00 petang pada usia 98 tahun di sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara kerana sakit tua.

Berita kematian Ungku Aziz menyentuh perasaan banyak pihak, terutamanya Universiti Malaya, yang begitu sinonim dengan Allahyarham. Menerusi laman sosial Facebook rasmi, universiti itu menyifatkan pemergian Ungku Aziz, naib canselor yang paling lama berkhidmat selama 20 tahun, suatu kehilangan yang tiada galang gantinya.

Banyak pihak menyifatkan pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan besar buat negara, melihat kepada sumbangannya dalam pelbagai bidang antaranya pendidikan, ekonomi, pembasmian kemiskinan dan gerakan koperasi negara.

Jasa dan sumbangan Ungku Aziz kepada umat Islam dan ekonomi orang Melayu tiada tolok bandingnya kerana Allahyarham merupakan orang yang bertanggungjawab terhadap penubuhan Lembaga Tabung Haji (dulu dikenali sebagai Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji) pada November 1962.

Ungku Aziz yang dilahirkan pada 28 Januari 1922 di Hampstead, London mendapat pendidikan awal di Bukit Zaharah English School dan Maktab Sultan Abu Bakar di Johor Bahru. Pada tahun 1940 beliau berkhidmat sebagai pegawai dalam percubaan di bawah skim Pegawai Melayu Kerajaan Johor dan dihantar dengan biasiswa ke Raffles College, Singapura setahun selepas itu.

Menempa sejarah sebagai satu-satunya tokoh akademik yang bergelar Profesor Diraja Ekonomi, penglibatan beliau dalam dunia akademik bermula pada 1948 apabila dipinjamkan ke Raffles College berstatus penolong pensyarah.

Pada 1951, Ungku Aziz mendapat ijazah sarjana muda ekonomi dari Universiti Malaya di Singapura dan setahun kemudian menjadi pensyarah Universiti Malaya di Singapura.

Beliau juga pernah menjadi Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1956 sehingga 1957.

Allahyarham dilantik sebagai Profesor dan Ketua Jabatan Ekonomi selama lima tahun mulai 1961 sebelum memegang jawatan Dekan Fakulti Sastera Universiti Malaya di Kuala Lumpur pada April 1965 dan pada Disember tahun sama beliau menjadi Dekan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran.

Pada 1966, allahyarham memperoleh ijazah doktor falsafah dalam bidang ekonomi dari Waseda University, Tokyo, Japan.

Pada 1 Okt 1968, Ungku Aziz menjadi naib canselor Universiti Malaya yang ketiga dan rakyat Malaysia pertama menyandang jawatan itu sehinggalah bersara pada 1988.

Komitmen Ungku Aziz dalam memperkasakan ekonomi masyarakat begitu signifikan. Selain penubuhan TH, Allahyarham merupakan penggerak koperasi negara dan merupakan presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia (Angkasa) selama hampir 40 tahun iaitu dari 1971 hingga 2009.

Ungku Aziz dianugerahkan Profesor Diraja Ekonomi daripada kerajaan Persekutuan pada 1978, dan beliau juga menerima anugerah kehormat dari lebih 10 universiti dalam dan luar negara termasuk University of Pittsburgh, University of Warwick dan Chulalongkorn University, Bangkok.

Pada 1997, Ungku Aziz merupakan penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah bagi tahun 1418 Hijrah.

Beliau mendirikan rumahtangga bersama tokoh budaya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, lebih dikenali sebagai Azah Aziz yang meninggal dunia pada 2012. Seorang lagi isteri beliau ialah Rahaiah Baheran.

Kepakaran Ungku Aziz dalam bidang ekonomi turut diwarisi anak tunggal beliau Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Pengerusi kumpulan Permodalan Nasional Berhad dan wanita pertama yang dilantik sebagai Gabenor Bank Negara Malaysia.

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi posting di akaun laman sosial Facebooknya tiga hari lepas dalam segmen Kenali Tokoh menyebut Ungku Aziz merupakan ahli ekonomi Melayu pertama, selain digelarkan The Renaissance Man kerana kepakaran beliau membuka pintu perkembangan khususnya dalam pembaikan dan pelaksanaan ekonomi negara.

Ramai pemimpin negara dalam ucapan takziah masing-masing menyifatkan kehilangan Ungku Aziz sukar dicari ganti. Semoga pencapaian Allahyarham akan menjadi contoh dan inspirasi kepada generasi akan datang.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

TH rangka pelan tambah baik perkhidmatan haji

KUALA LUMPUR, 16 DIS: Lembaga Tabung Haji (TH) sedang merangka pelan tindakan (blueprint) untuk tempoh lima tahun dari 2020 hingga 2024 bagi menambah baik mutu perkhidmatan dan operasi haji yang dikendalikan institusi itu.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata pelan tindakan yang julung kali diperkenalkan itu dijangka siap pada suku pertama tahun depan, akan membolehkan TH membuat perancangan awal seiring pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Di Tanah Suci ada banyak perubahan fizikal seperti hotel lama yang diruntuhkan, dibina baharu, ada juga penempatan-penempatan baharu, dan ia memerlukan TH untuk menilai perkhidmatan yang diberikan.

“Sebagai contoh, hotel-hotel kita terletak 950 meter dari Masjidil Haram, dan sekiranya makin jauh akan beri implikasi kepada jemaah,” katanya dalam sidang media baru-baru ini.

Jelas beliau, pelan tindakan itu turut mengambil kira Visi 2030 Arab Saudi khususnya yang melibatkan pembangunan dan pembaharuan di Tanah Suci bagi membolehkan TH terus meningkatkan perkhidmatan haji.

Pada masa ini, Nik Mohd Hasyudeen berkata TH sedang mengumpul maklumat dan pandangan daripada pihak-pihak berkepentingan untuk merealisasikan pelan tindakan tersebut.

Mengenai sama ada perubahan di Tanah Suci akan memberi kesan kepada kos pengurusan haji, beliau berkata ia cabaran buat TH untuk mencari kaedah terbaik dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti.

“Satu cabaran pada kami sebab kita tahu kos sentiasa meningkat tapi kita kena cabar diri sama ada terdapat kaedah lain yang boleh diambil namun memberi kesan kepada perkhidmatan. Contohnya, kalau jarak lebih jauh dari hotel, bagaimana pula kesan daripada segi jemaah yang nak pergi masjid, perlu ada bas ke, atau macam mana?

“Perkara seperti ini yang kita kena perhalusi dengan mengambil kira umur jemaah, kemudahan mereka untuk bergerak, tak boleh ambil jalan mudah yang kemudiannya apabila jemaah sampai ke sana mereka hadapi kesukaran,” katanya.

-BERNAMA

Categories
SELANGOR

Penjawat Awam : Bonus Simpanan SelangorKu Dorong Budaya Menabung

SHAH ALAM, 8 OGOS: Rata-rata penjawat awam Selangor mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Selangor di atas pemberian bonus tambahan berbentuk simpanan SelangorKU sebanyak RM 200.

Seorang kakitangan bahagian Sumber Manusia, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Azhar Putih, 34, berkata bonus tambahan ini akan digunakan sebagai simpanan untuk masa hadapan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Selangor kerana memberi bonus tambahan berbentuk simpanan ini dan saya akan menjadikan ia simpanan di masa hadapan,” katanya yang pertama kali membuka akaun simpanan Lembaga Tabung Haji.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengumumkan pemberian bonus setengah bulan gaji atau minima RM 500 kepada kakitangan awam Selangor.

Setiap kakitangan juga mendapat RM 200 sebagai bonus simpanan yang akan dimasukkan ke dalam akaun Lembaga Tabung Haji atau Bank Simpanan Nasional.

Seramai 20 orang penjawat awam Selangor menerima bonus daripada Abdul Khalid dalam satu majlis simbolik yang berlangsung di ruang legar Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pagi tadi.

Majlis ini turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, barisan Exco-exco Selangor, Ketua-ketua Jabatan serta kakitangan Kerajaan Negeri.

Pada majlis yang sama, Pengarah BSN, Noraini Mohd Johan turut menyampaikan Mock Sijil Simpanan Premium Kepada Abdul Khalid.

Bagi Rajeshwary Saminathan, 45, sumbangan ini menunjukkan Kerajaan Negeri mahu menggalakkan rakyatnya menabung untuk masa depan.

“Selain membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak melupakan jasa kakitangannya, Kerajaan Negeri turut mahu menggalakkan rakyatnya menabung untuk masa hadapan,” katanya yang bekerja di Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor.