Categories
AGENDA NASIONAL

Premis jalankan aktiviti pertanian dikompaun, punca Sungai Remok keruh

SHAH ALAM, 20 OKT: Aktiviti tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pertanian menjadi punca kekeruhan Sungai Remok, Hulu Selangor.

EXCO alam sekitar berkata Lembaga Urus Air Selangor (Luas) mengesan pelepasan bahan pencemar dari sebuah kolam takungan di kawasan terbabit pada jarak kurang satu kilometer.

Hee Loy Sian menjelaskan pensampelan Luas secara in-situ di lokasi berkenaan adalah 20 nilai bacaan kekeruhan (NTU) manakala jumlah pepejal terampai adalah 18 mg/l semasa keadaan biasa tanpa hujan.

“Bagaimanapun kawasan permukaan kerja tanah yang terdedah ini berisiko kepada peningkatan kekeruhan apabila hujan lebat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu juga, Loy Sian berkata premis terbabit dikompaun Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengikut Seksyen 70 A(1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133) kerana menjalankan kerja tanah tanpa kebenaran.

Menurutnya, tindakan dikenakan semalam selepas mendapati premis berkenaan tiada kelulusan pelan kerja tanah walaupun memperoleh kebenaran merancang untuk tapak penanaman sayur dan struktur rumah hijau.

Sementara itu, Loy Sian berkata premis terbabit juga diarah menghentikan sebarang pelepasan bahan pencemar selain menyediakan langkah kawalan pencemaran sedimen dan kelodak yang efisien.

Beliau memaklumkan Perintah Perlindungan Air mengikut Seksyen 122 (1) Enakmen Luas 1999 itu bagi mengelak memberi risiko kepada kuantiti serta kualiti air terjejas akibat kekeruhan.

“Kegagalan pematuhan perintah boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara untuk tempoh tidak lebih setahun atau kedua-duanya dan denda selanjutnya tidak lebih RM3,000 bagi setiap kesalahan itu diteruskan,” katanya.

Kelmarin, Pertubuhan Kebajikan Warga Desa Hulu Selangor meminta Kerajaan Negeri menyiasat punca sebenar pencemaran yang berlaku di sungai berkenaan.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PKP: Luas sambung tutup ibu pejabat, dua pejabat cawangan

SHAH ALAM, 27 APRIL: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) menyambung lagi penutupan ibu pejabat dan pejabat cawangan di Seksyen 15, Shah Alam mulai esok hingga 12 Mei ini susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Melalui kenyataan, Luas memaklumkan penutupan sementara operasi itu bagaimanapun tidak menjejaskan gerak kerja agensi tersebut bagi memastikan bekalan air di Selangor berjalan lancar.

“Pasukan barisan hadapan sentiasa memantau 24 jam di lempangan utama Sungai Selangor supaya insiden pencemaran dan henti tugas Loji Permbersihan Air (LPA) tidak berlaku sepanjang PKP.

“Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Luas melalui aplikasi WhatsApp di talian 019-2647904,” katanya.

Sepanjang PKP bermula 18 Mac lalu, ibu pejabat Luas dan dua pejabat cawangannya ditutup selepas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan ia dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tindakan lebih tegas pihak ganggu bekalan air

SHAH ALAM, 17 APRIL: Premis kolam ikan yang melepaskan aliran air ke Sungai Selangor sehingga menyebabkan empat loji pembersihan terpaksa dihenti tugas, akan dikenakan tindakan lebih tegas, kata Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Anak syarikat Kerajaan Negeri itu memaklumkan pihak tersebut didapati melakukan perbuatan tersebut susulan siasatan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), sebaik Kod Merah Kecemasan Pencemaran Sungai Negeri Selangor diaktifkan.

“Pensampelan kualiti air dilaksanakan untuk dianalisa Jabatan Kimia dan siasatan mendapati premis yang sebelum ini diberikan surat arahan pada Februari lalu untuk memberhentikan kerja serta-merta juga membuat kerja pembersihan namun pencemaran masih berulang.

“Tindakan tegas akan diambil terhadapnya dengan pemberhentian operasi serta-merta sehingga menyediakan sistem rawatan sisa buangan yang sempurna dengan tiada pelepasan discaj (bahan penyingkiran) berbau ke Sungai Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Air Selangor memaklumkan Loji Rawatan Air Sungai Selangor (LRA) Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2), Fasa 3 (SSP3) dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas pada jam 11 malam tadi.

Syarikat utiliti itu berkata tindakan tersebut dibuat berikutan pencemaran bau pada sumber air mentah di Sungai Selangor, namun kesemua loji kembali beroperasi jam 6.30 pagi tadi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Enam stesen empangan Selangor capai hampir 100 peratus

SHAH ALAM, 13 MAC: Lembaga Urus Air Selangor (Luas) memaklumkan enam empangan air di Selangor berada pada tahap terbaik iaitu kapasiti hampir 100 peratus setakat jam 8 pagi tadi.

Menerusi laman sesawangnya, agensi berkenaan berkata Stesen Kolam Takungan Sungai Labu mencatat bacaan terbaik iaitu 99.62 peratus diikuti Stesen Tasik Subang (99.06 peratus), Stesen Sungai Tinggi (95.23 peratus), Stesen Semenyih (94.57 peratus), Stesen Sungai Selangor (92.44 peratus) dan Stesen Langat (90.70 peratus).

Manakala, paras takungan air di empangan Stesen Batu mencatat 89.07 peratus dan Stesen Klang Gates (87.15 peratus).

Sebelum itu, pejabat ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca kering terutama di utara Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Perak selain Kelantan dan Terengganu.

Turut dinyatakan Malaysia kini pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Menteri dipelawa lawat empangan buktikan air cukup

SHAH ALAM, 23 MEI: Bekalan air mentah di Selangor hari ini bukan sahaja mencukupi malah berada di tahap berlebihan sehingga mampu menyebabkan kejadian banjir di beberapa tempat di negeri ini.

Mengikut data yang dikeluarkan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) pada Mei 2012 simpanan air mentah di tujuh empangan di negeri ini melebihi seratus peratus simpanan.

Statistik tersebut di edarkan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi menyangkal dakwaan Menteri Kerajaan Pusat, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan pemimpin Umno-BN Selangor yang tahap bekalan air Selangor pada paras kritikal.

Abdul Khalid berkata, jumlah takungan sumber air di empangan Negeri Selangor adalah sebanyak 522.655 juta meter padu.

“Sejak Febuari 2012, semua tujuh empangan berada dalam keadaan memuaskan dan mampu untuk membekalkan sumber air kepada semua loji pembersihan air Selangor.

“Melalui rekod pemantauan tahunan LUAS, semua empangan mampu membekalkan sumber air dan belum pernah mencecah tahap kritikal yang ditetapkan dalam lengkuk operasi empangan (dam rule curve),” kata Abdul Khalid di dalam satu sidang media di sini.

Sebelum ini, Peter pernah dilaporkan berkata, di dalam Dewan Rakyat pada April bahawa rizab bekalan air di empangan Selangor pada tahap 2.4 peratus. Rizab optimum adalah pada 10 ke 15 peratus.

Akan tetapi kenyataan tersebut bercanggah dengan laporan LUAS, kata Abdul Khalid.

“Ini jelas menunjukkan bahawa kenyataan bahawa kadar rizab air di Selangor hanya tinggal 2.4 peratus sahaja berbanding kadar sepatutnya iaitu 20 peratus, adalah salah,? tegas Abdul Khalid.

Abdul Khalid mempelawa Peter, iaitu Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, pemimpin Umno-BN Selangor dan media untuk melawat empangan air bagi membuktikan kadar rizab air negeri berada dalam tahap yang selesa.

Selain itu, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Selangor tidak akan menentang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dan mahu projek itu dimasukkan di dalam pakej penyelesaian penyusunan semula industri perkhidmatan air selaras dengan Akta Industri Pembekalan Air 2006 (WSIA).

Cadangan pakej itu juga akan membolehkan Kerajaan Selangor mengambilalih pembekalan dan pengurusan air daripada syarikat konsesi.

Bagaimanapun menurut Abdul Khalid, cadangan pembinaan projek penyaluran air mentah Pahang-Selangor termasuk pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 itu tidak perlu diberikan keutamaan pada masa sekarang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nelayan Kuala Langat Harus Berhenti Persalahkan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 15 MEI : Masalah yang membelenggu sebahagaian nelayan di Kuala Langat hanya boleh diselesaikan kerajaan pusat yang menentukan kuasa perairan negara.

Masalah seperti kedudukan boya yang didakwa mengganggu hasil tangkapan, pewartaan kawasan ‘port limit’ dan aktiviti kapal-kapal besi di kawasan perairan di situ di bawah kawalan agensi kerajaan pusat.

Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid berkata, kuasa yang ada pada kerajaan negeri hanyalah untuk berbincang dan merayu kepada kerajaan persekutuan.

“Kita telah mengadakan perbincangan menyeluruh bersama Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) , Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dan Majlis Daerah tetapi tiada kata sepakat kerana permintaan para nelayan adalah luar biasa,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Laporan media memaparkan satu demonstrasi oleh 20 nelayan di Kelanang, Kuala Langat pada Sabtu lalu bagi mendesak kerajaan negeri membela nasib mereka.

Abdullah Sani berkata perbincangan telah dilakukan sebanyak sembilan kali dan selepas kali terakhir Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar mengambil alih.

“Selepas Noh Omar campur tangan, saya tidak ambil tahu lagi kerana Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani yang seharusnya bertanggungjawab,” jelasnya.

Menurut Abdullah Sani, para nelayan menuntut pampasan berjumlah RM15 juta dari kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan negeri tidak pernah berjanji di dalam manefesto pilihanraya lalu untuk memberikan pampasan sebanyak itu kepada para nelayan.

“Kerajaan pusat terlibat dalam pembinaan ‘port limit’ tersebut dan kerajaan negeri tidak pernah berjanji sedemikian kepada para nelayan,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

MB : Air Di Selangor Mencukupi

KLANG, 29 APR : Kerajaan Negeri memberi jaminan bekalan air di Selangor adalah mencukupi dan rakyat akan menikmatinya pada harga yang munasabah dan terbaik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), agensi yang mengurus air di Selangor, standard air di negeri adalah membanggakan.

“Perlunya kita menjaga dan menggunakan air dengan cermat. Kita sebagai rakyat mahu kepada pentadbiran yang memberikan kualiti yang terbaik dengn air yang bersih kepada rakyat.

“Jadi sebab itu tanggungjawab LUAS sangat besat dan saya harap LUAS akan meneruskan usaha ini,? katanya ketika merasmikan Sambutan Air Sedunia 2012 peringkat Selangor di sini semalam.

“Kita mesti bagi harga yang terbaik sebab air adalah hak asasi manusia. Serupa juga macam pendidikan. Jadi harga air ini tidak boleh terlalu tinggi.

?Kerajaan yang bijak akan memberikan sebahagian daripada air itu secara percuma, jadi dengan cara itu kerajaan mengambil kira kepentingan rakyatnya.

“Kita ada bekalan air yang cukup tetapi salahnya ialah pengurusan air dan sumber ini. Kalau kita tidak menguruskannya dengan baik maka kemajuan tidak akan bertambah baik,” katanya.

Hari Air Sedunia peringkat Selangor diadakan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentnag kepentingan memelihara dan memulihara sumber air.