Categories
AGENSI SELANGOR

LZS: Dana RM1.5 juta bantu 700 peniaga kembali bangkit

SHAH ALAM, 16 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan dana RM1.5 juta bagi membantu peniaga terjejas pendapatan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata bantuan itu termasuk dalam 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli dan menyasarkan membantu 700 usahawan yang terkesan.

Menurutnya, kumpulan terbabit telah dikenal pasti, terdiri usahawan asnaf fakir dan miskin serta bekas asnaf yang terjejas pendapatan berikutan Covid-19.

“Kita salurkan bantuan dalam bentuk suntikan modal untuk membolehkan mereka bangun semula, setiap peniaga sama ada asnaf fakir dan miskin atau bekas usahawan asnaf terbabit menerima bantuan maksimum RM2,000.

“Kita faham masalah mereka yang mungkin tiada modal untuk meneruskan semula perniagaan,” katanya di sini.

2 Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan zakat RM69.3 juta bagi melaksanakan 19 inisiatif Zakat Selangor Peduli bagi membantu golongan terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0.

Inisiatif dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember ini dijangka memanfaatkan 59,322 penerima dan 431 institusi.

Categories
AGENSI SELANGOR

Zakat Selangor agih makanan ringan di pusat penilaian Covid-19

SHAH ALAM, 13 JULAI: Sebanyak 2,000 set makanan ringan akan diagih kepada orang ramai yang hadir membuat penilaian kesihatan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati hari ini.

Set makanan mengandungi roti dan air adalah sumbangan Lembaga Zakat Selangor untuk memudahkan urusan orang ramai di pusat penilaian berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop memaklumkan, sumbangan menggunakan wang Amil (pengurusan) dilaksana selama 30 hari.

“Hari ini Insya-Allah saya bersama team zakat akan berada di CAC Stadium Melawati menyampaikan sumbangan 2,000 bungkusan roti dan air yang akan diedarkan kepada orang ramai yang hadir untuk proses penilaian Covid-19,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS sumbang 20 unit kerusi roda untuk kegunaan Hospital UiTM

SHAH ALAM, 26 JUN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyumbang 20 unit kerusi roda kepada Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sokongan komitmen institusi awam menangani Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan M Yusop berkata kemudahan itu diharap membantu keperluan kritikal hospital sepanjang tempoh pandemik seterusnya memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

“Sumbangan ini dapat bantu kelengkapan hospital terutama untuk kegunaan pesakit di pelbagai wad, lebih-lebih lagi Hospital UiTM kini dilantik sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) berskala mega,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Sumbangan diserahkan kepada Pengarah Hospital UiTM Prof Dr Sazzli Shahlan Kasim di Dewan Berlian kampus Puncak Alam, Kuala Selangor semalam.

Sementara itu, Saipolyazan berkata sebelum ini Hospital UiTM antara 17 hospital sekitar Lembah Klang yang menerima sumbangan Tabung Kebajikan Pesakit LZS berjumlah RM1.77 juta.

Menurutnya, sumbangan RM50,000 bagi meringankan beban pesakit yang memerlukan kos pembiayaan menjalani rawatan di hospital terbabit.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Sultan Selangor terima zakat niaga lebih RM8 juta

SHAH ALAM, 3 MEI: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor berkenan menerima zakat perniagaan bagi pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM8.02 juta, semalam.

Selangor Royal Office menerusi kenyataan di Facebook berkata Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menerima zakat dalam majlis ringkas di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.

“Zakat berkenaan diterima daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB),” kata kenyataan itu.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Selesai majlis, baginda berkenan menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah di masjid tersebut.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Gigih berniaga, hajat asnaf tunai zakat termakbul

DAHULU, Ramlah Abdul Karim, 40, dan suami Suhaimi Ali, 44, hidup susah. Ketika itu, mereka lima beranak makan nasi berlauk kangkung yang dikutip di belakang rumah.

Pernah, bukan sekali dua, berhari-hari tidak menjamah nasi. Dengan sedikit duit, dibelinya tepung buat cekodok. Itupun cekodok kosong. Hanya sesekali cekodok bawang.

Berazam keluar daripada kemiskinan, mereka cuba berniaga kecil-kecilan. Selepas jatuh bangun beberapa kali, kesungguhan mereka mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang kemudian menghulur bantuan.

Kehidupan mereka lebih baik mulai 2017. Dua tahun kemudian, mereka berasa telah sampai masanya untuk memberi pula. Mereka ke pejabat LZS untuk membayar zakat.

Namun, hajat suami isteri belum kesampaian. Pengiraan mendapati pendapatan mereka belum layak membayar zakat.

Walau sedikit terkilan, mereka mengganda usaha. Setahun kemudian, mereka kembali lagi. Kali ini, LZS menerima bayaran zakat pendapatan mereka. Hasrat mereka tertunai akhirnya.

Mula niaga

Sejak 2010 hingga 2013, suami isteri itu tidak pernah beli pakaian baharu tiap kali menjelang Aidilfitri. Anak-anak didahulukan, dari lima, bertambah lagi dua anak. Itupun ala kadar tetapi cukuplah buat mereka mengukir senyuman di pagi Syawal.

Mujurlah pada 2014 dapat bantuan LZS. Selain meringankan beban ketika kedatangan Aidilfitri, mereka juga bergantung kepada bantuan zakat setiap kali tiba musim persekolahan.

Pagi raya pula, dengan duit cukup-cukup untuk minyak dan tol, mereka tujuh beranak berhimpit ketika berkereta pulang ke kampung, sama ada Pekan, atau Johor Bahru. Berbahang tanpa pendingin hawa.

Proton Saga lama dibeli pada harga RM3,000. Untuk berniaga dan menghantar anak ke sekolah. Suhaimi tidak sampai hati melihat Ramlah berulang-alik menunggang motosikal empat lima kali dari rumah ke gerai mengangkut kuih-muih dan tong gas.

Itupun dengan meminjam wang majikannya. Ketika itu, Suhaimi bekerja sebagai pemandu lori kedai perkakasan logam dengan gaji RM35 sehari.

Mereka hanya berniaga kecil-kecilan. Pada 2014, mereka membuka gerai pisang goreng dan kuih-muih di Meru, Klang. Namun, perniagaan itu cuma bertahan dua tahun. Tapak niaga terpaksa dikosongkan untuk kerja pembinaan jalan.

Pada 2016, mereka cuba berniaga bebola daging, ayam panggang dan makanan Barat di pasar malam sekitar Meru. Sekali lagi, tidak sampai setahun, perniagaan gulung tikar.

Namun, kegigihan mereka menggamit perhatian LZS. Melalui program Teraju Ekonomi Asnaf Sdn Bhd (Teras), mereka menerima bantuan sebuah lori kecil, stok bahan mentah dan modal pusingan bernilai RM54,600 untuk memulakan perniagaan nasi campur pada 2017.

Bimbingan

Pasangan itu juga diberi pelbagai kursus antaranya pengurusan kewangan, pengendalian makanan dan motivasi.

Lokasi strategik di Setia City Mall, Shah Alam melonjak perniagaan mereka. Gerai mereka popular dalam kalangan pekerja pejabat berhampiran berikutan keenakan lauk pauk. Pilihan juga banyak. Lebih 20 jenis disediakan setiap hari.

“Bukan sekadar bantuan perniagaan sahaja, LZS juga banyak memberi semangat kepada saya dan suami.

“Pegawai zakat kerap datang ke gerai bertanya khabar dan keadaan perniagaan kami. Bantuan dan bimbingan diberi sangat besar maknanya,” kata Ramlah.

Kehidupan mereka sekeluarga kini jauh berubah. Ramlah turut menasihati supaya golongan asnaf fakir dan miskin supaya tidak berputus asa serta sentiasa berusaha mengubah nasib masing-masing.

“Sebenarnya pokok pangkal dalam diri masing-masing. Kalau ada kemahuan yang kuat pasti boleh berubah,” katanya.

“Bantuan zakat hanya sementara sahaja, bukan selama-lamanya. Diri sendiri perlu berusaha untuk mengubah nasib, jangan berserah begitu sahaja,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS tanggung sewa rumah pasangan warga emas

SHAH ALAM, 30 JAN: Sepasang warga emas yang menghuni rumah usang sejak beberapa tahun lalu terharu apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyediakan kediaman baharu buat mereka.

Mohamad Yusof Sedik, 69, yang menetap di Kampung Baru Bagan Tengkorak, Tanjong Karang juga dimaklumkan sewa rumah berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh agensi itu.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada LZS atas bantuan diberikan. Saya difahamkan, kadar sewa setiap bulan RM350.

“Insya-Allah, kami berdua akan berpindah ke rumah baharu yang terletak tidak jauh daripada tempat tinggal sekarang pada Mac ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Menurut Mohamad Yusof, selama ini keadaan tempat tinggal mereka tidak terurus gara-gara monyet sering menceroboh dan menyelongkar rumahnya sehingga bumbung rosak serta berlubang.

Katanya, keadaan menjadi lebih buruk apabila isterinya, Hamidah Ahmed, 61, tidak dapat menguruskan rumah selepas kaki kirinya dipotong akibat kencing manis.

“Saya pula ke pasar setiap hari untuk berniaga ikan dan sayur-sayuran bagi menampung kehidupan dengan gaji harian sebanyak RM30,” katanya.

Sementara itu, LZS dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pasangan terbabit berjaya didaftarkan sebagai asnaf miskin pada 26 Januari lalu.

Agensi berkata, pihaknya juga akan menyalurkan keperluan perubatan asas kepada Hamidah bagi meringankan beban ditanggung.

“Terima kasih pembayar zakat di Selangor kerana wang zakat anda dapat kami santuni mustahiq yang memerlukan. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS serah bantuan kepada wanita terpaksa curi makanan, ubat

SHAH ALAM, 22 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyerahkan bantuan wang tunai kepada keluarga wanita yang ‘ditangkap’ mencuri ubat dan makanan di sebuah pasar raya dekat Petaling Jaya kelmarin.

Agensi itu dalam kenyataan berkata sumbangan RM500 dan makanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Md Yusop di rumah wanita berkenaan semalam.

“Lanjutan kisah ibu yang dilaporkan mencuri untuk anak-anaknya kelmarin, kami telah ke rumah beliau untuk memahami isu sebenar yang berlaku.

“Suaminya menerangkan, si isteri tidak berniat langsung untuk mencuri. Namun, semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pendapatan si suami yang bergaji hari mula terjejas,” kata agensi itu menerusi Facebook.

Kisah seorang ibu gagal membayar pelekat Kool Fever, sosej dan kek berjumlah RM58 tular selepas Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal menyerahkan semula barangan berkenaan kepada wanita itu untuk anak-anaknya semalam.

Susulan itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari turut menziarahi wanita berkenaan dan menawarkan bantuan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Mangsa kebakaran di Sungai Besar terima bantuan LZS

SHAH ALAM, 15 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan kecemasan kepada tiga keluarga mangsa kebakaran di Taman Sri Indah, Sungai Besar.

Ketua Divisyen Komunikasi Korporatnya Datin Norajun Ainun Mohd Hashim berkata sumbangan RM500 sebagai tanda prihatin terhadap nasib menimpa mangsa ekoran tragedi itu.

“Bantuan diharap meringankan beban mangsa bencana yang terpaksa mengharungi dugaan ini dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita berterima kasih kepada seluruh pembayar zakat kerana zakat yang dikeluarkan dapat membantu golongan ditimpa musibah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata salah sebuah keluarga mangsa terbabit terpaksa tinggal sehelai sepinggang apabila keseluruhan rumah hangus terbakar manakala dua lagi unit kediaman mengalami kerosakan bumbung dan dinding.

Menurut Norajun Ainun, ketika kejadian, Mohd Rizal Mohd Idrus, 40, sedang berniaga di pinggir pekan Sungai Besar dan mengetahui insiden berkenaan selepas dimaklumkan jirannya.

“Beliau cuba bergegas tetapi tidak sempat berbuat apa-apa apabila semuanya musnah dijilat api dan tiada harta benda mampu diselamatkan,” kata Norajun Ainun.

Categories
AGENSI SELANGOR

Operasi ibu pejabat, cawangan LZS tutup Isnin ini

SHAH ALAM, 2 JAN: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menutup operasi ibu pejabat dan semua cawangannya Isnin ini.

Agensi itu dalam kenyataan memaklumkan waktu operasi akan kembali seperti biasa pada hari Selasa.

“Namun, tiga cawangan LZS iaitu di Taman Melawati, Bandar Baru Ampang dan Sungai Buloh pula ditutup sehingga 10 Januari dan beroperasi semula keesokannya (11 Januari),” kata LZS di Facebook.

Menurut kenyataan cawangan itu ditutup sebagai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) mencegah penularan Covid-19.

 

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS belanja lebih RM1.2 juta sumbang alat kelengkapan masjid

SHAH ALAM, 26 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menghulurkan bantuan alat kelengkapan masjid bernilai lebih RM1.2 juta kepada institusi agama di daerah Kuala Langat semalam.

Agensi itu memaklumkan, sumbangan kepada 19 surau, lapan masjid dan dua maahad tahfiz berkenaan untuk keselesaan pelajar serta jemaah.

“Bantuan itu merangkumi barangan kelengkapan masjid antaranya karpet dan sistem siar raya.

“Secara tidak langsung sumbangan ini beri kesan yang besar kepada para jemaah dan pelajar tahfiz untuk beribadat dan belajar dengan selesa” kata LZS di Facebook.

Pada majlis sama, agensi itu turut mengadakan program simbolik penghantaran pakaian sekolah ke tujuh rumah asnaf, fakir dan miskin di sekitar Kampung Kanchong Darat.

Program mendapat kerjasama Teraju Ekonomi Asnaf (Teras) turut dihadiri Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Basith Abdul Hamid.

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS: Mangsa kebakaran di Sepang terima bantuan kecemasan

SHAH ALAM, 18 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan sumbangan kecemasan RM1,500 kepada sebuah keluarga mangsa kebakaran di Taman Anggerik Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Ketua operasi agihan Sepang Mohd Helmi Mohd Nuri berkata bantuan bencana dan kerosakan itu bagi meringankan beban Mohamad Rosenizam Hashim, 39, sekeluarga akibat musibah itu.

“Diharapkan keluarga ini bersabar dan tabah dengan ujian yang menimpa mereka. Semoga sumbangan daripada LZS dapat digunakan untuk mencari kediaman lain buat sementara waktu,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan tersebut semasa turun ke lokasi bersama ketua kampung Salak Mohd Nazlan Yahya.

Mohd Helmi memaklumkan kebakaran berlaku pada 14 Disember lalu disyaki berpunca daripada kereta milik mereka yang tiba-tiba meletup ketika enjin dihidupkan.

Kereta dan kediaman mangsa yang hangus dalam kebakaran di Taman Anggerik Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang pada 14 Disember 2020. Foto Facebook LZS
Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS seru lebih ramai tunai tanggungjawab, bantu asnaf

SHAH ALAM, 17 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyeru lebih ramai umat Islam menunaikan zakat bagi membantu golongan asnaf yang dijangka bertambah tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Saipolyazan Md Yusop berkata peningkatan berlaku susulan pandemik Covid-19 yang berlarutan sepanjang tahun ini.

“Bila sebut Selangor, orang kata kita mempunyai jumlah kutipan zakat paling banyak, tetapi pada masa sama kita juga mempunyai bilangan asnaf paling ramai untuk dibantu.

“Malah 60 peratus asnaf fakir di negeri ini terdiri daripada miskin bandar, dan mereka terjejas teruk akibat Covid-19. Oleh itu, saya menyeru kepada semua umat Islam supaya tunailah zakat agar kita dapat membantu golongan kurang mampu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Agihan Bantuan Persekolahan Sesi 2021 di Bangunan LZS, di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS, Abdul Basith Hamid berkata jumlah kutipan zakat tahun depan dijangka menyusut sekali gus memberi kesan kepada peruntukan golongan asnaf.

Jelasnya, penyusutan berlaku kerana banyak perniagaan mengalami kerugian dan individu dihentikan kerja akibat pandemik Covid- 19.