Categories
AGENSI SELANGOR

LZS agih RM15 juta bantu golongan terkesan Covid-19

SHAH ALAM, 6 APR: Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan bantuan RM15 juta kepada golongan yang terkesan akibat Covid-19 di seluruh negara.

LZS menerusi Facebook memaklumkan peruntukan zakat disalurkan itu adalah sebahagian daripada jumlah keseluruhan RM119.36 juta bersama agensi agama negeri lain sehingga Mac lalu.

“Terima kasih kepada pengeluar zakat. Moga Allah mengangkat wabak Covid-19 dari muka bumi ini,” katanya menerusi Facebook.

Rabu lalu, LZS mengumumkan pelaksanaan bantuan khas Covid-19 membabitkan 29,000 penerima dengan anggaran peruntukan RM14 juta dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Saipolyazan Mat Yusop menyatakan 9,000 daripadanya adalah golongan asnaf fakir, miskin serta mualaf akan diberi RM500 setiap seorang.

Categories
AGENSI SELANGOR

Tunai zakat, menang telefon bimbit

SHAH ALAM, 18 DIS: Orang ramai berpeluang memenangi dua hadiah telefon bimbit dan 25 pengecas mudah alih (powerbank) apabila menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor (LZS), sepanjang bulan ini.

LZS dalam kenyataan berkata peluang itu diberi melalui e-cabutan ketika berada di kaunter bayaran zakat, kemudian mereka perlu mengimbas ‘QR kod’ dan menjawab dua soalan mudah.

“Bagi memudahkan orang ramai, semua 27 cawangan LZS dibuka tujuh hari seminggu termasuk Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang Disember ini.

“Waktu operasi bagi semua cawangan bermula 8.30 pagi hingga 4.30 petang pada hari bekerja manakala hujung minggu dan cuti umum, cawangan kami dibuka dari 9 pagi hingga 3 petang,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan, bagi cawangan Zakat di UTC Shah Alam, waktu urusan bermula dari 1 petang hingga 10 malam pada hari bekerja.

Manakala pada Jumaat, waktu urusan bermula dari 2.45 petang hingga 10 malam, sementara Sabtu dan Ahad waktu urusan bermula 8 pagi hingga 1 petang dan ditutup pada cuti umum.

“Inisiatif itu bagi memudahkan sahabat zakat menunaikan kewajipan sebelum berakhir tahun 2019.

“Selain taksiran zakat harta, orang ramai boleh mendapatkan perkhidmatan rundingan, bayaran serta urusan permohonan agihan zakat.

“Pada masa sama, kami turut menyediakan perkhidmatan bayaran melalui kad kredit Islamik dan debit,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

LZS peruntuk RM32.9 juta bantu persekolahan anak asnaf

SHAH ALAM, 13 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntukkan RM32.9 juta kepada 30,718 ketua keluarga asnaf fakir dan miskin bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2020.

LZS menerusi kenyataan di Facebook memaklumkan, bantuan itu diagihkan setiap tahun bertujuan meringankan bebanan golongan terbabit terutama bagi persediaan kelengkapan sekolah anak mereka.

Katanya, pengagihan itu membabitkan 65,956 anak asnaf fakir dan miskin bermula daripada peringkat pra sekolah hingga menengah.

“Melalui bantuan ini, setiap pelajar Sekolah Rendah Kebangsaan menerima RM170 dan pelajar Sekolah Rendah Agama RM150 seorang.

“Manakala pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan pula menerima RM200 seorang,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, kesemua kelengkapan persekolahan itu boleh diperolehi di Pasar Raya Borong Sakan, Econsave Cash & Carry, Tesco, Canggih dan Jakel terpilih sekitar Selangor.

Katanya, ketua keluarga boleh mula membuat penebusan mulai hari ini dengan hanya perlu mengemukakan MyKad sebagai rujukan sebelum menebus kelengkapan persekolahan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor berkenan terima zakat perniagaan RM7.6 juta

KLANG, 10 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat perniagaan daripada tiga syarikat korporat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjumlah RM7,589,523 yang diserahkan dalam satu upacara di Istana Alam Shah di sini semalam.

Gas Malaysia Berhad diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Ahmad Hashimi Bin Abdul Manap menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM3.5 juta.

Diikuti Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang diwakili oleh Pengerusi Ahli Jemaah, Dato’ Pahrolrazi Mohd Zawawi dengan jumlah zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2017 sebanyak RM3.1 juta.

Manakala bagi Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) diwakili Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan, Abdul Hamid Bahari menunaikan zakat perniagaan bagi tahun kewangan 2018 berjumlah RM1 juta.

Upacara penyerahan zakat turut dihadiri Pengerusi zakat Selangor, Tan Sri Dato’ Seri Syed Anwar Syed Putra Jamalullail.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop dan Ketua Divisyen Kutipan, Mohd Sabirin Mohd Sarbini.

Categories
SELANGOR

LZS cawangan PKNS ditutup, pindah ke UTC Shah Alam

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 JUL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) cawangan Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) akan ditutup sepenuhnya mulai esok.

LZS dalam kenyataan di Facebooknya memaklumkan, penduduk Shah Alam boleh membuat urusan berkaitan zakat di On Wheel di tapak bazar Kompleks PKNS.

“Urusan zakat juga boleh dibuat di mana-mana cawangan zakat di sekitar Shah Alam iaitu di Masjid Negeri, Bangunan Sultan Idris Shah atau di ibu pejabat LZS yang terletak di Alami Seksyen 13,” katanya.

LZS berkata, pemindahan berkenaan bertujuan untuk melancarkan proses pemindahan cawangan Kompleks PKNS ke Pusat Tranfomasi Bandar (UTC) Shah Alam akan mula beroperasi 1 Ogos depan.

 

Categories
SELANGOR

LZS bantu ibu tujuh anak

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 1 JUL: Berjauhan dengan suami yang bekerja di Pulau Pinang sebagai buruh binaan, pastinya menyukarkan kehidupan ibu tujuh anak, Sri Wahyuni Lubis, 40.

Dengan gaji yang tidak seberapa dan hanya menjengah sebulan sekali, hidup Wahyuni pastinya sukar.

Justeru, Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif memberi bantuan secara terus antaranya bantuan kewangan berjumlah RM700, sewa rumah RM400 dan persekolahan anak-anaknya.

LZS memaklumkan Wahyuni bersama tujuh anaknya menghadapi kesukaran apabila rumah disewa hampir empat bulan tertunggak.

“Walaupun sewanya hanya RM400 sebulan namun amat berat bagi ibu ini untuk membiayainya,” katanya.

Sementara itu, Wahyuni bersyukur dengan bantuan diberikan LZS.

“Alhamdulillah Zakat Selangor banyak sangat membantu. Ringan sangat rasanya hidup sekarang ini. Tidak risau lagi masalah rumah, makan minum, sekolah anak-anak.

“Rumah ini sempit untuk memuatkan semua tujuh anak tetapi Alhamdulillah anak-anak tidak banyak berkira.

“Kami makan apa yang ada. Cuma apabila tiba bulan puasa baru-baru ini, ada kala beras tak cukup. Alhamdulillah ada masyarakat, kakak ipar dan masjid datang membantu,” katanya.

Categories
SELANGOR

LZS salur RM26,300,410 kepada 54,509 asnaf

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 9 JUN : Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya menyalurkan RM26,300,410 kepada 54,509 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor.

Berdasarkan kenyataan di laman rasmi Facebook LZS, agihan itu bertujuan membantu golongan terbabit menyambut Ramadan dan perayaan Aidilfitri pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM7,029,560 diagihkan kepada 14,714 orang dalam kalangan asnaf fakir, manakala RM17,737,360 kepada 38,940 asnaf miskin dan RM1,533,490 diagihkan kepada 4,204 asnaf mualaf.

“Setiap penerima mendapat bantuan zakat antara RM300 dan RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan,” tulis kenyataan itu.

Pada masa sama, LZS menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka yang telah menunaikan zakat di Lembaga Zakat Selangor.

Categories
SELANGOR

Ambil kesempatan guna logo LZS kutip derma

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 19 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan logo institusi berkenaan untuk mengutip derma daripada orang ramai.

Kejadian berlaku apabila terdapat tong yang ditampal dengan logo LZS untuk mengutip derma dan wakaf serta dipercayai diletakkan di bazar Ramadan.

LZS menerusi kenyataan menafikan membuat kutipan demikian, dan menggesa masyarakat membuat makluman segera sekiranya kejadian yang sama berulang.

“LZS hanya melaksanakan kutipan zakat melalui 27 cawangan, 14 penolong amil Insititusi Pengajian Tinggi, 95 penolong amil Institusi Pengajian Islam Swata (IPIS), 14 ejen saluran bayaran, 78 ejen perunding, 2,754 penolong amil fitrah, dan 60 penolong amil padi.

“Setiap pembayaran zakat akan mendapat resit rasmi LZS, bantu kami sebarkan perkara ini,” kata kenyataan itu.

Categories
SELANGOR

RM30,000 dana zakat wakalah manfaatkan 200 gelandangan

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

SHAH ALAM, 23 MAC: Pengeluar gula, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) menyerahkan bantuan RM30,000 dana zakat wakalahnya kepada 200 gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur (PTGKL).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Hishammudin Hassan berkata, sumbangan itu sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat sebagai menyumbang balik kepada masyarakat.

Katanya, CSR sentiasa prihatin kepada keperluan dan masalah komuniti terutama berhubung isu gelandangan.

“Aspirasi kami sentiasa mencari ruang melakukan perubahan kepada komuniti sekeliling, sama ada besar atau kecil sumbangannya.

“Kami juga akan bekerjasama dengan pusat latihan tempatan bertauliah bagi membolehkan penghuni PTGKL mempelajari kemahiran teknikal, sekali gus menambah kualiti diri mereka, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Program Kasih Gelandangan di PTGKL di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau berkata, program seperti itu tidak boleh dijalankan sekali, perlu dilaksanakan dengan jangka masa lebih panjang.

Sumbangan yang diberikan berbentuk makanan, kelengkapan peribadi dan barangan keperluan asas.

Pada program terbabit turut menyediakan perkhidmatan gunting rambut percuma oleh Rumah Anak Yatim Kasih Harmoni, Paya Jaras.

Program itu adalah kerjasama bersama Yayasan Islam Darul Ehsan dan Lembaga Zakat Selangor.

Categories
SELANGOR

Komited bantu asnaf sertai bidang kemahiran

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 15 MAC: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan usaha untuk bekerjasama dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi melihat pembangunan terhadap anak asnaf, seterusnya memberi peluang kepada golongan terbabit menyertai kursus dalam bidang kemahiran.

EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, meskipun LZS menyediakan bantuan kewangan kepada golongan itu, namun mereka menghadapi kesukaran untuk menghadiri kursus bidang berkenaan.

“Giat Mara boleh menyediakan latihan dalam bidang kemahiran, malahan institusi ini juga memberi elaun kepada pelajar. Cuma, mereka mungkin menghadapi kekangan pengangkutan untuk berulang alik.

“Saya harap pihak Majlis Amanah Rakyat (MARA) dapat meneruskan perbincangan dengan mengadakan perjumpaan bersama LZS supaya tidak ada yang keciciran.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan golongan B40 kepada M40 yang boleh berpendapatan sejahtera,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan taklimat bersama beberapa pengurusan tertinggi Giat Mara cawangan Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Categories
SELANGOR

Permohonan asrama Bait Al Hasanah LZS kini dibuka

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 28 JAN: Tawaran kemasukan ke asrama Bait Al Hasanah di bawah pengurusan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kini dibuka bagi sesi pengambilan Mac 2019.

LZS dalam kenyataan memaklumkan, asrama bantuan penuh itu ditawarkan kepada semua pelajar sekolah di bawah kategori asnaf fakir miskin berdaftar berumur antara 10 hingga 16 tahun.

“Borang permohonan boleh didapati di semua cawangan LZS terdekat mengikut daerah masing-masing atau di Kompleks Bait Al Hasanah, Perepat Kapar Klang.

“Lengkapkan borang berkenaan dan pemohon perlu mendapatkan cop sekolah serta pengesahan daripada cawangan LZS.

“Borang boleh dihantar ke cawangan LZS @ Bait Al Hasanah dan pihak asrama akan menghubungi pemohon untuk menghadiri sesi temuduga,” katanya.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 13 Februari 2019.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung perkara itu, pemohon boleh terus menghubungi LZS di talian 03-32905020.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Penempatan agro-ekonomi bantu asnaf fakir dan miskin Kelantan

PASIR PUTEH, 3 MEI: Kerjasama strategik antara Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (MAIK) bagi membantu golongan asnaf di bawah projek ‘Selangor Prihatin’ membuahkan hasil apabila penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah di Kampung Gong Jenerah, Pasir Puteh dirasmikan hari ini.

Konsep penempatan agro-ekonomi bermatlamat supaya asnaf fakir dan miskin yang disantuni akan lebih produktif dalam menjana ekonomi melalui projek tanaman kontrak yang dibangunkan bersama.

Majlis Perasmian dan Pengurniaan Kunci Rumah kepada penghuni Desa Alam Shah disempurnakan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad ke V dan disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj ibni almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

IMG-20160503-WA0005Inisiatif ini dibangunkan atas keprihatinan Sultan Selangor supaya manfaat dana zakat di Selangor dapat disalurkan kepada negeri yang kurang mempunyai sumber zakat.

Hasilnya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah direalisasikan selepas pembinaan penempatan sama di Taman Desa Asnaf Perlis pada 2013.

Penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah berkeluasan 37 ekar ini membabitkan pembinaan 30 buah rumah setingkat dengan kelengkapan infrastruktur seperti surau, dewan serbaguna, pusat sumber dan kedai runcit serta padang permainan bagi memberi keselesaan kepada penghuni di sini.

Ia dibangunkan bersama projek penanaman cili diusahakan 29 orang asnaf fakir dan miskin yang mendiami penempatan ini.

Setiap keluarga diperuntukkan satu ekar tanah untuk mengusahakan tanaman terbabit dengan mendapat tunjuk ajar ilmu pertanian serta perladangan daripada Nestlé (Malaysia) Berhad melalui Kelab Cili Nestlé dan Pertubuhan Peladang Kawasan Bukit Awang.

Untuk makluman, Kelab Cili Nestlé berperanan membantu asnaf fakir dan miskin di sini berkenaan kaedah pertanian terbaik bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil tanaman cili tanpa kos penanaman tinggi.

Selaras dengan konsep Menjana Nilai Bersama Nestlé, penghasilan tuaian cili itu akan dibeli Nestlé bagi tujuan pembuatan MAGGI Sos Cili.

Ia secara langsung dapat menjana pendapatan keluarga asnaf dengan pendapatan purata sebanyak RM1,200 sebulan.

Secara keseluruhannya, penempatan agro-ekonomi Desa Alam Shah melibatkan sumbangan zakat daripada pengeluar zakat di Selangor sebanyak RM8.7 juta.

Selain itu, LZS dan MAIK turut membangunkan pelan pembangunan insan dan pendidikan khusus untuk keluarga asnaf fakir dan miskin di sini dengan memberi penekanan kepada aspek agama, akademik dan sosial bagi melahirkan asnaf yang berwawasan dan mampu berdikari.

Hadir sama dalam majlis ini, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Tengku Temenggong Kelantan, Datuk Tengku Muhammad Rizam Tengku Aziz.

Turut hadir, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Dato’ Setia Mohamad Adzib Mohd Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar ibni almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali.