100 Penternak Ayam Tg Karang Di Aniaya

TANJUNG KARANG, 8 MAC: Kira-kira 100 peserta Penternakan Ayam Kampung Di Bawah Program Pembasmian Kemiskinan anjuran Parlimen Tanjung Karang dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani teraniaya apabila pulangan yang dijanjikan lesap begitu sahaja.

Selain melibatkan Kementerian Pertanian dan Parlimen Tanjung Karang yang kedua-duanya di bawah tanggungjawab Datuk Seri Noh Omar, dua buah syarikat, Budi Niaga Resources dan NH Din Enterprise turut disebut sebagai pihak yang terlibat dalam projek berkenaan.

Menurut mangsa, Zainal Abidin Shamsudin, 47 tahun, projek penternakan yang dimulakan pada 2009 ini hanya dibayar sebanyak 40 peratus sahaja daripada hasil jualan keseluruhan.

Pihak terbabit turut menjanjikan baki selebihnya sebanyak 60 peratus akan dicarumkan di dalam akaun perserta dalam Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Selepas kursus pada November 2009, mereka mula hantar anak-anak ayam dalam enam pusingan dengan jumlah keseluruhan 650 ekor anak ayam.

“Setiap satu pusingan mereka hantar seratus hingga 150 ekor ekor dan bila dah matang, mereka ambil ayam-ayam itu dan bayar, tetapi tak bayar habis, cuma 40 peratus sahaja.

“Mereka kata bakinya akan dicarumkan dalam PPK, tapi bila saya periksa tak ada dicarumkan pun,” ujar beliau ketika ditemui di Kampung Sungai Terap baru-baru ini.

“Sekarang dah lebih dua tahun, masih tak dicarum lagi dan bila saya tanya Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor, mereka pun tak dapat nak berikan jawapan, cuma mereka suruh saya tanya syarikat yang jalankan projek ini,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Sungai Terap baru-baru ini.

Bagaimanapun menurut Zainal, setiap kali beliau cuba menghubungi pengarah syarikat terbabit, pelbagai alasan diberikan seolah-olah cuba mengelak dari membayar kepada peserta.

“Dulu saya dah banyak kali telefon pengusaha, macam-macam alasan yang diberi dan sekarang langsung dah tak jawab telefon lagi,” ujar beliau lagi.

Zainal juga memberitahu peserta tidak dibekalkan keperluan yang mencukupi seperti makanan ayam, perubatan dan keperluan lain yang menyebabkan perserta-peserta terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk menampung kos ternakan tersebut.

Bekalan eletrik ke rumahnya turut dipotong oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) setelah bil elektriknya melambung tinggi sehingga mencecah satu ribu ringgit.

“Mereka memang ada bekalkan makanan, kadang-kadang ubat-ubatan juga ada, tetapi ikut merekalah nak bagi makanan gred rendah atau yang baik dan memanglah tak cukup.

“Jadi semua perserta terpaksa keluarkan duit sendiri untuk tampung kos termasuklah saya sendiri.

“Akhirnya disebabkan projek ternak ayam kampung ni, bil api saya jadi melambung sehingga mencecah seribu ribu ringgit dan akhirnya kena potong TNB.

“Kerana terdesak, saya terpaksa mohon bantuan Lembaga Zakat Selangor untuk meringankan tanggungan seperti persekolahan anak-anak dan belanja dapur,” ujar Zainal yang tidak lagi mampu melakukan kerja berat setelah terbabit dalam satu kemalangan jalan raya tidak berapa lama dahulu.