Categories
PBT SELANGOR

MBPJ masih selanggara PPR Taman Putra Damai, penduduk perlu bekerjasama

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OKT: Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) masih menyelenggarakan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Putra Damai, Lembah Subang dan penduduk diminta memberi kerjasama kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata MBPJ masih mengendalikan segala perkara berkaitan termasuk kerja pembersihan biarpun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendakwa mengambilalih PPR berkenaan.

“PPR itu masih di bawah MBPJ maka penduduk perlu membayar sewa mereka kepada MBPJ dan bukan KPKT.

“Sekiranya penduduk membayar kepada KPKT dan kutipan sewa MBPJ tidak mencukupi untuk menanggung kos penyelenggaran maka penduduk akan berhadapan dengan masalah kerana KPKT tidak akan melakukannya,” katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan dikendalikan empat pekerja bagi tingkat atas dan bawah dan MBPJ turut mempunyai pejabat di Blok D diuruskan Penolong Jurutera serta empat kakitangan yang bertanggungjawab menerima aduan juga bayaran sewa dari penduduk dibuka Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Katanya, MBPJ melantik dua syarikat bagi menyelenggarakan lif di PPR itu dan lif akan dipastikan berfungsi sekurang-kurangnya satu bagi setiap blok.

“Penyelenggaraan kerja mekanikal dan elektrikal ini diuruskan Jabatan Kejuruteraan MBPJ manakala terdapat juga seorang pengawal keselamatan bagi setiap blok yang disediakan PBT itu,” katanya.

Selain menguruskan penyelenggaraan, beliau berkata, MBPJ juga menggerakkan program komuniti melalui Pusat Aktiviti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) di PPR berkenaan.

Katanya, antara program dijalankan ialah menjahit apron dan beg dari kain rentang terpakai dan membuat serta menjual kuih pau.

“Oleh yang demikian, MBPJ bukan sahaja prihatin terhadap penyelenggaraan bangunan tetapi pembinaan komuniti,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Menteri arah media BN turun ke Lembah Subang cari kesalahan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kerajaan Negeri kesal dengan sikap salah seorang menteri persekutuan yang baru dilantik kerana seakan mahu melancarkan perang terhadap Kerajaan Negeri berbanding pendekatan berbincang menyelesaikan masalah rakyat.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Dato’ Iskandar Abdul Samad, berkata keadaan itu sangat berbeza ketika portfolio sama disandang individu sebelumnya.

“Kerajaan Negeri boleh bincang, tiada masalah tetapi apa yang saya lihat mereka guna sikap sebagai orang politik, masuk televisyen hentam kita dan difahamkan pada Isnin minggu lalu seolah-olah media kerajaan diarahkan turun ke Lembah Subang untuk mencari apakah silap atau kekurangan di situ.

iskandar01“Kita terbuka dalam hal ini tetapi kena datang dengan berjiwa besar antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri berbincang masalah rakyat, bukan bercerita seolah-olah nak rampas Selangor.

“Menteri dahulu, Datuk Rahman Dahlan juga pernah datang berjumpa Menteri Besar dalam isu Akta 757. Saya dan Kassim Aziz beberapa kali berjumpa dengan Timbalan Menteri Perumahan, Datuk Halimah Mohd Sadique tetapi nampaknya menteri baru ini bawa budaya berbeza bukan untuk berbincang tetapi berperang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika menghadiri Majlis Makan Tengahari Bersama Penerima Skim Dana-Sel di Pangsapuri Rimba Jaya, di sini, semalam.

Mengulas isu sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail pula berkata, menteri berkenaan seharusnya memiliki jiwa besar untuk menyelesaikan masalah rakyat dengan menggunakan pendekatan ‘G to G’.

rumah-ppr“Mereka sepatutnya mengambil pendekatan ‘G to G’ (kerajaan dengan kerajaan). Janganlah fikir kita datang daripada parti politik berbeza.

“Rasanya kalau di Rimba Jaya ini kalau kami nak ungkit, ini adalah peninggalan era Barisan Nasional tetapi kita tak pandang isu ini dana bila dah jadi kerajaan kita pandang ke hadapan untuk menyelesaikan masalah menggunakan pelbagai pendekatan.

“Yang anda lihat pada hari ini sebenarnya adalah kumpulan terakhir yang kita selesaikan. Sebenarnya, ada 427 penduduk yang dijanjikan rumah baru dengan bayaran seringgit oleh kerjaan terdahulu dan sudah tiga keempat kumpulan kita selesaikan dengan tawaran pelbagai skim. Akhirnya 118 ini, Kerajaan Negeri sendiri keluarkan duit untuk selesaikan,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Dakwaan sewa PPRT naik tidak betul

PPRTSHAH ALAM 30 SEPT : Kerajaan Negeri menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berhubung kenaikan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang.

Setiausaha kepada Exco Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Kamaruzaman Ahmad Nor berkata kadar sewa PPRT masih lagi dikekalkan pada kadar RM124 sebulan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya akan menyiasat perkara itu bersama pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kerana PPRT terbabit di bawah seliaan MBPJ.

“Setakat ini, kadar sewa kepada yang layak masih RM124. Namun, Kerajaan Negeri bersama MBPJ akan menyiasat dakwaan itu,” katanya menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Kamaruzaman berkata siasatan itu akan dilakukan kerana tidak mahu pihak yang tidak bertanggungjawab sengaja menimbulkan isu terbabit untuk dipolitikkan.

Difahamkan sebelum ini, penduduk flet terbabit membayar sewa sebanyak RM250, bagaimanapun Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat prihatin dengan menurunkan kadar sewa bulanan kepada RM124 pada April 2010.

Penurunan kadar sewa daripada RM250 sebulan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.

Noh sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.

Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.