Categories
AGENSI SELANGOR

PKP dilanjut, LUAS terus pantau lembangan sungai 24 jam

SHAH ALAM, 14 JUN: Pemantauan selama 24 jam di lembangan sungai utama negeri ini diteruskan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilanjutkan sehingga 28 Jun depan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berkata operasi oleh Skuad Pantas bagi memastikan insiden pencemaran dan henti tugas loji rawatan air tidak berlaku sepanjang tempoh sekatan tersebut.

“Sebarang urusan mahupun pertanyaan boleh menghubungi LUAS di aplikasi whatsapp di talian 019-2647904 dan emel [email protected].

“Segala kesulitan amat dikesali. Perhatian dan kerjasama semua pihak berkenaan perkara ini amat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Agensi juga memaklumkan ibu pejabatnya serta pejabat cawangan di Seksyen 15, Shah Alam dan Bangi ditutup mulai esok sehingga 28 Jun.

PKP 3.0 yang sepatutnya berakhir 14 Jun lalu dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi berkuat kuasa esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira jumlah kes harian masih melebihi 5,000 sehari.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

LUAS pantau sungai 24 jam, elak gangguan air ketika Aidilfitri

SHAH ALAM, 12 MEI: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) giat memantau lembangan sungai bagi memastikan tiada insiden pencemaran air ketika sambutan Aidilfitri.

Agensi berkata usaha 24 jam itu bertujuan mengelak henti tugas loji rawatan air dan tidak mengganggu penyaluran bekalan ketika perayaan dan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Operasi pemantauan tanpa henti dilaksanakan Skuad Pantas LUAS di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang termasuk empangan negeri.

“LUAS juga melaksanakan pemantauan statik (pensampelan in-situ) di kawasan strategik yang dikenal pasti berisiko selain pensampelan berkala seperti kajian kebersihan lembangan sungai bagi memantau status kualiti air dengan lebih berkesan.

Menurutnya, agensi sentiasa bersiap sedia melalui Operasi Pengepaman Air Kolam (Opak) sumber air alternatif seperti HORAS 600 dan ‘off-river storage’ (ORS) di Bestari Jaya.

“Ia bertujuan menyalurkan air sebagai sumber tambahan bagi membantu mempercepatkan langkah kawalan dan mitigasi sekiranya berlaku insiden yang tidak diingini,” jelasnya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Skuad Pantas LUAS ronda 24 jam sehari elak pencemaran air

SHAH ALAM, 3 DIS: Skuad Pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang secara rasminya ditubuhkan dan beroperasi kelmarin akan melaksanakan pemantauan 24 jam setiap hari di kawasan sensitif dalam menangani masalah pencemaran sumber air mentah.

LUAS dalam satu kenyataan memaklumkan skuad berkenaan akan memantau sumber air di lembangan Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang bagi mencegah berlakunya pencemaran sumber air dan meminimumkan risiko henti tugas loji rawatan air (LRA).

Tambah kenyataan itu lagi, penubuhan Skuad Pantas LUAS berkenaan adalah selari dengan peruntukan Belanjawan Selangor 2021.

“Pemantauan tanpa henti ini bagi memastikan kelangsungan sumber air sentiasa terjamin dan terpelihara, skuad ini juga merupakan urus setia kepada Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber Air Selangor yang bertanggungjawab menyelaras dan melaksanakan tindakan segera kawalan kecemasan sumber air selaras dengan Manual Pelan Tindakan Kecemasan Sumber Air Negeri Selangor.

“Fasa pertama penubuhan skuad diterajui seramai 15 kakitangan dan akan ditingkatkan sehingga 28 orang yang akan bekerjasama dengan Pengurusan Air Selangor, Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah dan tanah serta agensi lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memberitahu skuad berkenaan akan menggunakan dua pendekatan dalam usahanya mencegah pencemaran iaitu rondaan 24 jam ke kawasan sensitif dan yang dikenal pasti di lembangan sungai utama dan pemantauan statik di kawasan strategik berisiko yang dikenal pasti.

“Pensampelan berkala seperti kajian kebersihan di lembangan sungai juga akan dilaksanakan bagi pemantauan status kualiti air seterusnya perancangan meningkatkan lagi tahap kualiti sumber air sungai-sungai utama negeri.

“Kerajaan Selangor melalui LUAS sentiasa komited dalam memastikan insiden pencemaran dapat dikekang dan ditangani dengan segera agar LRA beroperasi sebaiknya dan gangguan bekalan air kepada pengguna dapat dielakkan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Teliti semula syarat daftar kilang sekitar lembangan sungai

SHAH ALAM, 27 NOV: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor diminta mengkaji semula kriteria pendaftaran kilang sekitar lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat.

EXCO infrastruktur dan kemudahan awam berkata ketika ini hanya kilang yang mengeluarkan sisa buangan (efluen) lebih 60,000 liter layak didaftarkan.

Ir Izham Hashim memaklumkan sebanyak 223 kilang didaftarkan setakat hujung tahun lalu, berbanding lebih 15,000 premis yang wujud.

“Kita minta JAS teliti perkara ini. Jika tidak dapat mengurusnya, kita akan minta Lembaga Urus Air Selangor ambil langkah kerana tidak mahu ada kelompangan,” katanya menambah akta perlu diselaras untuk tindakan holistik.

Ir Izham Hashim bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di Bilik Gerakan Pejabat Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 26 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau bercakap pada taklimat perancangan penyelesaian masalah bekalan air Sungai Selangor dan Sungai Semenyih akibat pencemaran di sini semalam.

Ir Izham menjelaskan semua kilang tidak berdaftar itu bukan dalam kelompok berisiko tinggi yang boleh menyumbang kepada masalah pencemaran.

“Masalah kita adalah hasil kumbahan yang sedikit tetapi banyak di sesuatu kawasan. Contohnya kumbahan restoran, ia sedikit tetapi ada banyak premis.

“Jadi kita mahu semua kilang yang keluarkan efluen sedikit tetap ada sistem,” katanya lagi.

Data Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor setakat 30 Jun 2017 mendapati sebanyak 15,331 kilang didirikan berhampiran lembangan sungai, namun hanya 223 berdaftar.