Categories
NASIONAL

97.3 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Sebanyak 22,774,778 individu atau 97.3 peratus daripada populasi dewasa di Malaysia telah lengkap menerima suntikan vaksin Covid-19 setakat 11.59 malam, semalam (12 Dis).

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan menerusi laman COVIDNOW, sejumlah 98.7 peratus atau 23,096,370 individu dewasa di negara ini telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, 86.5 peratus atau 2,724,110 individu populasi remaja (berumur antara 12 hingga 17 tahun) telah melengkapkan vaksinasi mereka dan 2,825,229 individu atau 89.7 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin.

Dalam pada itu, sejumlah 67,376 dos vaksin telah diberikan semalam melibatkan 63,889 dos penggalak, 2,005 dos kedua dan 1,472 dos pertama.

Perkembangan itu menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19  meningkat kepada 54,891,289 dengan 3,663,587 daripadanya adalah dos penggalak.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

90.9 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin takat semalam

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Malaysia kini mencatat 90.9 peratus populasi dewasa atau 21,290,960 individu lengkap menerima dos vaksinasi COVID-19 setakat 11.59 malam tadi (13 Okt).

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang disiarkan di portal COVIDNOW, sebanyak 94.9 peratus populasi dewasa atau 22,230,828 individu sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 207,520 dos vaksin diberikan semalam melibatkan golongan dewasa dan remaja.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lepas meningkat kepada 46,252,254 dos bagi golongan dewasa.

Bagi golongan kanak-kanak dan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam 453,906 atau 14.4 peratus melengkapkan suntikan vaksin, manakala 75.9 peratus atau 2,390,062 individu menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menerusi PICK Remaja yang bermula sejak 8 Sept lepas.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

89.7 peratus penduduk dewasa lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Malaysia mencatat 89.7 peratus populasi dewasa atau 21,003,074 orang telah lengkap menerima dos vaksinasi Covid-19 setakat 11.59 malam tadi (9 Okt), menjadikan sasaran untuk mencapai 90 peratus hanya berbaki 0.3 peratus.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan disiarkan portal COVIDNOW, sebanyak 94.7 peratus atau 22,176,018 individu bagi populasi dewasa telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Selain itu, sejumlah 83,443 dos suntikan vaksin diberikan semalam bagi golongan dewasa melibatkan 8,236 suntikan dos pertama, manakala 75,207 lagi dos kedua.

Ini menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancar sejak 24 Feb lalu meningkat kepada 43,067,793.

Bagi golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun, setakat semalam sebanyak 204,536 atau 6.5 peratus telah melengkapkan suntikan vaksin manakala 71.5 peratus atau 2,248,867 individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pada 22 Sept, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata aktiviti merentas negeri akan dibenarkan apabila 90 peratus golongan dewasa telah melengkapkan vaksinasi Covid-19 mereka.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Makan di kedai kekal kepada individu lengkap vaksin – menteri

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan masih mengekalkan peraturan individu yang ingin makan di kedai atau restoran mesti lengkap dua dos vaksin bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Mnteri Kesihatan Khairy Jamaluddin menerusi Twitter berkata kekeliruan yang timbul sebelum ini disebabkan peraturan yang dikeluar Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak dikemas kini.

Bermula hari ini, Lembah Klang dan Melaka memasuki fasa ketiga PPN, bersama Perlis, Pahang, Terengganu dan Sarawak.

Negeri Sembilan dan Labuan  berada dalam fasa keempat.

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu lengkap vaksin dibenar tonton di stadium

KUALA LUMPUR, 29 SEPT: Individu yang lengkap divaksinasi dibenarkan hadir menonton perlawanan sukan dan rekreasi, kecuali kanak-kanak di bawah umur 18 tahun, berkuat kuasa 1 Oktober ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 berkata kehadiran itu meliputi sebelum, semasa dan selepas acara, dengan syarat, penonton atau penyokong memakai pelitup muka sepanjang perlawanan serta tiada aktiviti makan dan minum sepanjang berada di stadium.

Majlis rasmi kerajaan dan swasta termasuk perasmian dan bengkel, juga dibenarkan di negeri Fasa Dua dan Tiga, dengan syarat tetamu telah menerima vaksinasi lengkap serta kapasiti peserta dihadkan kepada 50 peratus ruang premis, manakala kapasiti penuh dibenarkan di negeri Fasa Empat.

“Bagi individu yang belum divaksin, perlu menjalani pre-event test (ujian pra acara) menggunakan kit ujian kendiri (saliva) sebelum hadir dengan disaksikan oleh penganjur atau pengesahan daripada pengamal perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, sektor latihan kemahiran dan pusat latihan industri termasuk kolej vokasional, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan sebagainya dibenarkan dibuka semula berkuat kuasa 15 Oktober di semua fasa, selaras dengan pembukaan institut pengajian tinggi (IPT).

Kelonggaran baharu itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 hari ini, dengan maklumat lanjut mengenai tatacara operasi piawai (SOP) boleh didapati di laman sesawang rasmi kementerian-kementerian yang terlibat dan www.mkn.gov.my.

“Walaupun kerajaan memberikan kelonggaran, namun saya berharap agar rakyat dapat terus patuh kepada SOP yang ditetapkan dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19.

“Kerjasama Keluarga Malaysia amat diharapkan agar terus mengamalkan kawalan kendiri, jaga kebersihan demi keselamatan diri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata kerajaan memandang serius isu segelintir individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) dengan keluar daripada kediaman mereka.

Katanya individu yang didapati bersalah, akan dikenakan tindakan yang tegas kerana perbuatan tidak bertanggungjawab itu boleh mengundang risiko keselamatan kepada masyarakat serta menjejaskan usaha kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dua dos boleh ke panggung wayang, terhad 50 peratus kapasiti

SHAH ALAM, 7 SEPT: Individu yang telah lengkap dos vaksin dibenar menonton wayang dengan kapasiti panggung wayang dihadkan kepada 50 peratus sahaja mulai Khamis ini.

Kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) Fasa Satu bagi penggiat industri kreatif itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini.

“Persetujuan memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP diluluskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dos lengkap vaksin Covid-19 serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

“Kelonggaran ini juga diberi berasaskan faktor ada negeri telah mencapai status 80 peratus populasi dewasa menerima dos lengkap vaksin atau mencapai tahap imuniti kelompok,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Aktiviti industri kreatif lain yang diberi kelonggaran seperti berikut:

  • Pembangunan dan penyiaran kandungan kreatif secara rakaman atau siaran langsung.
  • Penyiaran secara rakaman atau siaran langsung berbentuk penyampaian maklumat dan hiburan dengan kehadiran penonton sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang studio.
  • Penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • ‘Indoor busking’ kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • Persembahan di lounge hotel kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
  • Persembahan langsung seperti seni teater, muzikal, muzik dan komedi (secara pra-daftar) dengan penonton yang sudah lengkap vaksinasi serta kapasiti penonton 30 peratus di ruang premis.
  • Pameran seni di dewan pameran, muzium dan galeri seni (secara temu janji) dengan pengunjung yang sudah lengkap vaksinasi dan kapasiti pengunjung 30 peratus di ruang premis.
Categories
PBT SELANGOR

MDSB: Hanya individu lengkap vaksin dibenar masuk pasar pagi, malam

SHAH ALAM, 7 SEPT: Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) hanya membenarkan individu lengkap vaksin dan genap tempoh matang 14 hari suntikan sahaja masuk ke pasar pagi dan malam.

Pegawai Komunikasi Korporatnya Noraini Ahmad berkata sekiranya gagal mematuhi peraturan itu tindakan kompaun sehingga RM2,000 akan dikenakan.

“Pelanggan yang ingin masuk ke kawasan pasar pagi dan malam mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi kepada pegawai yang bertugas. Syarat sama turut dikenakan kepada peniaga.

“Kita harap dengan cara ini dapat mengurangkan jangkitan Covid-19 sekali gus menggalakkan lebih ramai mengambil vaksin,” katanya kepada SelangorKini.

Manakala, Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kajang, Kamarul Izlan Sulaiman memaklumkan individu berusia bawah 18 tahun tidak dibenar masuk ke pasar pagi dan malam.

“Syarat ini dibuat sebagai perlindungan kerana mereka belum divaksin disamping mengelak penularan wabak,” katanya.

Sebanyak 25 pasar pagi dan malam di Kajang kini telah beroperasi sejak pertengahan Ogos dengan pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat.

Bermula 16 Ogos, kerajaan membenarkan premis cuci kereta, elektrik dan elektronik, barangan rumah dan peralatan dapur, perabot, peralatan sukan, aksesori kereta dan pusat pengedaran serta jualan kereta dibuka.

Kebenaran turut diberi kepada pasar pagi dan pasar tani; kedai pakaian, fesyen dan aksesori; barang kemas dan kedai gunting rambut.

Categories
AGENDA NASIONAL

47.2 peratus populasi dewasa lengkap dua dos vaksin – JKJAV

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Sebanyak 47.2 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau seramai 15,429,300 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian infografik di laman Twitter rasminya hari ini, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, seramai 20,115,233 individu atau 61.6 peratus sudah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 35,519,754 dos.

Berdasarkan perkongsian maklumat itu juga, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 65.9 peratus setakat semalam berbanding 65.1 peratus, pada Rabu.

Sementara itu, vaksinasi harian semalam merekodkan sebanyak 369,280 dos diberikan, iaitu 187,645 merupakan dos kedua dan baki 181,635 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bertujuan melaksanakan program vaksinasi bagi membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lengkap dos vaksin, buruh asing tidak sabar mahu pulang ke kampung

PETALING JAYA, 2 SEPT: Seorang buruh binaan dari Kepulauan Boyan, Indonesia menanti penuh sabar untuk pulang ke kampung sekiranya kerajaan membenarkan aktiviti rentas sempadan negara kepada individu lengkap vaksin.

Asfan Rimin, 54, berkata sejak pandemik melanda, dia dan keluarga belum berkesempatan melawat ibu kandung yang tinggal bersendirian di kampung halaman, tidak seperti kelaziman tahun sebelumnya.

Asfan Rimin

“Walaupun anak dan isteri tinggal bersama saya di Malaysia tetapi ibu tinggal berseorangan di kampung. Kalau dulu, kami wajib pulang setahun sekali terutama musim perayaan tetapi sekarang hanya membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan.

“Paling penting, tanggungjawab saya sebagai anak terhadap ibu tidak akan diabaikan. Segala keperluan seperti wang belanja dikirim setiap bulan kerana rezeki harus dikongsi bersama orang tua,” katanya.

Asfan antara 2,000 peserta program Vaksin Selangor (Selvax) yang menerima dos kedua pelalian di pusat pemberian vaksin (PPV) Kompleks Sukan PKNS Kelana Jaya semalam.

Meskipun belum mendapat status penduduk tetap (PR) sejak berhijrah ke Malaysia 32 tahun lalu, bapa tiga anak itu menghargai usaha Kerajaan Selangor yang tidak meminggirkan warga asing mendapat manfaat program terbabit.

“Kerajaan di sini sangat prihatin kerana banyak kemudahan disediakan malah saya sudah menganggap Malaysia sebagai negara sendiri dan akan terus memelihara kedaulatannya.

“Alhamdulillah, dari zaman bujang bersusah-payah merantau dan sekarang sudah ada pekerjaan. Saya berjanji tidak akan buat masalah di negara orang,” katanya yang kini tinggal di Puchong.

Nissa Ahmad Jalal

Sementara itu, warga asing dari Myanmar, Nissa Ahmad Jalal, 21, lega selepas menerima dos kedua vaksin dan tidak lagi bimbang untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan di restoran.

Dia yang menetap di negara ini sejak lahir berkata inisiatif itu diambil sendiri tanpa paksaan majikan berikutan menyedari peningkatan kes wabak sejak akhir-akhir ini.

“Apa yang kerajaan arah, saya ikut sahaja kerana ini semua demi kepentingan bersama. Diharap selepas dua minggu suntikan kedua ini, saya boleh bergerak bebas walaupun tidak sepenuhnya.

“Saya berterima kasih kepada kerajaan khususnya Selangor kerana memudahkan urusan saya untuk mengambil vaksin termasuk warga asing yang lain,” kata anak kedua daripada empat beradik yang tinggal di Gombak.

Categories
AGENDA NASIONAL

Persatuan restoran tidak wajibkan ahli buka premis, benar pelanggan makan

KUALA LUMPUR, 20 OGOS: Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) tidak mewajibkan ahlinya membuka premis masing-masing bagi tujuan pelanggan makan di premis (dine-in), sebaliknya bergantung kepada kesediaan pengusaha sendiri untuk berbuat demikian.

Presidennya Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata apa yang penting bagi ahli persatuan, ialah mereka perlu memastikan hanya petugas lengkap divaksin dibenarkan untuk bekerja.

“Pengumuman ini sesuatu yang melegakan buat pengusaha restoran khususnya di kawasan Fasa Satu PPN (Pelan Pemulihan Negara) dan kita sarankan kepada ahli agar menyediakan petugas khusus untuk menyemak sijil digital vaksinasi Covid-19 di aplikasi MySejahtera pelanggan,” katanya.

Beliau berkata bagi mencegah sebarang risiko penularan Covid-19, pemilik premis disarankan kerap mensanitasi meja makan dan kerusi sebelum serta selepas digunakan pelanggan.

Katanya pengusaha restoran dan permis makanan serta pelanggan juga dinasihatkan agar mematuhi semua peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) aktiviti dine-in bagi individu lengkap divaksin.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan kebenaran aktiviti dine-in mulai hari ini (Jumaat) bagi premis makanan di kawasan berstatus Fasa Satu PPN, namun terhad bagi pelanggan yang lengkap divaksin.

Antara kelonggaran lain bagi individu lengkap divaksin di kawasan Fasa Satu PPN ialah aktiviti sukan, rekreasi dan riadah tanpa sentuhan fizikal dan bukan berkumpulan serta operasi pasar malam dan pasar minggu.

Sementara itu Jawahar Ali berkata ahli persatuan turut disaran mempamerkan poster atau gegantung makluman mengenai semua petugas premis telah divaksin bagi meningkatkan keyakinan pelanggan masing-masing.

“Kita juga berharap pelanggan berdisplin dan mematuhi semua SOP yang ditetapkan ketika makan di premis terutama jika membawa keluarga dengan anak-anak berusia 17 tahun ke bawah,” katanya.

— BERNAMA

 

 

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB pesan walau lengkap dos, amal SOP biasa macam belum dapat vaksin

SHAH ALAM, 9 OGOS: Dato’ Menteri Besar mengingatkan individu yang lengkap vaksinasi agar terus mengamalkan tatacara operasi piawai (SOP) seolah-olah belum menerima suntikan pelalian.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat diingatkan agar kekal menjaga penjarakan, menggunakan cecair pembasmi kuman, elak mengunjungi tempat sesak dan jangan sesekali leka.

“Jika anda belum menerima vaksin sila segera hadir ke pusat vaksin tetapi jika sudah saya mohon agar anda terus bersikap seperti seorang yang belum menerima vaksin dengan kekal mematuhi SOP.

“Meskipun vaksin terbukti dapat mengelakkan kesan kritikal akibat Covid-19 namun ia tetap bergantung dengan imuniti kelompok.

“Ditambah dengan kehadiran varian baharu Delta, Delta Plus dan Lambda yang sedang mencatat gelombang jangkitan serius. Justeru, amat penting untuk kita berhati-hati di saat kritikal ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi video kemas kini usaha Kerajaan Selangor menggempur Covid-19 yang dikongsi di Facebooknya hari ini.

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Individu lengkap vaksin dibenar solat di masjid, surau

SHAH ALAM, 8 OGOS: Kerajaan membenarkan aktiviti solat sahaja di masjid dan surau kepada jemaah yang lengkap menerima suntikan vaksin.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas hari ini berkata kebenaran itu terpakai ke atas semua fasa dalam Pelan Pemulihan Negara mulai Selasa ini.

“Pihak masjid dan surau perlu pastikan tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan juga pastikan jemaah terus pulang setelah selesai solat.

“Jemaah yang hadir menunaikan solat mesti menunjukkan sijil digital vaksinasi Covid-19 kepada petugas masjid yang menunjukkan mereka telah menerima vaksinasi lengkap,” katanya.

Lengkap dua dos vaksin bermaksud seseorang itu melepasi tempoh 14 hari selepas menerima suntikan Pfizer, Astrazeneca dan Sinovac manakala 28 hari bagi satu dos vaksin Johnson & Johnson dan Cansino.

Muhyiddin menambah kemudahan itu juga diberikan kepada penganut bukan Islam untuk menghadiri rumah ibadat.

“Pelaksanaan kemudahan ini tertakluk kepada pihak berkuasa agama negeri dan Kementerian Perpaduan Negara bagi rumah ibadat selain Islam,” katanya.