Categories
AGENDA NASIONAL

Pengunjung terhibur program Lepak Seni MBSA, aktiviti santai keluarga

SHAH ALAM, 28 NOV: Rata-rata pengunjung terhibur dengan pengisian program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Taman Tasik Shah Alam hari ini.

Mohd Izzuan Shah Jamaludin, 36, yang datang bersama isteri dan tiga anaknya berkata acara itu sangat bagus dan dapat memberi pendedahan kepada kanak-kanak mengenai aktiviti kebudayaan.

Mohd Izzuan Shah Jamaludin

“Dengan adanya persembahan angklung dan tarian tradisional ia dapat memberi pengetahuan kepada anak-anak memandangkan mereka hidup pada zaman moden dan kurang didedahkan dengan aktiviti ini,” katanya.

Manakala, Marlia Mohd Zaini, 30, turut memuji program itu yang disifatkan amat bersesuaian untuk ibu bapa membawa anak bersantai setiap hujung minggu.

Marlia Mohd Zaini

“Sudah lama kita berkurung dalam rumah disebabkan pandemik Covid-19, dengan adanya program seumpama ini ia sedikit sebanyak menghiburkan seisi keluarga,” katanya.

Helmi Mohd Bachalan, 43, pula berkata program itu dapat menghidupkan Taman Tasik Shah Alam dan berharap diteruskan lagi pada masa akan datang.

Helmi Mohd Bachalan

“Pengisian program juga menarik seperti perpustakaan bergerak, aktiviti mewarna sesuai untuk kanak-kanak. Saya harap program ini dapat dianjurkan setiap bulan,” katanya.

Program Lepak Seni @ Kedai Kopi bertujuan menyemarakkan aktiviti seni budaya dan menghiburkan pengunjung sekitar tasik berkenaan.

Orang ramai menyaksikan persembahan sempena program Lepak Seni Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat) selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Muda.

Turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lepak Seni MBSA jadi acara bulanan setiap Ahad akhir bulan

SHAH ALAM, 28 NOV: Program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bakal dijadikan acara bulanan pada setiap hari Ahad minggu keempat.

Penyelaras program berkata program itu diadakan bermula jam 4.45 petang hingga 6.45 petang di kawasan Kedai Kopi 1, Taman Tasik Shah Alam.

Penyelaras Program Lepak Seni MBSA Mohamad Shahrul Mohamad

Mohamad Shahrul Mohamad berkata acara itu bertujuan menyemarak aktiviti seni budaya dan menghiburkan pengunjung sekitar tasik berkenaan.

“Program ini juga bagi memberi peluang kepada pelajar sekolah untuk tampil membuat persembahan depan khalayak sekali gus memberi keyakinan kepada mereka.

“Insya-Allah setakat ini kita rancang untuk anjurkan aktiviti ini setiap bulan di samping hiburkan pengunjung Taman Tasik Shah Alam,” katanya.

Badut menceriakan kanak-kanak yang mengunjungi program Lepak Seni Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di kedai kopi Tasik Shah Alam pada 28 November 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Terdahulu, program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri (Padat) selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung dari Sekolah Kebangsaan Taman Seri Muda.

Turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.

Categories
PBT SELANGOR

Program Lepak Seni MBSA kembali secara fizikal Ahad ini

SHAH ALAM, 24 NOV: Program Lepak Seni @ Kedai Kopi anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali secara fizikal mulai Ahad ini.

Bermula jam 4.45 petang hingga 6.45 petang, program diadakan di kawasan Kedai Kopi 1, Taman Tasik Shah Alam, kata Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA Shahrin Ahmad.

Beliau menjelaskan program diserikan dengan persembahan tarian tradisional daripada kumpulan PADAT selain pemuzik jalanan oleh Trio Jaybonz dan kumpulan Angklung.

“Pelbagai kegiatan menarik akan diadakan di samping memberi peluang kepada pengunjung untuk beriadah dan bersantai di Taman Tasik Shah Alam.

“Inisiatif MBSA ini dapat menyemarakkan aktiviti seni budaya dan memberi peluang kepada golongan kreatif untuk berkarya,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shahrin, turut diadakan aktiviti mewarna bagi kanak-kanak berumur empat tahun sehingga 12 tahun, perpustakaan bergerak MBSA dan aktiviti kraf penanda buku.

Categories
SELANGOR

Jom meriahkan Lepak Seni di Laman Budaya Ahad ini

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan mengadakan program Lepak Seni pada Ahad ini mulai jam 5 hingga 7 petang, bertempat di Laman Budaya, Persiaran Tasik, Seksyen 14 di sini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diadakan sekali gus memberi peluang kepada pengunjung beriadah dan bersantai di Taman Tasik Shah Alam.

“Program Lepak Seni pada kali ini akan diserikan dengan persembahan tarian kebudayaan oleh kumpulan ‘D’ Siblings Dance Group’, Kombo MBSA, persembahan dikir barat oleh ‘Dikir Sri Melati’ dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSA Zon 22 serta artis jemputan ‘Qody Mentor’.

“Program dilaksanakan berkala ini adalah inisiatif MBSA menyemarakkan aktiviti seni budaya serta memberi ruang dan peluang kepada golongan kreatif berkarya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, inisiatif itu juga bertujuan menarik masyarakat berkunjung ke Shah Alam yang dinobatkan sebagai Kota Seni di Selangor.