Categories
PBT SELANGOR

Elak denda, perbaharui permit niaga MPS sebelum 31 Disember

SHAH ALAM, 26 OKT: Pemegang lesen perniagaan bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Selayang (MPS) digesa memperbaharui permit 2022 sebelum 31 Disember bagi mengelak didenda.

Kegagalan berbuat demikian sebelum tarikh ditetapkan akan dicaj fi lewat sebanyak 10 peratus daripada jumlah aktiviti lesen, menurut pengarah jabatan korporatnya.

Mohamad Zin Masoad berkata maklumat boleh dikemas kini melalui laman sesawang http://lesendigital.mps.gov.my dan seterusnya membuat bayaran di mymps.mps.gov.my.

“Pemegang lesen boleh membayar dan mencetak sendiri lesen menggunakan MyMPS untuk memudahkan proses secara dalam talian di mana sahaja tanpa kehadiran fizikal di kaunter,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata proses bayaran bagi pemegang lesen minuman keras, visual, papan iklan, kilang tanpa kebenaran, rumah urut, refleksologi, pusat siber, hotel, barang lusuh dan kuari juga melalui sistem sama.

Katanya, lesen bagi perniagaan berkaitan boleh diperoleh di Jabatan Pelesenan MPS.

Untuk pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan di talian 03-61265940-5941/5942/5943 atau layari www.mps.gov.my.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ galak pelanggan perbaharui lesen niaga, iklan dalam talian

SHAH ALAM, 29 SEPT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menggalakkan pelanggan memperbaharui lesen perniagaan dan iklan 2022 secara dalam talian menerusi portal Ezy MBSJ bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Datuk Bandar Noraini Roslan berkata pembayaran mudah tanpa daftar masuk melalui pautan https://ezy.mbsj.gov.my/lesen boleh dibuat mulai 1 Oktober sehingga 7 Januari tahun depan.

“Pembaharuan lesen dengan kaedah norma baharu amat digalakkan berbanding pilihan secara bersemuka di kaunter MBSJ bagi mengurangkan aktiviti secara fizikal dalam tempoh pandemik.

“Inisiatif disediakan memberi manfaat kepada pelanggan kerana dapat menjimatkan kos dan mereka bebas melaksanakan transaksi di mana-mana sahaja tanpa waktu yang terhad,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat penuh MBSJ Bil.10/2021 secara maya hari ini.

Menurut Noraini, tatacara pembaharuan dan pembayaran melalui portal berkenaan juga disediakan sebagai pemudahcara kepada pelanggan.

“MBSJ menyediakan borang janji temu jabatan pelesenan melalui platform google form bagi pelbagai saluran pertanyaan berkaitan isu pelesenan termasuk informasi pembaharuan lesen atau permit lain-lain kategori,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

PBT mudahkan proses mohon lesen, bantu lebih ramai berniaga

SHAH ALAM, 31 MAC: Pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri akan mempercepat urusan permohonan lesen sementara bagi membantu golongan terjejas memulakan perniagaan.

EXCO kerajaan tempatan berkata agensi itu turut mengenal pasti tapak perniagaan baharu yang sesuai untuk memastikan operasi di setiap kawasan lancar.

“Tapak niaga kurang sesuai yang menyebabkan kesesakan lalu lintas dan mengundang bahaya pula akan dipindah ke kawasan lebih selamat,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi.

Beliau berkata Kerajaan Selangor sentiasa mengutamakan penjaja kecil dan peniaga berikutan mereka antara yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Ada yang hilang sumber pendapatan, justeru melalui inisiatif dilancarkan mereka sasaran utama yang dibantu termasuk pengecualian fi lesen bagi meringankan beban,” kata Sze Han lagi.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar menyarankan PBT memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas susulan Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata agensi itu juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil dan jualan but kereta.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB saran PBT permudah permohonan lesen niaga sementara

SHAH ALAM, 29 MAC: Dato’ Menteri Besar menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) memudahkan permohonan lesen perniagaan sementara untuk membantu golongan terjejas akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata PBT juga perlu menyediakan beberapa kawasan khusus untuk peniaga kecil serta jualan but kereta.

“Kebanyakan PBT di Selangor melibatkan kawasan bandar, jadi kita tidak mahu gerai dibuka secara tidak tersusun.

“Sekarang ramai mula berniaga, siapa sangka selepas 20 tahun bekerja tiba-tiba kena buang, PBT perlu bersama-sama Kerajaan Negeri membantu rakyat,” katanya sempena Sambutan Ulang Tahun Hijrah Selangor keenam di Perbadanan Perpusatakaan Awam Selangor (PPAS) hari ini.

Beliau berkata, kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama pada Mac tahun lepas masih terasa sehingga kini.

“Namun Kerajaan Negeri mengambil langkah segera untuk menampan kesan pendemik seperti melaksanakan skim Niaga Darul Ehsan (NaDi) dan Go Digital.

“Skim NaDi membantu mereka yang berhasrat atau baru memulakan perniagaan dengan tawaran pembiayaan antara RM 1,000 hingga RM 5,000 manakala Go Digital membantu ke arah digitalisasi menerusi pembelian alat telekomunikasi,” katanya.

Skim NaDI dan Go Digital masing-masing menyasarkan 3,000 penerima.

Categories
ADN BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Kerajaan Negeri cadang luaskan pemberian lesen niaga

GOMBAK, 29 NOV: Kerajaan Negeri bercadang meluaskan pemberian lesen perniagaan kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19 pada tahun depan.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha menggalakkan masyarakat menceburi perniagaan secara dalam talian juga dilaksanakan bagi menjana pendapatan isi rumah.

“Kita menyediakan insiatif Data Internet Selangor bagi memudahkan rakyat berniaga dalam talian, ini hasrat kita untuk membantu ubah nasib rakyat.

“Belanjawan Selangor 2021 banyak memfokus usaha untuk mendepani cabaran memulihkan ekonomi yang terjejas susulan penularan wabak,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Program Serahan Bantuan Kemasyarakatan DUN Sungai Tua semalam.

Beliau berkata Kerajaan Negeri juga merangka program bagi meningkatkan tahap kemahiran, latihan semula atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong keupayaan sedia ada.

“Sekiranya hilang pekerjaan, kita kena bangkit mempelajari kemahiran baharu dan boleh cuba bekerja sektor lain atau cuba berniaga,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata sektor perumahan antara perkara utama tahun depan, terutamanya menyediakan Rumah Idaman dan Rumah SelangorKu Harapan.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ jenama semula khidmat lesen niaga dalam talian

SHAH ALAM, 12 NOV: Sistem e-lesen Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dijenamakan semula kepada e-lesen Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2.0 – ‘Be Smart & Safe’.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik berkata langkah itu selari dengan keadaan semasa Covid-19 yang membataskan hubungan fizikal dalam kalangan komuniti khususnya peniaga.

“Ia juga kesinambungan pemerkasaan perkhidmatan secara dalam talian tanpa pelanggan perlu berurusan di kaunter bersepadu MBSJ,” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan.

Beliau berkata penjenamaan meliputi dua kategori perkhidmatan iaitu permohonan dan pembaharuan lesen perniagaan.

“Bagi lain-lain kategori lesen seperti lesen penjaja dan lesen iklan luaran turut diakses melalui dalam talian,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Baharui lesen niaga risiko rendah dalam talian mulai hari ini – MPSJ

SUBANG JAYA, 1 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melaksanakan proses pembaharuan lesen perniagaan berisiko rendah serta iklan untuk tahun hadapan secara dalam talian mulai hari ini hingga 31 Disember ini.

Yang dipertuanya berkata kaedah ‘zero kaunter’ itu sejajar amalan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Ini dapat mengurangkan risiko penularan wabak melalui kesesakan pelanggan selain mengelakkan berlaku kontak rapat semasa proses semakan dan pembaharuan.

“Lebih 80 peratus pemegang lesen terdiri daripada lesen berisiko rendah antaranya pengusaha kedai makan, premis perniagaan atau pejabat,” kata Noraini Roslan ketika Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Subang Jaya di sini semalam.

Pembaharuan boleh dilaksanakan melalui laman web http:/www.mpsj.gov.my selain pelanggan perlu mendaftar dengan My@MPSJ terlebih dahulu.

“Pemegang lesen berisiko seperti pengusaha kelab malam tetap perlu memperbaharui lesen di kaunter bersepadu mengikut tatacara operasi piawai (SOP) dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang setiap Isnin hingga Jumaat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor lulus Undang-undang Kecil Penjaja, larang warga asing berniaga

KUALA LANGAT, 4 JUN: Warga asing tidak lagi dibenarkan berniaga selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri meluluskan Undang-undang Kecil Penjaja semalam.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata golongan itu juga dilarang memiliki lesen perniagaan, menjadi peniaga sementara atau diambil bekerja.

“Sekarang tidak akan timbul isu mereka (warga asing) sebagai wakil penjaja atau hanya bekerja. Kita tidak benarkan walaupun (warga asing) suami.

“Pelarasan ini dibuat selepas melihat banyak kelemahan…tiada kenyataan jelas dalam kelayakan mengeluarkan permit,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan khas kewangan kepada Setiausaha dan AJK Biro Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kuala Langat hari ini.

Jelas Rodziah, tiga syarat untuk mendapatkan lesen niaga ialah penama warga tempatan, menjalankan perniagaan ganti tidak lebih tiga bulan dan majikan perlu mendaftarkan data peribadi pekerja.

“Bagi menambah baik penguatkuasaan ini, kerajaan akan gunakan sistem biometrik seperti dilakukan Majlis Bandaraya Petaling Jaya untuk mana-mana individu mendaftar mendapatkan lesen,” katanya.